Friday, June 22, 2012

Jom hidupkan amalan berselawat ^_^


Bismillahirrahmanirrahim....

Bulan Rajab telah berlalu dan, alhamdulillah, kini kita sedang berada di bulan Sya'ban dan moga-moga Allah sampaikan kita ke bulan Ramadhan. Ameen.
Kalau di bulan Rajab, merupakan bulan yang berlaku padanya peristiwa Isra' wal Mi'raj dimana Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم menerima perintah mengerjakan sholat langsung dari Allah Azzawajalla,
maka di bulan Sya'ban pula terdapat beberapa peristiwa, diantaranya adalah:
terjadinya peristiwa terbelahnya bulan yang sebagaimana tersebut dalam al-Quran di surah al-Qomar ayat 1turunnya perintah penukaran qiblat dari Masjidilaqso ke Masjidilharam sebagaimana yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 144dan turunnya perintah supaya bersholawat ke atas junjungan mulia Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, sebagaimana yang tersebut di surah al-Ahzaab ayat 56.
Allah Azzawajalla berfirman:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً
Ertinya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersholawat keatas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersholawatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya(surah al-Ahzaab: 56) 
Maka kerana itulah bulan Sya'ban ini dikenali sebagai Syahrussholati, kerana dibulan inlah turunnya ayat diatas. Tatkala turun ayat tersebut (ayat al-Ahzab: 56), maka shahabat bertanya kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bagaimana bersholawat kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم sebagaimana tersebut di dalam beberapa riwayat, maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda, antaranya: Kalian ucapkanlah:
اللهم صل على محمد وعلى آل محمد كما صليت على آل إبراهيم، وبارك على محمد وعلى آل محمد، كما باركت على آل إبراهيم في العالمين، إنك حميد مجيد
Maka memperbanyakkan sholawat kepada junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Adapun sighah (bentuk) sholawatnya terpulanglah. mahu bersholawat dengan sholawat Ibrahimiyyah ... silakan, bahkan inilah yang terbaik kerana ianya sighah yang terpilih untuk dibacanya di dalam tasyahhud akhir.

Syaikh Yusuf an-Nabhani menyebut di dalam kitabnya Afdhalush Sholawaat 'ala Sayyidis Saadaat ketika membicarakan berkenaan sholawat ini, antara katanya:-
Inilah sighah sholawat yang paling sempurna yang ma'tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم

Inilah sighah sholawat yang paling sempurna yang ma'tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم
Selain itu boleh juga bersholawat dengan sholawat Tafrijiyyah, Munjiyyah, Fatih, Tibbil Qulub dan sebagainya silakan. Semuanya punya kelebihan yang besar. sibukkanlah diri kita dengan memperbanyakkan sholawat .... Pilihlah mana-mana sholawat yang disukai.
Diantara kelebihan bershalawat ini, menurut ulama shalawat ini mudah dikerjakan manakala pahalanya besar. Bahkan walaupun ianya dibaca dengan tidak hadir hatinya, atau dibaca dengan disertai rasa riya', ujub, atau dibaca dalam keadaan lalai dengan tidak menghadirkan dan menghayati maknanya atau lain-lainnya, tetap saja diterima Allah kerana ketinggian kedudukan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم disisi Allah kerana kecintaan Allah kepada صلى الله عليه وآله وسلم.
Andaikata kita tidak mampu untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah lain seperti sholat sunat terutamanya tahajjud, puasa maka bershalawatlah sebanyak-banyaknya.
Perhatikan apa yang disebut Imam Ibnu 'AthoIllah as-Sakandari dalam kitabnya "Bahjatun-Nufus":-
Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan صلى الله عليه وآله وسلم seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah رضي الله عنه, Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.
Sama-sama kita perbanyakkan selawat ke atas Nabi صلى الله عليه وآله وسلم di bulan ini dan di bulan-bulan seterusnya.
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً
Ertinya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bersholawat keatas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersholawatlah kamu keatas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya(surah al-Ahzaab: 56)

Biodata Penulis

Ustaz Abu Zahrah Merupakan seorang pendakwah bebas dan penulis. Beliau berkongsi karya di http://al-fanshuri.blogspot.com.

Sunday, February 12, 2012

Pengorbanan Rasulullah S.A.W

Bismillahirrahmanirrahim...



Pengorbanan Junjungan Besar Nabi sallallahu `alaihi wassalam

Sayugia kita menghayati kisah kehidupan Nabi sallallahu `alaihi wassalam untuk menyuburkan cinta kepada Muhammad sallallahu `alaihi wassalam.

Baginda sallallahu `alaihi wassalam melalui fasa kehidupan yang berbeza antara sebelum dilantik menjadi nabi dan selepas mengajak kaumnya kepada Islam. Jika sebelum dilantik menjadi utusan Allah, kaumnya memujinya, menyanjungnya, mempercayainya, menyayanginya, semuanya berubah 180 darjah ketika mana nabi sallallahu `alaihi wassalam memulakan dakwah kepada kaumnya.


Selepas turunnya wahyu yang pertama, Khadijah binti Khuwailid radiallahu `anha membawa suaminya yang tercinta, Muhammad sallallahu `alaihi wassalam untuk bertemu bapa saudaranya, Waraqah bin Naufal.

Waraqah menyebutkan satu pernyataan yang jelas kepada nabi sallallahu `alaihi wassalam:

"Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.."
Nabi sallallahu `alaihi wassalam terkejut. Masakan tidak, kaumnya selama ini menyanjungi baginda sallallahu `alaihi wassalam, tiba-tiba hari ini Waraqah menyatakan bahawa nabi sallallahu `alaihi wassalam akan diusir oleh kaumnya sendiri.

