Monday, September 21, 2009

Ibrah Syawal...



Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah 9 syawal sudah berlalu...
Namun banyak ' ibrah ' yang boleh diambil oleh penulis sekeluarga sepanjang perjalanan pulang ke kampung pada hari raya kedua...
Memandangkan adik beradik penulis ramai, ayah memutuskan untuk pulang ke kampung dengan menaiki dua buah kereta tidak seperti sebelum ini dengan van yang mampu memuatkan kami yang masih kecil ketika itu. Pada mulanya penulis agak terkejut kerana memikirkan siapa yang akan memandu kereta satu lagi. Walaupun ada di kalangan kami yang mempunyai lesen, tapi yang ' expert' memandu hanya ayah sahaja. Ibu penulis memang pandai 'drive' tapi jika perjalanan yang jauh adalah berisiko tambahan pula dengan kesesakan kereta dalam musim perayaan eidulfitri kali ini. Jadi, ' confirm' adik lelaki penulis yang akan memandu ' second' kereta untuk pulang ke kampung nanti. Penulis kurang yakin dengannya tetapi hanya berserah kepada Allah s.w.t untuk memandu kami dengan selamat sampai ke destinasi yang akan kami kunjungi.

Berkat bacaan doa yang didahului, kami bertolak agak lewat kerana masing-masing lambat memperkemaskan diri lebih kurang jam 10.15 a.m...
Sepanjang perjalanan, penulis yang duduk di belakang sempat bergurau dengan adik lelaki kedua bongsu kerana sudah lama tidak menyakat beliau. Sesambil mendengar suara deejay radio ikim fm yang sibuk melayan para pendengar menyampaikan ucapan eidulfitri, penulis juga mengambil kesempatan menghantar pesanan ringkas kepada radio ikim untuk menyampaikan ucapan hati raya kepada keluarga penulis yang sedang dalam perjalanan ke kampung termasuk juga atuk dan saudara-mara di kampung.

Memang penulis terhibur dengan coletah deejay dan para pendengar setia ikim fm beserta juga hidangan lagu-lagu raya yang mengimbau nostalgia zaman hari raya penulis di usia kanak-kanak. Penulis juga tidak lupa untuk pesan kepada adik supaya tidak memandu terlalu laju kerana setiap kali ayah penulis memotong kereta di hadapan, adik penulis turut mengikut dari belakang. Ini sangat berbahaya, jadi penulis sentiasa mengawasi adik penulis sepanjang perjalanan.

Sepanjang perjalanan, penulis tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi yang dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok dan sawah padi yang terbentang luas. Subhanallah!!! Sungguh hebat ciptaan Allah s.w.t kerana tanpa tumbuhan manusia tidak dapat bernafas. Tidak sampai satu jam perjalanan, dan saat ketika tiba di suatu jambatan, penulis tidak perasan yang adik penulis memandu dengan laju. Tanpa diduga, adik penulis telah melanggar belakang kereta yang dipandu oleh ayah penulis. Selamat ayah penulis sempat mengelak ke kiri jambatan daripada merempuh kereta di hadapan yang berderet. Kejadian ini berlaku di tengah-tengah jambatan dengan kesesakan kereta yang banyak. Alhamdulillah, penulis begitu bersyukur sangat kerana keluarga kami tidak mengalami sebarang kecederaan cuma penulis seorang sahaja yang mengalami sedikit kecederaan di bahagian mata sebelah kanan. Walaubagaimanapun, keadaan kedua-dua kereta agak teruk di mana masing-masing remuk di bahagian belakang dan hadapan kereta. Penulis sangat terkejut dengan musibah yang menimpa dan hanya beristighfar kerana kejadian yang berlaku begitu pantas dan sekelip mata. Kelihatan ayah penulis begitu tenang, manakala penulis menenangkan adik penulis yang kelima supaya bersabar kerana dia begitu marah dengan sikap adik penulis yang memandu dengan laju ketika berada di atas jambatan. Alhamdulillah, kemalamgan tersebut hanya melibatkan dua buah kereta keluarga penulis sahaja. Jadi, ini lebih mudah untuk ayah penulis membuat keputusan di atas kejadian yang berlaku. Akhirnya, keluarga penulis berpatah balik dengan menaiki dua buah kereta tadi untuk pulang ke rumah sahabat ayah penulis kerana ingin meminjam van supaya dapat meneruskan perjalanan ke kampung seperti yang telah dirancang. Menurut Pakcik Osman ( sahabat ayah penulis ), van tersebut digunakan olehnya untuk menghantar mee kuning yang telah siap dipaket ke pasar-pasar dan kedai tertentu di sekitar Perak dan Kuala Lumpur. Kiranya van tersebut digunakan untuk urusan menghantar barang bagi memudahkan perniagaan yang dijalankan oleh beliau.


