Alhamdulillah. Sukar untuk ditafsir keindahan sebuah pertemuan ini. Setelah sekian lama kami terpisah kerana itu aturan dan ketentuanNYA. Ya Bariq! Yang Maha Mengatur Agenda, begitu cantik aturanMU saat MU hadiahkanku seorang ukhti tersayang dan juga seorang sahabat baik ketika di zaman persekolahan menengahku. Dua buah pertemuan yang indah dalam masa yang singkat ini amat begitu bermakna buat diriku setelah sekian lama diri ini tidak bertemu, bertentang mata bersama mereka yang amat ku sayangi.
Barakallahulakuma Ya Sadiqati! (Nurul Akma Abdul Wahid dan suami).
Saat menerima kad jemputan walimah dari seorang sahabat lama, hati penulis terus memasang niat untuk menghadirinya setelah sekian lama tidak bertemu dengannya. Walaubagaimanapun, tarikh walimah sahabat penulis jatuh pada tarikh yang sama dengan tarikh kepulangan kakak penulis dari Mesir iaitu 6 hb November 2010. Jadi, penulis merancang untuk menemuinya pada malam 5hb memandangkan penulis sendiri terlepas untuk menghadiri majlis akad nikah beliau pada petang 5hb kerana penulis baru sampai ke kampung jam 6.30 petang di kampung di Perak.
Alhamdulillah, dengan ditemani oleh emak penulis yang sangat memahami diri ini dan adik bongsu , kami terus ke rumah sahabat penulis selepas menunaikan solat Isya'. Oleh kerana sahabat penulis sering berpindah, kami hampir sesat mencari rumahnya. Sehingga penulis sendiri berasa kecewa dan berputus asa untuk terus mencari rumahnya. Malam tu juga, telefon bimbit penulis kehabisan kredit. Dengan sisa kredit yang masih berbaki, dengan harapan, sahabat penulis akan menghubungi penulis semula kerana penulis telah memaklumkan lebih awal kepadanya untuk datang menziarahi beliau dan keluarga. Dengan izinNYA, kami sampai juga akhirnya ke rumahnya.
Hampir 5 tahun kami tidak berjumpa selepas masing-masing tamat peperiksaan SPM tahun 2004 yang lalu. Selepas itu, kami hanya berhubung melalui telefon dan sms tetapi belum berkesempatan berjumpa. Sehinggalah, pertemuan ini tercipta ketika sahabat penulis ingin melangsungkan pernikahannya. Alhamdulillah, peluang dan masa sesingkat malam itu kami manfaatkan sebaiknya. Penulis berharap pertemuan ini bukan sekali tetapi akan berulang kali dan moga ikatan ukhwah kita akan kekal selama-lamanya.
Sahabatku Nurul Akma Abdul Wahid,
Tiada apa yang lebih bererti untuk diberikan kepadamu,
Hanya doa tulus ikhlas dariku agar dirimu sentiasa berada dalam keberkatan Ilahi,
biarkan hidupmu bertunjangkan Al-Quran dan Al-Hadith,
jadilah seorang isteri solehah seperti isteri-isteri Rasulullah s.a.w,
moga mahligai yang terbina ini mendapat redha Ilahi,
berbahagialah kalian hingga ke syurga,
harapanku,
agar ukhwah kita akan berpanjangan,
maafkan atas segala kesilapanku sepanjang perkenalan kita,
bacalah dan hayatilah 'sebuah hadiah perkahwinanku buatmu' itu,
Moga ada manfaatnya.
Salam Barakallahulakuma..
Ahlan Wasahlan Marhaban Bikum Ya Habibi! Ya Jamilah! Ukhti tersayang
Berkat doa dan izinNYA, kerinduan kami sekeluarga terubat setelah 4 tahun kakak penulis meninggalkan Malaysia demi menuntut ilmu di Bumi Anbia'. Sepanjang beliau berada di sana, memang kakak penulis tidak pernah pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, setelah tamat menghabiskan pelajarannya dalam bidang syariah, kami dipertemukan. Penulis memang rapat dengan beliau dan segala masalah sering dikongsi bersama. Sekembalinya beliau disambut dengan keluarga dan sanak-saudara dari Muar dan juga bakal besan dengan harapan untuk mengungkapkan rasa syukur dan gembira yang amat sangat.
Penulis amat berharap, kepulangan kakak kesayangan penulis ini akan memberi sinar baru kepada kami sekeluarga agar manusia sekeliling turut mendapat manfaatnya.
Wallahu'alam..
Akan bersambung,