Friday, January 29, 2010

Sedarkah Anda? Tahukan Anda?

Bismillahirrahmanirrahim...







  
       Sedarkan anda? Tahukah anda? Isu hangat yang melanda negara semakin hari amat membimbangkan. Di manakah peranan pemimpin? Di manakah para ulama'? ustaz dan 'alim? Di manakah anda ? selaku masyarakat Malaysia yang beragama islam. Apakah tindakan anda? Adakah sekadar melihat? atau mendiamkan diri? 
        Sepanjang tiga minggu yang lalu, hampir 11 Gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan 2 buah surau telah dicemar dan dirosakkan oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Adakah ini yang diinginkan oleh kita sebagai orang islam yang cintakan kedamaian? apatah dalam Malaysia tercinta yang menempatkan hampir 26 juta rakyat berbilang kaum dan agama. Isu ini semakin hari semakin serius dan tidak menampakkan sebarang jalan penyelesaian. Sebaliknya rumah-rumah ibadah menjadi mangsa serangan yang tidak sepatutnya. Di manakah 'nilai' ataupun adab-adab yang telah diterapkan dalam setiap agama masing-masing tentang betapa  mulia dan sucinya rumah-rumah ibadah?

Implikasi Penggunaan Kalimah ALLAH di Malaysia
Alhamdulillah, berkesempatan menyertai Forum ' Implikasi Penggunaan Kalimah ALLAH di Malaysia'. Ia sedikit sebanyak dapat membuka mata hati dan mengubah 'mind setting' seperti mana yang penulis faham sebelum ini. Di samping barisan ahli-ahli panel jemputan yang  mewakili bidang dan kepakaran masing-masing. Sememangnya gandingan ini sangat mantap dan apabila digabungjalinkan mampu menghasilkan satu kesimpulan yang amat berkesan untuk dilaksanakan di negara ini. Ahli-ahli panel tersebut ialah YB Dr. Mujahid Yusof Rawa dari Parlimen Parit Buntar yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Mohammed Yusof b Dawood Gany atau nama popularnya 'Bro Gibril' selaku pensyarah UTAR dan saudara Mohd Idris b. Mohd Yussoff yang merupakan Presiden GAMIS.
Forum tersebut telah dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) bersama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PBBB) atas kesedaran peri pentingnya pendedahan dan penjelasan tentang isu kalimah Allah kepada penduduk Bangi khususnya dan mahasiswa sendiri. 
Adakah anda merasa resah dan gelisah apabila mendengar isu kalimah Allah swt? Siapalah yang akan gelisah? Berikut adalah jawapan yang telah dinyatakan oleh Dr Mujahid:
  • Orang yang lemah dan tiada ilmu
  • Orang yang tidak faham Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw
  • Orang yang mengamalkan semangat nasionalisme yang sempit dan 
  • fikiran politik yang sempit. 
Kenapa Dr berkata begitu? ini kerana ruang lingkup kefahaman tentang ilmu disalahgunakan. Di mana ilmu bukan semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan atau bukan untuk mendapatkan pekerjaan. Tetapi ilmu dari segi falsafah adalah kebenaran dan bagaimana kita meng'interpret' ilmu itu untuk membezakan yang mana benar dan palsu. Jadi apabila isu ini timbul, ia memberi cabaran kepada orang Melayu yang ragu dengan agama islam dan bagi mereka yang mengamalkan liberalisme dalam beragama. Dan ramai juga dikalangan kita orang Melayu Islam khususnya menganggap isu agama merupakan isu peribadi yang tidak ada kena mengena dengan aqidah. Tak kurang juga bagi orang yang menganggap agama sebagai budaya. Itu adalah hasil bagi ilmu yang tidak dicedok menggunakan mata hati tetapi semata-mata di atas kertas. Justeru, YB menggesa satu anjakan paradigma dalam perlembagaan dijalankan iaitu penukaran 'word' atau perkataan MELAYU ISLAM ditukar kepada ISLAM MELAYU. Dengan makna kata Mengislamkan yang Melayu, bukan Memelayukan Islam seperti mana yang dilihat sekarang. Bagaimanakah caranya??? Perkara yang paling utama sekali ialah kita kena bina kekuatan aqidah, seterusnya melahirkan generasi-generasi Al-Quran dan As-Sunnah sebagai cara hidup dan memastikan terdapat di kalangan anak-anak dalam setiap keluarga yang menghafaz Al-Quran. Ini penting supaya dapat mewujudkan keluarga Islam yang benar-benar mantap dan sahih aqidah dan akhlaknya secara tidak langsung dapat menepis segala habuan dunia mahupun godaan jin dan syaitan. InsyaAllah.

    Seterusnya, beliau telah mengupas isu ini kepada 3 dimensi iaitu pertama dari dimensi perundangan atau 'legal', kedua dari sudut sentimen dan yang terakhir berdasarkan fatwa atau apakah pandangan Islam dalam hal ini? Menurut YB, sebenarnya keputusan yang dibuat tidak salah kerana ia berdasarkan hak kebebasan beragama. Ia bersifat 'natural' kerana sesiapapun boleh pertahankan hak masing-masing kerana wujudnya mekanisma kawalan. Seperti yang terkandung dalam artikel 11(4) yang menyebut tentang kebebasan beragama tetapi bukan mutlak dan orang bukan islam tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam. Dalam kes ini, orang Kristian boleh menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka tetapi tidak boleh diedarkan kepada orang islam. Walaubagaimanapun, terdapat peruntukkan enakmen negeri-negeri seperti Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak kerana tiada pengawalan. Ini kerana ada peruntukkan yang mengawal isu-isu ini.


