Tuesday, February 15, 2011

~ Kau Insan Terpuji ~

Bismillahirrahmanirrahim...






PemergianMu...nyanyian Inteam


(Ya Rasulallah...)
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa
Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu
Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia ?kan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
Ya RasulallahKau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu


Senilagu : Frizdan Senikata : Frizdan Hakcipta : Inteam Records Sdn. Bhd.Penerbit : Fizarahman Zainal Susunan Muzik : Firdaus Mahmud



  Pertama sekali alhamdulillah kerana hari ini merupakan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Apakah yang kita lakukan atau usahakan untuk memperingati baginda SAW, menzahirkan rasa cinta kepada habiballah? Tiada yang lebih indah jika kasih dan cinta kita kepada baginda SAW kerana itu juga tanda cinta kita Allah SWT. Tetapi sejauh mana kita cuba dan berusaha mencintai baginda SAW? Tepuklah dada, tanya iman masing-masing.

Berusaha dalam mendalami dan menghayati siri kisah dan sirah Rasulullah SAW adalah sangat  perlu bagi kita selaku umatnya. Kerana jika kita tidak mengenali siapa baginda SAW, bagaimana mungkin kita boleh atau mampu mencintai baginda SAW sepenuh jiwa.
Proses pembelajaran dan peningkatan ilmu mengenai insan terpuji ini hendaklah secara berterusan bukan sahaja apabila tiba hari kelahiran baginda SAW. Penulis teringat pengisian seorang ustaz semasa mengikuti satu ceramah sempena Maulidur Rasul 2 tahun yang lalu di kampus yang mana ustaz menyarankan kita supaya membaca sirah dan sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW sekurang-kurang sehelai setiap hari agar kita sentiasa dekat di hati baginda SAW. 

Pernah suatu ketika Nabi SAW ingin berbuka puasa pada hari pertama, baginda SAW hanya minum segelas air, dan hari kedua berbuka puasa, baginda SAW juga hanya minum segelas air, dan seterusnya hari ketiga berbuka puasa, baginda SAW hanya berkongsi sebiji kurma dengan Saidina Aishah r.a. SubhanaAllah! Begitu banyak kisah kehidupan baginda SAW dan akhlak terpuji insan berjiwa emas ini menyentuh hati penulis. Sungguh mulia peribadi Rasulullah SAW kerana baginda adalah qudwah hasanah buat kita, membawa rahmat ke seluruh alam dan memberi sinar baru kepada Islam.

Tidak tergambar akhlak baginda SAW sehingga seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar persis cuba melakukan seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW.Tatap dan renunglah Al-Quranul Karim kerana di dalamnya terkandung akhlak Rasulullah SAW sebagai pedoman buat umat islam. Mudah.mudahan hari ini dan hari seterusnya membawa kita benar-benar berada dalam siri perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk terus mendukung agama Allah SWT dalam menegakkan kebenaran dan hak-hakNYA. Moga umat islam terus menerus berusaha mengamali sunnah baginda SAW kerana sabda baginda ; " barangsiapa mengamalkan sunnahku, maka dia akan masuk syurga." SubhanaAllah ! betapa sayang nya baginda SAW kepada umat islam akhir zaman sehingga saat kewafatan baginda SAW masih lagi mengingat umatnya..Ummati! Ummati ! Ummati!...

Ya Rasulullah SAW,
Kami merindui mu...
Adakah layak untuk kami mendapat syafaat dan kasih sayangmu,
Malu aku untuk menyatakan cinta kepadaMu,
kerana aku insan biasa, 
sedangkan dirimu insan mulia,
Ya Rasulullah SAW,
ku berusaha menjalankan sunnahmu,
meneruskan perjuanganmu,
agar Islam ini terus bersinar,
demi kasih sayang pada mu, 
juga padaNYA...

Rasulullah SAW bersabda, ajarlah anak-anakmu 3 perkara :
1) Mencintai Rasulullah SAW.
2) Mencintai keluarga baginda SAW
3) Membaca Al-Quran

Hadith Riwayat At-Tabrani..

Wallahu'alam...

