Friday, February 19, 2010

Terkini : 2 in 1 = Muhasabah Cinta + Bicara Tentang Cinta

Bismillahirrahmanirrahim...
 

      Sebenarnya agak berat untuk penulis menulis topik kali ini kerana penulis bukanlah orang yang layak atau 'faqih' untuk membicarakan isu cinta yang sentiasa hangat diperkatakan. Ini kerana manusia memerlukan cinta dalam kehidupan tetapi cinta bukanlah segala-galanya.  Makanan adalah keperluan fizikal, dan cinta juga merupakan  keperluan rohani dan emosi. Penulis akan lebih berhati-hati dalam penulisan kali ini setelah posting tajuk yang sama sebelum ini telah ter'delete' tanpa disengajakan. Moga ia sedikit sebanyak dapat menguraikan masalah cinta yang dihadapi oleh setiap insan yang bernama manusia. Tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa penulis memilih topik CINTA pada kali ini sehingga sanggup menulis semula? Jawapannya ada pada diri anda masing-masing termasuklah penulis.
Adakah anda benar-benar faham dan hadam apakah CINTA sebenarnya? Benarkah anda mencintai Allah s.w.t? Apakah bukti cinta anda padaNYA? Bagaimanakah rasa CINTA pada ILAHI? Begitulah di antara persoalan-persoalan yang timbul di fikiran dan di sekeliling penulis. Memandangkan penulis telah mengikuti wacana seperti mana tajuk di atas dua kali berturut-turut pada awal Februari yang lalu, jadi tidak adil sekiranya penulis tidak kongsikan bersama sahabat-sahabat sekalian. InsyaAllah, moga-moga Allah s.w.t mencampakkan cintaNYA dalam hati-hati setiap hamba yang sentiasa mengasihiNYA. 

Ya Allah! ku dambakan cintaMU yang kekal abadi ke dalam diriku, Ya Allah! Kau kurniakan cahaya kasihMU pada jiwa dan hatiku! Ya Allah! ku mohon agar cintaku padaMU terus dipelihara..susahnya untuk mendapatkan cintaMU...Ya Allah! Permudahkanlah segalanya...Ameen Ya Rabbal 'Alamin.


Muhasabah Cinta

       Alhamdulillah, dengan izinNYA penulis berpeluang menghadirkan diri ke wacana Muhasabah Cinta yang dikendalikan sepenuhnya oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Namanya memang tidak asing dan cukup sinonim dengan buku tulisan beliau yang bertajuk 'Tentang Cinta' kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di kalangan para pembaca. Menurut ustaz, CINTA adalah 'kuasa luar biasa'. Hebatkan? Sebenarnya sifat rendah diri atau 'humble' ketika menuntut ilmu sangat dituntut dalam islam kerana dengan cara itu lebih banyak ilmu yang kita akan dapati. Begitulah juga dengan cinta, bagaimana untuk mendapatkan cinta ? Iaitu dengan merasa rendah diri di hadapanNYA. Diceritakan dalam suatu kisah, ada seorang Arab Badwi datang bertemu Rasulullah s.a.w tanpa segan silu dan bertanya : "Bila berlaku kiamat?" Lalu Rasulullah s.a.w menjawab : " Apa yang kamu sediakan untuk hari Kiamat?" dan orang Badwi itu menjawab, " Aku tidak banyak solat, puasa tetapi aku cinta pada Alllah dan Rasul." Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : " Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai." SubhanaAllah !!! Indahnya cinta lillahi ta'ala...

     Berbalik kepada cerita tentang CINTA, ustaz telah menggariskan CINTA HAKIKI kepada 4 pemilik yang selayaknya seperti mana yang telah dipandu oleh syariat islam. Cinta yang Utama ialah cinta pada 1) Pencipta kita ( ALLAH S.W.T ), seterusnya cinta kepada 2) Rasulullah s.a.w, 3) ibu bapa dan yang terakhir 4) cinta antara suami dan isteri. Kesemua cinta ini kelak akan membawa kebaikan sekiranya digunakan pada jalan yang benar. Penulis juga terkesima dengan kebanjiran mahasiswi yang hadir pada malam wacana tersebut berbanding mahasiswa. Di manakah mereka? Ini menguatkan lagi naluri penulis bahawa golongan hawa lebih mudah terjebak dengan cinta palsu sekiranya dicucuk oleh jarum golongan Adam yang sentiasa berusaha memuaskan hawa nafsu mereka. Nauz'ubillahi min zalik...Walaubagaimanapun, mengikut kajian psikologi lelaki yang putus cinta sebenarnya lebih teruk daripada wanita dan dunia juga tidak akan terkejut sekiranya seorang lelaki membunuh diri kerana seorang perempuan. Sungguh ironi, tetapi itulah yang berlaku dalam dunia realiti sekarang. Cuba imbas kembali bagaimana ketabahan dan keteguhan cinta Bilal bin Rabah kepada ALLAH s.w.t yang sanggup diseksa oleh Firaun yang kejam semata-mata kerana kasih dan cintanya pada YANG ESA. Terlalu banyak kisah-kisah para sahabat yang membuktikan cinta mereka kepada ALLAH s.wt termasuklah kisah popular Rabiatul Adawiyah.

