Tuesday, June 22, 2010

Peristiwa di Jalan Gombak

Bismillahirrahmanirrahim...




   Sekian lama blog ini tidak diperbaharui dan diisi dengan tulisan-tulisan pembakar diri . Rasa rindu untuk menulis sentiasa menebal dalam diri, tetapi penulis sendiri dibatasi kekangan masa, kekeringan idea dan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Tetapi itu sebenarnya adalah alasan dan ini tidak bermakna penulis akan berhenti dari terus menulis. Walaupun ia tidak penting bagi sesiapa yang membaca, penulis merasakan keperluan untuk menulis bagi berkongsi serba serbi apa yang ada pada diri di samping memenuhi kelapangan ruang yang diberi. 

Jalan Gombak

Alhamdulillah, baru-baru ini penulis telah menemani sahabat penulis menziarahi datuknya yang sedang dirawat di Rumah Penginapan Anjung Rahmat yang terletak di Batu 6 1/2, Jalan Gombak, Gombak. Perjalanan ke sana memakan masa yang agak lama kerana kami asyik terlepas jalan kerana tidak mahir jalan ke sana. Walaubagaimanapun, berkat kesabaran dan usaha sahabat penulis dan adiknya menghubungi bapa saudara mereka, kami akhirnya sampai ke penginapan tersebut setelah hampir 2 jam di atas kenderaan. 

Pertama kali menjejakkan kaki di Pekan Gombak yang tampak sibuk dengan kenderaan yang berulang alik kerana pada hemat penulis, di pekan itulah masyarakat setempat mencari segala barang keperluan untuk menampung kehidupan di samping beberapa kelibat mahasiswa atau pelajar luar negara dari Universiti Islam Malaysia yang turut sama di pekan tersebut. Penulis juga dapat merasakan kebanyakkan penduduk di situ berlatar belakangkan kehidupan yang sangat 'islamik' atau mempunyai pengaruh 'bi'ah solehah' yang sangat menyenangkan hati. Rata-rata pakcik-pakcik dan makcik-makcik di situ mengenakan pakaian yang sopan berkopiah dan bertudung labuh. Perkara ini amat menyejukkan mata penulis dan sahabat. Moga syariat islam dan amal islami yang ditegakkan dapat membentuk masyarakat yang soleh wa musleh dalam melaksanakan amanah di muka Bumi. Alangkah indahnya jika Malaysia menjadi dikurniakan rakyat yang sebegini. Masyarakat muslim yang bukan sahaja berdiri atas namanya 'Islam' tetapi seiring sahsiah dan amalannya seperti mana yang telah disyariatkan mengikut Kalam Allah swt dan Sunnah RasulNya. 


Setelah mencari barang-barang yang diperlukan oleh datuk sahabat penulis, kami sempat singgah di masjid yang berwarna kuning hijau untuk mendirikan solat asar. Perjalanan ke Anjung Rahmat hampir tiba, dan kami akhirnya sampai dan terus berjumpa datuk sahabat penulis di bilik 114. Kelihatan beliau baru sahaja menjalani pencucian darah kerana tampak di wajahnya kesan air mata menahan kesakitan. Sejurus masuk, terdapat di sudut bilik tersebut nama-nama Allah swt telah digunakan. Mungkin kerana keberkesanan dan 'roh' Husna Allah s.w.t itu sendiri, beberapa nama NYA telah digunakan untuk upacara rawatan. Menurut sahabatku, bilik-bilik di Anjung Rahmat tersebut sudah penuh dihuni oleh pesakit-pesakit yang mengidap penyakit kencing manis. Sememangnya, penginapan tersebut merupakan antara salah satu pusat rawatan penyakit kencing manis yang terbaik di Malaysia. Cuma mungkin bayaran yang dikenakan agak tinggi sedikit menyebabkan tidak ramai yang mampu mengambil rawatan di situ. 


Jadi tidak hairanlah harga yang dikenakan sebenarnya sangat bebaloi dengan perkhidmatan rawatan yang ditawarkan. Penjagaan pemakanan pesakit amat teliti ,dan pesakit hanya dibenarkan memakan makanan yang disediakan oleh pihak pusat penginapan tersebut. Penulis yang pertama kali mengenali pusat rawatan ini amat bertuah kerana merasakan ia satu nikmat untuk menjadi pengajaran pada diri yang masih sihat. Seharusnya pemakanan seharian perlu dijaga agar tidak menempah sakit di hari tua atau muda lagi. 






Baitul Ibadah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak


  Kebetulan pada hari tersebut, penulis dan sahabat berpuasa. Jadi semasa di pekan, kami telah siap sedia membeli juadah untuk 'iftar' (berbuka) bagi memudahkan pergerakan kerana hari semakin gelap dan yang pastinya perjalannan kami pulang ke Serdang sampai tengah malam. Semasa berjalan di tepi-tepi deretan kedai, penulis ternampak satu gerai burger yang menjual 'Burger Ikan Keli'. Ia sangat menarik perhatian penulis, walaubagaimanapun, penulis tidak berani untuk membelinya, lalu kami membuat keputusan untuk memesan empat burger kambing. Itu yang lebih afdalnya. Penulis dan sahabat mengambil peluang untuk berbuka dan solat berjemaah di masjid berdekatan Anjung Rahmat. Dari jauh kelihatan susuk tubuh surau yang diperbuat daripada kayu yang berwarna biru, di mana atapnya berbentuk ala-ala minangkabau. Kami terus melangkah kaki ke sana tanpa membuang masa kerana mengejar masa. 


Penulis agak pelik dan terkejut kerana mendapati terdapat dua bingkai gambar seorang lelaki yang agak berusia pada dinding atas menghadao kiblat di tempat solat wanita. Setahu penulis, rumah Allah swt tidak boleh dihiasi dengan gambar-gambar manusia apatah lagi patung dan seangkatan dengannya melainkan kalimah Allah dan nama-nama Allah swt. Setelah berbuka dan mengisi perut sedikit, kami terus solat berjemaah bersama empat orang makmum muslimah di situ. 
Seusai solat maghrib, imam dan makmum terus beristihgfar dengan nada yang amat sayu. Pada mulanya, penulis merasakan mungkin mereka sedang melakukan amalan sunat bulan Rejab yang mana dianjurkan kita sentiasa beristighfar. Tapi lama-kelamaan, penulis merasa syak dengan amalan yang dilakukan oleh jemaah di surau tersebut. Setelah beristighfar sebanyak 100 kali, mereka membaca Al-Fatihah mungkin 100 kali seterusnya zikir 'Lailahaillallah' semakin lama semakin laju. Kami hanya tersenyum dan menurut sahabatku ini mereka mungkin merupakan pengikut tariqat.


Kami terus keluar kerana ingin membaca surah Yassin di bilik datuk sahabat penulis. Sebenarnya apakah tariqat? Penulis sendiri belum jelas tentang amalan ini dan belum berkesempatan mencari maksud dan sejarahnya. Walaubagaimanapun, bagi penulis amalan ini tidak salah selagi ia tidak melanggar maksud dan syariat islam. Cuma bagi yang baru mengenali dan mengalaminya seperti penulis dan sahabat sebenarnya amat mempengaruhi keutuhan iman masing-masing sendiri. 


Terdapat banyak lagi amalan yang mereka lakukan seusai solat Isya', cuma mungkin setakat ini dahulu yang dapat penulis kongsikan. InshaAllah, mari sama-sama mencari dan mempelajari apakah tariqat sebenarnya. Moga umat islam sentiasa berada di jalanNYA. Ameen ya Rabbal 'Alamin.


No comments:

Post a Comment