Monday, October 26, 2009

Rumah sewa baru



Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini, penulis agak keletihan sampai tertidur sekejap seusai solat maghrib tadi. Ini kerana hampir separuh hari penulis bersama 3 orang sahabat lagi berhempas pulas membersihkan rumah sewa baru yang bakal kami duduki awal November nanti. InshaAllah. Alhamdulillah, kerja pembersihan, mengecat dan membasuh rumah turut dibantu oleh 3 orang lagi sahabat yang lain. Jadi, kerja kami menjadi lebih mudah dan dapat diselesaikan dengan lebih cepat. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Hidup dalam bermasyarakat kenalah saling bantu membantu agar kehidupan lebih harmoni dan sejahtera.


Allah swt juga amat suka pada manusia yang saling tolong menolong seperti mana firmanNya dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: "...Dan tolong menolonglah kamu dalam  (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah sangat berat seksa-Nya..."


Merujuk kepada tafsir Ibnu Katsir, makna umum ayat ini ialah Allah swt memerintahkan semua hamba-Nya agar sentiasa tolong menolong dalam melakukan kebaikan-kebaikan yang termasuk kategori Al-Birr dan mencegah dari terjadinya kemungkaran sebagai realisasi dari taqwa. Sebaliknya Allah swt melarang segala jenis perbuatan batil yang melahirkan dosa dan permusuhan.
Sikap tolong menolong ini juga sama dengan konsep 'ta'awun' yang mana telah digariskan oleh Imam Syahid Al-Banna. Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya juga ada menyebut bahawa bentuk ta'awun secara aplikasi biasanya terdapat beberapa bentuk. Di antaranya ialah seorang alim boleh membantu manusia dengan ilmunya, seorang yang kaya boleh membantu orang lain dengan hartanya, seorang yang berani membantu dengan keberaniannya berjuang di jalan Allah swt dan sebagainya. Oleh itu, setiap manusia boleh membantu orang lain mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Justeru, marilah kita merebut peluang untuk membantu orang lain.

InshaAllah, apabila kita mempermudahkan urusan orang lain ia sebenarnya juga adalah bentuk sedekah. Bukan hanya menderma dikira sedekah, tetapi menjaga kesihatan diri sendiri juga dianggap sedekah pada diri sendiri. Apatah lagi apabila kita membantu menyelesaikan masalah orang lain. Yang pasti, biarlah kita menolong ikhlas kerana Allah swt bukan kerana mengharapkan balasan ataupun riak. Nauzubillahi min zalik. 

Dalam hal ini juga, kita tidak boleh memilih pangkat, darjat dan agama seseorang apabila ingin menghulurkan bantuan. Bantulah sesiapa yang memerlukan kerana itu akhlak yang diajar oleh baginda Rasulullah sallallahu alayhi wa salam.


Penulis amat gembira sekiranya kita sebagai umat islam saling tolong menolong dalam melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar bukan hanya meletakkan tugas itu di bahu para pendakwah sahaja tetapi tugas di bahu masing-masing.
Moga-moga sikap tolong menolong yang disemai dalam diri setiap muslim akan mewujudkan sebuah ikatan ukhuwwah islamiyyah yang utuh. Ameen.

" ...Sesungguhnya mukmin itu bersaudara..." ( Al-Hujurat : 10 )





No comments:

Post a Comment