Showing posts with label Pengalaman penulis. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman penulis. Show all posts

Sunday, September 19, 2010

...Insiden yang mencemaskan...

Bismillahirrahmanirrahim....




Hampir dua minggu penulis menghabiskan cuti hari raya bersama keluarga dan sanak saudara di kampung. Kali ini, penulis berasa amat gembira kerana berkesempatan bertemu saudara mara yang sudah hampir beberapa tahun tidak berjumpa. Kesempatan pada cuti hari raya  ini kami manfaatkan untuk bertemu dan berhubung di antara satu sama lain. 


     Alhamdulillah, pagi Jumaat yang mulia telah diiringi dengan hujan yang agak lebat. Kedengaran juga sayup-sayup alunan bacaan ayat Al-Quran dari Masjid UPM yang tidak jauh dari rumah penulis. Menurut staf Pusat Islam UPM apabila bacaan Al-Quran dialunkan pada bukan waktu kebiasaan (waktu selain hampir masuk waktu solat) menandakan terdapatnya kematian di mana jenazah tersebut akan disembahyangkan di Masjid UPM. 
Pagi itu juga, keluarga penulis baru sahaja bertolak untuk meneruskan perjalanan ke Perak setelah bermalam di rumah penulis. Ayah penulis mengambil keputusan untuk tidur di rumah penulis kerana keletihan memandu sepanjang hari dari Muar menuju ke Perak. Kebetulan, penulis juga perlu pulang awal ke Serdang kerana komitmen kerja. 


Jalan raya juga tidak begitu sesak dengan kenderaan dan menyebabkan pemanduan ayah penulis lebih lancar. Cuma kadang-kadang tersangkut kerana kereta yang dipandu 'tewas' apabila melalui bonggol yang tinggi. Dan setiap kali perjalanan, ada sahaja tempat yang ayah penulis ingin singgah. Sebagai anak, kami hanya mengikut tanpa berkata apa-apa. Menurutnya, bukan selalu dia dapat bawa anak-anaknya berjalan dan dia mengambil masa perjalanan pulang untuk singgah di mana sahaja tempat yang beliau suka. Destinasi yang akan ditujui ialah Mydin yang terletak di Ayer Keroh, Melaka. 


Seingat penulis, setiap kali pulang ke kampung atau pulang dari kampung , ayah penulis tidak akan melepaskan peluang untuk membeli belah di Mydin. Ini mungkin kerana harga barangan yang ditawarkan sangat berbaloi dan memuaskan. Ini juga merupakan kali pertama kami menjejakkan kaki di Mydin Melaka dan ternyata itu antara Mydin terbesar yang pernah  kami  kunjungi. Setelah masing-masing mendapatkan keperluan yang diingini, kami terus menunaikan solat Jamak dan Qasar pada waktu zuhur sebelum meneruskan perjalanan. Perkara yang menggembirakan apabila di situ terdapat Restoran RFC (Radix Fried Chicken) yang kini sering diperkatakan kerana hampir setaraf dengan Restoran KFC. Penulis begitu teruja kerana sekian lama mencari dan belum berpeluang menikmati kelazatan RFC. Alhamdulillah, ia merupakan satu nikmat bagi penulis dan usaha pengasas HPA untuk menghasilkan produk-produk muslim yang halal amat berjaya kerana semakin mendapat perhatian serta diterima umum. InshaAllah, kita sama-sama membantu dan menyokong produk keluaran hasil tangan orang islam supaya lebih terjamin.


Hari semakin gelap dan perjalanan perlu diteruskan. Dj radio tidak jemu memutarkan lagu-lagu raya walaupun sudah masuk ke Syawal yang ke-6. Memang tidak bosan apabila dengar lagu raya, cuma jangan sampai kita lalai dan melanggar adab-adab di bulan Syawal. Kami turut berziarah ke rumah anak saudara ayah di Kajang memandangkan kami melalui jalan yan g sama dan berdekatan dengan rumah sewa penulis di Seri Kembangan. Waima, penulis sendiri sudah lama tidak bertemu dengan Kak Aishah yang merupakan anak kepada kakak ayah penulis. Emaknya telah lama meninggal dunia kerana penyakit kanser. Pertemuan ini merupakan perancangan Ilahi yang sungguh indah kerana sebelum ini penulis memang ingin berjumpa dengannya kerana rumah Kak Aishah tidak jauh dari rumah penulis. Tetapi tidak kesampaian atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Masa dimanfaatkan sebaiknya bersama Kak Aishah untuk mengetahui dan meng'update' perkembangan terkini kakak saudara penulis itu. Ternyata, kini dia sibuk menguruskan perniagaannya dalam bidang 'salun kecantikan' kerana kemahiran yang dimiliki. 