    Jika dilihat dari sudut sentimen pula, ia tidak boleh dikawal dengan baik kerana melibatkan emosi individu dalam mempertahankan nama Allah swt. Sebagai muslim, perasaan dan emosi perlu diimbangi demi menjaga agama kerana setiap tindak tanduk yang tersalah langkah, akan membawa padah yang teramat parah. Beliau turut menyentuh tentang segelintir golongan 'munafiqin' yang mempergunakan agama demi kepentingan politik. Ini akan lebih mendedahkan lagi kelemahan umat islam itu sendiri kerana Rasulullah saw sendiri semasa berperang, tidak membenarkan sahabat-sahabat baginda membakar rumah ibadah. SubhanaAllah, betapa mulianya akhlak baginda kerana menghormati rumah ibadah agama lain. Memang sepatutnya dicontohi kerana di situlah bermulanya dakwah islam kepada orang kafir. 


bersambung...

Monday, January 18, 2010

Warna warni Sebuah Perjalanan- ( Mari menyumbang )

Bismillahirrahmanirahim....




   Begitu lama rasanya penulis tidak  meng'update' blog serikandisyurga ini. Mungkin kerana kesibukan penulis dengan komitmen dan tanggungjawab yang perlu diutamakan menyebabkan blog ini agak kesepian tanpa berita. InsyaAllah, dengan peluang dan ruang yang telah diberikan olehNya, penulis akan terus berkongsi serba sedikit pengalaman  dan pengetahuan yang dimiliki oleh penulis walaupun tidak sehebat seperti blogger-blogger di luar sana.  Asalkan ia mudah dibaca dan mesej yang ingin penulis sampaikan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para pembaca. InsyaAllah. Selain itu, ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan diri  penulis yang sering alpa dan lemah ini. Walauapapun yang terjadi, perjalanan mesti diteruskan hatta diri dihimpit pelbagai masalah dan ujian  kehidupan.  Sesuailah dengan hadith Rasulullah sallallahu 'alayhi wassalam yang bermaksud " Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan." Dunia hanya tempat persinggahan yang sementara, apa yang ditemui sepanjang perjalanan, kutiplah dan semailah segala yang baik manakala yang tidak baik dijadikan iktibar dan sempadan. Tiada perjalanan yang akan mengajar erti kehidupan jika tiada halangan yang akan ditempuh oleh para musafir atau pengembara. Sungguh indah apabila para pengembara dapat merenungi dan merentasi segala onak duri dengan pandangan kasih sayang pada Ilahi. SubhanaAllah!!!Allah Maha Besar!!!



.......Konsert Lagi (^_^)......
    Alhamdulillah, kali ini penulis masih berpeluang untuk ke konsert nasyid lagi. Memang penulis peminat nasyid agaknya. Semenjak kecil, sudah didedahkan dengan irama nasyid dan yang paling tidak sangka terpilih untuk menyertai kumpulan nasyid sekolah semasa sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama. Memang seronok apabila mengimbas nostalgia dan zaman sewaktu kanak-kanak dulu. Tetapi apabila penulis memasuki peringkat sekolah menengah, penulis hanya sempat bernasyid semasa tingkatan satu sahaja dan ia terhenti sehinggalah sekarang. Itu adalah masa lampau dan ia hanyalah minat sahaja dan tidaklah sampai ingin melibatkan diri secara serius dalam bidang nasyid yang semakin tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pada suatu ketika,dek kerana minat pada nasyid menyebabkan penulis, kakak sulung dan adik perempuan berpakat-pakat membeli kaset nasyid yang berlainan penyanyi agar kami dapat mendengar semua lagu-lagu nasyid dan bertukar-tukar kaset. Dan yang paling tidak dapat penulis lupakan apabila pertama kali dapat menonton konsert nasyid secara langsung sejurus tamat Sijil Penilaian Malaysia. Dan selepas itu semakin kerap penulis dapat menyaksikan konsert nasyid kerana dipermudahkan untuk menghadirinya. Wallahu'alam.

Konsert Amal Nazrey Johani Tour De Hafiz di KUIS.

  Setelah dapat makluman tentang konsert ini, penulis terus mengambil keputusan untuk menghadirinya kerana konsert kali ini melibatkan artis nasyid yang paling ramai. Tambahan pula, harga tiket untuk masuk ke sana amat murah dan sudah pasti ramai yang mampu untuk membelinya. Sebelum berjaya sampai ke sana, penulis sebenarnya tercari-cari siapa yang dapat pergi dan menemani penulis. Alhamdulillah, akhirnya penulis dapat mengajak dua orang sahabat untuk turut serta dalam konsert tersebut. Dan yang paling penulis sangat terharu dan hargai adalah keprihatinan Kak Yati yang sudi menghantar kami ke KUIS setelah  hampir ramai yang penulis hubungi, rata-rata tidak dapat menyertai penulis kerana komitmen masing-masing. Penulis rasa begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk menyaksikan konsert amal tersebut kerana penulis juga akan bertemu dengan sahabat-sahabat dari Nasyidfm buat kali pertama terutamanya Kak Ina, Kak Faqirah, Kak Baiti dan lain-lain. Terasa ukhwah yang sangat utuh walaupun baru bersua apatah lagi seketika. Syukran lillah atas kerjasama dan layanan yang begitu mesra sekali daripada kalian. InsyaAllah, moga Allah swt merahmati dan memudahkan urusan kalian. Sememangnya nasyidfm pilihan utama juga selain radio ikim.fm. 

Kembali semula kepada konsert amal, penulis sangat terhibur dengan persembahan yang telah disampaikan oleh setiap artis nasyid yang dijemput pada malam tersebut. Kesemuanya sangat memuaskan dan moga-moga mesej lagu yang ingin disampaikan dapat dimanfaatkan oleh ratusan yang hadir malam itu.  Antara kumpulan dan artis nasyid solo yang turut terlibat pada malam itu adalah Nahwan Nur (UPM), All One, Algebra, Nice,Suhaimi, As-Saufee, Saujana, Devotees, Hijjaz dan Nazrey Johani. Tahniah diucapkan kepada semua...Moga usaha kalian dalam memartabatkan dakwah islam melalui medium nasyid dipermudahkan dan mendapat redhaNya. Ameen.


