Monday, January 18, 2010

Warna warni Sebuah Perjalanan- ( Mari menyumbang )

Bismillahirrahmanirahim....




   Begitu lama rasanya penulis tidak  meng'update' blog serikandisyurga ini. Mungkin kerana kesibukan penulis dengan komitmen dan tanggungjawab yang perlu diutamakan menyebabkan blog ini agak kesepian tanpa berita. InsyaAllah, dengan peluang dan ruang yang telah diberikan olehNya, penulis akan terus berkongsi serba sedikit pengalaman  dan pengetahuan yang dimiliki oleh penulis walaupun tidak sehebat seperti blogger-blogger di luar sana.  Asalkan ia mudah dibaca dan mesej yang ingin penulis sampaikan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para pembaca. InsyaAllah. Selain itu, ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan diri  penulis yang sering alpa dan lemah ini. Walauapapun yang terjadi, perjalanan mesti diteruskan hatta diri dihimpit pelbagai masalah dan ujian  kehidupan.  Sesuailah dengan hadith Rasulullah sallallahu 'alayhi wassalam yang bermaksud " Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan." Dunia hanya tempat persinggahan yang sementara, apa yang ditemui sepanjang perjalanan, kutiplah dan semailah segala yang baik manakala yang tidak baik dijadikan iktibar dan sempadan. Tiada perjalanan yang akan mengajar erti kehidupan jika tiada halangan yang akan ditempuh oleh para musafir atau pengembara. Sungguh indah apabila para pengembara dapat merenungi dan merentasi segala onak duri dengan pandangan kasih sayang pada Ilahi. SubhanaAllah!!!Allah Maha Besar!!!



.......Konsert Lagi (^_^)......
    Alhamdulillah, kali ini penulis masih berpeluang untuk ke konsert nasyid lagi. Memang penulis peminat nasyid agaknya. Semenjak kecil, sudah didedahkan dengan irama nasyid dan yang paling tidak sangka terpilih untuk menyertai kumpulan nasyid sekolah semasa sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama. Memang seronok apabila mengimbas nostalgia dan zaman sewaktu kanak-kanak dulu. Tetapi apabila penulis memasuki peringkat sekolah menengah, penulis hanya sempat bernasyid semasa tingkatan satu sahaja dan ia terhenti sehinggalah sekarang. Itu adalah masa lampau dan ia hanyalah minat sahaja dan tidaklah sampai ingin melibatkan diri secara serius dalam bidang nasyid yang semakin tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Pada suatu ketika,dek kerana minat pada nasyid menyebabkan penulis, kakak sulung dan adik perempuan berpakat-pakat membeli kaset nasyid yang berlainan penyanyi agar kami dapat mendengar semua lagu-lagu nasyid dan bertukar-tukar kaset. Dan yang paling tidak dapat penulis lupakan apabila pertama kali dapat menonton konsert nasyid secara langsung sejurus tamat Sijil Penilaian Malaysia. Dan selepas itu semakin kerap penulis dapat menyaksikan konsert nasyid kerana dipermudahkan untuk menghadirinya. Wallahu'alam.

Konsert Amal Nazrey Johani Tour De Hafiz di KUIS.

  Setelah dapat makluman tentang konsert ini, penulis terus mengambil keputusan untuk menghadirinya kerana konsert kali ini melibatkan artis nasyid yang paling ramai. Tambahan pula, harga tiket untuk masuk ke sana amat murah dan sudah pasti ramai yang mampu untuk membelinya. Sebelum berjaya sampai ke sana, penulis sebenarnya tercari-cari siapa yang dapat pergi dan menemani penulis. Alhamdulillah, akhirnya penulis dapat mengajak dua orang sahabat untuk turut serta dalam konsert tersebut. Dan yang paling penulis sangat terharu dan hargai adalah keprihatinan Kak Yati yang sudi menghantar kami ke KUIS setelah  hampir ramai yang penulis hubungi, rata-rata tidak dapat menyertai penulis kerana komitmen masing-masing. Penulis rasa begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk menyaksikan konsert amal tersebut kerana penulis juga akan bertemu dengan sahabat-sahabat dari Nasyidfm buat kali pertama terutamanya Kak Ina, Kak Faqirah, Kak Baiti dan lain-lain. Terasa ukhwah yang sangat utuh walaupun baru bersua apatah lagi seketika. Syukran lillah atas kerjasama dan layanan yang begitu mesra sekali daripada kalian. InsyaAllah, moga Allah swt merahmati dan memudahkan urusan kalian. Sememangnya nasyidfm pilihan utama juga selain radio ikim.fm. 