Setiap kali tetamu datang ke rumah, ada sahaja makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah.  Inilah adab orang Islam di mana kita dikehendaki memuliakan tetamu kerana mereka akan mendoakan kesejahteraan tuan rumah dan di situ terdapat keberkatan. Kak Aishah yang merupakan anak jati Negeri Sembilan sempat menggorengkan bihun untuk santapan kami. Alhamdulillah, sekali lagi nikmat dan rezeki kurniaan dariNYA. 


Tiba masa untuk kami bergerak pulang kerana waktu Maghrib hampir tiba. Oleh kerana ayah penulis dan penulis sendiri kurang mahir jalan untuk balik ke Serdang dari Kajang Utama walaupun sering ke Kajang. Jadi, Kak Aishah menjadi penunjuk jalan sebelum kami berpisah di dua lorong satu menghala ke Bangi dan satu lagi jalan ke Putrajaya. Untuk dijadikan cerita, ayah penulis tersalah masuk lorong kerana salah faham apa yang diterangkan oleh Kak Aishah. Walaubagaimanapun, jalan yang telah ayah penulis masuki sebenarnya boleh tembus ke Serdang, cuma mungkin jalannya lebih jauh. Keadaan agak cemas kerana ayah penulis risau salah jalan dan dia berhasrat untuk mengundur kereta tersebut. Dari belakang, berderu-deru kereta meluncur dengan kelajuan yang amat tinggi. Gerun apabila melihat sikap pemandu yang memandu dengan kelajuan yang maksimum. 


Insiden yang mencemaskan, saat di mana apabila ayah penulis menghidupkan 'signal' lampu kecemasan dan cuba mengundur kereta ke belakang, dari belakang terdapat sebuah teksi yang menghampiri. Penulis ingatkan pemandu teksi tersebut perasaan dengan tindakan ayah penulis. Rupa-rupanya dia memandu dengan begitu laju dan semakin lama semakin menghampiri kereta kami. Penulis mula risau dan meminta ayah penulis membatalkan hasrat untuk mengundurkan kereta ke belakang sebaliknya meneruskan perjalanan. Walaubagaimanapun, memang tidak sempat berbuat apa-apa teksi tersebut betul-betul sudah berada di belakang kereta dan hampir melanggar belakang kereta kami. Alhamdulillah, atas izinNYA pemandu teksi tersebut berjaya mengawal keretanya dengan menekan brek kecemasan. Sungguh mencemaska apabila mengingatkan detik ketika hampir dilanggar. Sesungguhnya Allah S.W.T lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA. Sepanjang perjalanan, masing-masing senyap kerana masih trauma dan beristighfar. Moga-moga ia jadi iktibar buat kita semua. 


Berhati-hatilah di jalan raya. Amalkan sikap berdisiplin di jalan raya. InshaAllah, akan selamat.










Tuesday, June 22, 2010

Peristiwa di Jalan Gombak

Bismillahirrahmanirrahim...




   Sekian lama blog ini tidak diperbaharui dan diisi dengan tulisan-tulisan pembakar diri . Rasa rindu untuk menulis sentiasa menebal dalam diri, tetapi penulis sendiri dibatasi kekangan masa, kekeringan idea dan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Tetapi itu sebenarnya adalah alasan dan ini tidak bermakna penulis akan berhenti dari terus menulis. Walaupun ia tidak penting bagi sesiapa yang membaca, penulis merasakan keperluan untuk menulis bagi berkongsi serba serbi apa yang ada pada diri di samping memenuhi kelapangan ruang yang diberi. 

Jalan Gombak

Alhamdulillah, baru-baru ini penulis telah menemani sahabat penulis menziarahi datuknya yang sedang dirawat di Rumah Penginapan Anjung Rahmat yang terletak di Batu 6 1/2, Jalan Gombak, Gombak. Perjalanan ke sana memakan masa yang agak lama kerana kami asyik terlepas jalan kerana tidak mahir jalan ke sana. Walaubagaimanapun, berkat kesabaran dan usaha sahabat penulis dan adiknya menghubungi bapa saudara mereka, kami akhirnya sampai ke penginapan tersebut setelah hampir 2 jam di atas kenderaan. 

