Thursday, March 18, 2010

SubhanaAllah!!! cantiknya aturan Pencipta

Bismillahirrahmanirrahim...


      Kebetulan semalam selepas penulis membaca artikel mengenai 'MATI' di laman puteraazhari.blogspot.com, penulis didatangi oleh seorang wanita yang bermotosikal semasa berjalan pulang ke rumah. Wanita yang memakai hijab itu sebenarnya ingin ke hospital Serdang tetapi tidak tahu jalan dan meminta penulis menunjukkan jalan atau direction untuk ke sana. Memandangkan agak sukar untuk wanita tersebut memahami jalan ke sana, mungkin kerana penerangan yang kurang jelas oleh penulis sendiri lalu penulis mengambil keputusan untuk mengikutinya sendiri ke hospital.  Menurut wanita itu, dia ingin menziarahi jenazah anak kawannya yang baru sahaja meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sepanjang perjalanan melalui UPM dan MARDI menuju ke hospital, penulis mengambil peluang untuk berta'aruf dengan wanita tersebut. Kami seolah-olah telah lama saling mengenali padahal tidak sampai setengah jam kami baru bertemu di tepi jalan. Daripada perbualan kami, rupa-rupanya wanita itu merupakan seorang ibu kepada 3 orang anaknya dan menetap di Sungai Ramal. Perkenalan hasil aturanNYA begitu indah kerana begitu banyak ilmu yang penulis dapat kutip sepanjang satu malam itu bersama Kak Su yang berasal dari Kelantan. Setibanya di hospital, kami segera ke kaunter pertanyaan untuk mendapatkan maklumat mengenai jenazah Hassan yang merupakan anak sulung kepada kawan Kak Su. Menurut petugas kaunter, jenazah telah dibawa ke bilik forensik untuk dibedah siasat lalu kami bergegas ke sana setelah mendapat direction. Perasaan excited muncul kerana penulis teringin sangat masuk ke dalam bilik tersebut kerana sebelum ini penulis pernah bercita-cita untuk menjadi pakar forensik, tetapi Allah s.w.t sebaik-baik perancang. Melalui lorong ke bilik forensik boleh menaikkan bulu roma kerana sangat suci diikuti dengan bau-bau yang kurang menyenangkan. Kami terus ke kaunter Jabatan Bahagian Forensik untuk memohon kebenaran memasuki bilik itu. Malangnya, petugas di situ memaklumkan yang unit mereka tidak menerima sebarang jenazah yang bernama Hassan melainkan mayat Hassan dari Indonesia. Penulis agak kebingungan dan pelik kerana maklumat yang diterima sebelum ini tidak benar. Lalu Kak Su cuba menghubungi keluarga arwah dan sebetulnya jenazah telah dibawa ke rumah setelah polis  hanya mengambil gambar tanpa dibedah siasat. Penulis berfikir-fikir kembali mungkin Allah subhanaAllah masih belum mengizinkan penulis untuk memasuki bilik forensik.


    Alhamdulillah, Kak Su yang nampak muda tetapi jelas banyak pengalaman kerana sering berkongsi pelbagai perkara dengan penulis. Sungguh bertuah kerana mengenali Kak Su. Ada sahaja cerita yang ingin dikongsi dan menyebabkan kami begitu mesra. Menurut Kak Su, dia memang sudah berniat dari awal untul menziarahi arwah dan berhajat untuk ke rumah keluarga arwah yang terletak di Hulu Langat dan bersebelahan dengan rumah ibunya. Kak Su mengajak penulis untuk turut menyertainya. Tanpa berfikir panjang dan ragu, penulis sudi menemani kerana sudah lama penulis tidak menziarahi orang yang telah meninggal dunia. Seingat penulis, jarak ke Hulu Langat jauh tetapi atas rasa prihatin penulis hanya mengikut Kak Su menunggang motosikal ke destinasi. Sepanjang perjalanan itu juga, bermacam-macam perkara negatif yang bermain di fikiran penulis. Betul ke Kak Su nak bawa pergi Hulu Langat? Ke Kak Su nak culik aku? Nau'zhubillah!!! Tetapi Allah s.w.t telah meyakinkan penulis hasil keikhlasan dan niat baik Kak Su untuk menziarahi arwah. Sepatutnya kita tidak boleh bersangka buruk walaupun baru pertama kali mengenali seseorang. 