Waraqah mengulas lagi: Tidak seorang pun lelaki yang membawa seperti yang engkau bawa melainkan dia akan dimusuhi. Kalaulah aku masih ada pada hari engkau mengalaminya, pasti aku akan menolong engkau dengan bersungguh-sungguh. Itulah isyarat Waraqah kepada nabi sallallahu `alaihi wassalam untuk bersedia dengan situasi yang buruk akan menimpa baginda sallallahu `alaihi wassalam.

Wahyu kedua turun, mengarahkan nabi sallallahu `alaihi wassalam bangkita melakukan dakwah. Surah al-Muddatsir: 1-7
*       [1] Wahai orang yang berselimut!
*       [2] Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
*       [3] Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
*       [4] Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
*       [5] Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
*       [6] Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
*       [7] Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Allah s.w.t mengeluarkan arahan supaya nabi sallallahu `alaihi wassalam menyeru kaumnya secara terbuka. Allah mengakhiri arahan tersebut dengan amaran dan peringatan kepada nabi sallallahu `alaihi wassalam supaya tidak mengharapkan balasan dan kenikmatan mahupun kesenangan untuk dakwah yang dilakukan. Allah mengarahkan nabi sallallahu `alaihi wassalam untuk bersabar, sabar dan sabar. Ujian yang getir sedang menunggu nabi sallallahu `alaihi wassalam.

Dakwah Secara Terbuka Kepada Kaum Kerabat

Siri dakwah secara tertutup berjalan tanpa gangguan daripada musyrikin Mekah. Tahun ke empat kenabian, Allah s.w.t menurunkan arahan agar dakwah dilakukan secara terbuka:

Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. [Asy-Syuara: 214]

Nabi sallallahu `alaihi wassalam mengumpulkan keluarganya daripada Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib. Baginda sallallahu `alaihi wassalam memulakan dakwahnya:

"Segala puji bagi Allah, aku memuji Nya, dan meminta pertolongan Nya, aku beriman dengan Nya dan aku berserah kepada Nya. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan tiada sekutu bagi Nya.

Sesungguhnya orang yang merintis jalan ini tidak pernah dituduh berbohong oleh keluarganya. Demi Allah yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu khususnya dan kepada semua manusia umumnya.

Demi Allah, kamu pasti akan mati sebagaimana kamu pastinya akan tidur, kamu pasti akan dibangkitkan sebagaimana kamu jaga daripada tidur, dan kamu pastinya akan dihisab terhadap apa yang kamu kerjakan. Balasannya hanyalah syurga selama-lamanya atau neraka selama-lamanya…"

Abu Talib mendengar seruan anak buahnya sallallahu `alaihi wassalam, terus beliau menjawab:

"Sungguh kami suka untuk membantumu dan menerima nasihatmu serta sangat mempercayai berita yang engkau sampaikan. Mereka ini ialah adik beradikmu yang sedang berkumpul, sementara aku hanyalah salah seorang daripada mereka. Akan tetapi, akulah yang paling segera menyahut apa yang engkau suka. Maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Demi Allah, aku akan sentiasa menjaga dan mempertahankan diri mu. Akan tetapi diriku sendiri masih belum terasa untuk meninggalkan agama Abdul Muttalib."

Tetapi Abu Lahab, bapa saudara nabi sallallahu `alaihi wassalam memberikan reaksi negatif yang sangat keras.

"Demi Allah! Ini adalah keburukan. Halanglah dia sebelum dia mempengaruhi orang lain daripada kamu".

Mendengar kata-kata Abu Lahab, Abu Talib menjawab:

"Demi Allah! Aku akan mempertahankannya selagi hayat masih ada".

Seruan Bukit Safa

Di atas Bukit Safa nabi sallallahu `alaihi wassalam menyeru umatnya, baginda sallallahu `alaihi wassalam berkata:

"Sesungguhnya aku ini adalah seorang pemberi peringatan tentang azab yang dahsyat di hadapan kamu…."

Baginda sallallahu `alaihi wassalam berkata lagi:

"Hai semua kaum Quraisy, selamatkan dirimu daripada api neraka! Hai sekalian Bani Ka'ab, selamatkan dirimu daripada api neraka! Hai Fatimah Bte Muhammad! Selamatkan dirimu daripada api neraka! Demi Allah, aku tidak memiliki sebarang kuasa untuk membelamu daripada hukuman Allah, melainkan kamu mempunyai tali persaudaraan (Islam) yang akan aku kuatkan hubungan itu".

Mendengar perkataan nabi sallallahu `alaihi wassalam, geram dan meledaklah hati Abu Lahab. Lalu diambilnya batu, dan dilemparkannya kepada nabi sallallahu `alaihi wassalam. Lalu dengan api amarah yang menjulang, Abu Lahab berkata:

"Celaka engkau pada hari ini! Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami?". Maka Allah s.w.t menurunkan surah al-Masad, melaknat Abu Lahab dan isterinya. "Celakalah kedua tangan Abu Lahab, binasalah ia!".

Penentangan Bermula….

Kaum Musyrikin berkumpul, memikirkan bagaimana mahu menghasut orang ramai agar tidak mendengar dakwah nabi sallallahu `alaihi wassalam.  Ada yang mencadangkan agar nabi sallallahu `alaihi wassalam difitnah sebagai seorang bomoh, ada yang mencadangkan difitnah sebagai seorang gila, ada yang mencadangkan agar difitnah sebagai penyair, ada yang mencadangkan agar difitnah sebagai seorang ahli sihir. Akhirnya mereka memilih untuk memfitnah nabi sallallahu `alaihi wassalam sebagai seorang ahli sihir.

