Thursday, May 6, 2010

Circle of Influence

Bismillahirrahmanirrahim...






     SubhanaAllah!!! Pantasnya masa berlalu..Demi masa! Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Terasa sangat rugi apabila tidak berkesempatan berkongsi sesuatu di dalam blog ini. Seringkali tewas dengan  kehidupan dunia sehingga tidak berpeluang meninggalkan jejak perkongsian untuk santapan para pembaca yang datang menziarahi. Yang tidak jemu   mengutip ilmu dan pengalaman yang dikongsikan sebagai panduan dalam mendepani masyarakat yang sentiasa kekurangan akhlak dan nilainya. 

Saban waktu juga kes jenayah di kalangan remaja yang beragama islam seperti pembuangan bayi tidak berdosa mencatat peratus penambahan dari setahun ke setahun. Adakah ini modal insan yang kita ingin lahir dan wujudkan untuk menjadi bakal pelapis dan pucuk pimpinan negara tercinta. Di manakah maruah sebagai seorang muslim? Di dada akhbar ada sahaja berita mengenai masalah sosial yang melibatkan remaja, suami isteri dan sebagainya. Terasa sedih kerana tidak mampu untuk membantu tetapi sampai bila? Tepuklah dada, tanyalah iman.
Jika setiap di antara kita mempunyai sikap 'jaga tepi kain orang' atau ambil peduli tentang masalah jiran dan masyarakat setempat , InshaAllah perkara yang menyalahi syariat Islam dapat dikurangkan atau diatasi. Walaubagaimanapun, sikap ini sering dianggap negatif dan salah ditafsirkan kerana masing-masing menganggap , lebih baik jaga tepi kain sendiri daripada jaga tepi kain orang lain. Yang akhirnya akan menyebabkan diri sendiri gagal menjalani kehidupan yang sebaiknya. Tambahan pula, dengan kemasukan dan kebanjiran pendatang asing ke dalam negara turut merancakkan lagi proses kes jenayah yang tinggi. Apakah kita tidak mahu hidup dalam keadaan aman dan selamat? 

Berkomunikasilah


  Jangan hanya mendiamkan diri, berat mulut ,menyimpan sesuatu di dalam hati atau membiarkan sesuatu perkara berlalu begitu sahaja. Sebaliknya, berkomunikasilah untuk menyelesaikan segala masalah. Bermula masalah dalam diri, keluarga, sahabat, rakan sekerja, pimpinan dan sebagainya. Hatta, dalam doa sendiri kita telah berkomunikasi dengan Allah s.w.t. Komunikasi sangat luas maksudnya, bayangkan apakah yang akan berlaku pada individu yang hanya hidup menyendiri. Sepi tanpa berpasangan, atau bersahabat, sebatang kara melayani kehidupan yang sangat menyedihkan. Sedangkan orang bisu turut berkomunikasi menggunakan cara tersendiri kerana kita memang tidak terlepas dari berjumpa atau berhubung dengan orang lain. Di mana-mana sahaja komunikasi ini digunakan dan perlaksanaan ia juga semakin hari semakin berkurangan di dalam sesebuah sistem kekeluargaan. Penting bagi si bapa juga si ibu mengimplementasikan komunikasi dengan anak-anak mereka supaya segala masalah yang dihadapi oleh anak dapat dikongsi dan diluahkan. Tetapi realiti hari ini, anak-anak lebih didedahkan dan digalakkan dengan komunikasi teknologi melalui telefon bimbit dan internet semata-mata untuk saling berhubungan. Sedangkan komunikasi dua hala amat perlu bagi mengelakkan anak-anak terus bergelumang dengan titik hitam yang sentiasa dahagakan manusia-manusia yang jauh dari Ilahi. Belajarlah serba sedikit bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan supaya tiada lagi salah faham dalam memahami erti kehidupan yang sementara.

Circle of Influence


  Teringat satu perkongsian oleh seorang Ketua Muslimat dalam usrah. Apabila kita berada dalam suatu suasana baru, sistem baru, dan segala-galanya baru. Sebagai contoh, anda telah diterima untuk bertugas di tempat kerja yang baru. Tetapi apabila anda cuba mengubah atau menyuarakan sesuatu pandangan yang sebenarnya bagi anda dapat memberi kebaikan kepada organisasi anda, akhirnya tidak diterima dan disisihkan. Mana tidaknya, setelah pengurusan dan sistem yang sedia ada ingin diubah pasti akan menyebabkan ketidakpuasan hati pekerja-pekerja lain yang sudah lebih lama dalam perkhidmatannya di situ. Di sinilah, bagaimana 'circle of influence' memainkan peranan yang penting dalam memastikan keberhasilan sesuatu pekerjaan yang dilakukan supaya tidak mematahkan semangat kita untuk terus melaksanakan tugas sebaiknya tanpa terfikir untuk meletakkan jawatan atau merasa bosan terhadap tugas tersebut. Di mana kita cuba memahami situasi mereka yang lebih berpengaruh supaya dapat membina satu usahasama yang seterusnya dapat menjadikan kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan risiko-risiko yang ada. Sebab itu, ada masa kita perlu mengikut peredaran atau cara yang telah ditetapkan selagi tidak melanggar batas syariat islam sehinggalah mereka yakin dan barulah kita boleh memulakan usaha untuk memajukan organisasi tadi. 

' No matter is done' jika kita tidak membudayakan amalan atau sikap hidup untuk memberi. Suka sangat penulis memetik hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Mulakanlah setiap perbuatan atau pekerjaan dengan niat..." InshaAllah, jika kita niat bekerja kerana Allah swt , untuk cari mardhatillah, InshaAllah kita akan mendapatnya. Sebaliknya jika kita bekerja untuk mendapatkan gaji, kita akan mendapat gaji, dengan tanpa dapat redha Allah swt. Tidak dapat tidak niat perlulah didarah dagingkan dalam amalan seharian supaya dapat membentuk perbuatan yang selari dengan ajaran Islam.
Moga kehidupan manusia akhir zaman mendapat keberkatan Allah swt dan syafaat Rasulullah s.a.w. Ameen.





No comments:

Post a Comment