Pertama kali menjejakkan kaki di Pekan Gombak yang tampak sibuk dengan kenderaan yang berulang alik kerana pada hemat penulis, di pekan itulah masyarakat setempat mencari segala barang keperluan untuk menampung kehidupan di samping beberapa kelibat mahasiswa atau pelajar luar negara dari Universiti Islam Malaysia yang turut sama di pekan tersebut. Penulis juga dapat merasakan kebanyakkan penduduk di situ berlatar belakangkan kehidupan yang sangat 'islamik' atau mempunyai pengaruh 'bi'ah solehah' yang sangat menyenangkan hati. Rata-rata pakcik-pakcik dan makcik-makcik di situ mengenakan pakaian yang sopan berkopiah dan bertudung labuh. Perkara ini amat menyejukkan mata penulis dan sahabat. Moga syariat islam dan amal islami yang ditegakkan dapat membentuk masyarakat yang soleh wa musleh dalam melaksanakan amanah di muka Bumi. Alangkah indahnya jika Malaysia menjadi dikurniakan rakyat yang sebegini. Masyarakat muslim yang bukan sahaja berdiri atas namanya 'Islam' tetapi seiring sahsiah dan amalannya seperti mana yang telah disyariatkan mengikut Kalam Allah swt dan Sunnah RasulNya. 


Setelah mencari barang-barang yang diperlukan oleh datuk sahabat penulis, kami sempat singgah di masjid yang berwarna kuning hijau untuk mendirikan solat asar. Perjalanan ke Anjung Rahmat hampir tiba, dan kami akhirnya sampai dan terus berjumpa datuk sahabat penulis di bilik 114. Kelihatan beliau baru sahaja menjalani pencucian darah kerana tampak di wajahnya kesan air mata menahan kesakitan. Sejurus masuk, terdapat di sudut bilik tersebut nama-nama Allah swt telah digunakan. Mungkin kerana keberkesanan dan 'roh' Husna Allah s.w.t itu sendiri, beberapa nama NYA telah digunakan untuk upacara rawatan. Menurut sahabatku, bilik-bilik di Anjung Rahmat tersebut sudah penuh dihuni oleh pesakit-pesakit yang mengidap penyakit kencing manis. Sememangnya, penginapan tersebut merupakan antara salah satu pusat rawatan penyakit kencing manis yang terbaik di Malaysia. Cuma mungkin bayaran yang dikenakan agak tinggi sedikit menyebabkan tidak ramai yang mampu mengambil rawatan di situ. 


Jadi tidak hairanlah harga yang dikenakan sebenarnya sangat bebaloi dengan perkhidmatan rawatan yang ditawarkan. Penjagaan pemakanan pesakit amat teliti ,dan pesakit hanya dibenarkan memakan makanan yang disediakan oleh pihak pusat penginapan tersebut. Penulis yang pertama kali mengenali pusat rawatan ini amat bertuah kerana merasakan ia satu nikmat untuk menjadi pengajaran pada diri yang masih sihat. Seharusnya pemakanan seharian perlu dijaga agar tidak menempah sakit di hari tua atau muda lagi. 






Baitul Ibadah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak


  Kebetulan pada hari tersebut, penulis dan sahabat berpuasa. Jadi semasa di pekan, kami telah siap sedia membeli juadah untuk 'iftar' (berbuka) bagi memudahkan pergerakan kerana hari semakin gelap dan yang pastinya perjalannan kami pulang ke Serdang sampai tengah malam. Semasa berjalan di tepi-tepi deretan kedai, penulis ternampak satu gerai burger yang menjual 'Burger Ikan Keli'. Ia sangat menarik perhatian penulis, walaubagaimanapun, penulis tidak berani untuk membelinya, lalu kami membuat keputusan untuk memesan empat burger kambing. Itu yang lebih afdalnya. Penulis dan sahabat mengambil peluang untuk berbuka dan solat berjemaah di masjid berdekatan Anjung Rahmat. Dari jauh kelihatan susuk tubuh surau yang diperbuat daripada kayu yang berwarna biru, di mana atapnya berbentuk ala-ala minangkabau. Kami terus melangkah kaki ke sana tanpa membuang masa kerana mengejar masa. 