 Disebalik Konsert Amal Nazrey Johani
  Rupa-rupanya baru penulis dapat tahu yang sebenarnya sungguh besar dan murni hajat Nazrey Johani tentang konsert kali ini. Ia bertujuan untuk mengutip dana daripada orang ramai bagi menjayakan rancangan beliau untuk membina Kompleks Tahfiz Syahadah di Ranau, Sabah iaitu di tempat lahir beliau. Ternyata dari riak wajahnya yang tulus itu harapan yang besar untuk membina kompleks itu menjadi kenyataan kerana menurut beliau di Sabah masih tiada lagi madrasah atau sekolah tahfiz. Usaha yang dijalankan ini memerlukan peruntukkan yang tinggi bagi membina bangunan dan kemudahan sebuah kompleks. Ini kerana beliau sangat berharap dapat membantu saudara-saudaranya di Sabah mendalami islam dengan mudah dan mendapat pendidikan islam yang sewajarnya seperti mana saudara seislam di Semenanjung. Justeru, beliau telah membuat konsert 'tour de Hafiz' mengelilingi kampus-kampus seluruh dunia bagi mengumpul dana dan sumbangan daripada orang ramai dalam menjayakan hasrat beliau mendirikan kompleks tahfiz. Sememangya, penulis sangat tersentuh dengan semangat juangnya yang tinggi sehingga sanggup meninggalkan kumpulan Raihan suatu ketika dahulu semata-mata ingin  berdakwah dan membantu saudara-saudaranya di Sabah. Justeru, ayuh menyumbang...bantulah dan ringankan lah beban saudara kita. Moga-moga usaha ini dapat membantu kita di akhirat kelak...InsyaAllah.


Marilah menderma dan lakukan sekarang...

sila layari blog ustaz Nazrey Johani untuk keterangan lanjut...



http://nazreytahfizsyahadah.blogspot.com/
 
Moga Allah s.w.t mempermudahkan urusanmu Ya Ustaz, kami di sini sentiasa mendoakanmu dan membantu yang mana mampu....Moga terus kuat dan tabah menhadapi liku-liku perjuangan dalam kehidupan. Itulah namanya sunnah orang berjuang seperti lagu Suara Hidayah yang sering dinyanyikan olehmu. Hidayah harus dicari...Kerna di situ tercipta suatu titik perubahan yang bakal menggegarkan dunia yang sementara.
 
 

    

Saturday, January 9, 2010

Terlanjur : Padah Cinta Monyet

Bismillahirrahmanirrahim...



Apa yang dimaksud ‘terlajur’ pada ayat ustaz tu? Tanya seorang pembaca setia laman blog penulis.
Usahlah ditanya, cukuplah kalimah tersebut menghantui kepala saya sejak kebelakangan ini Penulis cuba meredakan hati yang sedikit risau melihat gelagat muda-mudi masa kini.
Mungkin para teman dan pembaca tertanya-tanya kenapa terlalu banyak mesej pesanan di yahoo messenger hingga memeningkan sesetengah sahabat-sahabat, tidak cukupkah sekali dihantar?
Penulis terpaksa berbuat sedemikian bagi menjawab banyak pertanyaan sama yang diajukan di dalam e-mail, bahkan yang terbaru betul-betul menguji kesabaran penulis. Apakah ini yang dikatakan darah muda yang berani memperlakukan perbuatan terkutuk ini?
Ada yang mengaku telah ditebuk oleh teman lelaki, terkapai-kapai mencari jalan pulang kepada-Nya.
Allahu Rabbi…!
Namun paling merisaukan penulis, penyakit kronik ini berlaku di kalangan anta anti yang mempunyai asas ilmu agama sebagai pendiding. Ingatkan cerah hingga ke petang, hujan pula dipertengahan.
Inilah yang penulis persoalkan.

 وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦۤ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلاً۬

