Showing posts with label Nasyeed. Show all posts
Showing posts with label Nasyeed. Show all posts

Thursday, April 15, 2010

NUR MUHAMMAD

Bismillahirrahmanirrahim......

  
   Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ketiga berturut-turut penulis dapat menjejakkan  kaki ke Pesta Buku bagi tahun 2010. Dan sudah tentu penulis tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana di sana terdapat pelbagai jenis bahan bacaan yang sentiasa menggoda penulis untuk memilikinya dengan tawaran harga yang sangat berbaloi-baloi daripada harga biasa di pasaran. Jadi, persediaan kewangan yang secukupnya amat penting supaya bahan bacaan yang diingini dapat dibeli. Menjadi kebiasaan bagi penulis membeli bahan bacaan untuk adik-adik kesayangan. Kebetulan pada hari keempat terakhir Pesta buku, seorang sahabat penulis yang merupakan Komuniti Teman Inteam (KTI) telah mengajak penulis ke Pesta Buku sempena pelancaran dan persembahan nasyid oleh Inteam dan Unique.   Alhamdulillah, pada ketika itu penulis agak berkelapangan dan berkesempatan untuk bersamanya memberi sokongan pada kumpulan nasyid tersebut. 


Sesampai di sana, kelihatan begitu ramai kelibat manusia di setiap 'booth' yang tersedia dengan hasil produk masing-masing. Sungguh teruja dengan sikap rakyat Malaysia yang sebenarnya suka membaca. Di satu ruang legar besar, disediakan satu pentas utama bagi sebarang upacara perasmian dijalankan dan si situlah majlis pelancaran album ' Nur Muhammad' dijalankan. Kesempatan ini sangat berharga bagi penulis kerana lagu-lagu yang disampaikan sangat meruntun jiwa supaya kembali menyusuri lembaran kisah hidup dan pengorbanan Pesuruh Allah; Nabi Muhammad s.a.w. Budaya selawat juga kurang diterapkan di dalam kehidupan masa kini, dan inilah salah satu alternatif yang sangat bersesuaian bagi umat islam untuk mengambilnya sebagai langkah pengenalan seterusnya  pengamalan selawat ini direalisasikan. 


Penulis sangat menghargai usaha yang dijalankan oleh pihak Inteam Records ini. Yang menariknya terdapat satu lagu yang sangat istimewa kerana turut menggunakan kombinasi bahasa Melayu, Cina dan India. Ini menunjukkan pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia dan sudah tentu ini merupakan salah satu usaha mendekati golongan bukan islam supaya mereka dapat mengetahui islam melalui sentuhan alunan nasyid. Kulit album yang berhiaskan warna merah jambu juga sangat menarik dan membuatkan peminat begitu terpegun lantas berusaha untuk mendapatkannya termasuklah penulis sendiri. Pemilihan pakaian jubah serba putih, diserikan lagi dengan serban dan penggunaan tongkat sebenarnya menjelaskan tentang pakaian sunnah Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada umum tidak mengira agama bahawa inilah yang telah diamalkan oleh Rasulullah s.a.w dan sewajarnya dibudayakan. Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Barangsiapa yang mengamalkan sunnahKu, maka dia akan berjaya di dunia dan di akhirat."
Tidak ada istilah ganjil atau pelik bagi masyarakat moden kerana dengan cara ini sahaja, budaya barat atau kuning dapat ditepis dan dinyahkan dalam kehidupan yang penuh dengan kemungkaran.  Hanya yang benar-benar mantap dan teguh imannya berjaya mempraktikkan sunnah ini sejajar dengan hadith dan QalamNya. 


Sungguh beruntung orang yang berusaha mendapatkan album ini dek kerana gabungan serta paduan dua kumpulan nasyid ini sangat mantap dan memukau penonton. Seterusnya menjadikan lagu dan lirik yang dinyanyikan oleh mereka berjaya membuatkan hati-hati yang mendengar tunduk padaNYA. Moga setiap alunan suara menyebut dan menghayati selawat ini akan menjadi bukti sayang kita pada baginda s.a.w yang akhirnya akan mendatangkan manfaat pada kita khususnya umat Islam di akhir zaman. Ameen. InshaAllah.


Sokonglah industri nasyid tanah air dan belilah album yang original.
Moga usaha yang dijalankan ini dapat keberkatan dariNYA dan akhirnya demi manfaat bersama. Ameen.

Monday, January 18, 2010

Warna warni Sebuah Perjalanan- ( Mari menyumbang )

Bismillahirrahmanirahim....




