Sunday, June 26, 2011

Anugerah Cinta ^_^

Bismillahirrahmanirrahim....



       Setelah sekian lama penulis menyepi membiarkan blog kesayangan ini tidak diisi dengan perkongsian secebis sebuah kehidupan insani, kini penulis kembali dengan status baru setelah bergelar seorang isteri. Penulis sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakan entri pada kali ini. Anugerah cinta? Tajuk kali ini adalah luahan dan cetusan hati seorang isteri. Alhamdulillah, anugerah cinta daripada Pencipta Cinta sungguh nikmat bagi pasangan lelaki dan perempuan yang telah diijab qabulkan secara sah mengikut syariat Islam. Tiada ungkapan selain syukur ke hadrat Ilahi di atas anugerah cinta kepada yang selayaknya demi menyempurnakan separuh agama dan mencontohi sunnah Rasulullah SAW. Cinta yang lahir dari hati yang ikhlas adalah cinta suci yang akan memberi kebahagiaan dan sakeenah (ketenangan) dalam baiti jannati.





Pesanan buat para isteri yang solehah 


   Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.

Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.

Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:

l Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.

l Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.

l Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada ‘dua bahagian muka syiling’. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.

2 comments:

  1. Assalamualaikum wrt..Tahniah buat penulis kerana "sudi" merubah situasi diri dan menerima amanah untuk menjadi seorang isteri.Saya sentiasa mendoakan kepada penulis agar beliau dapat menjadi seorang isteri yang solehah dan juga yang terbaik buat suaminya ^_^ . I-Allah,mudahan semua cita-citanya untuk menjadi isteri yang solehah akan tercapai.

    Membaca atikel penulisan penulis memang betul-betul menarik dan memberi ketenangan kepada saya selaku seorang lelaki dan juga seorang suami ^_^ . Memang seorang lelaki amat memerlukan sokongan, dorongan, nasihat, kelembutan, kemanjan, dan kasih sayang dari seorang isteri yang solehah sebagai teman kehidupan mereka.Alangkah bahagianya jika semua penulisan penulis ini mampu diamalkan oleh setiap pasangan suami isteri didalam kehidupan rumah tangga mereka.

    Sebenarnya,memang besar kesan dan peranan isteri terhadap seorang suaminya.Isteri adalah penenang,penghibur dan menyejut untuk suami didalam semua keadaan.Senyuman isteri munkin menjadi punca senyuman untuk suaminya,ketawa isteri munkin menjadi akar kepada ketawa suaminya dan keceriaannya pula akan menjadi rantai kepada kecerian suaminya.Semua yang terlihat dan terpancar dari wajah dan perwatakan seorang isteri akan membawa kesan kepada suaminya.Boleh dikatakan keceriaan,keseronokkan dan kebahagiaan suami adalah ditangan seorang isteri.Itulah keistimewaan yang terdapat didalam diri seorang wanita yang bergelar "isteri yang solehah"

    Alhamdulillah,dikesempatan ini saya ingin panjangkan rasa syukur saya kepadaNya kerana mengurniakan kepada saya seorang isteri yang baik.Bagi saya isteri saya adalah seorang isteri yang solehah dan yang terbaik buat saya.

    Buat isteriku...

    Aku bersyukur kerana dikurniakan kau sebagai kekasih ku
    Kau membina mahligai untuk ku dan berlayar bersama ku
    Dan aku di sini bersama mu
    Kini aku mahu kau tahu
    Kau telah membuka pintu hati ku
    Aku sering berfikir cinta itu mengelirukan
    Tetapi semuanya itu berubah bila dikau hadir
    Dan hanya beberapa kata yang ingin ku ungkapkan
    Selagi masih ada hayat ku
    Aku akan sentiasa bersama mu
    Aku akan sentiasa disisi mu,jujur dan setia
    Sehingga akhir hayat ku
    Aku akan menyintai mu..terus menyintai mu..
    Selagi ada siang dan malam
    Aku bersyukur kerana dibukakan mata hati ku
    Kini selama-lamanya aku
    Aku akan hadir bersama mu
    Aku berasa bahagia bila memikirkan tentang diri mu
    Aku berdoa agar segala usaha kita diberkati
    Kaulah isteri, teman dan kekuatan bagi ku
    Dan aku berdoa agar kita bersama selama-lamanya
    Sehingga akhir hayat ku
    Aku akan menyintai mu.. terus menyintai mu…
    Kini.. dikau disini, dihadapan ku
    Aku berasakan kekuatan cinta itu..
    Dan aku tidak meraguinya
    Dan aku akan menyanyikannya dengan kuat
    Yang aku akan menyintai mu selama-lamanya
    Selagi masih ada hayat ku
    Aku akan sentiasa bersama mu
    Aku akan sentiasa disisi mu, jujur dan setia
    Sehingga akhir hayat ku ^_^


    Kepada suami dan isteri..ucap dan lahirkanlah perasaan kasih dan cinta mu kepada pasangan mu sementara masa dan kelapangan masih diberikan olehNya kepada kita untuk menghargai teman masing-masing.Jangan lengahkan kerana munkin esok bukan lagi milik kita..

    ReplyDelete
  2. wa'alaikumussalam wbt .
    Jazakallahu khairan al-jaza' di atas pandangan dan komen saudara ^_^
    Interesting! sungguh teruja...

    InshaAllah, penulisan ini sebenarnya sekadar luahan hati dan perkongsian untuk sesiapa yang sudi membaca di ruangan ini. Penulis masih memerlukan lebih banyak bahan bacaan, rujukan dan sokongan untuk terus menulis di ruang maya ini agar ia sedikit sebanyak dapat menyentuh hati2 pembaca seterusnya mendatangkan manfaat bersama agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan.

    Benar, setiap suami mengimpikan isteri solehah menjadi pendampingnya begitu juga si isteri. Tahniah kepada saudara kerana dianugerahkan seorang isteri yang baik menurut saudara. Moga ikatan pernikahan yang dibina oleh kalian akan berkekalan hingga ke syurga. Selaku suami, didik dan bimbinglah isterimu ke jalan menuju syurgaNYA.

    Berilah cinta dan kasih sayang kepada pasangan..InshaAllah, dirimu akan mendapat setimpal dengan apa yang anda berikan,,Jangan berhenti untuk memberi.

    Sebagai seorang isteri juga, penulis akan berusaha menjadi teman paling istimewa kepada suami penulis agar baitul muslim yang terbina terus utuh dilimpahkan mawaddah, sakeenah, mahabbah dan juga rahmah olehNYA...

    Oleh itu, berusahalah untuk menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada pasangan anda dengan melafazkan perasaan kalian. MOga ia menjadi pengikat hubungan yang akan berkekalan hingga ke Jannatul Firdaus.
    Dan pada masa yang sama, tambahkan ilmu dan kefahaman dengan mempelajari kisah-kisah cinta Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya..

    Moga kita semua terdiri di kalangan para suami dan isteri yang solehah...dan bakal melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah juga...Ameen,,,^_^

    ReplyDelete