     Cinta itu bukan tertarik, suka atau suatu tarikan fizikal tetapi cinta adalah suatu tanggungjawab.Perkahwinan dimulakan dengan percintaan tetapi disempurnakan oleh tanggungjawab. 'Love is work not is word' . Dengan erti kata lain, CINTA adalah :
  1. Tanggungjawab  -    bukan suka-suka
  2. Perbuatan         -    bukan kata-kata
  3. Memberi           -    bukan mendapat    
Hidup untuk memberi. Cuba hayati dan selami maksudnya. Hatta Allah s.w.t kaya dengan Asmaul Husna, Al-Wahhab. Yang Maha Memberi. DIA sentiasa memberi kepada makhluk-makhlukNYA walaupun kita tidak pernah atau cuba untuk meminta daripadaNYA. Malulah pada diri sekiranya tidak mencintaiNYA yang tidak pernah lokek atau kedekut untuk memberi kepada kita. Teringat satu analogi yang diceritakan oleh ustaz. Kisahnya begini, Si A telah memberi sebuah hadiah kepada Si B ni. Jadi pada pendapat sahabat-sahabat, siapakah yang patut diingati? Si A atau Si hadiah? Bagaimana pula jika penulis katakan yang Si A itu ialah Pencipta cinta ( Allah s.w.t ) dan Si hadiah pula adalah cinta manakala Si B pula ialah manusia ( makhluk Allah s.w.t ). Justeru, siapakah yang layak diingati? Tetapi dunia sekarang sudah terbalik, huru hara dan sangat membimbangkan apabila manusia kini lebih mengagungkan CINTA berbanding PENCIPTA CINTA itu sendiri. Kenapa semua ini berlaku? Bagaimana anda menilai cinta? ' What you see is what you get' and 'Who you are determine how you see'. Orang melihat cinta dengan empat pandangan berbeza iaitu :
1) Pandangan Biasa ( remaja )
2) Pandangan Akal ( psikologi )
3) Pandangan Nafsu ( seks )
4) Pandangan Hati ( hadiah/anugerah/ 'basirah' )