   Begitu lama rasanya penulis tidak  meng'update' blog serikandisyurga ini. Mungkin kerana kesibukan penulis dengan komitmen dan tanggungjawab yang perlu diutamakan menyebabkan blog ini agak kesepian tanpa berita. InsyaAllah, dengan peluang dan ruang yang telah diberikan olehNya, penulis akan terus berkongsi serba sedikit pengalaman  dan pengetahuan yang dimiliki oleh penulis walaupun tidak sehebat seperti blogger-blogger di luar sana.  Asalkan ia mudah dibaca dan mesej yang ingin penulis sampaikan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para pembaca. InsyaAllah. Selain itu, ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan diri  penulis yang sering alpa dan lemah ini. Walauapapun yang terjadi, perjalanan mesti diteruskan hatta diri dihimpit pelbagai masalah dan ujian  kehidupan.  Sesuailah dengan hadith Rasulullah sallallahu 'alayhi wassalam yang bermaksud " Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan." Dunia hanya tempat persinggahan yang sementara, apa yang ditemui sepanjang perjalanan, kutiplah dan semailah segala yang baik manakala yang tidak baik dijadikan iktibar dan sempadan. Tiada perjalanan yang akan mengajar erti kehidupan jika tiada halangan yang akan ditempuh oleh para musafir atau pengembara. Sungguh indah apabila para pengembara dapat merenungi dan merentasi segala onak duri dengan pandangan kasih sayang pada Ilahi. SubhanaAllah!!!Allah Maha Besar!!!



.......Konsert Lagi (^_^)......
    Alhamdulillah, kali ini penulis masih berpeluang untuk ke konsert nasyid lagi. Memang penulis peminat nasyid agaknya. Semenjak kecil, sudah didedahkan dengan irama nasyid dan yang paling tidak sangka terpilih untuk menyertai kumpulan nasyid sekolah semasa sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama. Memang seronok apabila mengimbas nostalgia dan zaman sewaktu kanak-kanak dulu. Tetapi apabila penulis memasuki peringkat sekolah menengah, penulis hanya sempat bernasyid semasa tingkatan satu sahaja dan ia terhenti sehinggalah sekarang. Itu adalah masa lampau dan ia hanyalah minat sahaja dan tidaklah sampai ingin melibatkan diri secara serius dalam bidang nasyid yang semakin tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pada suatu ketika,dek kerana minat pada nasyid menyebabkan penulis, kakak sulung dan adik perempuan berpakat-pakat membeli kaset nasyid yang berlainan penyanyi agar kami dapat mendengar semua lagu-lagu nasyid dan bertukar-tukar kaset. Dan yang paling tidak dapat penulis lupakan apabila pertama kali dapat menonton konsert nasyid secara langsung sejurus tamat Sijil Penilaian Malaysia. Dan selepas itu semakin kerap penulis dapat menyaksikan konsert nasyid kerana dipermudahkan untuk menghadirinya. Wallahu'alam.

Konsert Amal Nazrey Johani Tour De Hafiz di KUIS.

  Setelah dapat makluman tentang konsert ini, penulis terus mengambil keputusan untuk menghadirinya kerana konsert kali ini melibatkan artis nasyid yang paling ramai. Tambahan pula, harga tiket untuk masuk ke sana amat murah dan sudah pasti ramai yang mampu untuk membelinya. Sebelum berjaya sampai ke sana, penulis sebenarnya tercari-cari siapa yang dapat pergi dan menemani penulis. Alhamdulillah, akhirnya penulis dapat mengajak dua orang sahabat untuk turut serta dalam konsert tersebut. Dan yang paling penulis sangat terharu dan hargai adalah keprihatinan Kak Yati yang sudi menghantar kami ke KUIS setelah  hampir ramai yang penulis hubungi, rata-rata tidak dapat menyertai penulis kerana komitmen masing-masing. Penulis rasa begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk menyaksikan konsert amal tersebut kerana penulis juga akan bertemu dengan sahabat-sahabat dari Nasyidfm buat kali pertama terutamanya Kak Ina, Kak Faqirah, Kak Baiti dan lain-lain. Terasa ukhwah yang sangat utuh walaupun baru bersua apatah lagi seketika. Syukran lillah atas kerjasama dan layanan yang begitu mesra sekali daripada kalian. InsyaAllah, moga Allah swt merahmati dan memudahkan urusan kalian. Sememangnya nasyidfm pilihan utama juga selain radio ikim.fm. 

