Showing posts with label Kisah masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Kisah masyarakat. Show all posts

Saturday, October 24, 2009

Kecewa....Tahun ni banyak gagal...

Bismillahirrahmanirrahim...


" Orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa muhasabah diri dan beramal untuk kehidupan selepas mati, sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikut hawa nafsu, berangan-angan terhadap Allah swt." ( Riwayat al-Tirmizi no. 2459 )

Kebetulan petang tadi, penulis berkesempatan ber'ym' dengan salah seorang peserta program Kem Remaja Soleh (KReS) yang dijalankan pada bulan Jun yang lalu. Alhamdulillah, kami masih berhubungan  kerana peserta merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik beradik yang sentiasa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari kakak  dan abang yang lebih berusia darinya.Tambahan pula, peserta masih muda dan masih bersekolah di Tingkatan dua. Perkenalan sebagai fasilitator semasa program sebenarnya telah mengikat silaturrahim antara penulis dengan peserta dan adik keduanya.

InshaAllah, penulis akan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk membimbing adik-adik ini selagi termampu. Moga Allah swt membantu dan mempermudahkan urusan penulis. Sebagai seorang kakak, sudah pasti penulis inginkan yang terbaik untuk adik-adik kerana mereka masih mentah dalam kehidupan yang penuh tipu daya.  " Tidaklah kehidupan  dunia ini melainkan kemewahan yang memperdayakan..." ( Al-Imran: 185 ). Justeru, benteng akidah dan iman yang mantap perlu dipasak di dalam diri mereka supaya dapat menepis segala bentuk ancaman dan cabaran yang mendatang.

Tiba-tiba peserta bertanya pada penulis : "Kak, suka Matematik tak?". Matematik adalah subjek kegemaran penulis. Lalu penulis pun menawab :" Akak suka sangat Matematik. Kenapa dik?"  Kata peserta :" Saya gagal Matematik untuk peperiksaan akhir tahun ni."  Penulis pun berkata : " Gagal sekali tak bermakna gagal selama-lamanya. Failure is the road to success. Jadikan kegagalan sebagai cabaran untuk mencapai kejayaan." Tapi peserta masih memberi jawapan yang negatif, " Tapi tahun ni saya dah banyak kali gagal dalam Matematik." Penulis dapat menangkap kekecewaan yang dirasai oleh peserta apabila dia mengeluh banyak kali gagal untuk subjek Matematik tahun ini. Penulis terus bertanya kenapa dia boleh gagal dan apakah masalah yang dihadapi olehnya.  Hasil perkongsian dan luahan bersama peserta ini, penulis boleh membuat kesimpulan yang  sebenarnya peserta tidak minat mata pelajaran Matematik kerana menyebabkan kepalanya pening apabila mula mengira. Tambahan pula, dia tidak suka cara cikgu Matematik yang mengajar. Sebab itu banyak kali dia gagal dalam peperiksaan. Menurut peserta, dia lebih suka mata pelajaran yang memerlukan dia menghafal dan mengingat. 


Allah swt telah berfirman: "...dan boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu; Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." ( Surah Al-Baqarah:216 )

Manusia rambut sama hitam, tapi hati berbeza. Begitu juga dengan minat, bakat dan kemahiran yang dimiliki. Ada pelajar yang minat mengira, tetapi tak minat menghafal dan sebaliknya. Minat atau tidak, suka atau tidak, nak atau tidak, apabila bergelar pelajar sudah tentu mereka tidak boleh lari daripada sistem pendidikan di Malaysia yang memerlukan mereka mempelajari subjek dan silibus yang telah ditetapkan. Tetapi ketahuilah, setiap di antara kita pasti ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Justeru, manfaatkan ia ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah.


" Dipersilakan dengan ceria kepada penuntut ilmu, sesungguhnya penuntut ilmu itu diselubungi oleh para malaikat sehingga bersusun sebahagian ke atas sebahagian yang lain, sehingga sampai ke langit dunia lantaran cinta mereka dengan apa yang dituntut..." ( Hadith Riwayat Imam Ahmad, Al-Tabrani & Al-Hakim ).

