Showing posts with label Nukilan hati. Show all posts
Showing posts with label Nukilan hati. Show all posts

Thursday, May 6, 2010

Circle of Influence

Bismillahirrahmanirrahim...






     SubhanaAllah!!! Pantasnya masa berlalu..Demi masa! Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Terasa sangat rugi apabila tidak berkesempatan berkongsi sesuatu di dalam blog ini. Seringkali tewas dengan  kehidupan dunia sehingga tidak berpeluang meninggalkan jejak perkongsian untuk santapan para pembaca yang datang menziarahi. Yang tidak jemu   mengutip ilmu dan pengalaman yang dikongsikan sebagai panduan dalam mendepani masyarakat yang sentiasa kekurangan akhlak dan nilainya. 

Saban waktu juga kes jenayah di kalangan remaja yang beragama islam seperti pembuangan bayi tidak berdosa mencatat peratus penambahan dari setahun ke setahun. Adakah ini modal insan yang kita ingin lahir dan wujudkan untuk menjadi bakal pelapis dan pucuk pimpinan negara tercinta. Di manakah maruah sebagai seorang muslim? Di dada akhbar ada sahaja berita mengenai masalah sosial yang melibatkan remaja, suami isteri dan sebagainya. Terasa sedih kerana tidak mampu untuk membantu tetapi sampai bila? Tepuklah dada, tanyalah iman.
Jika setiap di antara kita mempunyai sikap 'jaga tepi kain orang' atau ambil peduli tentang masalah jiran dan masyarakat setempat , InshaAllah perkara yang menyalahi syariat Islam dapat dikurangkan atau diatasi. Walaubagaimanapun, sikap ini sering dianggap negatif dan salah ditafsirkan kerana masing-masing menganggap , lebih baik jaga tepi kain sendiri daripada jaga tepi kain orang lain. Yang akhirnya akan menyebabkan diri sendiri gagal menjalani kehidupan yang sebaiknya. Tambahan pula, dengan kemasukan dan kebanjiran pendatang asing ke dalam negara turut merancakkan lagi proses kes jenayah yang tinggi. Apakah kita tidak mahu hidup dalam keadaan aman dan selamat? 

Berkomunikasilah


  Jangan hanya mendiamkan diri, berat mulut ,menyimpan sesuatu di dalam hati atau membiarkan sesuatu perkara berlalu begitu sahaja. Sebaliknya, berkomunikasilah untuk menyelesaikan segala masalah. Bermula masalah dalam diri, keluarga, sahabat, rakan sekerja, pimpinan dan sebagainya. Hatta, dalam doa sendiri kita telah berkomunikasi dengan Allah s.w.t. Komunikasi sangat luas maksudnya, bayangkan apakah yang akan berlaku pada individu yang hanya hidup menyendiri. Sepi tanpa berpasangan, atau bersahabat, sebatang kara melayani kehidupan yang sangat menyedihkan. Sedangkan orang bisu turut berkomunikasi menggunakan cara tersendiri kerana kita memang tidak terlepas dari berjumpa atau berhubung dengan orang lain. Di mana-mana sahaja komunikasi ini digunakan dan perlaksanaan ia juga semakin hari semakin berkurangan di dalam sesebuah sistem kekeluargaan. Penting bagi si bapa juga si ibu mengimplementasikan komunikasi dengan anak-anak mereka supaya segala masalah yang dihadapi oleh anak dapat dikongsi dan diluahkan. Tetapi realiti hari ini, anak-anak lebih didedahkan dan digalakkan dengan komunikasi teknologi melalui telefon bimbit dan internet semata-mata untuk saling berhubungan. Sedangkan komunikasi dua hala amat perlu bagi mengelakkan anak-anak terus bergelumang dengan titik hitam yang sentiasa dahagakan manusia-manusia yang jauh dari Ilahi. Belajarlah serba sedikit bagaimana cara untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan supaya tiada lagi salah faham dalam memahami erti kehidupan yang sementara.

Circle of Influence


  Teringat satu perkongsian oleh seorang Ketua Muslimat dalam usrah. Apabila kita berada dalam suatu suasana baru, sistem baru, dan segala-galanya baru. Sebagai contoh, anda telah diterima untuk bertugas di tempat kerja yang baru. Tetapi apabila anda cuba mengubah atau menyuarakan sesuatu pandangan yang sebenarnya bagi anda dapat memberi kebaikan kepada organisasi anda, akhirnya tidak diterima dan disisihkan. Mana tidaknya, setelah pengurusan dan sistem yang sedia ada ingin diubah pasti akan menyebabkan ketidakpuasan hati pekerja-pekerja lain yang sudah lebih lama dalam perkhidmatannya di situ. Di sinilah, bagaimana 'circle of influence' memainkan peranan yang penting dalam memastikan keberhasilan sesuatu pekerjaan yang dilakukan supaya tidak mematahkan semangat kita untuk terus melaksanakan tugas sebaiknya tanpa terfikir untuk meletakkan jawatan atau merasa bosan terhadap tugas tersebut. Di mana kita cuba memahami situasi mereka yang lebih berpengaruh supaya dapat membina satu usahasama yang seterusnya dapat menjadikan kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan risiko-risiko yang ada. Sebab itu, ada masa kita perlu mengikut peredaran atau cara yang telah ditetapkan selagi tidak melanggar batas syariat islam sehinggalah mereka yakin dan barulah kita boleh memulakan usaha untuk memajukan organisasi tadi. 