Kembali semula kepada konsert amal, penulis sangat terhibur dengan persembahan yang telah disampaikan oleh setiap artis nasyid yang dijemput pada malam tersebut. Kesemuanya sangat memuaskan dan moga-moga mesej lagu yang ingin disampaikan dapat dimanfaatkan oleh ratusan yang hadir malam itu.  Antara kumpulan dan artis nasyid solo yang turut terlibat pada malam itu adalah Nahwan Nur (UPM), All One, Algebra, Nice,Suhaimi, As-Saufee, Saujana, Devotees, Hijjaz dan Nazrey Johani. Tahniah diucapkan kepada semua...Moga usaha kalian dalam memartabatkan dakwah islam melalui medium nasyid dipermudahkan dan mendapat redhaNya. Ameen.


 Disebalik Konsert Amal Nazrey Johani
  Rupa-rupanya baru penulis dapat tahu yang sebenarnya sungguh besar dan murni hajat Nazrey Johani tentang konsert kali ini. Ia bertujuan untuk mengutip dana daripada orang ramai bagi menjayakan rancangan beliau untuk membina Kompleks Tahfiz Syahadah di Ranau, Sabah iaitu di tempat lahir beliau. Ternyata dari riak wajahnya yang tulus itu harapan yang besar untuk membina kompleks itu menjadi kenyataan kerana menurut beliau di Sabah masih tiada lagi madrasah atau sekolah tahfiz. Usaha yang dijalankan ini memerlukan peruntukkan yang tinggi bagi membina bangunan dan kemudahan sebuah kompleks. Ini kerana beliau sangat berharap dapat membantu saudara-saudaranya di Sabah mendalami islam dengan mudah dan mendapat pendidikan islam yang sewajarnya seperti mana saudara seislam di Semenanjung. Justeru, beliau telah membuat konsert 'tour de Hafiz' mengelilingi kampus-kampus seluruh dunia bagi mengumpul dana dan sumbangan daripada orang ramai dalam menjayakan hasrat beliau mendirikan kompleks tahfiz. Sememangya, penulis sangat tersentuh dengan semangat juangnya yang tinggi sehingga sanggup meninggalkan kumpulan Raihan suatu ketika dahulu semata-mata ingin  berdakwah dan membantu saudara-saudaranya di Sabah. Justeru, ayuh menyumbang...bantulah dan ringankan lah beban saudara kita. Moga-moga usaha ini dapat membantu kita di akhirat kelak...InsyaAllah.


Marilah menderma dan lakukan sekarang...

sila layari blog ustaz Nazrey Johani untuk keterangan lanjut...



http://nazreytahfizsyahadah.blogspot.com/
 
Moga Allah s.w.t mempermudahkan urusanmu Ya Ustaz, kami di sini sentiasa mendoakanmu dan membantu yang mana mampu....Moga terus kuat dan tabah menhadapi liku-liku perjuangan dalam kehidupan. Itulah namanya sunnah orang berjuang seperti lagu Suara Hidayah yang sering dinyanyikan olehmu. Hidayah harus dicari...Kerna di situ tercipta suatu titik perubahan yang bakal menggegarkan dunia yang sementara.
 
 

    

Friday, October 16, 2009

Malam Simfoni Kesyukuran 2 ...Tribute to Ustaz Asri Hj. Ibrahim...



Bismillahirrahmanirrahim...
  
       " Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka ia sungguh telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang yang memperdayakan." ( Ali-Imran : 185 )


"Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" (An-Nisa': 78)

      Hampir sebulan lebih  Allahyarham Ustaz Asri Hj. Ibrahim telah meninggalkan kita, meninggalkan dunia yang hanya sementara dan yang pasti Allah SWT lebih menyayanginya. Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan pimpinan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) dan Rabbani Productions (M) Sdn Bhd kerana menganjurkan konsert sempena memperingati Allahyarham Ustaz Asri Hj. Ibrahim.

Kebetulan penulis mendengar tentang program tersebut di radio kegemaran penulis iaitu IKIM.fm 'Pilihan Utama.' Dan pada waktu itu adalah Segmen ' Carta Nasyid' yang diterbitkan oleh Deejay Erwan Johari yang sentiasa mendapat tempat di hati pendengar apabila lagu-lagu yang diputarkan sangat 'best'. Manakala artis jemputan pada hari Jumaat itu ialah saudara Suffian (Saujana) dan Amran (Raihan) bersama pengarah program dari UIAM iaitu saudara Nazli. Jadi, penulis terus mengambil keputusan untuk menghadirkan diri ke konsert tersebut pada 13 Oktober yang lalu kerana pada waktu yang sama, penulis juga ingin bertemu dengan sahabat lama yang masih belajar di sana setelah 4 tahun tidak bertemu.