Penulis agak pelik dan terkejut kerana mendapati terdapat dua bingkai gambar seorang lelaki yang agak berusia pada dinding atas menghadao kiblat di tempat solat wanita. Setahu penulis, rumah Allah swt tidak boleh dihiasi dengan gambar-gambar manusia apatah lagi patung dan seangkatan dengannya melainkan kalimah Allah dan nama-nama Allah swt. Setelah berbuka dan mengisi perut sedikit, kami terus solat berjemaah bersama empat orang makmum muslimah di situ. 
Seusai solat maghrib, imam dan makmum terus beristihgfar dengan nada yang amat sayu. Pada mulanya, penulis merasakan mungkin mereka sedang melakukan amalan sunat bulan Rejab yang mana dianjurkan kita sentiasa beristighfar. Tapi lama-kelamaan, penulis merasa syak dengan amalan yang dilakukan oleh jemaah di surau tersebut. Setelah beristighfar sebanyak 100 kali, mereka membaca Al-Fatihah mungkin 100 kali seterusnya zikir 'Lailahaillallah' semakin lama semakin laju. Kami hanya tersenyum dan menurut sahabatku ini mereka mungkin merupakan pengikut tariqat.


Kami terus keluar kerana ingin membaca surah Yassin di bilik datuk sahabat penulis. Sebenarnya apakah tariqat? Penulis sendiri belum jelas tentang amalan ini dan belum berkesempatan mencari maksud dan sejarahnya. Walaubagaimanapun, bagi penulis amalan ini tidak salah selagi ia tidak melanggar maksud dan syariat islam. Cuma bagi yang baru mengenali dan mengalaminya seperti penulis dan sahabat sebenarnya amat mempengaruhi keutuhan iman masing-masing sendiri. 


Terdapat banyak lagi amalan yang mereka lakukan seusai solat Isya', cuma mungkin setakat ini dahulu yang dapat penulis kongsikan. InshaAllah, mari sama-sama mencari dan mempelajari apakah tariqat sebenarnya. Moga umat islam sentiasa berada di jalanNYA. Ameen ya Rabbal 'Alamin.


Thursday, March 18, 2010

SubhanaAllah!!! cantiknya aturan Pencipta

Bismillahirrahmanirrahim...


      Kebetulan semalam selepas penulis membaca artikel mengenai 'MATI' di laman puteraazhari.blogspot.com, penulis didatangi oleh seorang wanita yang bermotosikal semasa berjalan pulang ke rumah. Wanita yang memakai hijab itu sebenarnya ingin ke hospital Serdang tetapi tidak tahu jalan dan meminta penulis menunjukkan jalan atau direction untuk ke sana. Memandangkan agak sukar untuk wanita tersebut memahami jalan ke sana, mungkin kerana penerangan yang kurang jelas oleh penulis sendiri lalu penulis mengambil keputusan untuk mengikutinya sendiri ke hospital.  Menurut wanita itu, dia ingin menziarahi jenazah anak kawannya yang baru sahaja meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sepanjang perjalanan melalui UPM dan MARDI menuju ke hospital, penulis mengambil peluang untuk berta'aruf dengan wanita tersebut. Kami seolah-olah telah lama saling mengenali padahal tidak sampai setengah jam kami baru bertemu di tepi jalan. Daripada perbualan kami, rupa-rupanya wanita itu merupakan seorang ibu kepada 3 orang anaknya dan menetap di Sungai Ramal. Perkenalan hasil aturanNYA begitu indah kerana begitu banyak ilmu yang penulis dapat kutip sepanjang satu malam itu bersama Kak Su yang berasal dari Kelantan. Setibanya di hospital, kami segera ke kaunter pertanyaan untuk mendapatkan maklumat mengenai jenazah Hassan yang merupakan anak sulung kepada kawan Kak Su. Menurut petugas kaunter, jenazah telah dibawa ke bilik forensik untuk dibedah siasat lalu kami bergegas ke sana setelah mendapat direction. Perasaan excited muncul kerana penulis teringin sangat masuk ke dalam bilik tersebut kerana sebelum ini penulis pernah bercita-cita untuk menjadi pakar forensik, tetapi Allah s.w.t sebaik-baik perancang. Melalui lorong ke bilik forensik boleh menaikkan bulu roma kerana sangat suci diikuti dengan bau-bau yang kurang menyenangkan. Kami terus ke kaunter Jabatan Bahagian Forensik untuk memohon kebenaran memasuki bilik itu. Malangnya, petugas di situ memaklumkan yang unit mereka tidak menerima sebarang jenazah yang bernama Hassan melainkan mayat Hassan dari Indonesia. Penulis agak kebingungan dan pelik kerana maklumat yang diterima sebelum ini tidak benar. Lalu Kak Su cuba menghubungi keluarga arwah dan sebetulnya jenazah telah dibawa ke rumah setelah polis  hanya mengambil gambar tanpa dibedah siasat. Penulis berfikir-fikir kembali mungkin Allah subhanaAllah masih belum mengizinkan penulis untuk memasuki bilik forensik.