Menurut pensyarah penulis, pada zaman dahulu ilmu adalah hak setiap manusia. Tetapi kini, ilmu perlu dibayar di mana setiap kelas atau kuliah yang dihadiri dikenakan yuran.  Betapa tingginya nilai ilmu sehingga perlu dibayar. Sistem pendidikan negara kita adalah cermin kepada sistem pendidikan British yang mana ilmu diperdagangkan, manakala agama dan sains dipisahkan. Padahal kedua-duanya saling melengkapi, dengan adanya agama, wujudnya sains dan teknologi. Ilmu yang sebenar adalah yang akan membawa manusia menuju kepada Yang Esa. Bukan hanya ilmu yang digunakan sebagai alat untuk menggapai kejayaan semata-mata tanpa dimanfaatkan di dalam kehidupan kelak. Berapa ramai manusia yang 'genius' di luar sana yang kesudahan hidupnya amat menyedihkan. Realiti sekarang ramai para pelajar yang belajar semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan. Belajar supaya dapat jawab kertas soalan, bukan untuk mendapatkan 'value' ilmu itu sendiri. Penulis juga melaluinya bila mana tidak dapat mengaplikasikan teori ilmu yang dipelajari dalam kehidupan. Memang sangat merugikan. Sesungguhnya amal yang baik adalah ilmu yang dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat. 
Wahai adik-adikku, ilmu adalah anugerah dan harta yang tidak ternilai. Tanpa ilmu, manusia itu buta, tidak mampu mengenal dunia mahupun akhirat. Sematlah dalam dirimu bahawa ilmu yang dipelajari kerana Allah swt ( Lillahi ta'ala ). InshaAllah, kelak ia merupakan ibadah yang akan membawamu menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Ameen.












Wednesday, September 30, 2009

Apa ada dengan MAQDI?



Bismillahirrahmanirrahim...

"Apabila seseorang bangkit di waktu pagi, semua anggotanya merayu kpd lidah dgn berkata : “Kami minta dgn nama Allah supaya kamu lurus, kerana jika kamu lurus, kami semua menjadi lurus & sebaliknya jika kamu bengkok, kami semua bengkok..”riwayat Abu Said Al-Khudri r.a.


Alhamdulillah, semalam penulis bersama seorang sahabat telah menghadiri temuduga jawatan sebagai 'ustazah' di MAQDI. Memang sebelum ini, penulis berhajat untuk belajar di tempat seperti MAQDI tetapi tidak kesampaian. Allah jua yang mengatur perjalanan hidup hamba-hambaNya seperti mana penulis dan sahabat-sahabat sekarang. Perjalanan kami dari Serdang ke sana  mengambil masa hampir 3 jam setengah kerana itu kali pertama penulis dan sahabat menjejakkan kaki di Bukit Sentosa, Rawang. Syukur alhamdulillah, walaupun perjalanan untuk sampai ke MAQDI menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan, ia tetap tidak mematahkan semangat penulis untuk sampai ke destinasi walaupun yang memandu bukan penulis tetapi sahabat yang sentiasa di sisi.  ( Syukran jazilan atas kerjasama nti, Allah SWT jua yang dapat membalasnya ).

Sahabat mesti tertanya-tanya, apa itu MAQDI?Apa yang ada dengan MAQDI? Macam mana penulis mengenali MAQDI?  Bagi penulis MAQDI sangat istimewa setelah perkongsian cerita oleh mudirnya Ustaz Yahya bin Pikin bersama ahli keluarganya.

... Sedikit perkongsian mengenai MAQDI...

MAQDI adalah nama singkatan bagi Maqtabah Al-Quran Darul Iman. Dengar nama pun mesti sahabat dah tahu apa yang ada dengan MAQDI. Menurut mudir, madrasah ini baru sahaja berpindah lokasi dari Damansara Damai ke Bukit Sentosa, Rawang memandangkan tanah lama kepunyaan orang lain. Penulis begitu kagum dengan Ustaz Yahya sekeluarga kerana mereka membuka madrasah tersebut atas kesedaran dan sumber kewangan sendiri. Tak terbayang susah payah dan jerih perit mereka selama 4 tahun untuk menjadikan MAQDI sebuah pusat pendidikan yang mana tujuan utamanya untuk melahirkan generasi yang berilmu, beragama dan mampu berdikari dalam menghadapi masa mendatang yang semakin hebat persaingannya dalam mengejar kehidupan.