' No matter is done' jika kita tidak membudayakan amalan atau sikap hidup untuk memberi. Suka sangat penulis memetik hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Mulakanlah setiap perbuatan atau pekerjaan dengan niat..." InshaAllah, jika kita niat bekerja kerana Allah swt , untuk cari mardhatillah, InshaAllah kita akan mendapatnya. Sebaliknya jika kita bekerja untuk mendapatkan gaji, kita akan mendapat gaji, dengan tanpa dapat redha Allah swt. Tidak dapat tidak niat perlulah didarah dagingkan dalam amalan seharian supaya dapat membentuk perbuatan yang selari dengan ajaran Islam.
Moga kehidupan manusia akhir zaman mendapat keberkatan Allah swt dan syafaat Rasulullah s.a.w. Ameen.





Wednesday, March 17, 2010

Sesekali Diuji...

Bismillahirrahmanirrahim...

 


" Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya : "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. ( Al-Baqarah : 214 )
 
Sesekali diuji...(NICE)

Apa jua bala bencana singgah menerpa
Menguji jauh mananya sabar kita
Mungkin selama ini kita terlupa

Kita terlalu leka dengan nikmat kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa

Bila kesusahan
Terasa hidup terlalu payah
Berbagai persoalan menerjah
Baru minta petunjuk hidayah

Usah berputus asa
Kerana ada rahmat disebaliknya
Yang tidak kita ketahui
Dalam hidup ini
Teruslah berdoa

Pada Allah
Pengasih…Pemurah dan Penyayang

Kita terlalu leka dengan nikmat…kurniaanNya
Maka diberi sedikit ujian
Menguji tahap keimanan dijiwa
        
         Saat menyelak dan merenungi lembaran agung Al-Quranul Karim disoroti dengan bait-bait lirik lagu 'sesekali diuji', penulis dapat merasakan kekuatan dalam diri agar menerima ujianNYA dengan redha. Ya, kerana setiap waktu penulis sering mengingatkan sahabat-sahabat bahawa ujian adalah nikmat, tanda kasih sayang DIA kepada kita. DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA seperti mana firmanNYA dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud :
" Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma’aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."

Emosi dan fikiran ini sedikit terganggu. Mana mungkin kali ini penulis tewas dengan tarbiyyah dariNYA yang hanya sedikit jika dibandingkan dengan ujian yang ditimpakan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallahu 'alaihi wassalam... Terlalu jauh... Itulah bukti cinta Allah SubhanaAllah Ta'ala kepada penciptaanNYA dan bagaimanakah kita? Sebenarnya masih ramai lagi di kalangan kita yang ragu-ragu dan berburuk sangka denganNYA setiap kali diuji. Nau'zubillahi min zalik.  Merenung kembali ayat 216 di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud :
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” telah mengajar penulis untuk lebih bersederhana dalam setiap perbuatan bilamana kesilapan yang pernah dibuat dijadikan pengajaran demi meneruskan kehidupan yang masih panjang.  
Tahukah kalian bahawa nikmat ujian itu bukan hanya berbentuk kemiskinan, kesakitan, penderitaan, kekecewaan, kesedihan, kesakitan dan segala kekurangan tetapi kemewahan, pangkat, kejayaan, anak-anak  dan segala yang menyeronokkan juga merupakan ujian buat manusia. Dan ia bergantung kepada setiap individu untuk menilai setiap aras ujian itu berdasarkan keimanannya pada Allah subhanaAllah Ta'ala. 

Dari situ, belajarlah menerima setiap pemberian dariNYA dengan penuh syukur kerana ia sebenarnya akan mengajar kita agar menjadi manusia yang sentiasa memautkan kebergantungannya pada Ilahi. Setiap langkah hala tujunya akan berpandukan Kitab suciNYA dan himpunan hadith baginda Rasulullah sallahu 'alaihi wassalam.  Yakin dan percaya lah pada diri sendiri kerana setiap ketentuan Ilahi bukan tiada bersebab melainkan tanda ingatanNYA pada kalian. Berusahalah mengingati Allah subhanaAllah setiap detik dan ketika, panjatkan doa kerana DIA Maha Mendengar setiap pengaduan serta hamba-hambaNYA di sepertiga malam. Janganlah berputus asa dengan rahmatNYA. Kuatkan semangat, berfikirlah secara positif agar lebih bersedia menghadapi setiap mehnah atau ujian yang mendatang tanpa diundang. 