Fitnah dimulakan, mereka duduk dipinggir-pinggir jalan. Mereka memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati dengan Muhammad sallallahu `alaihi wassalam kerana beliau seorang ahli sihir.

Abu Lahab lah yang menjadi kepalanya, dia mengekori ke mana nabi sallallahu `alaihi wassalam pergi, lalu melemparkan fitnah kepada nabi sallallahu `alaihi wassalam ketika nabi sallallahu `alaihi wassalam sedang menyampaikan Islam kepada manusia.

Mereka melancarkan perang saraf. Mereka mengejek dan memfitnah nabi sallallahu `alaihi wassalam. Mereka menimbulkan syubhat dan keraguan ke atas apa yang dibawa nabi sallallahu `alaihi wassalam.

Setelah semuanya tidak berhasil, mereka menawarkan pula tawaran `toleransi beragama' kepada Rasulullah sallallahu `alaihi wassalam. Mereka berkata: "Kalau kamu sanggup menerima tuhan-tuhan kami, maka kami akan menyembah Tuhan kamu".

Kata mereka lagi: "Wahai Muhammad, marilah, biar kami sembah apa yang engkau sembah, dan engkau sembah apa yang kami sembah. Kami dan kamu sama-sama berkongsi dalam urusan ini. Kalau apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami sembah, itu bererti kami telah mengambil habuan kami daripadanya, dan kalau apa yang kami sembah lebih baik daripada apa yang kamu sembah, bererti kamu telah mendapat habuan kamu daripadanya".

Allah s.w.t pun menurunkan surah al-Kafirun. Nabi sallallahu `alaihi wassalam menolak tawaran diplomasi itu, tiada ruang tolak ansur antara tauhid dan syirik, iman dan kufur.

Penyeksaan Mental dan Fizikal Ke Atas Nabi

Nabi sallallahu `alaihi wassalam juga adalah besan kepada Abu Lahab. Anak perempuan nabi sallallahu `alaihi wassalam iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum berkahwin dengan anak lelaki Abu Lahab. Selepas dakwah bermula, Abu Lahab memaksa anak lelaki menceraikan puteri-puteri Rasulullah sallallahu `alaihi wassalam.

Isteri Abu Lahab, Ummu Jamil, jahatnya seperti suaminya. Sungguh mereka pasangan yang secocok. Dia membawa duri dan meletakkannya di laluan yang sering dilalui Rasulullah sallallahu `alaihi wassalam.  Dia meletakkan duri di hadapan pintu rumah nabi sallallahu `alaihi wassalam di waktu malam.

Nabi sallallahu `alaihi wassalam dihina oleh jirannya-jirannya. Tiada seorang pun jirannya menerima dakwah kecuali Hakam bin Abi al-`As. Jiran-jiran yang lain sangat memusuhi nabi sallallahu `alaihi wassalam kerana dakwah yang dibawa. Mereka pernah mencampakkan perut kambing ke atas baginda sallallahu `alaihi wassalam semasa baginda sallallahu `alaihi wassalam sedang mendirikan solat, bahkan mereka pernah mencampakkan perut kambing dengan periuk-periuk sekali ketika nabi sallallahu `alaihi wassalam sedang mendirikan solat hinggakan nabi sallallahu `alaihi wassalam terpaksa membuat hadangan ketika solat untuk mengelakkan gangguan mereka. Sehingga nabi sallallahu `alaihi wassalam terpaksa bersuara:

"Hai Bani Abd Manaf, jiran jenis apakah kamu ini?"

Uqbah bin Abi Mu'ayyat pula sangat keji tindakannya. Golongan musyriki Mekah saling mencabar antara satu sama lain:

"Siapakah yang berani membawa uri unta keluarga si polan dan meletakkannya di belakang Muhammad ketika dia sedang sujud?". Lalu bangkitlah Uqbah menyahut cabaran itu. Diletaknya uri unta di belakang nabi sallallahu `alaihi wassalam ketika baginda sallallahu `alaihi wassalam sedang sujud.

Abdullah bin Mas'ud radiallahu `anhu yang ada ketika itu hanya mampu memerhatikan, dan tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantu nabi sallallahu `alaihi wassalam. Kata beliau radiallahu `anhu:

"Aku memerhatikan apa yang dilakukan, tetapi aku tidak dapat berbuat apa-apa, alangkah baiknya kalau aku ada kekuatan untuk menghalang".

Ketika si musyrikin ketawa gembira melihat nabi sallallahu `alaihi wassalam dihina, datanglah Fatimah radiallahu `anha membersihkan belakang ayahnya yang tercinta.

Nabi sallallahu `alaihi wassalam hanya membalas perbuatan mereka dengan doa kepada Allah:

"Ya Allah, ke atas Mu untuk menghukum orang Quraisy ini".

Uqbah juga pernah memijak leher nabi sallallahu `alaihi wassalam ketika nabi sallallahu `alaihi wassalam sedang sujud sehingga hamper tersembur kedua biji matanya.

Abu Jahal pernah berkata kepada konco-konco musyriknya:

"Adakah Muhammad menyembamkan mukanya ke tanah (sujud) di hadapan kamu… Demi al-Lata dan al-Uzza, kalau aku lihatnya, aku akan pijak tengkoknya dan aku sodokkan mukanya ke tanah…"

Utaybah bin Abu Lahab pernah menarik baju nabi sallallahu `alaihi wassalam dan meludah wajah nabi sallallahu `alaihi wassalam.

