Friday, July 22, 2011

Detik bermula bersamamu ^_^

Bismillahirrahmanirrahim....


" Ya ALLAH, bukakanlah untukku pintu-pintu kebaikan, keselamatan, kesihatan, nikmat, keberkatan, cinta sejati, kasih sayang, rezeki, ilmu, keampunan dan pintu-pintu syurga. Aku memohon kepadaMu Ya ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...." Ameen Ya Rabbal 'Alamin...



" DIA menempatkan kita dalam lautan kelapangan dan DIA  juga membanjiri kita dengan limpahan kesenangan. Sesungguhnya, rahmat Ya Rahman Ya Rahim tidak bertepi. Maka, sujudlah...tanda kita sentiasa mengingati ILAHI..."


Hampir sebulan lebih penulis tidak menulis di ruangan maya ini. Ketiadaan kemudahan internet dan atas faktor-faktor tertentu menyebabkan penulis makin kejauhan untuk meneruskan perkongsian untuk manfaat bersama. 

Dek kerana perubahan ke alam baru yang mana menuntut penulis melalui fasa-fasa penuh cabaran dan debaran dalam menjalani kehidupan sebagai seorang isteri. SubhanaAllah! 
Perjalanan masa dan detik yang begitu pantas ini rupa-rupanya sudah memakan masa sebulan juga penulis sudah berumahtangga. Bulan Sya'ban turut meninggalkan saki baki waktunya bagi menggantikan kehadiran 'nur' Ramadhan yang sangat dinanti-nantikan. Rindu sungguh pada saat-saat Ramadhan Kareem yang penuh baraqah. Dan inilah kali pertama penulis akan menyambut bulan Ramadhan bersama suami tersayang. InshaAllah ^_^...Mudahan ia lebih baik dan menjadi kenangan yang abadi.

Dengan berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman yang ada, penulis akan berusaha membentuk baitul muslim yang menjadi impian setiap pasangan suami dan isteri. Keluarga yang dikurniakan rahmah, sakeenah dan mawaddah adalah keluarga yang akan bahagia bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Dan ia berbalik kepada si suami dan isteri sendiri bagaimana ingin membentuk dan mencorak keluarga masing-masing mengikut acuan yang betul berlandaskan syariat Islam dan ia lebih indah lagi dengan mencontohi kehidupan Junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Bukan sukar menjadi seorang isteri atau suri rumah tangga, tetapi ia memerlukan kesediaan dari segi fizikal, mental dan rohani yang tinggi kerana kita akan berhadapan dengan situasi baru. Mana tidaknya jika sebelum ini kita tinggal dan dikelilingi oleh ahli keluarga, saudara mara, kawan-kawan, tetapi apabila telah bernikah, kita menjadi orang baru kepada orang baru yang kita baru kenali.  Bunyinya macam sukar, tetapi itulah hakikatnya bahawa sebuah ikatan perkahwinan yang sah akan mengajar kita erti kehidupan sebenar. Banyak perkara baru yang kita akan pelajari dan tempuhi. 

Penulis ingin mengingatkan diri bahawa dengan menjaga hubungan dengan Allah SWT, bersangka baik dengan DIA inshaAllah, seorang isteri dapat menjalankan tanggungjawab yang baik juga kepada suami. Ketaatan seorang isteri juga adalah hasil ketaatan kepada Allah SWT. Dalam apa jua perkara dan keadaan , kebergantungan pada Allah SWT memang sangat diperlukan oleh hamba-hambaNYA, bukan ketika kita  menderita atau menghadapi kesusahan sahaja tetapi ingatlah DIA setiap detik demi mendapatkan kebahagiaan dan redhaNYA.

Apabila bergelar isteri, syurga akan beralih di bawah telapak kaki suami. Taatlah kepada mereka, berilah khidmat dan layanan terbaik InshaAllah, redha seorang isteri akan menjanjikan kemanisan untuk memilih pintu-pintu syurga yang tersedia. 

Kepada suami juga, jadilah seorang kapten yang akan mengemudi rumahtangga mengikut sunnah Rasulullah SAW sehingga ke syurga NYA. Suami yang soleh pasti akan membimbing isterinya menjadi isteri solehah yang akan membina sebuah baitul muslim yang akan menyirami dunia Islam kelak. Dan ' Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan paling baik adalah  yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.' Hadith Riwayat Tirmidzi..

Hargailah pasangan anda dan terimalah dia seadanya...Manusia tidak sempurna, tetapi DIA yang akan menyempurnakan kita dengan menganugerahkan pasangan yang terbaik untuk kita....

 " Empat perkara termasuk tanda kebahagiaan ialah memiliki wanita yang solehah, tempat tinggal yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Dan juga empat perkara yang termasuk dalam kesusahan (derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk. " Hadith Riwayat Ibnu Hibban.

Wallahu'alam....