Alhamdulillah, beberapa orang sahabat penulis ingin turut serta ke konsert tersebut dan kami bercadang untuk membuka 'booth' di sana. Memandangkan salah seorang sahabat penulis ditugaskan menjual buku surah Yassin, penulis mula menghubungi urusetia konsert untuk menyewa tapak pada malam tersebut. Seperti yang dirancang, penulis bersama tiga orang lagi sahabat telah bertolak menaiki kereta dari UPM lebih kurang pukul 6.30 petang setelah mengambil barang-barang untuk dijual di kedai PMIUPM. Hampir 1 jam perjalanan, kami tiba agak lewat kerana pusing-pusing mencari dewan utama UIA di mana tempat konsert tersebut berlangsung.

Memang tidak dinafikan, nasyid masih ada tempat di hati pencinta nasyid. InshaAllah. Bagi penulis, tanpa hiburan islam sudah pasti umat islam masa kini lebih terdedah dengan hiburan yang menyeksa telinga, apatah lagi jiwa dan hati manusia. Walaupun nasyid hanya diminati oleh golongan tertentu, penulis yakin dengan lagu dan lirik nasyid yang memuji kebesaran Ilahi boleh melembutkan hati-hati yang keras. Perjuangan pejuang-pejuang nasyid juga tidak boleh dipandang enteng, kerana mereka merupakan duta kepada imej Islam itu sendiri. Sudah tentu setiap gerak geri mereka diperhatikan oleh masyarakat dan juga pihak media.

Justeru, penulis juga bersetuju dengan kata-kata sahabat-sahabat Allahyarham adalah seorang ' pahlawan' dan 'pejuang' nasyid. Suara beliau sangat menikam kalbu sehingga mesej lagu yang disampaikan sentiasa membekas dalam jiwa. Tiba-tiba penulis teringat lagu ' Mana milik kita ' yang sangat bermakna maksudnya.

Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 19 yang bermaksud: "...dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."

Sebelum ini, penulis pernah bekerjasama dengan Rabbani Productions bersama sahabat-sahabat GAMIS semasa menganjurkan 'Konsert Antara Dunia' ( KAD 09 ) pada awal Ogos yang lalu. Pengalaman yang sekejap bersama arwah memang penulis tidak dapat lupakan. Pertama kali bertemu beliau, penulis dapat menggambarkan bahawa arwah merupakan seorang yang sangat dihormati kerana kepimpinannya dalam bekerja dan bersahabat. Arwah juga sentiasa menjadi tempat rujukan bagi penasyid-penasyid yang lain berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh beliau semenjak zaman Nada Murni lagi.

 

Berbalik pada Malam Simfoni Kesyukuran 2 yang lepas, terdapat juga persembahan dari kumpulan nasyid lain yang turut diundang bagi memeriahkan malam tersebut. Antaranya ialah Raihan, Hijjaz, In-team, Saujana, Far-East, Syifa' dan Rabbani sendiri. Alhamdulillah, dengan tajaan Telekom Malaysia (TM) dan beberapa penaja lain memerlukan penulis dan penonton lain hanya perlu membayar harga tiket sebanyak RM6.00 sahaja. Memang berbaloi.
Sepanjang malam itu, tujuh kumpulan nasyid telah membuat persembahan bagi mengembalikan nostalgia bersama arwah, ia turut diselang selikan dengan tayangan slide mengenai perjalanan arwah dalam industri nasyid itu sendiri.

Selain itu, isteri dan anak-anak arwah juga diraikan dan penyampaian sumbangan kepada ahli keluarga arwah turut dijalankan sebagai tanda penghargaan di atas segala usaha arwah dalam memartabatkan industri nasyid agar dapat diteruskan oleh rakan-rakan seperjuangan yang lain. Sememangnya arwah menjadi 'idola' dan pembakar semangat bagi anak-anak muda yang baru berjinak dalam industri ini.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Ameen... Yang pergi pasti tak akan kembali. Dan kepada keluarga arwah, redhalah dengan pemergian arwah kerana Allah SWT lebih menyayanginya. Moga terus tabah dan diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. InshaAllah, Allah SWT sentiasa bersama kalian...
" La Tahzan, innallaha ma'ana..."