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya al-Israa’ (17:72)
Ada yang berpendapat fatrah masa pertunangan adalah waktu untuk berkenal-kenalan, jadi apa salahnya untuk keluar bersama ke taman-taman rekreasi, pusat hiburan dan sebagainya. Ini adalah pandangan yang fasad dan tidak diiktiraf oleh agama. Mana tidak semua hujah atau dalil tersebut berbaur khayalan dan bayangan iblis bagi memuaskan nafsu semata-mata.
Pendirian penulis berkenaan dengan no couple sebelum kahwin sememangnya tetap tegar dari sekolah, universiti sehinggalah penulis akan merasai nikmat berkahwin itu sendiri. Mungkin penulis antara individu yang amat tajam dalam mengkritik individu yang bercinta hingga meleret-leret sebelum kahwin.
Terkadang terasa rimas dengan sikap sesetengah daripada kawan-kawan yang bercinta kononnya, sungguh mengajar erti kesabaran. Mabuknya melampau-lampau. Tunduk ego kelakian, dan lembik tengok para wanita.
Bahkan penulis sering beranggapan golongan yang bercinta sebelum kahwin ini kadang-kadang boleh menjadi munafik. Bagaimana pula? Kenapa tidak, semasa bercinta semuanya sikap yang baik-baik ditonjolkan, daripada cakap-cakap romantik, hadiah yang tidak pernah putus-putus, puji-pujian yang melangit dan sebagainya. Tetapi selepas kahwin, berapa ramai yang kekal dengan lakonan masa cinta tengah mekar subur sebelum ini, jarang sekali akan ketemu mereka yang masih ingat pada skrip yang pernah dihamburkan dulu.
Inilah salah satu puca perceraian yang tinggi di tanah air kerana pasangan berasa tertipu selepas belang sebenar pasangan mereka terdedah bilamana merasai sendiri bayangan rumahtangga yang sebenar.
TIADA MATLAMAT HIDUP JELAS
Bagi yang sudah terdedah dengan gaya hidup bebas, keluar bersama untuk dating, beriba dan bertepuk tampar bukanlah sesuatu yang pelik. Penulis terkedu mendengar kisah hidup masyarakat muda-mudi Malaysia yang sudah ala-ala barat. Masalah ber-couple dan membawa balik pasangan ke rumah sudah menjadi perkara biasa, yang hairannya ibu bapa sendiri yang merestui hubungan haram itu.
Belum cerita lagi tidur sekatil yang makin menjadi ‘biasa’. Maksiat? Dosa? Semunya tidak terasa dek kerana matlamat menghalalkan cara.
Niat kami baik, bukan nak main-main pun, sampai masa kami kahwin la. Kamu sibuk kenapa? Macamlah baik sangat
Biasa dengarkan ayat di atas?
Lain pula ceritanya dengan pasangan yang berkopiah dan bertudung litup, terkadang penulis tergelak keseorangan dengan lakonan wara’ mereka. Berhenti solat di masjid semasa keluar bersama, maklumlah alim dan wara’, miscall qiamullail, sms tazkirah dan sebagainya antara skrip murahan harian mereka.
Mabuk orang bercinta ni memang dahsyat. Mengapa mabuk, rindu dendam yang sama tidak diaplikasikan dalam bercinta dengan Allah Taala. Pelik bukan? Mulut kita mengaku cinta Allah Taala, sayang Rasul s.a.w, namun amalannya masih jauh daripada hakikat sebenar.
Macam mana nak kenal peribadi bakal isteri kalau tak bergayut dulu antara alasan yang pernah diberikan kepada penulis.
Teringat penulis cerita lama orang tua kita yang berkahwin dan hanya mengenal pasangan masing-masing pada hari perkahwinan. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang kenal sampai ke dalam kain sebelum di-Ijab dan Qabul.
Pastinya kenyatan ini dijawab kembali:
Ala itu dulu, sekarang dunia sudah maju, takkan nak ikut cara datuk nenek kita zaman jepun dulu” Penulis terkedu mendengar ayat berapi ini.
SAY : “NO COUPLE”
Persoalan cinta sebelum kahwin ini merupakan tajuk yang panjang. Cinta tidak semestinya membawa kepada couple, namun bahkan cinta boleh menjadi wasilah kepada mungkar lain yang mungkin berlaku tanpa couple.
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا
Allah Taala berfirman yang bermaksud: Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa al-Furqan (25:74)
Magnet jantina ini sebenarnya satu fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini bukanlah perkara baru bagi kehidupan pelajar ditambah lagi dengan faktor umur di alam kampus tarikan untuk berpasang pasangan merupakan perkara lumrah dan mendarah-daging dalam diri mereka.
Perkenalan di alam sekolah, kenal semasa kursus persediaan, kenal sebab sekelas atau satu universiti, kenal kerana pertukaran nota, bahkan kenal sewaktu sama-sama berprogram merupakan noktah pemulaan kepada eposid cinta remaja, mungkin cinta monyet.
Jadi bagi yang sudah bermula untuk mencari, semak balik niat anda. Bagi yang sudah tersasar jauh jadikan cinta Allah Taala benteng ampuh dalam mengawal karenah cinta anda yang bergelora. Akhirnya pesanan penulis kepada semua yang ingin dan tengah bercinta, jangan jadikan couple anda punca tawar hubungan suami isteri selepas kahwin.
Mengapa perlu mencari marah Allah Taala semata-mata mencari bahagia manusia yang tiada jaminan.
Jauhilah maksiat bercinta sebelum kahwin, sinonimnya cinta monyet ini.
“Ya Allah. Kami ingin belajar untuk mentaati perintah-Mu. Kami belajar untuk menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah. Kami seringkali jatuh dan bangun, jatuh dan bangun lagi, dan lagi. Semoga kami terus dipimpin oleh-Mu. Duhai Allah”
ameen.

sumber :  
http://puteraazhari.blogspot.com/2009/10/terlanjur-padah-melayan-cinta-monyet.html

Friday, January 8, 2010

> SANAH HELWA YA JAMILAH =p <

Bismillahirrahmanirrahim.........




 Ya Jamilah! Ya Ukhti! SELAMAT HARI LAHIR =P
ALLAH SELAMATKAN KAMU, ALLAH SELAMATKAN KAMU, ALLAH SELAMATKAN UKHTIKU, ALLAH SELAMATKAN KAMU...
SANAH HELWA YA JAMILAH!!!... =P




    Sudah masuk tahun ke-4 penulis tidak bertemu dan bersua muka dengan ukhti kesayangan penulis. Jadi, bertambah menebal rindu penulis kepadanya tambahan pula penulis memang sangat rapat dengan beliau sejak kecil lagi. Alhamdulillah, umur beliau semakin meningkat dan moga-moga hajatnya untuk selesai menuntut ilmu di Bumi Anbia' tercapai dengan jayanya. Sememangnya kakak penuls seorang sangat rajin membaca, jadi tidak hairanlah buku-buku dan kitab-kitab miliknya boleh penuh satu almari. kadang-kadang cemburu juga dengan beliau kerana diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di Bumi bertuah. Walaubagaimanapun, itu bukan bermakna penulis tidak suka tetapi muncul rasa membara di dalam diri untuk ke sana suatu hari nanti. InsyaAllah. 

Duhai kakak,
setiap detik saat dan waktu,
jangan biarkan ia berlalu,
begitu jua usia dan zaman mudamu,
isilah ia dengan secukupnya,
kerna kelak akan dipersoalkan,
iringan doa buatmu,
agar dipermudahkan segala urusan,
berkat ilmu di Bumi Anbia',
demi manfaat ummah islam.

Ya jamilah,
usia yang bertambah,
tanda kematian jua semakin hampir,
buatlah persiapan,
supaya berbahagia di sana nanti,
ku berharap,
kita akan bersama-sama,
menjadi anak yang dapat
membahagiakan ibu dan ayah serta keluarga tercinta.
Ku mohon doamu,
agar kami di sini sentiasa dalam rahmat
kasih sayang Ilahi.



Ukhtiku sayang,
ketenangan itu milik hati-hati yang beriman,
agar bercambah benih hikmah dalam perlakuan,
orang yang banyak menderita,
jiwanya akan perkasa dan
orang yang ditimpa kesusahan,
akan selalu mengingati ALLAH S.W.T,
Bertuahlah apabila iman diuji
kerana jika sabar dan tabah menghadapinya,
pasti kemenangan yang menanti
Semoga akhlak dan akalmu,
lebih matang dari usia.
SELAMAT ULANGTAHUN dari kami sekeluarga.





