Tuesday, August 10, 2010

Ahlan Ya Ramadhan Kareem

Bismillahirrahmanirrahim...



Alhamdulillah, Ramadhan menjelma lagi. Terasa sedikit kekok setelah sekian lama tidak meluangkan masa untuk meneruskan kalam di blog ini.
Penulis akur dengan kekangan masa dan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan untuk meninggalkan cebisan ilmu dan sedikit pengalaman sebagai peringatan buat diri yang kerdil di sisiNYA.

InshaAllah, baru-baru ini ustaz sedia berkongsi tazkirah Ramadhan semasa penulis menghadiri Kelas Tajwid seperti kebiasaannya. Apabila bercakap mengenai Ramadhan, apa yang bermain di fikiran anda???

Setiap di antara kita pasti mempunyai pendirian, pemahaman dan tafsiran tersendiri mengenai maksud tersirat di sebalik bulan penuh baraqah ini. 

Jika dilihat situasi kini, majoriti umat Islam menyambut Ramadhan tanpa mencari hikmah kenapa Allah S.W.T menetapkan kewajipan berpuasa ke atas umat Islam. Seperti mana firman Allah S.W.T, yang mana penulis kira ayat ini sering disebutkan dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
" Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.."
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesungguhnya hikmah berpuasa sebenarnya memberi kita peluang  untuk menempatkan diri kita di kalangan para muttaqin di sisi Allah S.W.T. Tetapi sejauh manakah kita selaku hambaNYA berusaha mencapai taqwa tersebut?

Dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, Allah S.W.T juga telah berfirman yang berbunyi : 
Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. "

Bercakap tentang taqwa. Apa itu taqwa? 
Sahabat Rasulullah S.A.W pernah menyatakan bahawa taqwa itu ibarat satu lorong atau jalan yang gelap yang mana di dalamnya terdapat banyak duri-duri di atasnya. Kemudian, cuba anda berjalan melaluinya dalam keadaan yang gelap, sudah pasti anda teraba-raba kerana ingin mengelak daripada terpijak duri. 
Ini bermakna, jalan untuk mencapai taqwa bukan mudah dan ia sentiasa akan dihalang oleh pelbagai dugaan dan ujian dari Ilahi. Justeru, sebagai hambaNYA , kita kena sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah agar tidak terpijak duri atau terjebak ke dalam lubang kebinasaan. 
Oleh kerana itu, penulis berpendapat bulan Ramadhan merupakan peluang keemasan bagi umat islam untuk merebut hadiah 'taqwa' daripada Allah S.W.T. Waima keberkatan bulan di mana semua syaitan dibelenggu dan pintu syurga dibuka, apakah itu tanda Allah S.W.T ingin mengajar kita bagaimana sebenarnya ingin menuju taqwa dalam merentasi ibadah puasa selama sebulan.
Sungguh nikmat apabila Ramadhan dijadikan pesta 'beribadah' kerana di situ tersimpan rahmat, keampunan (maghfirah) dan pelepasan daripada seksa api neraka. Jika berbalik kepada situasi kini, ironinya umat islam lebih meraikan sambutan Hari Raya daripada bulan Ramadhan itu sendiri.
Tidak wajar bila mana tibanya Ramadhan, masyarakat Malaysia terutamanya tidak akan melepaskan diri dari berkunjung ke bazar-bazar Ramadhan bagi mendapatkan juadah berbuka puasa. Tidak salah untuk membeli, tetapi ia menjadi salah apabila sikap membazir yang melampau. Masakan tidak, ramai yang terbeliak biji mata apabila tiba di bazar Ramadhan kerana terdapat pelbagai aneka juadah yang terjual apatah lagi membangkitkan selera dan sentiasa menggoda nafsu untuk mendapatkannya.
Dari situ, kita boleh menilai tahap ibadah puasa masing-masing sama ada kita berusaha untuk menahan lapar semata-mata atau sebaliknya.

SubhanaAllah, masa tidak mengizinkan..
InshaAllah akan disambung semula..
Selamat Menyambut Ramadhan Kareem..
Pastikan Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang sebelum ini..InshaAllah.
Sama-sama menikmati kemanisan dalam beribadah di bulan Ramadhan untuk mencapai tahap taqwa dan akhirnya meraih redhaNYA.

Wallahu'alam..