Wednesday, September 1, 2010

Semarak Kemerdekaan dalam Penghayatan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...




       Alhamdulillah, dengan izinNYA kita bertemu lagi dengan tarikh bersejarah 31 Ogos setiap tahun yang merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara tercinta, Malaysia. Sudah masuk tahun ke-53, kita menyambut kedatangan hari kemerdekaan dan setiap tahun juga rakyat Malaysia tidak melepaskan peluang untuk meraikannya. Ada yang mengibarkan jalur gemilang dengan memasang bendera di kenderaan mahupun di rumah ataupun tempat kereta. Jika di sekolah, sambutan kemerdekaan dijalankan dengan mengadakan pertandingan melukis dan mewarna bendera, media massa seperti televisyen dan radio  tidak ketinggalan memainkan lagu-lagu serta iklan yang membawa mesej kemerdekaan itu sendiri. Terdapat juga di kalangan masyarakat yang turun padang untuk mengira detik 12 malam menjelang hari kemerdekaan yang mengandungi konsert merdeka di sebelah malamnya. Sehinggakan ada ibu bapa yang turut membawa bayi kecil mereka untuk sama-sama merasakan kegembiraan sambutan merdeka yang pasti akan dihiasi dengan percikan warna warni bunga api di langit. Nampak begitu meriah melihat ribuan masyarakat tidak kira kaum, agama dan bangsa yang datang ke ibu kota atau pusat bandar utama untuk menyertai sambutan hari kemerdekaan.



Persoalannya, apakah dengan usaha dan sambutan kemerdekaan ini membuatkan kita memahami dan menghayati erti sebenar 'kemerdekaan'? 
Kita kan sudah merdeka. Sudah tahun ke-53 kita menyambut hari kemerdekaan.Negara kita aman, tiada peperangan dan rakyat hidup dengan selesa.
Ya, benar. Memang benar Malaysia sudah merdeka, bebas dari genggaman penjajah. Tetapi adakah kita sedar bahawa Malaysia masih lagi dijajah. Pemikiran kita telah dijajah, dikotori, dicemari dengan budaya-budaya barat, hedonisme,plurisme, sekularisme dan materialisme. Kita masih lagi tidak bebas dengan gejala sosial dan aktiviti maksiat yang semakin membejat setiap detik, kita masih dibelenggu dengan masalah perpecahan di kalangan masyarakat serta masalah akhlak muda mudi masa kini.

Sedih apabila membaca berita di dada-dada akhbar mengenai bayi kecil tidak berdosa yang telah dibuang dalam tong sampah. Setiap hari ada sahaja berita yang menyentuh dan meruntun hati apabila meyaksikan remaja kini yang begitu semakin berani melakukan perbuatan terkutuk ini akibat perbuatan zina. Di manakah letaknya maruah kita sebagai orang islam? Baru-baru ini, kita juga dikejutkan dengan berita seorang bapa yang sanggup menyembelih anaknya yang masih berusia 3 tahun. Nauzubillahi min zalik! Bapa yang dianggap sebagai ketua keluarga, tempat mendapatkan kasih sayang tetapi kini menjadi pembunuh anak sendiri. Apakah punca sakit mental bapa tersebut? Adakah serangan virus atau penyakit? Atau adakah kerana hilang kebergantungan pada Ilahi? Tepuklah dada, tanya iman masing-masing.
Adakah ini merdeka yang kalian atau penulis inginkan?

Memandangkan hari kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadhan Al-Mubarak, penulis merasakan ini suatu rahmat dariNYA untuk sama-sama kita muhasabah kembali. Ini merupakan peluang bagi kita merasai kenikmatan 'merdeka' di bulan yang mana Allah s.w.t memberi keampunan kepada setiap perkara baik yang ingin kita kerjakan. Justeru, sangat wajar kita memperbanyakkan amalan-amalan soleh di samping berdoa  memohon taubat di atas segala dosa-dosa yang pernah kita lakukan. InshaAllah, doa kita akan didengariNYA sekiranya ia datang dari lubuk keikhlasan hati kita. Tiada siapa di antara kita yang ingin masuk ke neraka Jahannam sementara pintu syurga Ar-Rayyan yang masih terbuka, ayuhlah kita bersama merebut kasih sayang dan maghfirah dariNYA dalam bulan baraqah ini. 

Yang lebih indah bagiNYA adalah usaha setiap dari kita untuk berubah, untuk 'bebas' dari pemikiran, sikap dan perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Jalan telah tersedia, hanya tinggal untuk kita memilihnya demi meneruskan kehidupan di dunia yang sementara seterusnya menuju ke negeri yang kekal abadi.

Alhamdulillah, usaha kerajaan Negeri Selangor , Yayasan Amal Malaysia dan Muslim Care serta semua NGO-NGO yang terlibat termasuk Nisa', ABIM, JAIS dan lain-lain dalam usaha membanteras gejala sosial melalui 'KEMPEN ANTI-ZINA' sangat-sangat diperlukan. Ini sebagai langkah pertama dalam membantu mencegah dan membentuk negeri yang sifar maksiat dan zina. InshaAllah.

Moga Allah s.w.t memberi kekuatan kepada jiwa-jiwa muda yang sayang kepada Islam untuk terus menggalas amanah sebagai da'ie dan duta penyelamat remaja-remaja di luar sana. Ameen...



No comments:

Post a Comment