    Alhamdulillah, Kak Su yang nampak muda tetapi jelas banyak pengalaman kerana sering berkongsi pelbagai perkara dengan penulis. Sungguh bertuah kerana mengenali Kak Su. Ada sahaja cerita yang ingin dikongsi dan menyebabkan kami begitu mesra. Menurut Kak Su, dia memang sudah berniat dari awal untul menziarahi arwah dan berhajat untuk ke rumah keluarga arwah yang terletak di Hulu Langat dan bersebelahan dengan rumah ibunya. Kak Su mengajak penulis untuk turut menyertainya. Tanpa berfikir panjang dan ragu, penulis sudi menemani kerana sudah lama penulis tidak menziarahi orang yang telah meninggal dunia. Seingat penulis, jarak ke Hulu Langat jauh tetapi atas rasa prihatin penulis hanya mengikut Kak Su menunggang motosikal ke destinasi. Sepanjang perjalanan itu juga, bermacam-macam perkara negatif yang bermain di fikiran penulis. Betul ke Kak Su nak bawa pergi Hulu Langat? Ke Kak Su nak culik aku? Nau'zhubillah!!! Tetapi Allah s.w.t telah meyakinkan penulis hasil keikhlasan dan niat baik Kak Su untuk menziarahi arwah. Sepatutnya kita tidak boleh bersangka buruk walaupun baru pertama kali mengenali seseorang. 


    Waktu maghrib juga sudah tiba dan penulis meminta Kak Su untuk solat terlebih dahulu kerana kerisauan terlepas waktu Maghrib yang agak singkat. Kami singgah di masjid Hulu Langat untuk menunaikan kewajipan yang difadhukan ke atas setiap muslim.
Rasulullah sallahu 'alaihi wassalam telah bersabda : " Solat itu Tiang agama, sesiapa yang meninggalkan solat, seolah - olah dia telah meruntuhkan agama.."  dan solat adalah perkara pertama sekali yang akan disoal di dalam kubur. Moga kita dan semua umat islam diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk terus menerus menunaikan solat. Ameen. 
Sewaktu ingin solat, malam itu sebenarnya turut berlangsung kuliah Kitab Riadhus As-Salihin oleh seorang ustaz. Penulis agak kurang selesa untuk solat kerana tirai ruang solat wanita telah dibuka. Tidak dapat tidak, solat wajib dilaksanakan biarlah malu di hadapan Allah subhanaAllah Ta'ala, bukan di hadapan manusia. Sebab itu, kakak penulis selalu berpesan,   
' Utamakan pandangan Allah SubhanaAllah Ta'ala, bukan pandangan manusia '. Jadi, perkara ini harus jelas supaya ia tidak merosakkan ibadah yang dilakukan. Hatta, kita boleh bersolat di mana-mana permukaan muka Bumi bukan hanya di rumah Allah subhanaAllah Ta'ala. SubhanaAllah!!! Sungguh Maha Kaya..Dan itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Kak Siti seusai solat, apabila dia mendapati kedua-dua telefon bimbitnya  yang disimpan di dalam jaket telah hilang. "Mungkin itu rezeki dia", Kak Su pasrah dan redha atas ketentuanNYA dan cukup bersyukur kerana menurutnya, dia boleh mendapatkan telefon bimbit yang baru. Penulis cukup sedih dengan sikap manusia zaman sekarang, melakukan perbuatan yang dilarang olehNYA tidak mengira tempat. Walaupun di rumah ALLAH s.w.t sendiri. Sedangkan tempat mulia itu berfungsi sebagai pusat ibadah tetapi dikotori oleh perbuatan terlarang. Moga-moga Allah s.w.t memberi taufiq dan hidayah kepadanya untuk kembali ke jalan yang diredhai. Ameen. 


Perjalanan diteruskan ke kampung Hulu Langat dengan bertemankan malam yang sibuk dengan laluan lori-lori besar di jalan raya. Ia sedikit sebanyak merisaukan penulis kerana keadaan tunggangan kami yang begitu kerdil tambahan pula lampu jalan hanya memancar cahaya yang malap. Sebelum sampai ke rumah arwah, kelihatan ramai para jemaah muslimin yang berpakaian solat di sisi jalan. Menurut Kak Su, arwah sudah berada di tanah perkuburan langsung kami parkir motosikal untuk terus ke sana. Entah kenapa, hati penulis berasa sedikit kegusaran dan ketakutan kerana itulah kali pertama penulis menjejakkan kaki ke tanah perkuburan pada waktu malam. Berbekalkan doa dan kalimah Al-Quran, penulis kuatkan kaki untuk terus melangkah dan melihat dengan lebih dekat upacara pengkebumian. Setibanya kami, jenazah telahpun dikebumikan dan kelihatan beberapa orang ustaz sedang  membacakan talkin di sisi pusara. Hampir seratus orang jiran dan penduduk kampung yang mengenali arwah turut hadir untuk mendoakan pemergian arwah yang terlebih dahulu dipanggil Ilahi. 

