Saturday, October 24, 2009

Kecewa....Tahun ni banyak gagal...

Bismillahirrahmanirrahim...


" Orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa muhasabah diri dan beramal untuk kehidupan selepas mati, sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikut hawa nafsu, berangan-angan terhadap Allah swt." ( Riwayat al-Tirmizi no. 2459 )

Kebetulan petang tadi, penulis berkesempatan ber'ym' dengan salah seorang peserta program Kem Remaja Soleh (KReS) yang dijalankan pada bulan Jun yang lalu. Alhamdulillah, kami masih berhubungan  kerana peserta merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik beradik yang sentiasa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari kakak  dan abang yang lebih berusia darinya.Tambahan pula, peserta masih muda dan masih bersekolah di Tingkatan dua. Perkenalan sebagai fasilitator semasa program sebenarnya telah mengikat silaturrahim antara penulis dengan peserta dan adik keduanya.

InshaAllah, penulis akan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk membimbing adik-adik ini selagi termampu. Moga Allah swt membantu dan mempermudahkan urusan penulis. Sebagai seorang kakak, sudah pasti penulis inginkan yang terbaik untuk adik-adik kerana mereka masih mentah dalam kehidupan yang penuh tipu daya.  " Tidaklah kehidupan  dunia ini melainkan kemewahan yang memperdayakan..." ( Al-Imran: 185 ). Justeru, benteng akidah dan iman yang mantap perlu dipasak di dalam diri mereka supaya dapat menepis segala bentuk ancaman dan cabaran yang mendatang.

Tiba-tiba peserta bertanya pada penulis : "Kak, suka Matematik tak?". Matematik adalah subjek kegemaran penulis. Lalu penulis pun menawab :" Akak suka sangat Matematik. Kenapa dik?"  Kata peserta :" Saya gagal Matematik untuk peperiksaan akhir tahun ni."  Penulis pun berkata : " Gagal sekali tak bermakna gagal selama-lamanya. Failure is the road to success. Jadikan kegagalan sebagai cabaran untuk mencapai kejayaan." Tapi peserta masih memberi jawapan yang negatif, " Tapi tahun ni saya dah banyak kali gagal dalam Matematik." Penulis dapat menangkap kekecewaan yang dirasai oleh peserta apabila dia mengeluh banyak kali gagal untuk subjek Matematik tahun ini. Penulis terus bertanya kenapa dia boleh gagal dan apakah masalah yang dihadapi olehnya.  Hasil perkongsian dan luahan bersama peserta ini, penulis boleh membuat kesimpulan yang  sebenarnya peserta tidak minat mata pelajaran Matematik kerana menyebabkan kepalanya pening apabila mula mengira. Tambahan pula, dia tidak suka cara cikgu Matematik yang mengajar. Sebab itu banyak kali dia gagal dalam peperiksaan. Menurut peserta, dia lebih suka mata pelajaran yang memerlukan dia menghafal dan mengingat. 


Allah swt telah berfirman: "...dan boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu; Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." ( Surah Al-Baqarah:216 )

Manusia rambut sama hitam, tapi hati berbeza. Begitu juga dengan minat, bakat dan kemahiran yang dimiliki. Ada pelajar yang minat mengira, tetapi tak minat menghafal dan sebaliknya. Minat atau tidak, suka atau tidak, nak atau tidak, apabila bergelar pelajar sudah tentu mereka tidak boleh lari daripada sistem pendidikan di Malaysia yang memerlukan mereka mempelajari subjek dan silibus yang telah ditetapkan. Tetapi ketahuilah, setiap di antara kita pasti ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Justeru, manfaatkan ia ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah.


" Dipersilakan dengan ceria kepada penuntut ilmu, sesungguhnya penuntut ilmu itu diselubungi oleh para malaikat sehingga bersusun sebahagian ke atas sebahagian yang lain, sehingga sampai ke langit dunia lantaran cinta mereka dengan apa yang dituntut..." ( Hadith Riwayat Imam Ahmad, Al-Tabrani & Al-Hakim ).

Menurut pensyarah penulis, pada zaman dahulu ilmu adalah hak setiap manusia. Tetapi kini, ilmu perlu dibayar di mana setiap kelas atau kuliah yang dihadiri dikenakan yuran.  Betapa tingginya nilai ilmu sehingga perlu dibayar. Sistem pendidikan negara kita adalah cermin kepada sistem pendidikan British yang mana ilmu diperdagangkan, manakala agama dan sains dipisahkan. Padahal kedua-duanya saling melengkapi, dengan adanya agama, wujudnya sains dan teknologi. Ilmu yang sebenar adalah yang akan membawa manusia menuju kepada Yang Esa. Bukan hanya ilmu yang digunakan sebagai alat untuk menggapai kejayaan semata-mata tanpa dimanfaatkan di dalam kehidupan kelak. Berapa ramai manusia yang 'genius' di luar sana yang kesudahan hidupnya amat menyedihkan. Realiti sekarang ramai para pelajar yang belajar semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan. Belajar supaya dapat jawab kertas soalan, bukan untuk mendapatkan 'value' ilmu itu sendiri. Penulis juga melaluinya bila mana tidak dapat mengaplikasikan teori ilmu yang dipelajari dalam kehidupan. Memang sangat merugikan. Sesungguhnya amal yang baik adalah ilmu yang dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat. 
Wahai adik-adikku, ilmu adalah anugerah dan harta yang tidak ternilai. Tanpa ilmu, manusia itu buta, tidak mampu mengenal dunia mahupun akhirat. Sematlah dalam dirimu bahawa ilmu yang dipelajari kerana Allah swt ( Lillahi ta'ala ). InshaAllah, kelak ia merupakan ibadah yang akan membawamu menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Ameen.












No comments:

Post a Comment