Kembali semula kepada konsert amal, penulis sangat terhibur dengan persembahan yang telah disampaikan oleh setiap artis nasyid yang dijemput pada malam tersebut. Kesemuanya sangat memuaskan dan moga-moga mesej lagu yang ingin disampaikan dapat dimanfaatkan oleh ratusan yang hadir malam itu.  Antara kumpulan dan artis nasyid solo yang turut terlibat pada malam itu adalah Nahwan Nur (UPM), All One, Algebra, Nice,Suhaimi, As-Saufee, Saujana, Devotees, Hijjaz dan Nazrey Johani. Tahniah diucapkan kepada semua...Moga usaha kalian dalam memartabatkan dakwah islam melalui medium nasyid dipermudahkan dan mendapat redhaNya. Ameen.


 Disebalik Konsert Amal Nazrey Johani
  Rupa-rupanya baru penulis dapat tahu yang sebenarnya sungguh besar dan murni hajat Nazrey Johani tentang konsert kali ini. Ia bertujuan untuk mengutip dana daripada orang ramai bagi menjayakan rancangan beliau untuk membina Kompleks Tahfiz Syahadah di Ranau, Sabah iaitu di tempat lahir beliau. Ternyata dari riak wajahnya yang tulus itu harapan yang besar untuk membina kompleks itu menjadi kenyataan kerana menurut beliau di Sabah masih tiada lagi madrasah atau sekolah tahfiz. Usaha yang dijalankan ini memerlukan peruntukkan yang tinggi bagi membina bangunan dan kemudahan sebuah kompleks. Ini kerana beliau sangat berharap dapat membantu saudara-saudaranya di Sabah mendalami islam dengan mudah dan mendapat pendidikan islam yang sewajarnya seperti mana saudara seislam di Semenanjung. Justeru, beliau telah membuat konsert 'tour de Hafiz' mengelilingi kampus-kampus seluruh dunia bagi mengumpul dana dan sumbangan daripada orang ramai dalam menjayakan hasrat beliau mendirikan kompleks tahfiz. Sememangya, penulis sangat tersentuh dengan semangat juangnya yang tinggi sehingga sanggup meninggalkan kumpulan Raihan suatu ketika dahulu semata-mata ingin  berdakwah dan membantu saudara-saudaranya di Sabah. Justeru, ayuh menyumbang...bantulah dan ringankan lah beban saudara kita. Moga-moga usaha ini dapat membantu kita di akhirat kelak...InsyaAllah.


Marilah menderma dan lakukan sekarang...

sila layari blog ustaz Nazrey Johani untuk keterangan lanjut...



http://nazreytahfizsyahadah.blogspot.com/
 
Moga Allah s.w.t mempermudahkan urusanmu Ya Ustaz, kami di sini sentiasa mendoakanmu dan membantu yang mana mampu....Moga terus kuat dan tabah menhadapi liku-liku perjuangan dalam kehidupan. Itulah namanya sunnah orang berjuang seperti lagu Suara Hidayah yang sering dinyanyikan olehmu. Hidayah harus dicari...Kerna di situ tercipta suatu titik perubahan yang bakal menggegarkan dunia yang sementara.
 
 

    

No comments:

Post a Comment