> Nasihat buat diriku jua dirimu...
Mudah-mudahan umurmu diberkati. Carilah kepentingan masamu dan zaman mudamu adalah perkara utama yang akan ditanya di akhirat kelak. Bijaklah membahagi masa kerana ia akan berlalu..dan tuntutlah ilmu an beramal lah hingga ke umur tuamu...

Uhibbukifillah ya ukhti...... (^_^)





Memandangkan, penuntut-penuntut di Al-Azhar akan menduduki peperiksaan pada 17 Januari akan datang, penulis ingin mengucapkan selamat menghadapi imtihan dengan tenang. Moga ilmu yang dipelajari dapat diaplikasikan dalam kehidupan.InsyaAllah.

Moga dapat mumtaz!!!
Maat tawfiq wannajah fil imtihan (^_^)

Wednesday, January 6, 2010

Selepas beberapa hari di tahun 2010.....

Bismillahirrahmanirrahim..........





           Pelbagai isu dan berita telah timbul sepanjang bermulanya  ketibaan tahun baru kali ini. Sememangnya kemelut yang melanda negara semakin rumit dengan peningkatan bermacam kes bermula dengan masalah sosial, jenayah, politik hinggalah kepada masalah sensitiviti penduduk Malaysia yang berbilang agama dan kaum. Sedar atau tidak, kita sebagai umat islam sewajarnya memainkan peranan sebagai agen perubahan kepada masyarakat lain supaya segala bejat masalah ummah dapat diselesaikan dengan mudah dan selamanya. InsyaAllah.


Baru-baru ini seluruh dunia begitu ghairah menyambut kedatangan tahun 2010. Amat menyedihkan apabila penulis dibentangkan dengan  berita yang sangat menusuk 'qalbu' dan memalukan bilamana sambutan tahun baru diraikan dengan aktiviti yang dilarang apatah lagi sangat dilaknat oleh Allah s.w.t. Di manakah maruah seorang wanita? seorang yang bergelar muslim? Inikah hasil sirah perjuangan Rasulullah s.a.w yang bersusah payah menyebarkan agama Islam di seluruh dunia? Rasanya semua telah sedia maklum akan perkara ini. 

   Saban tahun, rakyat Malaysia pasti tidak akan terlepas menyambut tahun baru dengan percikan warna warni bunga api yang sudah menjadi tradisi dan acara lazim. Oleh itu, ramai di kalangan kita akan berusaha untuk merasai dan menyaksikan dengan lebih dekat acara itu tambahan pula dapat melihat konsert gegar secara langsung dan percuma. Itulah yang sentiasa di nanti-nantikan oleh golongan remaja kini. Budaya hedonisme yang sudah menjalar dan meresap ke dalam setiap jiwa anak-anak muda hasil keberjayaan golongan Yahudi untuk menyesatkan penganut agama Islam khususnya. Ingatlah!!! mereka tidak akan pernah berhenti untuk menyesatkan ummat Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud : " Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu."

Kalimah ALLAH

Di manakah silapnya?

Penulis turut terpanggil untuk merespon tentang isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil atau lebih dikenali sebagai 'Bible'. Pelbagai ulasan dan hujah yang dikemukakan oleh pemimpin dan ahli yang faqih tentang perkara ini demi memastikan keharmonian beragama di Malaysia dan mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat terutamanya umat islam.
Tidak usahlah bergaduh dan masing-masing menuding jari dan mencari salah antara satu sama lain kerana berbeza parti. Sebaliknya, duduklah sebangku dan berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini, masalah ummah islam yang menjadi agama rasmi di Malaysia. Jangan biarkan mereka bertepuk dan bergembira di belakang melihat kejatuhan dan ketidaksatuan pemimpin islam dalam menyelesaikan masalah ini secara baik dan kerjasama. Isu berbeza bendera tidak sepatutnya timbul, tetapi berusahalah untuk menyelamatkan aqidah umat Islam. Ini sangat penting, kerana jika tersilap langkah pasti akan membawa padah. 
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda : " kamu telah mengikuti sunnah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggakan mereka masuk ke dalam lubang biawak kamu tetap mengikuti mereka." 
Sahabat bertanya: " Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani?"
Baginda s.a.w bersabda: " Jika bukan mereka, siapa lagi.."
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Wahai muslimin dan muslimat...bersatulah menegakkan agama Islam...
Bersama melakukan perubahan demi kebangkitan Islam dan perjuangan Junjungan Nabi Muhammad s.a.w tercinta....


wallahu'alam...



Wednesday, December 30, 2009

(^_^) LADIES NIGHT 2009 yang dinanti ~

Bismillahirrahmanirrahim...






Program Ladies Night adalah satu usaha atau alternatif yang dianjurkan oleh Penggerak Belia MPSJ,Jawatankuasa Zon 13 dengan kerjasama Nisa' Puchong. Ia julung-julung kali dianjurkan khusus untuk kaum hawa tanpa mengira umur dan kaum. Antara objektif program ini adalah :

1.      Mengadakan alternatif  hiburan yang berlandaskan syariat; eksklusif untuk wanita & remaja perempuan
2.  Merapati golongan wanita & remaja perempuan setempat dalam usaha untuk menyampaikan mesej dakwah Islamiyah secara santai.
      3.  Menyediakan satu ruang untuk Nisa’, Penggerak Belia MPSJ & masyarakat setempat khususnya kaum wanita bekerjasama dan merapatkan ukhwah dan mengikat silaturrahim.

Jadi, jangan lepaskan peluang ini. mari datang beramai-ramai untuk memeriahkan lagi Ladies Night kali ini. Moga-moga ada keberkatan dari Nya. InshaAllah . Ameen.


LADIES NIGHT 2009
TARIKH : 31 DISEMBER 2009
MASA : 8.00 P.M-12.00 P.M
TEMPAT : DEWAN MPSJ, PUCHONG INDAH.


