Bismillahirrahmanirrahim...
Mabruk ! Tahniah ! Congratulation ! buat Kak Faridah dan suami kerana telah selamat mendirikan masjid. Moga-moga mahligai yang dibina terus berkekalan hingga ke akhir hayat, menjadi isteri yang solehah seterusnya dapat membina keluarga sakinah.Ameen.
Penulis tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis walimah Kak Faridah sekeluarga kerana mempunyai taklifan yang perlu diutamakan dahulu. Walaubagaimanapun penulis mendoakan semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan urusan. Rabbuna Sahl.
Alhamdulillah sepanjang perkenalan yang singkat dengan Kak Faridah, kemesraan dan keramahan beliau telah membuatkan ikatan ukhuwah antara kami sangat akrab. Kak Faridah memang tidak lokek dengan senyuman malah sentiasa memjadi tempat rujukan adik-adik untuk mendapatkan ilmu. Sesungguhnya ikatan yang terbina akan diredhai oleh Allah swt bilamana kita menyayangi sahabat kita melebihi dari diri sendiri. InshaAllah.
Penulis rasa bertuah dan bersyukur kerana ditakdirkan Allah swt untuk mengenali Kak Faridah kerana banyak perkara yang penulis belajar daripadanya. Perwatakan yang 'simple' dan bijak mengeluarkan pendapat sangat menarik hati penulis untuk mengenali beliau dengan lebih dekat. Moga tautan hati antara kita berpanjangan dan mendapat redhaNya. Ameen.
' Seorang sahabat yang baik mampu mencerahkan siang yang mendung dan mampu menyinari malam yang kelam kerana sahabat itu bagaikan permata yang wujud di dalam tanah yang gelap tetapi tinggi nila sebenarnya di muka bumi. Moga hati kita terikat dengan ukhuwah islamiyyah.'
Khas buat dirimu yang bergelar isteri:
Satu kisah diceritakan, seorang lelaki hendak keluar dari rumah lalu berjanji kepada isterinya supaya tidak turun dari rumahnya di bahagian atas ke bawah. Padahal ayah si isteri sedang sakit di bawah. Si isteri menyampaikan utusan kepada Rasulullah saw memohon izin untuk turun menziarahi ayahnya. Rasulullah saw berkata: " Taatilah suamimu!". Sehingga ayahnya meninggal. Maka, dia menyampaikan lagi utusannya kepada Rasulullah saw untuk menziarahi ayahnya. Rasulullah saw mengatakan: "Taatilah suamimu." Akhirnya, ayah si isteri telah meninggal dunia dan Rasulullah saw menyampaikan utusannya kepada perempuan itu dan mengkhabarkan kepadanya bahawa ayahnya telah mendapat keampunan dari Allah swt kerana ketaatannya kepada suaminya. Subhanallah !!!
Rasulullah saw bersabda : " Manakala seorang perempuan telah solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga farajnya dan mentaati suaminya. Masuklah dia ke syurga TuhanNya..."
Rasulullah saw juga bersabda :
" Aku melihat isi neraka ternyata kebanyakkan penghuninya adalah perempuan." Kami bertanya: " Mengapa wahai Rasulullah?". Baginda berkata : " Mereka banyak bersumpah dan meremehkan suami yang miskin."
Dari riwayat lain: " Aku melihat syurga, ternyata sedikit sekali perempuan." Aku bertanya: " Di manakah perempuan?" Baginda menjawab : " Mereka sibuk dengan arak, emas dan za'farah (perfume).
Aishah ra berkata : "Seorang gadis datang kepada Rasulullah saw, dia berkata : " Ya Rasulullah, aku seorang gadis yang telah dilamar. Namun aku tidak suka berkahwin. Maka apakah kewajipan isteri terhadap suami?" Rasulullah saw bersabda : "Kalau dari hujung rambutnya sampai hujung kakinya penuh nanah, lalu kamu menyikatnya, itupun belum cukup kesyukuranmu kepadanya." Gadis itu berkata: " Aku tidak akan berkahwin!" Rasulullah saw berkata : " Kahwinlah, itu lebih baik."
Sedikit bingkisan buat dirimu sang suami:
Kewajipan seorang suami kepada isteri antara lainnya ialah menggaulinya dengan baik dan menahan diri atas tingkah laku suami yang kadang-kadang menyakitkan kerana kependekkan akal si isteri.
Allah swt berfirman : " Dan pergaulilah mereka dengan makruf..." ( An-Nisa' : 19 )
Rasulullah saw bersabda : " Siapa yang sabar atas keburukan akhlak isterinya, Allah swt memberinya pahala seperti bala yang telah diberikan Nabi Ayub as. Dan siapa yang sabar atas keburukan akhlak suaminya, Allah swt memberinya seperti pahala Asiah, isteri Firaun."
Wasiat baginda Rasulullah saw yang terakhir sekali ada 3 perkara. Baginda bersabda :
" Solat, solat. Dan janganlah kamu bebani hambamu dengan sesuatu di luar kemampuan mereka, dan takutlah kepada Allah swt dalam hal wanita. Mereka adalah para tawanan ditanganmu. Kau ambillah mereka dengan amanat Allah swt dan aku minta halal farajnya dengan kalimat Allah swt pula."
Harapan penulis kepada sahabat-sahabat yang akhir mengakhiri zaman bujang dan dara, persiapkanlah diri kalian dengan bekalan ilmu rumahtangga kerana perkahwinan yang sebenar adalah ibadah kepada Allah swt tanpa berkurang sedikitpun.
' Berkahwin itu ibadah, berusaha untuk berkahwin juga ibadah, yang muktamad di akhir kesimpulan hidup bukanlah hidup untuk membujang , tetapi hidup dalam ibadah. Kerna itu tujuan Dia mencipta kita. Berkahwin adalah satu peringkat hidup untuk menambah fungsi dalam kehidupan. Tanpa berkahwin, kehidupan masih sebuah kehidupan dan tanggungjawab kita adalah untuk berterusan mentaatiNya sama ada dalam perkahwinan atau luar perkahwinan.'
( Kata-kata seorang syeikh Mesir )
Rujukan : Mukashafah Al-Qulub( Imam Al-Ghazali )
No comments:
Post a Comment