Abu Jahal pernah cuba membunuh nabi sallallahu `alaihi wassalam dengan menggunakan batu yang besar. Tindakan nekad beliau tanpa mempedulikan perang kabilah yang mungkin berlaku, tetapi Allah s.w.t menyelamatkan nabi sallallahu `alaihi wassalam.

Uqbah pernah meletakkan kainnya pada leher nabi sallallahu `alaihi wassalam sambil mencekiknya dengan sekuat hati, kemudian Abu Bakar radiallahu `anhu datang menyelamatkan nabi sallallahu `alaihi wassalam sambil berkata:
"Apakah kamu ingin membunuh seorang lelaki yang mengatakan Tuhanku hanya Allah?"

Nabi sallallahu `alaihi wassalam pernah pergi ke Thaif, untuk menyeru masyarakat Bani Thaqif menyembah Allah. Tetapi dakwah baginda sallallahu `alaihi wassalam ditolak, bahkan dibalas dengan lemparan batu di sepanjang jalan yang dilakukan oleh kanak-kanak, hamba dan kaum wanita. Baginda sallallahu `alaihi wassalam tercedera, Zaid bin Harithah radiallahu `anhu cedera ketika melindungi baginda sallallahu `alaihi wassalam.

Baginda sallallahu `alaihi wassalam berdoa:

Ya Allah, sesungguhnya aku mengadu kepadaMu, betapa lemahnya kekuatanku, betapa hinanya aku di mata manusia. Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. Yang Maha Pengasih dan Penyayang,kepada siapapun Engkau serahkan diriku ini, sama ada kepada musuh yang akan mengancam diriku, atau kepada sahabat yang akan menjaga urusanku? Selagi mana Engkau tidak Marah kepada ku. Aku tak kisah. Akan tetapi, kesejahteraan yang Engkau kurniakan melegakan aku.

Aku berlindung dengan WajahMu, yang menyinari kegelapan, yang memperbaiki urusan dunia dan akhirat, daripada turunnya murkaMu ke atas diriku, atau kebencianMu menimpaku. Hanya milikMu keredhaan sehingga Engkau meredhai. Tiada usaha dan kekuatan kecuali denganMu.

Malaikat Mahu Membalas Dendam

Jibril berkata kepada nabi sallallahu `alaihi wassalam:

"Sesungguhnya Allah telah mendengar kata-kata kaummu kepada mu serta tindakan mereka kepadamu. Allah mengutuskan kepadamu malaikat bukit supaya engkau arahkan dia apa yang engkau mahu lakukan terhadap mereka".

Malaikat bukit berkata kepada nabi sallallahu `alaihi wassalam:

"Hai Muhammad, apa yang kamu mahu? Kalau kamu mahu aku hempaskan ke atas mereka bukit al-Akhsyabayn (dua buah bukit di Mekah), nescaya akan aku lakukan!"

Jawab nabi sallallahu `alaihi wassalam: "Malah aku mengharapkan agar Allah s.w.t mengeluarkan daripada sulbi mereka keturunan orang-orang yang akan menyembah Allah semata-mata dan tidak mensyirikkannya".
 
Mulia sungguh akhlakmu ya Rasulullah. Engkau membalas tuba yang mereka sirami, dengan susu yang manis lagi menyegarkan. Engkau membalas cercaan mereka dengan doa yang melembutkan.

Maafkan kami Rasulullah sallallahu `alaihi wassalam, kami sering melupakan pengorbananmu, cinta kami kadang-kala mekar, dan kadang-kala kuncup entah ke mana. Maafkan kami wahai Allah.

[sumber rujukan: ar-Raheeq al-Makhtum oleh Shaikh Safiurrahman al-Mubarakfuri, edisi terjemahan bertajuk: Sirah Nabawiah, terbitan YADIM]

Wednesday, January 18, 2012

10 Ciri Suami Mithali

Bismillahirrahmanirrahim....


Jarang kita fikirkan dan ungkitkan ciri – ciri seorang suami mithali, selalu pula kita bincang pasal apa seorang isteri yang patut lakukan kepada suami dan keluarganya. Bukan sedikit tetapi banyak perkara yang menjadi tanggungjawab isteri di rumah seperti mengurus rumah, mengajar dan menjaga anak – anak, memasak,mengemas, mencuci baju juga apa yang kita suruh, si isteri akan lakukannya. Berbalik kepada suami, apa yang kita lakukan ?

1. Berpakaian kemas, bersih dan wangi untuk isteri anda. 

Bilakah kali terakhir anda beli baju tidur yang mahal ? Seperti juga kita mahukan isteri kita berpakaian cantik untuk kita, mereka juga mahukan suami mereka lakukan perkara yang sama juga. Ingat bahawa Rasullullah S.A.W. akan sentiasa menggunakan miswak (kayu sugi) apabila balik rumah dan sentiasa gemarkan bau – bauan yang wangi.

2. Menggunakan nama yang baik untuk isteri anda.
 
Gunalah nama yang terbaik untuk panggil isteri anda dan elakkan guna nama yang boleh buatkan hati dia terguris. Panggilan yang manja akan membuat hubungan anda sentiasa mesra.

3. Jangan layan dia seperti ‘lalat’. 

Kita tidak pernah fikirkan pasal lalat setiap hari kita kecuali bila dia datang mengganggu kita. Sama juga seperti isteri, dia telah lakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri setiap hari tetapi kita tidak pernah menghargainya sehingga dia terbuat silap dan menyusahkan kita. Janganlah kita layan isteri seperti ini, selalulah kita ingat apa kebaikan yang isteri kita lakukan dan fokuskan tentang itu.