Antara aktiviti-aktiviti yang menanti anda:
Pertandingan karaoke kategori (solo, duet, berkumpulan)
Tayangan multimedia
Persembahan Muslimah
Cabutan bertuah
Anugerah Queen of the Nights
Anugerah Ibu dan anak sedondon

Anugerah Baju Cantik
Anugerah Tudung Comel


Masuk percuma!!! Jamuan makan disediakan...


Jangan lepaskan....


------KERANA DIRIMU BEGITU BERHARGA----WAHAI WANITA----HARGAILAH DIRIMU--------



Penulis juga berharap agar program ini berjalan dengan lancar dan moga-moga ada manfaat serta mendapat redha dariNYA. Ameen. Doakan kami ya!!!


Wednesday, December 23, 2009

Kisah di sebalik Awal Muharram 1431 H

Bismillahirrahmanirrahim...


  Petang sebelum beberapa jam awal Muharram tiba, penulis terpaksa pulang ke rumah seorang diri kerana teman sekerja telah pulang terlebih dahulu. Selalunya kami pulang bersama, tetapi penulis pulang lewat sedikit kerana ingin meng'update' blog sempena tahun baru 1431 H pada hari Khamis yang lalu. Kebetulan pada hari tersebut, penulis ingin membeli makanan di kedai makan berdekatan dengan rumah sewa penulis.Semasa tu penulis memang perasan ada seorang pelajar foreigner yang turut memesan makanan. Tapi nak dijadikan cerita, semasa ingin pulang setelah membeli makanan, penulis tidak perasan  yang dia turut mengikut penulis dari belakang. Risau juga masa tu. Nau'zubillahi min zalik.Rupa-rupanya dia ingin mengenali penulis kerana menurutnya,'he really impress with my religious'. Memang tak terkata semasa kejadian hari itu. Sepanjang perjalanan pulang, dia memperkenalkan dirinya sebagai 'Nur Husin' dari Ethopia (Habsyah). Sebenarnya sekarang ini, dia mengambil PhD dalam jurusan veterinar di UPM dan ingin mengenali penulis bagi membincangkan isu-isu islam. Mungkin boleh diterima atas alasan itu dan penulis sendiri memberanikan diri mengambil nombor telefonnya setelah dia cuba mendapatkan nombor telefon penulis.Tetapi sampai sekarang, penulis tidak pernah menghubunginya. InshaAllah, suatu hari nanti akan tiba masanya yang sesuai. Sampai di sini...Peringatan kepada diri dan para muslimah elakkan daripada berjalan seorang diri sebaiknya biarlah berteman.






Malam 1 Muharram 1431 H

Penulis bercadang untuk mengikuti kuliah ustaz Hasrizal di surau Al-Munir, tetapi tidak diizinkan kerana hujan yang sangat lebat. Jadi, penulis mengambil keputusan untuk solat di Masjid Mardi sahaja. Tetapi semasa dalam perjalanan ke sana, hujan turun dengan sangat lebat dan akhirnya penulis hanya solat di Masjid UPM dan sahabat penulis pula sempat ke masjid MARDI kerana kami berjanji untuk berjumpa di sana. Berpisahlah kami untuk seketika. Sedihnya..Allah s.w.t berfirman dalam surah Aal' Imraan : 54 yang bermaksud 

 “Mereka merancang konspirasi dan Allah juga merancang. Dan Allah jualah sebaik-baik Perancang”. Wallahu'alam.


Konvensyen Pakatan Rakyat 2009


Pertama kali penulis terlibat dalam perhimpunan yang begitu besar melibatkan 3 parti yang sepakat dan muafakat dalam menjayakan misi terpenting pada tahun akan datang. Dengan kehadiran saff pimpinan utama setiap parti telah membuktikan kesungguhan yang ditunjukkan dalam usaha menggembeling jentera-jentera yang sentiasa bersedia menerima arahan. Walaupun penulis tidak dapat mengikuti perbahasan yang dijalankan sepanjang separuh hari tersebut kerana diberi tugasan bersama seorang sahabat, ia sedikit sebanyak memberi satu gelombang semangat baru kepada sesiapa yang menghadirinya. Penulis masih belum sepenuhnya dapat melibatkan diri secara langsung dalam arena yang sangat mencabar ini. Sememangnya amanah yang diberi sangat berat untuk dipikul kerana itulah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Dan yang penting Allah swt lebih mengetahui apa yang sesuai untuk hamba-hambaNya mengikut tahap kemampuan masing-masing. Justeru, kepada para pemimpin yang berjiwa islam dan manhaj Ilahi, pikullah amanahmu dengan sebaiknya agar hukum Allah s.w.t terlaksana walaupun dirimu ditentang sehebatnya oleh musuh-musuh Islam yang tidak pernah puas dan penat.Ingatlah janji Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud : " Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu".


Ramai di kalangan masyarakat kita yang masih menganggap politik itu kotor dan sebagainya. Sebenarnya politik dan islam tidak boleh dipisahkan. Mungkin apabila politik yang melibatkan parti menyebabkan politik di salah ertikan. Padahal, manusia yang salahgunakan politik itu sendiri. Sememangnya politik atau 'siasah' itu sangat diperlukan dalam kehidupan apatah lagi dalam melaksanakan syariat islam terutamanya dalam pemilihan pemimpin di kalangan orang islam sendiri. Sudah tentu, kriteria seorang pemimpin yang adil dan memenuhi tuntutan agama layak untuk dipilih memegang tanggungjawab kepada ummah. Kerana pemimpin yang sebenar akan melambangkan kesejahteraan dan keharmonian rakyat yang dapat menjalani kehidupan tanpa rasa takut, terancam apatah lagi dalam keadaan terpaksa.
 


Karnival di Masjid Negeri Selangor
 Alhamdulillah dengan izinNya, Konvensyen PR buat julung kalinya selesai dengan jayanya apabila ketiga-tiga pemimpin utama setiap parti menandatangani buku 'oren' yang mengandungi bukti-bukti yang bukan hanya tertulis di atas kertas tetapi satu perlaksanaan yang akan  dijalankan demi hak dan kebajikan rakyat Malaysia amnya tanpa mengira agama dan kaum. InshaAllah. 

