Wednesday, March 31, 2010

Detik-detik terakhir...

Bismillahirrahmanirrahim...



     Alhamdulillah, rupa-rupanya hampir 3 tahun lebih dan hampir masuk tahun keempat sekiranya cukup bulan 7 ini  penulis berada di kampus hijau ini. Bermula dengan gelaran mahasiswa sehinggalah ke alam pekerjaan walaupun sementara. Begitu pantas masa berlalu dan usia ini semakin hari semakin pendek. Dan sebenarnya masih banyak lagi kewajipan yang belum dilaksana dan terlaksana. Terasa sayang dan sedih untuk meninggalkan bumi UPM yang banyak membentuk, mengajar, memberi dan mengubah diri penulis mempelajari sedikit sebanyak erti kehidupan duniawi yang penuh cabaran. 

Detik-detik terakhir ini, penulis akan pastikan setiap keputusan yang akan dilakukan adalah yang terbaik dariNYA. Bagi penulis, memang sukar untuk membuat keputusan yang tepat dalam pilihan yang ada sekiranya kita tidak memulakannya atau hanya membiarkan ia tergantung begitu sahaja. Sebab itu, ramai sahabat yang sentiasa berpesan dan mengingatkan penulis supaya melakukan solat istikharah setiap hari sebelum tidur. Ya, itukan sunnah Nabi SAW, sudah pasti ia akan membawa kejayaan di dunia dan akhirat. Jangan sesekali meragui, hatta keputusan yang dibuat tidak menggambarkan apa yang diidamkan sebenarnya adalah aturanNYA. Yang pasti ada hikmah di sebaliknya. 
Kehidupan memang memerlukan kita membuat keputusan kerana kita akan menghadapi situasi yang banyak pilihan. Tidak hanya dua tetapi lebih dan semestinya kita kena membuat pilihan yang paling terbaik antara yang terbaik bagi menjamin kehidupan yang bahagia di sana. Sekiranya tersalah membuat pilihan, janganlah sedih atau menyesal kerana di situ kita akan belajar dari kesilapan, dan bermula dengan itu kita akan cuba memperbaiki diri dan lebih berhati-hati serta teliti dalam membuat pilihan dan keputusan dalam hidup.

Allah SWT Maha kaya, Maha Penyayang, sehingga menyediakan hamba-hambaNYA solat istikharah yang mampu memberi petunjuk yang benar dalam membuat pilihan. SubhanaAllah!!! Tetapi, berapa ramai yang telah mengamalinya??? termasuklah diri penulis... Demi ingatan pada diri dan para sahabat, ayuh sama-sama tunaikan solat istikharah ini agar ia dapat memudahkan pekerjaan seharian kita kelak.  InshaAllah.

Istikharah bermaksud 'meminta Allah SWT mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan adalah senjata terbaik untuk membuat pilihan yang tepat. Kata Jabir bin Abdullah: "Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: 'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini.

'Maksudnya: "Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan...) adalah bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya." (sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).'"
Ameen Ya Rabbal 'Alamin...

Kita ingin segalanya indah, tetapi DIA duga kita dengan segala yang kurang indah, yang pahit. Begitulah putaran kehidupan manusiawi, sering diuji agar hidup lebih bererti. Tidak kira siapa penulis dan juga anda , kita adalah makhluk yang sangat kerdil di sisiNYA.  Berusahalah mendekatiNYA , walaupun sukar tetapi ia sungguh manis dan nikmat dalam usaha menggapai mardhatillah. Moga setiap keputusan atas pilihan yang ada adalah yang paling terbaik anda dan penulis lakukan. InshaAllah...

No comments:

Post a Comment