4. Elakkan terlampau banyak komplain.
 
Jika anda terlihat kesalahan yang isteri anda lakukan, cubalah berdiam sahaja dan tidak memberi komen. Iniadalah salah satu cara Rasulullah S.A.W. gunakan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak elok dari isterinya. Ini merupakan salah satu ciri yang amat jarang si suami amalkan.

5. Sentiasa senyum dan peluk isteri anda. 

Senyum merupakan satu sedekah dan sentiasalah senyum dengan isteri anda. Bayangkan hidup dengan isteri anda sentiasa melihat anda tersenyum. Ingat bahawa terdapat hadith dimana Rasulullah S.A.W. akan mencium isterinya sebelum pergi sembahyang, juga semasa baginda sedang berpuasa.

6. Berterima kasih dengan apa yang telah isteri lakukan kepada anda. 

Dan sentiasalah mengucapkan terima kasih. Ambil contoh dimana isteri anda masakkan makanan yang sedap, mengemas rumah dan pelbagai lagi. Kadang – kadang apa yang dia dapat adalah komen dari si suami bahawa sup yang dia masak itu kekurangan garam. Janganlah bersikap begini, berterima kasihlah dengan apa yang dia telah usahakan itu.

7. Mintalah dia tuliskan 10 perkara yang anda telah lakukan membuat dia gembira.

Kemudian lakukan lah perkara itu lagi. Mungkin sukar untuk tahu apa yang dapat membuat isteri anda gembira dan anda tidak perlu untuk teka, tanyalah dia dan ulangkan perkara tersebut sepanjang hidup anda dengan dia.

8. Jangan merendahkan keinginan dia. 

Pujuklah dia. Kadang – kala si suami akan mengambil ringan perkara yang diinginkan oleh si isteri. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh apabila insiden dimana Safiyyah binti Hujaj R.A. menangis kerana baginda telah meletakkan dia diatas unta yang perlahan. Baginda membersihkan air mata dan menenangkan dia, kemudian baginda menukarkan dengan unta yang lain.

9. Yang sentiasa berjenaka dan bergurau.

Jadilah seorang suami yang berjenaka dan sentiasa bergurau senda dengan isteri anda.
Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W. berlumba dengan isteri baginda Aisyah R.A. di padang pasir. Bilakah kali terakhir kita lakukan perkara demikian ?

10. Pesanan Rasulullah S.A.W.

Sentiasa ingat apa yang Rasulullah S.A.W. pesan, “orang yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang melayan keluarga dia dengan terbaik. Dan akulah orang yang terbaik dikalangan kamu bagi keluarga aku”. Maka dengan hadith ini, anda lakukan lah yang terbaik, insyaAllah akan bahagia dunia dan akhirat.
kesimpulannya, jangan anda lupa untuk sentiasa berdoa dengan Allah memina supaya perkahwinan anda bahagia dunia dan akhirat, sesungguhnya Allah maha mengetahui.

Sumber: http://mindatahwil.blogspot.com/

Thursday, January 5, 2012

JOM BELAJAR SOLAT BERJEMAAH ^_^

Bismillahirrahmanirrahim.....




Jumlah Minimum Di Dalam Solat Jemaah

Ibnu Qudamah menyatakan,“Solat jemaah dapat dilakukan oleh dua orang atau lebih. Kami belum menemui perbezaan pendapat dalam masalah ini.” [Al Mughni 3/7]

Ibnu Hubairoh berkata, “Para ulama bersepakat, batasan minimum solat jemaah ialah dua orang.
Iaitu imam dan seorang makmum yang berdiri di sebelah kanannya.” [Al-Ifshah An Ma’anish Shihah, 1/155. Dinukil daripada Solatul Jemaah, karya Prof. Dr. Shalih bin Ghanim As Sadlan, hal. 47. Lihat juga pernyataan kesepakatan ini dalam Raudhatun Nadiyah, karya Siddiq Hasan Khan, 1/308.]


Sah Solat Jemaah Dengan Kanak-Kanak Atau Wanita

Ibnu Abbas Radiallahu ‘anhu berkata:

بِتُّ عِنْدَ خَالَتِي فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ فَأَخَذَ بِرَأْسِي فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ

Aku tidur di rumah makcikku, lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bangun mengerjakan solat malam. Lalu aku turut solat bersamanya dan berdiri di sebelah kirinya. Kemudian baginda meraih kepalaku dan memindahkanku ke sebelah kanannya. [Sahih al-Bukhari: 662]

Demikian juga hadis Anas bin Malik Radiallahu ‘anhu :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا

Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa sallam solat mengimami dia dan ibunya. Anas berkata, “Baginda meletakkanku di sebelah kanannya dan wanita (ibunya) di belakang kami.” [Sahih Muslim: 1062]
Lebih Ramai Jemaah, Lebih Banyak Pahala

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam:

وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ وَحْدَهُ وَصَلَاةُ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلَاتِهِ مَعَ الرَّجُلِ وَمَا كَانُوا أَكْثَرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Solat bersama orang lain lebih baik daripada solat sendirian. Solat bersama dua orang lebih baik daripada solat bersama seorang.
Semakin banyak (yang solat) semakim disukai Allah Azza wa Jalla. [Sunan Abu Daud: 467., Sunan an-Nasai: 834, Musnad Ahmad: 20312, Al-Mustadrak: 3/269 dan Sahih Ibn Khuzaimah:1477]

Kanak-Kanak Boleh Menjadi Imam
Hadis Amru bin Salamah Radiallahu ‘anhu yang berbunyi:

فَلَمَّا كَانَتْ وَقْعَةُ أَهْلِ الْفَتْحِ بَادَرَ كُلُّ قَوْمٍ بِإِسْلَامِهِمْ وَبَدَرَ أَبِي قَوْمِي بِإِسْلَامِهِمْ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ جِئْتُكُمْ وَاللَّهِ مِنْ عِنْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقًّا فَقَالَ صَلُّوا صَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا وَصَلُّوا صَلَاةَ كَذَا فِي حِينِ كَذَا فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْثَرُكُمْ قُرْآنًا فَنَظَرُوا فَلَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَكْثَرَ قُرْآنًا مِنِّي فَقَدَّمُونِي بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَأَنَا ابْنُ سِتٍّ أَوْ سَبْعِ سِنِينَ

Ketika terjadi penaklukan kota Makkah, setiap kaum datang menyatakan keislaman mereka. Bapaku datang menyatakan keislaman kaumku. Ketika pulang beliau berkata,“Demi Allah, aku membawakan kepada kalian kebenaran daripada Rasulullah,” lalu beliau berkata,“Solatlah kalian, solat ini pada waktu ini dan solatlah ini pada waktu ini. Jika telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan orang yang paling banyak hafalan Al-Qurannya yang menjadi imam.” Lalu mereka mencari (imam). Ternyata tidak ada seorangpun yang lebih banyak hafalan Al-Quran daripada aku. Lalu mereka menjadikan aku sebagai imam dan aku pada waktu itu berusia enam atau tujuh tahun. [Sahih al-Bukhari: 3963]

Bila Dikatakan Mendapat Solat Jemaah

Dalam isu ini, ulama terbahagi kepada tiga pendapat:

Pertama : Sebelum Imam Memberi Salam
Ini pendapat mazhab Hanafi dan Syafii. Dalilnya:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ وَأْتُوهَا تَمْشُونَ عَلَيْكُمْ السَّكِينَةُ فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

Jika solat telah iqamat, maka janganlah mendatanginya dengan berlari. Datangilah dengan berjalan. Kalian mesti tenang. Apa yang kalian dapatkan (bersama imam), maka solatlah dan yang terlepas sempurnakanlah.[Sahih al-Bukhari: 863 dan Muslim: 949]

Kedua : Membezakan Antara Solat Jumaat Dan jemaah. Jika Solat Jumaat, Melihat Kepada Rakaat Dan Jemaah Melihat Kepada Takbir.
Maksudnya: Dalam solat Jumaat, seseorang dikatakan mendapatkan solat Jumaat bersama imam bila mendapat satu rakaat bersama imam.

Untuk solat jemaah selain solat Jumaat, dikira mendapat jemaah apabila bertakbir sebelum imam mengucapkan salam. Ini pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafii. [Majmu’ Fatawa 23/331]

Ketiga : Bila Mendapat Satu Rakaat Bersama Imam
Ini merupakan pendapat mazhab Malik, Imam al-Ghazali dan Ibn Taimiyyah.
Shaikh Muhammad bin Abdil Wahab dan Abdurrahman bin Nashir Assa’di telah merajihkannya.[Lihat Solatul Jemaah, hal. 50. Tentang tarjih mereka ini dapat dilihat dalam kitab Adab Al Masyi Ila Solat, hal. 29 dan Al Mukhtarat Al Jaliyah Fil Masail Al Fiqhiyah (dalam Al Majmu’ah Al Kamilah Li Mualafat, Syaikh Abdurrahman bin Nashir Assa’di, 2/109]

Dalilnya:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنْ الصَّلَاةِ فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ


Siapa yang mendapat satu rakaat daripada solat, maka telah mendapat solat. [Sahih al-Bukhari: 546 dan Sahih Muslim: 954]

Hadis Ibn Umar:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ أَوْ غَيْرِهَا فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ

Rasulullah bersabda,“Sesiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat Jumaat atau selainnya, maka telah mendapat solat.” [Sunan an-Nasaie: 554, Sunan Ibn Majah: 1113 dan Sahih Ibn Khuzaimah: 3/173.]

Pendapat ketiga adalah pendapat yang paling kuat menurut Ibn Taimiyyah.

Bilakah Dikira Mendapat Rakaat?



Ulama terbahagi kepada dua pendapat:

a) Apabila Sempat Membaca Al-Fatihah



Ini merupakan pendapat Imam al-Bukhari, Ibn Hazm dan salah satu pendapat Imam asy-Syaukani [Lihat Juz’ul Qira’ah Khalfal Imam; Al Muhalla 2/274-278; Nailul Authar 2/511-514]

Dalilnya:

Daripada Ubadah Bin as-Somit bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah. [Sahih al-Bukhari: 756 dan Muslim: 394]

Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu berkata:

إِذَا أَدْرَكْتَ الْقَوْمَ رُكُوْعًا لَمْ تُعْتَدَّ بِتِلْكَ الرَّكْعَةَ

Jika engkau mendapati orang-orang sedang ruku’, jangan kira ia sebagai rakaat [Riwayat imam al-Bukhari dalam Khairul Kalam Fil Qira’ah Khalfal Imam]

b) Apabila Sempat Ruku’ Bersama Imam

Ini merupakan pendapat majoriti ulama’.
Ia pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafii, Imam Ahmad bin Hanbal. Juga pendapat para sahabat: Ali, Ibnu Mas’ud, Zaid, dan Ibnu Umar. Pendapat ini juga dirajihkan oleh Imam Ibnu Abdil Barr, Imam Nawawi, Ash Shan’ani, Asy Syaukani pada pendapat kedua, Syaikh Bin Baz, Syaikh Al-Albani dan lainnya. [Lihat Shalatul Jama’ah, 96-98, karya Dr. Sa’id bin Ali bin Wahf Al Qahthani]