    Waktu maghrib juga sudah tiba dan penulis meminta Kak Su untuk solat terlebih dahulu kerana kerisauan terlepas waktu Maghrib yang agak singkat. Kami singgah di masjid Hulu Langat untuk menunaikan kewajipan yang difadhukan ke atas setiap muslim.
Rasulullah sallahu 'alaihi wassalam telah bersabda : " Solat itu Tiang agama, sesiapa yang meninggalkan solat, seolah - olah dia telah meruntuhkan agama.."  dan solat adalah perkara pertama sekali yang akan disoal di dalam kubur. Moga kita dan semua umat islam diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus menerus menunaikan solat. Ameen. 
Sewaktu ingin solat, malam itu sebenarnya turut berlangsung kuliah Kitab Riadhus As-Salihin oleh seorang ustaz. Penulis agak kurang selesa untuk solat kerana tirai ruang solat wanita telah dibuka. Tidak dapat tidak, solat wajib dilaksanakan biarlah malu di hadapan Allah subhanaAllah Ta'ala, bukan di hadapan manusia. Sebab itu, kakak penulis selalu berpesan,   
' Utamakan pandangan Allah SubhanaAllah Ta'ala, bukan pandangan manusia '. Jadi, perkara ini harus jelas supaya ia tidak merosakkan ibadah yang dilakukan. Hatta, kita boleh bersolat di mana-mana permukaan muka Bumi bukan hanya di rumah Allah subhanaAllah Ta'ala. SubhanaAllah!!! Sungguh Maha Kaya..Dan itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Kak Siti seusai solat, apabila dia mendapati kedua-dua telefon bimbitnya  yang disimpan di dalam jaket telah hilang. "Mungkin itu rezeki dia", Kak Su pasrah dan redha atas ketentuanNYA dan cukup bersyukur kerana menurutnya, dia boleh mendapatkan telefon bimbit yang baru. Penulis cukup sedih dengan sikap manusia zaman sekarang, melakukan perbuatan yang dilarang olehNYA tidak mengira tempat. Walaupun di rumah ALLAH s.w.t sendiri. Sedangkan tempat mulia itu berfungsi sebagai pusat ibadah tetapi dikotori oleh perbuatan terlarang. Moga-moga Allah s.w.t memberi taufiq dan hidayah kepadanya untuk kembali ke jalan yang diredhai. Ameen. 


Perjalanan diteruskan ke kampung Hulu Langat dengan bertemankan malam yang sibuk dengan laluan lori-lori besar di jalan raya. Ia sedikit sebanyak merisaukan penulis kerana keadaan tunggangan kami yang begitu kerdil tambahan pula lampu jalan hanya memancar cahaya yang malap. Sebelum sampai ke rumah arwah, kelihatan ramai para jemaah muslimin yang berpakaian solat di sisi jalan. Menurut Kak Su, arwah sudah berada di tanah perkuburan langsung kami parkir motosikal untuk terus ke sana. Entah kenapa, hati penulis berasa sedikit kegusaran dan ketakutan kerana itulah kali pertama penulis menjejakkan kaki ke tanah perkuburan pada waktu malam. Berbekalkan doa dan kalimah Al-Quran, penulis kuatkan kaki untuk terus melangkah dan melihat dengan lebih dekat upacara pengkebumian. Setibanya kami, jenazah telahpun dikebumikan dan kelihatan beberapa orang ustaz sedang  membacakan talkin di sisi pusara. Hampir seratus orang jiran dan penduduk kampung yang mengenali arwah turut hadir untuk mendoakan pemergian arwah yang terlebih dahulu dipanggil Ilahi. 