Sepanjang separuh hari berada di Konvensyen, kebetulan malam itu satu ceramah khas oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qadhrawi akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang hanya bersebelahan dengan Dewan MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) , tempat berlangsungnya Konvensyen PR pagi tadi. Jadi, penulis bersama seorang sahabat tidak melepaskan peluang untuk mengenali tokoh ulama' itu dengan lebih dekat. Penulis masih kosong dalam mengenali ulama' seperti beliau walaupun seringkali dihidangkan dengan tulisan-tulisan yang amat jelas dalam menyelesaikan masalah ummah. Memang tidak menghairankan apabila ramai sangat manusia yang berpusu-pusu ke masjid untuk mendengar ceramah beliau secara langsung walaupun bahasa yang digunakan dalam bahasa Arab. Itu tidak menjadi masalah, kerana seorang ustaz disediakan untuk menterjemahkan setiap ceramah yang disampaikan. Ulama' dunia yang tersohor ini sebenarnya baru sahaja dinobatkan sebagai tokoh Ma'al Hijrah bagi tahun 1431 H di Pusat Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini. Sudah tentu, para pencinta ilmu dan buku-buku tulisan beliau amat mengkaguminya malah begitu teruja untuk bertemu dengan beliau.

 


bersambung....


     
    



Thursday, December 17, 2009

Roh Perjuangan Muslimat dan Nisa'

Bismillahirrahmanirrahim...




Doa Rabithah


Sesungguhnya Engkau tahu
bahawa hati ini telah berpadu
berhimpun dalam naungan cintaMu
bertemu dalam ketaatan
bersatu dalam perjuangan
menegakkan syariat dalam perjuangan


Kuatkanlah ikatannya
Kekalkanlah cintanya
Tunjukilah jalan-jalannya
Terangilah dengan cahayamu
Yang tiada pernah padam
Ya Rabbi bimbinglah kami


Lapangkanlah dada kami
dengan karunia iman
dan indahnya tawakal padaMu
hidupkan dengan ma'rifatMu
matikan dalam syahid di jalanMu
Engkaulah pelindung dan pembela

Munsyid : Izzatul Islam



Alhamdulillah, hujung minggu yang lalu penulis berkesempatan ke program yang sangat dinanti-nantikan oleh Muslimat dan Nisa' Negeri Selangor. Walaupun penulis tidak mengikuti kesemua slot yang disediakan kerana ditugaskan sebagai Unit Pendaftaran, ia sedikit sebanyak memberi penulis dapat merasakan semangat dan roh perjuangan yang sebati dalam diri muslimat dan nisa' yang hadir ketika itu. 
Memang muslimat POWER!!! la... 

Hampir 200 juga penyertaan oleh peserta-peserta yang datang dari pelbagai cawangan Negeri Selangor. Penulis cukup kagum dengan jiwa tarbiyyah yang ditunjukkan oleh para peserta kerana sanggup meninggalkan suami dan anak-anak selama 3 hari 2 malam semata-mata untuk bersama menjayakan misi 'Rapatkan saff, pertahankan kemenangan'." Ada juga dikalangan peserta yang turut serta dengan membawa bayi yang masih kecil. Sukarnya penulis rasa, tapi itulah rencah dalam perjuangan. Memang memerlukan pengorbanan yang besar apatah lagi bagi mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang agama Islam. Kadang-kadang perkara ini membuatkan penulis berfikir dan berasa dalam ketakutan. Adakah penulis mampu menjadi seperti muslimat yang sentiasa bersedia dalam melaksanakan perjuangan yang  dituntut oleh agama Islam. InshaAllah. Allah s.w.t telah berfirman : Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu. " ( Muhammad : 7 )




         Sesekali penulis terkenang pengalaman bersama sahabat-sahabat seperjuangan yang baru mengenal erti hidup dalam berjemaah.Pertama kali pergi program yang sangat 'hebat' hentamannya dari segi mental dan juga fizikal. Memang ketika itu, jiwa penulis agak memberontak apabila diperlakukan sebegitu rupa, tetapi akhirnya jiwa penulis tewas  setelah dibuai tarbiyyah Ilahi. Wallahu'alam. Sukar untuk diceritakan apatah lagi digambarkan. Bagi yang sudah melaluinya berulang kali, moga istiqamah dalam perjuangan yang suci lagi 'haq'.

     Jiwa muda yang dicucuk dan ditanam dengan roh perjuangan ini penghujungnya akan melahirkan manusia yang berani dan cekal jiwanya untuk menempuh mehnah atau tribulasi yang penuh keganasan. Walaubagaimanapun, roh ini akan mudah hilang sekiranya kita berada jauh dari jemaah apatah lagi bagi mereka yang semakin sibuk dengan urusan dunia. Penulis sendiri mengalaminya. Oleh sebab itu, ikatan hati yang kuat mesti dipupuk dalam diri agar sentiasa merasakan dan memikirkan masalah ummah. Bagaimanakah cara penyelesaiannya???Apakah yang perlu dilakukan???

Lagu-lagu perjuangan
   Penulis yakin, lagu juga mampu menaikkan semangat dan roh perjuangan dalam diri para pejuang. Sebab tu semasa program, mesti ada lagu yang akan dijadikan lagu tema supaya ia berbekas dalam hati setiap peserta untuk panduan dalam meneruskan langkah perjuangan. Bukan hanya lafaz atau nyanyian, tetapi merupakan satu tindakan atau 'action' yang akan membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan. Sehingga kini, bait-bait lirik lagu tersebut akan terngiang-ngiang mengingatkan diri adakah anda benar-benar ingin berjuang? Disaksikan penciptaanNya. SubhanaAllah!!!Tetapkan hati-hati kami di jalanMU Ya Allah!!!sekiranya kami dijalan yang benar lagi diredhaiMU...


Ayuh...bukan hanya lagu, tapi kesaksian hidup...