Dalilnya:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ أَنَّهُ انْتَهَى إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ رَاكِعٌ فَرَكَعَ قَبْلَ أَنْ يَصِلَ إِلَى الصَّفِّ (ثُمَّ مَشَي إِلَى الصَّفِّ ) فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ زَادَكَ اللَّهُ حِرْصًا وَلاَ تَعُدْ

Daripada Abu Bakrah Radiallahu ‘anhu, bahawa dia sampai kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam ketika baginda sedang ruku’, lalu dia ruku’ sebelum sampai ke saf (lalu dia berjalan menuju saf). Kemudian dia menyebutkan hal itu kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas baginda bersabda, “Semoga Allah menambahkan semangat terhadapmu, dan janganlah engkau ulangi (perbuatan tadi).” [Sahih al-Bukhari: 783. Tambahan dalam kurungan riwayat Sunan Abu Daud: 684]

Daripada Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا جِئْتُمْ إِلَى الصَّلاَةِ وَنَحْنُ سُجُودٌ فَاسْجُدُوا وَلاَ تَعُدُّوهَا شَيْئًا وَمَنْ أَدْرَكَ الرَّكْعَةَ فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ

Jika kamu mendatangi solat, dan kami sedang sujud, maka sujudlah, dan janganlah kamu menghitungnya sesuatu. Dan barangsiapa mendapatkan rakaat (ruku’), maka dia mendapat solat. [Sunan Abu Daud: 893]

HUKUM SOLAT BERJEMAAH.

Ulama berbeza pendapat tentang hukumnya.

Pendapat Pertama : Fardhu Kifayah.

Ini pendapat Imam Syafii, Abu Hanifah, jumhur ulama Syafiiyah terdahulu dan kebanyakan ulama mazhab Hanafi dan Maliki.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata,“Zahir perkataan Syafii, solat berjamaah hukumnya fardhu kifayah. Inilah pendapat kebanyakan ulama terdahulu di kalangan ulama Syafiiyah, Hanafiyah serta Malikiyah.” [Fathul Bari, 2/26]

Dalil-Dalilnya.

Hadis Pertama:

مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمْ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدْ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمْ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ

Tidaklah tiga orang di dalam satu kampung atau kawasan pedalaman, dan mereka tidak pula mendirikan solat melainkan Syaitan akan menguasainya. Berjemaahlah kalian. Ini kerana serigala hanya memakan kambing yang sendirian. [Sunan Abu Daud: 460, Sunan an-Nasaie: 738 dan Musnad Ahmad: 26242]

Hadis Kedua:

ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ فَأَقِيمُوا فِيهِمْ وَعَلِّمُوهُمْ وَمُرُوهُمْ وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Pulanglah kepada keluarga kalian, dirikanlah solat bersama mereka, ajarlah dan perintahkan mereka (untuk solat). Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat. Jika telah masukwaktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan yang paling tua menjadi imam. [Sahih al-Bukhari: 595 dan Muslim: 1080]

Hadis Ketiga:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,”Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian dua puluh tujuh darjat.” [Sahih al-Bukhari: 609]

Pendapat Kedua: Syarat sah solat. Tidak sah solat sendirian melainkan ada keuzuran

Ini pendapat mazhab Zahiri dan sebahagian ulama hadis. Ia juga dipegang oleh Ibnu Taimiyyah, Ibnul Qayyim, Ibnu Aqil dan Ibnu Abi Musa.

Dalil-Dalilnya:

Hadis Pertama.

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إِلَّا مِنْ عُذْرٍ

Barangsiapa yang mendengar azan lalu tidak mendatanginya, maka tidak ada solat baginya kecuali kerana uzur. [Sunan Ibn Majah: 785]

Hadis Kedua.

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ فَيُحْطَبَ ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَهَا ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيَؤُمَّ النَّاسَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهُمْ

Demi zat yang jiwaku ada ditanganNya, sungguh aku bertekad meminta dikumpulkan kayu api. Lalu dikeringkan (agar mudah dijadikan kayu api). Kemudian aku perintahkan solat, lalu ada yang melaungkan azan. Kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami solat, dan aku tidak berjemaah untuk menemui orang-orang (lelaki yang tidak berjemaah), lalu aku bakar rumah-rumah mereka. [Sahih al-Bukhari: 608 dan Muslim: 1041]

Hadis Ketiga.

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ فَرَخَّصَ لَهُ فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ فَقَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَأَجِبْ

Seorang buta datang kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata,“Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai seorang yang memimpinku ke masjid,” lalu dia meminta keringanan kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sehingga dibolehkan solat di rumah. Lalu Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam memberikan keringanan kepadanya. Ketika dia meninggalkan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas Rasulullah bertanya,“Apakah engkau mendengar panggilan azan solat?” Dia menjawab,“Ya.” Lalu Baginda berkata,“Penuhilah!” [Sahih Muslim: 1044]

Pendapat Ketiga : Sunat Muakkad.
Ini pendapat mazhab Hanafi dan Maliki. Imam Ibnu Abdil Barr menisbahkannya kepada kebanyakan ahli fiqh Iraq, Syam dan Hijaz.

Dalil-Dalilnya.

Hadis Pertama.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,”Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat sendirian dua puluh tujuh darjat.”[Sahih al-Bukhari: 609]

Hadis Kedua.

