Friday, October 16, 2009

Malam Simfoni Kesyukuran 2 ...Tribute to Ustaz Asri Hj. Ibrahim...



Bismillahirrahmanirrahim...
  
       " Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka ia sungguh telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang yang memperdayakan." ( Ali-Imran : 185 )


"Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" (An-Nisa': 78)

      Hampir sebulan lebih  Allahyarham Ustaz Asri Hj. Ibrahim telah meninggalkan kita, meninggalkan dunia yang hanya sementara dan yang pasti Allah SWT lebih menyayanginya. Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan pimpinan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) dan Rabbani Productions (M) Sdn Bhd kerana menganjurkan konsert sempena memperingati Allahyarham Ustaz Asri Hj. Ibrahim.

Kebetulan penulis mendengar tentang program tersebut di radio kegemaran penulis iaitu IKIM.fm 'Pilihan Utama.' Dan pada waktu itu adalah Segmen ' Carta Nasyid' yang diterbitkan oleh Deejay Erwan Johari yang sentiasa mendapat tempat di hati pendengar apabila lagu-lagu yang diputarkan sangat 'best'. Manakala artis jemputan pada hari Jumaat itu ialah saudara Suffian (Saujana) dan Amran (Raihan) bersama pengarah program dari UIAM iaitu saudara Nazli. Jadi, penulis terus mengambil keputusan untuk menghadirkan diri ke konsert tersebut pada 13 Oktober yang lalu kerana pada waktu yang sama, penulis juga ingin bertemu dengan sahabat lama yang masih belajar di sana setelah 4 tahun tidak bertemu.

Alhamdulillah, beberapa orang sahabat penulis ingin turut serta ke konsert tersebut dan kami bercadang untuk membuka 'booth' di sana. Memandangkan salah seorang sahabat penulis ditugaskan menjual buku surah Yassin, penulis mula menghubungi urusetia konsert untuk menyewa tapak pada malam tersebut. Seperti yang dirancang, penulis bersama tiga orang lagi sahabat telah bertolak menaiki kereta dari UPM lebih kurang pukul 6.30 petang setelah mengambil barang-barang untuk dijual di kedai PMIUPM. Hampir 1 jam perjalanan, kami tiba agak lewat kerana pusing-pusing mencari dewan utama UIA di mana tempat konsert tersebut berlangsung.

Memang tidak dinafikan, nasyid masih ada tempat di hati pencinta nasyid. InshaAllah. Bagi penulis, tanpa hiburan islam sudah pasti umat islam masa kini lebih terdedah dengan hiburan yang menyeksa telinga, apatah lagi jiwa dan hati manusia. Walaupun nasyid hanya diminati oleh golongan tertentu, penulis yakin dengan lagu dan lirik nasyid yang memuji kebesaran Ilahi boleh melembutkan hati-hati yang keras. Perjuangan pejuang-pejuang nasyid juga tidak boleh dipandang enteng, kerana mereka merupakan duta kepada imej Islam itu sendiri. Sudah tentu setiap gerak geri mereka diperhatikan oleh masyarakat dan juga pihak media.

Justeru, penulis juga bersetuju dengan kata-kata sahabat-sahabat Allahyarham adalah seorang ' pahlawan' dan 'pejuang' nasyid. Suara beliau sangat menikam kalbu sehingga mesej lagu yang disampaikan sentiasa membekas dalam jiwa. Tiba-tiba penulis teringat lagu ' Mana milik kita ' yang sangat bermakna maksudnya.

Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 19 yang bermaksud: "...dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."

Sebelum ini, penulis pernah bekerjasama dengan Rabbani Productions bersama sahabat-sahabat GAMIS semasa menganjurkan 'Konsert Antara Dunia' ( KAD 09 ) pada awal Ogos yang lalu. Pengalaman yang sekejap bersama arwah memang penulis tidak dapat lupakan. Pertama kali bertemu beliau, penulis dapat menggambarkan bahawa arwah merupakan seorang yang sangat dihormati kerana kepimpinannya dalam bekerja dan bersahabat. Arwah juga sentiasa menjadi tempat rujukan bagi penasyid-penasyid yang lain berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh beliau semenjak zaman Nada Murni lagi.

 

Berbalik pada Malam Simfoni Kesyukuran 2 yang lepas, terdapat juga persembahan dari kumpulan nasyid lain yang turut diundang bagi memeriahkan malam tersebut. Antaranya ialah Raihan, Hijjaz, In-team, Saujana, Far-East, Syifa' dan Rabbani sendiri. Alhamdulillah, dengan tajaan Telekom Malaysia (TM) dan beberapa penaja lain memerlukan penulis dan penonton lain hanya perlu membayar harga tiket sebanyak RM6.00 sahaja. Memang berbaloi.
Sepanjang malam itu, tujuh kumpulan nasyid telah membuat persembahan bagi mengembalikan nostalgia bersama arwah, ia turut diselang selikan dengan tayangan slide mengenai perjalanan arwah dalam industri nasyid itu sendiri.

Selain itu, isteri dan anak-anak arwah juga diraikan dan penyampaian sumbangan kepada ahli keluarga arwah turut dijalankan sebagai tanda penghargaan di atas segala usaha arwah dalam memartabatkan industri nasyid agar dapat diteruskan oleh rakan-rakan seperjuangan yang lain. Sememangnya arwah menjadi 'idola' dan pembakar semangat bagi anak-anak muda yang baru berjinak dalam industri ini.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Ameen... Yang pergi pasti tak akan kembali. Dan kepada keluarga arwah, redhalah dengan pemergian arwah kerana Allah SWT lebih menyayanginya. Moga terus tabah dan diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. InshaAllah, Allah SWT sentiasa bersama kalian...
" La Tahzan, innallaha ma'ana..."









No comments:

Post a Comment