Apakah yang membezakan setiap pandangan-pandangan manusia ini? Cuba bayangkan, di hadapan anda ada sebiji kuih donat. Bagi seseorang yang berpandangan biasa, dia akan menganggap kuih donat tersebut hanya biasa, tidak ada yang istimewa dan tidak menarik. Sedangkan bagi seseorang yang menggunakan akal, dia akan berpandangan bahawa kuih donat tersebut mengandungi adunan tepung dan yis. Tambahan pula kaya dengan karbohidrat dan sangat mengenyangkan apabila hanya 2 biji sahaja yang dijamah. Dan sudah tentu pandangan nafsu akan menyebabkan seseorang itu akan terus memakan kuih tersebut tidak kira la bentuknya cantik atau tidak, sedap atau tidak, lalu memasukkannya ke dalam mulut tanpa segan silu. Dan akhirnya pandangan hati pula, adalah pandangan dari dalam mata hati bagi seseorang yang dapat merasai dan mengenang zaman dahulu ketika mana ibunya bersusah payah bangun awal setiap pagi untuk menyediakan kuih donat tersebut supaya dapat dijual bagi menyara anak-anaknya. Sudah tentu donut tersebut sangat berharga bagi dirinya walaupun hanya kesan dari zaman silamnya. Begitu juga lah dengan cinta, anda yang menilainya mengikut kefahaman dan perasaan anda. Tetapi yang pasti, nilailah dengan pandangan hati kerana anda akan menemui cinta hakiki kerana ia tersirat dan hakikat. Percayalah!!! Ya, penulis selalu dengar cinta itu fitrah setiap insani, suatu perkara yang tidak perlu dipelajari kerana ia datang dan muncul dengan sendiri. Jadi, berhati-hatilah kerana cinta juga mendatangkan keburukan dan ancaman kepada manusia yang lemah imannya. Al-Farabi ada berpesan, 'sekiranya cinta hanya didorong oleh nafsu, itu adalah cinta yang diilhamkan oleh Allah s.w.t kepada haiwan.' Moga-moga dijauhkan.
  Ustaz telah membawa dan mengajak kami untuk kembali bermuhasabah diri apakah sebenarnya tujuan manusia hidup di muka bumi.Dari situ baru jelas apakah sebenarntya tujuan cinta. Hendak atau tidak, sedar atau tidak,  Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Az-Dzariyat : 56 yang bermaskud " Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu". Itulah tujuan penciptaan manusia iaitu yang  pertama sebagai hamba Allah s.w.t, kedua sebagai khalifah di Bumi dan yang ketiga sebagai pemakmur dunia. Tahukan anda apakah yang dimaksudkan dengan ibadah? Di sini, ustaz telah membahagikan ibadah kepada tiga yang utama iaitu 1) Ta'abudi ( asas , ibadah fardhu ), 2) Taqaruddi ( ibadah-ibadah sunat ) dan ke 3) Amal soleh ( yang bersifat umum ). 
 Menurut ustaz, Allah s.w.t juga telah menetapkan PERATURAN CINTA. Kenapa mesti ada peraturan? Konsepnya sama seperi lampu isyarat. Sekiranya lampu merah, pemandu kereta akan automatik berhenti begitulah seterusnya jika lampu kuning atau pun hijau. Cuba bayangkan apabila pemandu tidak mengikut peraturan, sudah pasti kemalangan atau perlanggaran akan berlaku. Itulah juga implikasi yang akan berlaku bagi mereka yang melanggar PERATURAN CINTA. Apa yang ada dalam PERATURAN CINTA???  Bagi yang ingin bercinta, dan bagi yang sedang bercinta, marilah semak semula, adakah ia mengikut PERATURAN CINTA ini? Pertamanya pastikan cinta anda atau sesiapa sahaja dasarnya adalah cinta Allah s.w.t. Sesiapa yang paling tinggi imannya, adalah paling tinggi cintanya pada Allah s.w.t. Yang kedua, pastikan cinta anda tidak mengatasi cinta Allah s.w.t dan yang ketiga pastikan cinta anda mengikut syariat dan lunas-lunas islam. InsyaAllah, penulis yakin seratus peratus cinta anda cinta yang paling dinantikan olehNYA. Percayalah!!!

   Penulis juga turut terkesan dengan kata-kata ustaz berulang kali bahawa ' semakin banyak kemanisan yang anda ambil, yang anda teguk sebelum perkahwinan, maka selepas perkahwinan akan hambar perkahwinan itu.'  Penulis sangat bersetuju kerana permulaan atau muqaddimah yang tidak cantik, akan memberi natijah yang tidak cantik atau buruk juga. Sebab itu perlu dan pentingnya supaya cinta itu dikawal agar tidak merebak dan menjadi barah yang akan memakan hati dan jiwa yang lemah dan goyah imannya apabila dicucuk oleh syaitan hatta nafsu. Tidak dinafikan yang golongan remaja sering menjadi sasaran cinta buta, cinta monyet, pelbagai jenis cinta. Mengapakah mereka menjadi sasaran? Dan siapakah REMAJA sebenarnya? REMAJA adalah transisi atau perubahan  dari alam kanak-kanak ke alam dewasa yang sentiasa tercari-cari. Yang tidak stabil emosi, jiwa dan fikiran, dinamik , bertenaga dan suka mencuba sesuatu yang baru. Mereka sangat mentah dan belum matang dalam membuat keputusan, justeru mudah diganggu gugat dan melatah apabila disua sesuatu yang menyeronokkan. Termasuklah hembusan cinta yang tidak pernah berhenti berusaha untuk mencari mangsa-mangsa yang dalam keresahan dan kesunyian jiwanya dari cinta Ilahi. Kepada golongan REMAJA, cintailah cita-cita terlebih dahulu sebelum mengejar cinta yang tidak pasti dan merintihlah dengan Asma'NYA kerana Allah s.w.t sentiasa mencintai manusia. Belajarlah menggauli orang yang lebih tua kerana remaja yang berfikiran seperti orang tua adalah REMAJA YANG TERBAIK.


