Alhamdulillah, esok akan tiba hari kelahiran Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w iaitu pada 12 Rabi'ul Awal 570 Masehi ( Tahun Gajah ) bersamaan 26 Februari 2010. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah s.a.w, keluarga baginda dan para sahabat. Penulis terpanggil untuk mencoretkan sesuatu walaupun sepatutnya kita perlu memperingati baginda s.a.w setiap waktu bukan hanya pada hari kelahiran baginda s.a.w sahaja. Penulis sendiri sedar, bukan mudah untuk mencapai syafaat Nabi Muhammad s.a.w kerana di saat ini kita masih lagi jauh dari sunnah-sunnahnya apatah lagi untuk mengamalkan. Kita juga seringkali mengatakan yang kita mencintai baginda s.a.w, tetapi adakah benar-benar ia datang dari hati atau hanya lafaz semata-mata. Ya, kita juga tidak pernah lupa mengucapkan selawat ke atas baginda s.a.w , tetapi sejauh mana kita mendalami dan menghayati kisah-kisah perjuangan serta kehidupan baginda s.a.w? Tepuklah dada, tanyalah iman masing-masing.
Sedikit perkongsian yang patut diambil berat, Rasulullah s.a.w juga telah meninggalkan wasiat kepada umat akhir zaman ketika mana baginda s.a.w mengerjakan ibadah haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranan, Bukit Arafah. Baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah s.a.w itu ialah :
" Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
" Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan DIA pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah s.w.t telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
" Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
" Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalaah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina.
" Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah s.w.t, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
" Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah s.w.t pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
" Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betu; dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
" Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
Para sahabat merasa iri hati sehinggakan Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah s.a.w , " Bukankah kami ini ikhwanmu?". Rasulullah s.a.w menjawab, " Tidak, kamu semua adalah sahabatku..ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku...aku sangat rindu untuk bertemu mereka.." KITAKAH IKHWAN ITU???
Muhasabahlah andai kalian tidak pernah menitis walau setitik air mata kerinduan dan kecintaan pada baginda s.a.w.
Ya Rasulullah,
kau insan mulia,
namamu sering menjadi sebutan,
kisahmu tidak pernah habis,
ibarat air tidak putus,
dirimu turut menjadi pujaan,
oleh setiap yang beriman,
sunnahmu panduan kami,
kasihmu tiada terperi,
namun dirimu juga disakiti,
oleh manusia yang jauh dariNYA,
namun kau cukup kental,
hadapi ujian Ilahi,
kerna dirimu penuh ketabahan,
dalam melaksanakan perintah Ilahi,
ku ingin bertemu denganmu,
namun adakah aku layak,
akan ku terus berdoa,
agar dapat menemuimu
di syurga sana...
Ameen...
No comments:
Post a Comment