Kedengaran juga tangisan kecil, perasaan hiba dan sedih pada wajah-wajah hadir. Penulis juga dapat merasakan kesedihan itu tatkala mendapat tahu bahawa arwah sangat dikenali oleh jiran-jiran sebagai anak yang baik sejak kecil. Kehilangan orang tersayang sangat memedihkan tetapi itulah ketentuan Ilahi. Tiada siapa yang boleh mengubahnya melainkan dengan izinNYA. Sebab itu, setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi mati. Seperti mana firman Allah subhanaAllah Ta'ala yang banyak terdapat di dalam Al-Quran, antaranya dalam surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud : " Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."  Semasa penulis menyalami ibu arwah untuk melafazkan ucapan ta'ziah, beliau begitu lemah tidak berdaya sehingga dipimpin untuk berjalan. Itulah kasih seorang ibu terhadap anak yang dikandung selama 9 bulan dan  tunggu saat dilahirkan serta dibesarkan hingga mencapai usia 22 tahun.  Jika ditanya pada sesiapa sahaja, tiada jawapan yang akan mengatakan seorang ibu gembira  dengan  kematian anaknya. Naluri keibuan yang mendalam ini menyebabkan kehilangan yang dirasai ibarat tali yang tidak bergantung. Sesungguhnya hidup di dunia pinjaman ini, kita sebenarnya adalah bukan milik sesiapa. Dan ingatlah dari DIA kita datang dan kepadaNYA jua kita akan dikembalikan. 

Moga arwah Hassan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat kebebasan azab di dalam kubur. Ameen. 
Malam semakin lewat, Kak Su membawa penulis menziarahi ibunya yang tinggal berhadapan dengan rumah keluarga arwah Hassan. Kesempatan yang ada digunakan untuk bersembang dengan ibu Kak Su yang tampak masih sihat. Memang tidak terkata apabila dua beranak itu bersembang menggunakan loghat Kelantan. Sukar bagi penulis untuk memahami bahasa Kelantan yang sungguh unik itu, mungkin perlu hadir ke kelas bahasa Kelantan. Tetapi ada ke? 
Kami perlu beransur pulang awal kerana perjalanan yang jauh harus ditempuh memandangkan Kak Su mesti menghantar penulis ke Serdang sebelum pulang ke rumahnya di Sungai Ramal, Kajang. Seharian Kak Su menunggang motosikal bermula ke tempat kerja pada paginya sehingga lewat malam tetapi beliau masih tersenyum tanpa menunjukkan rasa penat. Sungguh murni dan ikhlas hatinya kerana melayan penulis dengan begitu baik sekali. Beberapa butir nasihat yang dikongsikan dengan penulis membuatkan penulis begitu kagum dengan ibu muda ini. Apabila diuji, jangan sesekali meninggalkan ibadah-ibadah sunnah dan tahajud kerana di situ Allah subhanaAllah menilai keikhlasan kita dalam menunaikan ibadah padaNYA. Beliau turut mengatakan bahawa apabila ingin mencari calon suami, berdoalah pada Allah subhanaAllah supaya menghadiahkan bakal suami yang lebih baik dari diri  sendiri dan boleh membimbing kita ke jalan yang diredhai, dan jangan sesekali mengharapkan suami yang cukup sempurna sedangkan tiada manusia yang sempurna. 


Perkenalan selama setengah hari ini membuatkan penulis merasakan sungguh indahnya perancangan dan aturanNYA. Setiap hari yang hadir, saat masih bernyawa pasti ada pengalaman yang menjadi bekal untuk dijadikan panduan dalam menyelusuri kehidupan yang penuh cabaran. Tidak kira dalam apa jua keadaan dan apa yang berlaku sebenarnya berkait rapat dengan kehidupan masing-masing. Dari situ, belajarlah untuk mencedok segala yang baik lalu diterjemahkan dalam kehidupan sama ada yang tersirat atau tersirat.


Kak Su, bila agaknya dapat berjumpa lagi...Terima kasih atas segalanya...Alhamdulillah syukur di kurniaan ini Ya Ilahi...

No comments:

Post a Comment