  Apakah pula tanda-tanda cinta pada ALLAH S.W.T?
1) Gembira untuk bertemu ( solat , mati )
2) Gembira apabila disuruh ( menutup aurat )
3) Dukacita apabila berdosa ( terlanggar perintah )

CARILAH DAN CINTAILAH PENCIPTA CINTA TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENCINTAI PENCIPTAAN PENCIPTA.


Bicara Tentang Cinta

    Cinta lagi...Tapi kali ini , penulis telah menghadiri wacana oleh seorang tokoh atau pemilik saifulislam.com yang sangat disegani di kalangan mahasiswa dan mahasiswi masa kini apabila memperkatakan tentang cinta. Sentuhan dan tulisan beliau dalam buku 'the best seller' iaitu ' Aku terima nikahnya' dan ' Bercinta sampai ke syurga' sentiasa menjadi perhatian oleh penggemar dan pengikut setia beliau termasuklah penulis. Yang pasti, setiap tulisan beliau sebenarnya merupakan sebahagian daripada pengalaman yang telah dialaminya kerana bagi beliau hidup ini lebih bererti dengan MEMBERI. Pengisian dan input mengenai cinta oleh Ustaz Hasrizal dan Ustaz Pahrol Mohd Juoi tidak jauh bezanya, cuma yang beza adalah dari segi penyampaian dan pendekatan yang digunakan dalam memastikan setiap jiwa yang mendengar mendapat apa yang ingin disampaikan. Ustaz lebih banyak menceritakan pengalaman beliau dan membuatkan kami berulang kali ketawa dengan telatah beliau yang cukup selamba, mencuit hati dan 'versatile'.  
     Kebanjiran mahasiswi kali ini sangat mengejutkan penulis. Memang ramai rupanya sangat teruja apabila isu cinta diperkatakan. Muqaddimah yang cukup mudah dan senang difahami apabila ustaz menggunakan konsep memberi dalam erti cinta kali ini. Mengajar kami bahawa MEMBERI itu lebih seronok atau lebih mulia daripada MENERIMA. Macam mana? Mudah sahaja, hanya dengan memberi dengan rasa kasih sayang. Secara tidak langsung dapat mewujudkan cinta luar biasa iaitu cinta yang melahirkan ketaatan. Ketaatan kepada Allah s.w.t, kepada RasulNya, kepada ibu bapa seterusnya sesama mukmin. Di dalam satu hadith Riwayat Al-Bukhari ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Tidak sempurna iman sehingga di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian  manusia." Apakah bukti cinta dan kasih kita kepada Nabi kita Muhammad s.a.w? Tepuklah dada, tanya iman masing-masing. Penulis yakin setiap baris kata dan cerita mengenai baginda s.a.w pasti membuatkan kita berada di sampingnya. Ayuh, sama-sama berusaha mengenali dan mendalami peribadi beliau seperti yang terkandung dalam Al-Quran. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat baginda s.a.w. Sungguh panjang lebar jika membincangka isu cinta ini. Cinta hadir tanpa diminta, tanpa diduga, sungguh sukar menilai dan mentafsir cinta, apatah lagi cinta SANG PENCIPTA. Berebutlah dalam mendapatkan CINTA ILAHI kerna di situlah bermulanya cinta yang sejati lagi hakiki. 

Mari sama-sama hayati lagu KERANA CINTA oleh Inteam dan Mestica

Cinta itu cahaya sanubari, 
kurniaan Tuhan fitrah insani
Dan di mana terciptanya cinta, 
di situ rindu bermula
Cinta itu tidak pernah meminta, 
tetapi memberi sepenuh rela
Rasa bahagia biarpun sengsara,
berkorban segala-gala
Semua kerana cinta, 
yang pahit manis dirasa
Menghibur nestapa, merawat duka, damai di jiwa
Terpadam api benci permusuhan, 
terjalinlah kasih sayang
Begitulah cinta yang diidamkan
tanpa nafsu yang mencemarkan
Dan jangan pula kerana bercinta, 
kita pun leka entah ke mana Dan jangan pula kerana bercinta,
tergadai semua maruah agama
 Cinta yang sejati, 
hanya cintakan Illahi  
Cinta ayah bonda, 
tulus suci selamanya  
Cintakan saudara,  
masa berada hanya sementara  
Cinta sesama insan, 
 suburkan dengan ketakwaan


Wallahu'alam...



No comments:

Post a Comment