Penubuhan dan pembukaan MAQDI bermula bila mana Pak Ya ( panggilan ustaz yang lebih mesra ) ingin menghantar anak-anaknya belajar di madrasah Kubang Bujuk, Terengganu  tetapi gagal dalam temuduga  kemasukan ke sana. Mereka belajar di Terengganu tetapi di Bukit Kenak sebelum mrenyambung ke maahad lain. Atas sebab itu, Pak Ya dan isterinya membuka madrasah sendiri kerana bagi mereka sesiapa sahaja berhak belajar dan mendapatkan ilmu kerana kita semua bermula dearipada 'kosong'. Sejak itulah, bermula episod perjuangan Pak Ya sekeluarga untuk mendirikan MAQDI sehingga sekarang. Yang mana pelajar-pelajar yang diterima antaranya mereka yang langsung tidak mengenal huruf selain yang sudah boleh membaca untuk membuka ruang seluas mungkin bagi sesiapa yang ingin mempelajari dan mendalami Al-Quran sama ada sepenuh masa bagi kanak-kanak atau separuh masa bagi dewasa dan kanak-kanak. Di MAQDI, para pelajar diwajibkan menghafal Al-Quran dan belajar Tafsir, Ilmu Hadith, Muzakarah kitab, solat, wirid dan perlaksanaan solat-solat sunat, asas bahasa Arab, Inggeris, Matematik, Sains selain Kemahiran Hidup. ( latihan memasak, menjahit, pertukangan kayu, pemasangan paip dan lain-lain asas pertukangan).

Pak Ya juga mendapatkan sumber pendapatan dari hasil ternakan kambing, ayam dan arnab serta penanaman sayuran sendiri sebagai bekalan makanan untuk para pelajar. Memang 100% sumber pendapatan ahli keluarga Pak Ya digunakan untuk menampung perbelanjaan madrasah  tersebut di samping beberapa sumbangan daripada orang ramai. Cuba sahabat-sahabat bayangkan bagaimana Pak Ya dan isteri serta 6 orang anaknya mencari sumber pendapatan setiap hari semata-mata untuk mendirikan MAQDI. Sesungguhnya usaha murni Pak Ya sekeluarga wajar dicontohi dan mudah-mudahan ia menjadi bekalan di akhirat kelak. Ameen. Sebelum ini, penulis juga pernah berhajat untuk membuka satu pusat tahfiz walaubagaimanapun sudah tentu ia memerlukan pelan jangka masa panjang. InshaAllah., doakan penulis berjaya mencapai apa yang diimpikan.

Penulis juga sempat meninjau kawasan sekeliling bangunan madrasah yang disewakan di bangunan kedai setinggi empat tingkat. Walaupun bangunan tersebut nampak lama, tetapi InshaAllah selepas dibaik pulih dan dikemaskinikan akan tampak indah serta menenangkan. Penulis tidak berkesempatan untuk mengambil gambar kerana tidak membawa kamera ketika itu. Di kawasan tersebut terdapat empat bangunan, tetapi Pak Ya hanya menyewa bangunan pertama dan bangunan keempat ( belakang sekali ). Madrasah tersebut terletak di bangunan pertama di mana terdapatnya surau, pejabat, asrama pelajar. dewan makan, dapur, tempat belajar dan asrama cikgu. Manakala bangunan belakang pula digunakan sebagai tempat tinggal haiwan ternakan seperti kambing, ayam dan arnab. Penulis sangat terkejut sebab itu kali pertama penulis dapat lihat haiwan ternakan di dalam bangunan berdindingkan batu bukan kandang yang diperbuat daripada kayu. Memang sekarang zaman sudah moden Dekat mana-mana boleh ternak haiwan asalkan tidak menganggu keselamatan dan keselesaan orang awam. Bak kata pepatah ' Nak seribu daya, taknak seribu dalih' . Mesti banyak cara dan kena kreatif untuk meneruskan kehidupan.

Sedar tak sedar, penulis leka berbual dengan keluarga Pak Ya sehingga tidak perasan hari semakin lewat dan hujan pun mula turun renyai-renyai. Jadi penulis dan sahabat meminta diri untuk pulang sebelum hujan yang lebih lebat akan turun dan bila-bila masa akan menganggu perjalanan kami pulang.
Moga bertemu kembali MAQDI..InshaAllah..

Cuna masa sekarang, penulis perlu membuat keputusan sama ada hendak menerima jawatan ustazah tersebut atau pun tidak. Sukar untuk penulis membuat keputusan berdasarkan beberapa faktor. Pandangan sahabat-sahabat bagaimana pula? Adakah penulis wajar menerima jawatan tersebut? lnshaAllah semua aturanNYA.


“ Carilah HIKMAH dlm setiap ketentuan ALLAH, spaya timbul rasa KESABARAN & KESYUKURAN, setiap yg payah pasti ada kesenangan, setiap kesabaran pasti ada GANJARAN..yakinlah dgn janji ALLAH". ( Muhammad : 7 )