Bingkai kehidupan


Mengharungi samudera kehidupa
Kita ibarat para pengembara
Hidup ini adalah perjuangan
Tiada masa tuk berpangku tangan


Setiap tetes peluh dan darah
Tak akan sirna ditelan masa
Segores luka di jalan Allah
kan menjadi saksi pengorbanan


Allahu ghaayatunaa
Ar-Rasulu qudwatunaa
Al-Qur'aanu dusturunaa
Al-Jihadu sabiiluna
Al-Mautu fii sabilillah
Asma amaanina


Allah adalah tujuan kami
Rasulullah teladan kami
Al-Qu'ran pedoman hidup kami
Jihad adalah jalan juang kami
Mati di jalan Allah adalah cita-cita kami tertinggi


Munsyid : Shoutul Harakah


Buktikan!!! Bukan hanya lafaz nyanyian atau hafalan...Peringatan buat diri khususnya...


Wallahu'alam.








Tuesday, December 8, 2009

Manis dalam Duka

Bismillahirrahmanirrahim...






" Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." ( Al-Baqarah : 286 )

" Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. " ( Al-Baqarah : 155 )

" Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." ( Al-Hadid : 22 )


" ...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." ( Al-Baqarah : 216 )



...Bisikan hati ...

 Wahai hati yang sedang berduka,
Tabahkan diri agar terus kuat,
dalam pinjaman dari Yang Esa,
Apa yang dikehendaki, 
tidak semestinya kau miliki,
kerna DIA lebih ketahui,
DIA beri apa yang engkau perlu,
bukan apa yang engkau mahu,

Sabar seketika bukan selamanya,
setiap yang mendatang,
pasti ada tersurat dan yang tersirat,
cari dan semailah ia sebaiknya,
agar diri lebih bersedia setiap ketika,
Jangan biar dirimu dicengkam dan hanyut
dalam khayalan nafsu, tipu daya syaitan,

hatta habuan boneka dunia,
demi mengharap kasih Ilahi,

Duhai hati yang dikasihi....
sucikan hatimu dengan siraman kasihNya,
melalui Dzat dan Asma'Nya,
agar terpancar 'NUR' yang terang
menyuluhmu ke lorong 'Haq'
menyusuri mehnah tanpa henti,
demi menggapai satu tujuan,
satu matlamat,
dalam meneruskan langkah perjuangan,
atas nama sebuah kehidupan,
yang hanya sementara,
penghujungnya adalah kekal,
moga dalam rangkulan kasihNya.
Ameen...




Setiap yang manis pasti ada duka, begitu juga dalam menempuh kehidupan di dunia. Anda pasti akan diuji olehNya. Cuma berbeza dari orang lain kerana tanpa semua itu, tidak akan wujud sebuah kehidupan.  Jadi, jangan mudah mengeluh atas apa yang menimpamu. Bangkitlah! untuk terus bangun dan meneruskan misi yang masih belum selesai dan jauh penghujungnya. Anda yang menentukan apa kesudahan hidup anda.
Moga-moga umat akhir zaman berada di kalangan para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Ameen.

 






























Thursday, December 3, 2009

Jom sertai..................K.A.S.E.H iv.....................

Bismillahirrahmanirrahim...
 


    Anak-anak adalah anugerah tidak ternilai dari Ilahi. Mereka lahir ibarat kain putih yang suci dan ibu bapa yang akan mencorakkan ia sama ada mengikut batas syariat islam atau sebaliknya yang seterusnya akan melahirkan seorang pemuda dan pemudi yang mantap aqidah, iman dan sahsiahnya serta cemerlang kehidupannya di dunia dan akhirat.

Jika ditanya kepada ibu bapa, rata-rata mereka menginginkan anak yang sentiasa menyejukkan mata apatah lagi menyejukkan hati. Bak kata pepatah ' Sejuk perut ibu mengandung'. Jadi, sudah tentu ibu bapa inginkan anak yang soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka kelak. Untuk mendapatkan semua itu sudah tentu, ibu bapa harus ada kesungguhan yang tinggi untuk mendidik anak-anak dengan sempurna.

InshaAllah, Kem Anak Soleh kali ke-5 ini atau dikenali sebagai K.A.S.E.H iv merupakan salah satu alternatif untuk membentuk peribadi anak-anak. Justeru, penulis ingin mengajak dan menyeru kepada sesiapa yang mempunyai anak atau adik yang berusia antara 9-13 tahun untuk menyertai Kem Anak Soleh ini. Ia akan dijalankan pada 25-27 Disember 2009 bertempat di Masjid UPM dan bayaran yang dikenakan hanya RM30 seorang.


Antara objektif K.A.S.E.H :

  1.  Menerapkan nilai-nilai murni di kalangan anak muda
  2. Menyedarkan anak-anak muda mengenai perlunya berTuhan dalam diri mereka
  3. Memberi kefahaman tentang serangan budaya hedonisma.
 Sertailah kami....
Anjuran Ikatan Siswazah Islam Serdang (ISIS) dengan kerjasama Qaryah Serdang.

Untuk makluman lanjut, sila hubungi Ustaz Shukri : 0132506071, ustazah Shalihati : 0194358727, Hj. Saleh : 0129257299, Hj. Osman : 0193875700.




ANAK SOLEH

Sifat anak yang soleh
Mentaati ibu ayah
Tidak membantah
Malah mentaatinya (2X)

Halus peribadinya
Mencontohi Rasulullah
Tingkah lakunya dijaga
Akhlak dipelihara
Segala amalan dijaga
Hanya kerana yang Esa

C/o
Hormat pada yang tua
Kasih pada yang muda
Sayang pada ibu ayah
Dan juga keluarga
Hidupnya rajin berusaha
Tidak pernah berputus asa
Di dalam kehidupan penuh pancaroba

Tiada cinta di hatinya
Hanyalah cinta Allah
Ada rasa rindu
Hanyalah untuk Rasulullah
Kasih dan sayang
Hanyalah pada ibu ayah
Hormat menghormati sesama insan berbudi
Guru dan teman-teman
Sentiasa dikasihi
Itulah di antara sifat anak-anak yang soleh



oleh : UNIC