إِنَّ أَعْظَمَ النَّاسِ أَجْرًا فِي الصَّلَاةِ أَبْعَدُهُمْ إِلَيْهَا مَمْشًى فَأَبْعَدُهُمْ وَالَّذِي يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ الْإِمَامِ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الَّذِي يُصَلِّيهَا ثُمَّ يَنَامُ وَفِي رِوَايَةِ أَبِي كُرَيْبٍ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ الْإِمَامِ فِي جَمَاعَةٍ

Sesungguhnya, orang yang mendapat pahala paling besar dalam solat ialah yang paling jauh jalannya, kemudian yang lebih jauh. Orang yang menunggu solat sampai solat bersama imam, lebih besar pahalanya daripada orang yang solat, kemudian tidur. Dalam riwayat Abu Kuraib, (disebutkan): sehingga dia solat bersama imam dalam jemaah. [Sahih Muslim: 1064 dan Musnad Ahmad: 11380]

Pendapat Keempat : Fardhu Ain Dan Bukan Syarat.

Ini pendapat Ibnu Mas’ud, Abu Musa Al-Asyaari, Atha’ bin Abi Rabbah, Al Auza’i, Abu Tsaur, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan sebahagian ulama mazhab Hanafi dan Maliki.
Dalil-Dalil Al-Quran.
- Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلاَةَ فَلْتَقُمْ طَآئِفَةُُ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلِيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَآئِكُمْ وَلْتَأْتِ طَآئِفَةٌ أُخْرَى لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً وَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن كَانَ بِكُمْ أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَوْ كُنتُم مَّرْضَى أَن تَضَعُوا أَسْلِحَتَكُمْ وَخُذُوا حِذْرَكُمْ إِنَّ اللهَ أَعَدَّ لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

Dan apabila kamu berada di tengah-tengah mereka (sahabatmu), lalu kamu hendak mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah sekumpulan daripada mereka berdiri (solat) bersamamu sambil menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) telah sujud (telah menyempurnakan satu rakaat), maka hendaklah mereka pindah dari belakangmu (untuk menghadapi musuh) dan hendaklah datang kumpulan yang kedua yang belum bersolat, lalu bersolatlah mereka denganmu sambil bersiap-sedia dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus. Dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu jika kamu menghadapi kesusahan kerana hujan atau kerana kerana kamu memang sakit; dan bersiap-sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang hina bagi orang-orang kafir itu. [An-Nisa’:102].

Dalam ayat ini terdapat dalil yang tegas mengenai kewajipan solat berjemaah. Ia tidak boleh ditinggalkan, kecuali ada uzur, seperti: ketakutan atau sakit.

وَأَقِيمُوا الصَّلاَةَ وَءَاتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan ruku’lah bersama orang-orang yang ruku’. [Al-Baqarah:43).

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَاْلأَصَالِ رِجَالُُ لاَّتُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلاَبَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَآءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَاْلأَبْصَارُ

Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut namaNya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang, lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli daripada mengingati Allah, mendirikan solat, dan membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. [An-Nur:36-37].

قُلْ أَمَرَ رَبِّي بِالْقِسْطِ وَأَقِيمُوا وُجُوهَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ كَمَابَدَأَكُمْ تَعُودُونَ

Katakanlah,”Tuhanku menyuruh menegakkan keadilan.” Dan (katakanlah),”Luruskan wajah (diri)mu dalam setiap solat dan sembahlah Allah dengan ikhlas kepadaNya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan, (demikian pulalah) kamu akan kembali kepadaNya.” [Al-A’raf:29].

Dalil-Dalil Hadis

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِحَطَبٍ فَيُحْطَبَ ثُمَّ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَيُؤَذَّنَ لَهَا ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا فَيَؤُمَّ النَّاسَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى رِجَالٍ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهُمْ

Demi zat yang jiwaku ada di tanganNya, sungguh aku bertekad meminta dikumpulkan kayu api, lalu dikeringkan (agar mudah dijadikan kayu api). Kemudian aku perintahkan solat, lalu ada yang melaungkan azan. Kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami solat dan aku tidak berjemaah untuk menemui orang-orang (lelaki yang tidak berjemaah). Lalu aku bakar rumah-rumah mereka.[ Sahih al-Bukhari: 608 dan Sahih Muslim: 1041]

أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ أَعْمَى فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي قَائِدٌ يَقُودُنِي إِلَى الْمَسْجِدِ فَسَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُرَخِّصَ لَهُ فَيُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ فَرَخَّصَ لَهُ فَلَمَّا وَلَّى دَعَاهُ فَقَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ بِالصَّلَاةِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَأَجِبْ

Seorang buta datang kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata,“Wahai Rasulullah, aku tidak mempunyai seorang yang memimpinku ke masjid,” lalu dia meminta keringanan kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sehingga dibolehkan solat di rumah. Lalu Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam memberikan keringanan kepadanya. Ketika dia meninggalkan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas Rasulullah bertanya,“Apakah engkau mendengar panggilan azan solat?” Dia menjawab,“Ya.” Lalu Baginda berkata,“Penuhilah!” [Sahih Muslim: 1044]

مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمْ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدْ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمْ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ

Tidaklah tiga orang di dalam satu kampung atau kawasan pedalaman, dan mereka tidak pula mendirikan solat melainkan Syaitan akan menguasainya. Berjemaahlah kalian. Ini kerana serigala hanya memakan kambing yang sendirian.
[Sunan Abu Daud: 460, Sunan an-Nasaie: 738 dan Musnad Ahmad: 26242]

sumber: soaljawab.wordpress.com