Setelah memindahkan semua barang ke dalam van dan menjamu hidangan biskut raya oleh tuan rumah, penulis sekeluarga pun berangkat ke kampung dengan kebergantungan padaNYA sepanjang perjalanan yang selamat. Dalam beberapa jam berlalu, ayah penulis berasa letih dan mengantuk. Oleh itu, adik kelima penulis diminta oleh ayah penulis untuk menggantikannya. Penulis dan adik perempuan penulis hanya beristighfar dan bertasbih supaya dipermudahkan urusan dan selamat sampai ke kampung halaman di atas kejadian yang menimpa. sesiapa yang memperbanyakkan istighfar,nescaya ALLAH akan menjadikan setiap sesuatu kesusahan itu diganti dengan kemudahan, setiap kesempitan itu diberi jalan keluar dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga"....Keluarga penulis berhenti di Masjid Tanjung Karang untuk mengisi perut dengan masakan ibu penulis yang dibawa dari rumah serta menunaikan solat qasar dan jamak bagi fardhu Zuhur dan Asar. Ini kerana perjalanan yang jauh apatah lagi keluarga penulis berada dalam keadaan musafir. Begitu indah dan mudahnya Islam yang meletakkan rukhsah dalam bersolat. Setelah perjalanan hampir setengah hari, sekali lagi keluarga penulis diuji oleh Allah s.w.t. Pada waktu itu, adik penulis memandu dengan had laju yang tinggi kerana melalui lebuh raya. Tiba-tiba adi-adik penulis yang lain bising-bising kerana mereka mendengar seperti ada letupan di bahagian belakang van. Dalam keadaan yang agak kelam kabut ketika itu, ayah penulis menyuruh adik penulis berhenti di sisi jalan dengan cepat kerana dapat menjangka yang tayar van pecah. Penulis sekeluarga keluar untuk melihat tayar belakang sebelah kiri yang pecah dengan teruk sekali. Lagipun menurut penulis, memang keempat-empat tayar dah botak dan tunggu masa hendak pecah sahaja. Ibu penulis hanya terdiam dan adik-adik lelaki penulis membantu ayah penulis untuk menukat tayar tersebut. Selamat ada tayar ‘spare’ yang disediakan oleh Pakcik Osman. Malangnya ‘jek’ untuk meninggikan bahagian tempat terletaknya tayar gagal berfungsi. Justeru, ayah penulis menahan kereta yang melalui lebuh raya tersebut untuk meminjam ‘jek’. Penulis agak kecewa dan sedih kerana tiada satu kereta pun yang berhenti manakala adik perempuan penulis cuba membuat panggilan ke Plus tapi tidak berjaya.

Selang beberapa minit, muncul seorang pemandu teksi berhenti dan meminjamkan jek kepada kami. Alhamdulillah, tayar berjaya ditukar dan ayah penulis mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan. Selepas itu, keluarga penulis pun meneruskan perjalanan dan mengharap tiada perkara yang buruk berlaku lagi. Kadang-kadang penulis berasa lucu dengan kejadian yang berlaku walaubagaimanapun penulis sedar ujian yang berlaku kepada keluarga penulis ada ‘ibrah’ dan hikmahnya. Hampir 10 jam di atas jalan raya, penulis sekeluarga selamat sampai ke kampung lebih kurang jam 930 p.m. Justeru, penulis mengingatkan diri dan sahabat-sahabat supaya membuat persiapan awal seperti men ‘servis’ kenderaan yang akan digunakan untuk pulang ke kampung halaman tidak kira dekat ataupun jauh. Takziah juga penulis ucapkan kepada mangsa-mangsa nahas kemalangan jalan raya semasa hari eidulfitri disambut. Moga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh. Al-Fatihah. Dan kepada keluarga serta saudara tragedi kemalangan jalan raya, di harap bersabar dan redha di atas takdir Ilahi.

Allah Subhanallah telah berfirman :



" Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata " Innalillahi wa inna ilaihi rajiun (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali " (al-baqarah, 2:155-156 )




Wallahu’alam...


No comments:

Post a Comment