Kedengaran juga tangisan kecil, perasaan hiba dan sedih pada wajah-wajah hadir. Penulis juga dapat merasakan kesedihan itu tatkala mendapat tahu bahawa arwah sangat dikenali oleh jiran-jiran sebagai anak yang baik sejak kecil. Kehilangan orang tersayang sangat memedihkan tetapi itulah ketentuan Ilahi. Tiada siapa yang boleh mengubahnya melainkan dengan izinNYA. Sebab itu, setiap yang bernyawa pasti akan menghadapi mati. Seperti mana firman Allah subhanaAllah Ta'ala yang banyak terdapat di dalam Al-Quran, antaranya dalam surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud : " Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan."  Semasa penulis menyalami ibu arwah untuk melafazkan ucapan ta'ziah, beliau begitu lemah tidak berdaya sehingga dipimpin untuk berjalan. Itulah kasih seorang ibu terhadap anak yang dikandung selama 9 bulan dan  tunggu saat dilahirkan serta dibesarkan hingga mencapai usia 22 tahun.  Jika ditanya pada sesiapa sahaja, tiada jawapan yang akan mengatakan seorang ibu gembira  dengan  kematian anaknya. Naluri keibuan yang mendalam ini menyebabkan kehilangan yang dirasai ibarat tali yang tidak bergantung. Sesungguhnya hidup di dunia pinjaman ini, kita sebenarnya adalah bukan milik sesiapa. Dan ingatlah dari DIA kita datang dan kepadaNYA jua kita akan dikembalikan. 

Moga arwah Hassan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat kebebasan azab di dalam kubur. Ameen. 
Malam semakin lewat, Kak Su membawa penulis menziarahi ibunya yang tinggal berhadapan dengan rumah keluarga arwah Hassan. Kesempatan yang ada digunakan untuk bersembang dengan ibu Kak Su yang tampak masih sihat. Memang tidak terkata apabila dua beranak itu bersembang menggunakan loghat Kelantan. Sukar bagi penulis untuk memahami bahasa Kelantan yang sungguh unik itu, mungkin perlu hadir ke kelas bahasa Kelantan. Tetapi ada ke? 
Kami perlu beransur pulang awal kerana perjalanan yang jauh harus ditempuh memandangkan Kak Su mesti menghantar penulis ke Serdang sebelum pulang ke rumahnya di Sungai Ramal, Kajang. Seharian Kak Su menunggang motosikal bermula ke tempat kerja pada paginya sehingga lewat malam tetapi beliau masih tersenyum tanpa menunjukkan rasa penat. Sungguh murni dan ikhlas hatinya kerana melayan penulis dengan begitu baik sekali. Beberapa butir nasihat yang dikongsikan dengan penulis membuatkan penulis begitu kagum dengan ibu muda ini. Apabila diuji, jangan sesekali meninggalkan ibadah-ibadah sunnah dan tahajud kerana di situ Allah subhanaAllah menilai keikhlasan kita dalam menunaikan ibadah padaNYA. Beliau turut mengatakan bahawa apabila ingin mencari calon suami, berdoalah pada Allah subhanaAllah supaya menghadiahkan bakal suami yang lebih baik dari diri  sendiri dan boleh membimbing kita ke jalan yang diredhai, dan jangan sesekali mengharapkan suami yang cukup sempurna sedangkan tiada manusia yang sempurna. 


Perkenalan selama setengah hari ini membuatkan penulis merasakan sungguh indahnya perancangan dan aturanNYA. Setiap hari yang hadir, saat masih bernyawa pasti ada pengalaman yang menjadi bekal untuk dijadikan panduan dalam menyelusuri kehidupan yang penuh cabaran. Tidak kira dalam apa jua keadaan dan apa yang berlaku sebenarnya berkait rapat dengan kehidupan masing-masing. Dari situ, belajarlah untuk mencedok segala yang baik lalu diterjemahkan dalam kehidupan sama ada yang tersirat atau tersirat.