Ingatlah Allah subhanaAllah sekali lagi telah berfirman dalam surah Al-Hadid ayat 22 yang bermaksud : " Tiada suatu bencana pun yang menimpa di Bumi  dan tidak pula pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (lauhul mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah SubhanaAllah."



Setiap manusia inginkan kebahagiaan dalam melayari bahtera kehidupan, tetapi kehidupan tidak akan bermakna jika tidak didatangi ujian Ilahi. Belajarlah mengharunginya dengan penuh tabah, sabar dan redha demi kasih dan redha Yang Maha Esa. InshaAllah, DIA sentiasa bersama kalian dan juga penulis. 

' Kadang - kadang kita berdoa untuk kuat tetapi banyak pula dugaan datang, 
kadang-kadang  kita minta cerdik tetapi masalah pula yang timbul,
kadang-kadang kita minta kebahagiaan tetapi huru hara pula.
Dugaan menjadikan mental kita kuat, 
masalah menjadikan kita berfikir,
huru hara menjadikan kita tabah.'
Hebatkan Allah ...
Semua ada hikmah.
Sekiranya manusia tahu hadith ini,
Telah berkata Jibrail:" Wahai Tuhan, Engkau sampaikan hajat hambamu,
maka Allah menjawab : Biarkan hambaKU itu, kerana AKU mencintai suaranya"

Thursday, February 25, 2010

Ku ingin bertemu denganmu...

Bismillahirrahmanirrahim...


         Alhamdulillah, esok akan tiba hari kelahiran Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w iaitu  pada 12 Rabi'ul Awal 570 Masehi ( Tahun Gajah ) bersamaan 26 Februari 2010. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah s.a.w, keluarga baginda dan para sahabat. Penulis terpanggil untuk mencoretkan sesuatu walaupun sepatutnya kita perlu memperingati baginda s.a.w setiap waktu bukan hanya pada hari kelahiran baginda s.a.w sahaja. Penulis sendiri sedar, bukan mudah untuk mencapai syafaat Nabi Muhammad s.a.w kerana di saat ini kita masih lagi jauh dari sunnah-sunnahnya apatah lagi untuk mengamalkan. Kita juga seringkali mengatakan yang kita mencintai baginda s.a.w, tetapi adakah benar-benar ia datang dari hati atau hanya lafaz semata-mata. Ya, kita juga tidak pernah lupa mengucapkan selawat ke atas baginda s.a.w , tetapi sejauh mana kita mendalami dan menghayati kisah-kisah perjuangan serta kehidupan baginda s.a.w? Tepuklah dada, tanyalah iman masing-masing.

Sedikit perkongsian yang patut diambil berat, Rasulullah s.a.w juga telah meninggalkan wasiat kepada umat akhir zaman ketika mana baginda s.a.w mengerjakan ibadah haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranan, Bukit Arafah. Baginda menyampaikan  khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah s.a.w itu ialah :

" Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

" Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan DIA pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah s.w.t telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

" Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. 

" Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalaah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina.

" Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah s.w.t, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh. 

" Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah s.w.t pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

" Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betu; dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

" Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."



    Pernah suatu ketika, sedang Rasulullah s.a.w berkumpul di dalam suatu majlis bersama paar sahabat, tiba-tiba bergenang air mata baginda s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah s.a.w, bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, Baginda s.a.w mengatakan bahawa terlalu merindui umatnya yang disebut sebagai ikhwannya.
  Para sahabat merasa iri hati sehinggakan Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah s.a.w , " Bukankah kami ini ikhwanmu?". Rasulullah s.a.w menjawab, " Tidak, kamu semua adalah sahabatku..ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku...aku sangat rindu untuk bertemu mereka.." KITAKAH IKHWAN ITU???

 Muhasabahlah andai kalian tidak pernah menitis walau setitik air mata kerinduan dan kecintaan pada baginda s.a.w.
      
Ya Rasulullah,
kau insan mulia,
namamu sering menjadi sebutan,
kisahmu tidak pernah habis,
ibarat air tidak putus,
dirimu turut menjadi pujaan,
oleh setiap yang beriman,
sunnahmu panduan kami,
kasihmu tiada terperi,
namun dirimu juga disakiti,
oleh manusia yang jauh dariNYA,
namun kau cukup kental,
hadapi ujian Ilahi,
kerna dirimu penuh ketabahan,
dalam melaksanakan perintah Ilahi,
ku ingin bertemu denganmu,
namun adakah aku layak,
akan ku terus berdoa,
agar dapat menemuimu
di syurga sana...
Ameen...