Kak Su, bila agaknya dapat berjumpa lagi...Terima kasih atas segalanya...Alhamdulillah syukur di kurniaan ini Ya Ilahi...

Monday, September 21, 2009

Ibrah Syawal...



Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah 9 syawal sudah berlalu...
Namun banyak ' ibrah ' yang boleh diambil oleh penulis sekeluarga sepanjang perjalanan pulang ke kampung pada hari raya kedua...
Memandangkan adik beradik penulis ramai, ayah memutuskan untuk pulang ke kampung dengan menaiki dua buah kereta tidak seperti sebelum ini dengan van yang mampu memuatkan kami yang masih kecil ketika itu. Pada mulanya penulis agak terkejut kerana memikirkan siapa yang akan memandu kereta satu lagi. Walaupun ada di kalangan kami yang mempunyai lesen, tapi yang ' expert' memandu hanya ayah sahaja. Ibu penulis memang pandai 'drive' tapi jika perjalanan yang jauh adalah berisiko tambahan pula dengan kesesakan kereta dalam musim perayaan eidulfitri kali ini. Jadi, ' confirm' adik lelaki penulis yang akan memandu ' second' kereta untuk pulang ke kampung nanti. Penulis kurang yakin dengannya tetapi hanya berserah kepada Allah s.w.t untuk memandu kami dengan selamat sampai ke destinasi yang akan kami kunjungi.

Berkat bacaan doa yang didahului, kami bertolak agak lewat kerana masing-masing lambat memperkemaskan diri lebih kurang jam 10.15 a.m...
Sepanjang perjalanan, penulis yang duduk di belakang sempat bergurau dengan adik lelaki kedua bongsu kerana sudah lama tidak menyakat beliau. Sesambil mendengar suara deejay radio ikim fm yang sibuk melayan para pendengar menyampaikan ucapan eidulfitri, penulis juga mengambil kesempatan menghantar pesanan ringkas kepada radio ikim untuk menyampaikan ucapan hati raya kepada keluarga penulis yang sedang dalam perjalanan ke kampung termasuk juga atuk dan saudara-mara di kampung.

Memang penulis terhibur dengan coletah deejay dan para pendengar setia ikim fm beserta juga hidangan lagu-lagu raya yang mengimbau nostalgia zaman hari raya penulis di usia kanak-kanak. Penulis juga tidak lupa untuk pesan kepada adik supaya tidak memandu terlalu laju kerana setiap kali ayah penulis memotong kereta di hadapan, adik penulis turut mengikut dari belakang. Ini sangat berbahaya, jadi penulis sentiasa mengawasi adik penulis sepanjang perjalanan.

Sepanjang perjalanan, penulis tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi yang dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok dan sawah padi yang terbentang luas. Subhanallah!!! Sungguh hebat ciptaan Allah s.w.t kerana tanpa tumbuhan manusia tidak dapat bernafas. Tidak sampai satu jam perjalanan, dan saat ketika tiba di suatu jambatan, penulis tidak perasan yang adik penulis memandu dengan laju. Tanpa diduga, adik penulis telah melanggar belakang kereta yang dipandu oleh ayah penulis. Selamat ayah penulis sempat mengelak ke kiri jambatan daripada merempuh kereta di hadapan yang berderet. Kejadian ini berlaku di tengah-tengah jambatan dengan kesesakan kereta yang banyak. Alhamdulillah, penulis begitu bersyukur sangat kerana keluarga kami tidak mengalami sebarang kecederaan cuma penulis seorang sahaja yang mengalami sedikit kecederaan di bahagian mata sebelah kanan. Walaubagaimanapun, keadaan kedua-dua kereta agak teruk di mana masing-masing remuk di bahagian belakang dan hadapan kereta. Penulis sangat terkejut dengan musibah yang menimpa dan hanya beristighfar kerana kejadian yang berlaku begitu pantas dan sekelip mata. Kelihatan ayah penulis begitu tenang, manakala penulis menenangkan adik penulis yang kelima supaya bersabar kerana dia begitu marah dengan sikap adik penulis yang memandu dengan laju ketika berada di atas jambatan. Alhamdulillah, kemalamgan tersebut hanya melibatkan dua buah kereta keluarga penulis sahaja. Jadi, ini lebih mudah untuk ayah penulis membuat keputusan di atas kejadian yang berlaku. Akhirnya, keluarga penulis berpatah balik dengan menaiki dua buah kereta tadi untuk pulang ke rumah sahabat ayah penulis kerana ingin meminjam van supaya dapat meneruskan perjalanan ke kampung seperti yang telah dirancang. Menurut Pakcik Osman ( sahabat ayah penulis ), van tersebut digunakan olehnya untuk menghantar mee kuning yang telah siap dipaket ke pasar-pasar dan kedai tertentu di sekitar Perak dan Kuala Lumpur. Kiranya van tersebut digunakan untuk urusan menghantar barang bagi memudahkan perniagaan yang dijalankan oleh beliau.


Setelah memindahkan semua barang ke dalam van dan menjamu hidangan biskut raya oleh tuan rumah, penulis sekeluarga pun berangkat ke kampung dengan kebergantungan padaNYA sepanjang perjalanan yang selamat. Dalam beberapa jam berlalu, ayah penulis berasa letih dan mengantuk. Oleh itu, adik kelima penulis diminta oleh ayah penulis untuk menggantikannya. Penulis dan adik perempuan penulis hanya beristighfar dan bertasbih supaya dipermudahkan urusan dan selamat sampai ke kampung halaman di atas kejadian yang menimpa. sesiapa yang memperbanyakkan istighfar,nescaya ALLAH akan menjadikan setiap sesuatu kesusahan itu diganti dengan kemudahan, setiap kesempitan itu diberi jalan keluar dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga"....Keluarga penulis berhenti di Masjid Tanjung Karang untuk mengisi perut dengan masakan ibu penulis yang dibawa dari rumah serta menunaikan solat qasar dan jamak bagi fardhu Zuhur dan Asar. Ini kerana perjalanan yang jauh apatah lagi keluarga penulis berada dalam keadaan musafir. Begitu indah dan mudahnya Islam yang meletakkan rukhsah dalam bersolat. Setelah perjalanan hampir setengah hari, sekali lagi keluarga penulis diuji oleh Allah s.w.t. Pada waktu itu, adik penulis memandu dengan had laju yang tinggi kerana melalui lebuh raya. Tiba-tiba adi-adik penulis yang lain bising-bising kerana mereka mendengar seperti ada letupan di bahagian belakang van. Dalam keadaan yang agak kelam kabut ketika itu, ayah penulis menyuruh adik penulis berhenti di sisi jalan dengan cepat kerana dapat menjangka yang tayar van pecah. Penulis sekeluarga keluar untuk melihat tayar belakang sebelah kiri yang pecah dengan teruk sekali. Lagipun menurut penulis, memang keempat-empat tayar dah botak dan tunggu masa hendak pecah sahaja. Ibu penulis hanya terdiam dan adik-adik lelaki penulis membantu ayah penulis untuk menukat tayar tersebut. Selamat ada tayar ‘spare’ yang disediakan oleh Pakcik Osman. Malangnya ‘jek’ untuk meninggikan bahagian tempat terletaknya tayar gagal berfungsi. Justeru, ayah penulis menahan kereta yang melalui lebuh raya tersebut untuk meminjam ‘jek’. Penulis agak kecewa dan sedih kerana tiada satu kereta pun yang berhenti manakala adik perempuan penulis cuba membuat panggilan ke Plus tapi tidak berjaya.

Selang beberapa minit, muncul seorang pemandu teksi berhenti dan meminjamkan jek kepada kami. Alhamdulillah, tayar berjaya ditukar dan ayah penulis mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan. Selepas itu, keluarga penulis pun meneruskan perjalanan dan mengharap tiada perkara yang buruk berlaku lagi. Kadang-kadang penulis berasa lucu dengan kejadian yang berlaku walaubagaimanapun penulis sedar ujian yang berlaku kepada keluarga penulis ada ‘ibrah’ dan hikmahnya. Hampir 10 jam di atas jalan raya, penulis sekeluarga selamat sampai ke kampung lebih kurang jam 930 p.m. Justeru, penulis mengingatkan diri dan sahabat-sahabat supaya membuat persiapan awal seperti men ‘servis’ kenderaan yang akan digunakan untuk pulang ke kampung halaman tidak kira dekat ataupun jauh. Takziah juga penulis ucapkan kepada mangsa-mangsa nahas kemalangan jalan raya semasa hari eidulfitri disambut. Moga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah. Dan kepada keluarga serta saudara tragedi kemalangan jalan raya, di harap bersabar dan redha di atas takdir Ilahi.

Allah Subhanallah telah berfirman :



" Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata " Innalillahi wa inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali " (al-baqarah, 2:155-156 )




Wallahu’alam...