Friday, February 11, 2011

Revolusi Timur Tengah



Bismillahirrahmanirrahim...




Selepas kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia menghalau presiden Zine El Abidine Ben Ali yang telah berkuasa selama 23 tahun, mata dunia kini bertumpu ke Mesir.

Ini berikutan dengan gelombang kebangkitan rakyat di Mesir mendesak Hosni Mubarak yang memerintah negara “firaun” itu semenjak tahun 1981 berundur daripada tampuk kekuasaan. Hosni Mubarak menaiki takhta sebagai presiden Mesir selepas pendahulunya Anwar El Sadat dibunuh. 

protest against hosni mubarak us embassy kuala lumpur protesters fist 1Kemenangan rakyat Tunisia memberikan semangat kepada rakyat Mesir untuk melakukan perkara yang sama. Terdapat analisa yang mengatakan bahawa jika tumbangnya regim Hosni Mubarak, negara-negara Timur Tengah yang lain akan berhadapan dengan perkara yang sama.

Umum mengetahui bahawa di Timur Tengah, kebanyakkan negara-negara Arab di perintah oleh diktator dan raja yang telah lama berkuasa. 

Sudah pasti Israel adalah antara negara yang paling bimbang dengan perkembangan yang berlaku di Mesir kerana regim Hosni Mubarak merupakan sekutu terkuat Israel di Timur Tengah.

Regim Mubarak telah menutup internet daripada digunakan di negara tersebut. Akan tetapi maklumat tentang perkembangan terkini di Mesir tetap dapat di kongsi di seluruh dunia. Solidariti masyarakat antarabangsa merealisasikan perkara ini.

NONELaman-laman sosial seperti Youtube, Facebook dan Twitter dibanjiri dengan perkembangan terkini yang berlaku di Kaherah. Tidak kurang juga dengan mesej-mesej solidariti dari rakyat seluruh dunia yang menyokong perjuangan rakyat Mesir untuk menumbangkan diktator Hosni Mubarak.

Selain daripada menutup penggunaan internet di Mesir, regim Mubarak turut menahan wartawan antarabangsa. Berberapa orang wartawan Al-Jazeera antara yang ditahan. Kamera video mereka turut di rampas.

Rakyat Malaysia tidak ketinggalan untuk bersama gelombang dunia di laman Facebook dan Twitter untuk menyokong gelombang kebangkitan di Mesir. Tidak kurang juga ahli keluarga di Malaysia yang bimbang dengan keselamatan pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.

Diberitakan terdapat lebih kurang 11, 300 orang pelajar serta rakyat Malaysia yang berada di Mesir. Timbalan Menteri Luar A Kohilan Pillay akan berlepas ke Mesir bersama dengan sepasukan lima orang yang akan menilai situasi dan keperluan untuk memindahkan rakyat Malaysia dari negara tersebut.

Dari penilaian tersebut, mereka akan memutuskan sama ada rakyat Malaysia akan dipindahkan ke negara yang berdekatan seperti Arab Saudi dan Libya ataupun dibawa pulang terus ke Malaysia.

Mampukah revolusi tumbangkan Mubarak?

Mesir mempunyai sejarah pernah berlakunya revolusi. Pada tahun 1952, revolusi yang dipimpin oleh tentera telah berjaya menamatkan riwayat sistem monarki di negara tersebut.

Jadi tidak mustahil revolusi kali ini akan berjaya menamatkan riwayat pemerintahan Hosni Mubarak. Sehingga saat artikel ini di tulis, Hosni Mubarak masih lagi berdegil tidak mahu turun dari takhta.

Perangai Hosni Mubarak pada ketika ini tidak ubah seperti perangai Shah Reza Pahlavi, Ferdinand Marcos dan Soeharto di saat-saat akhir kekuasaan. Degil dan tidak mahu melayan tuntutan rakyat jelata.

NONEShah Reza Pahlavi, Ferdinand Marcos dan Soeharto kesemuanya menggunakan tentera untuk mempertahankan regim. Akan tetapi gelombang kebangkitan rakyat akhirnya menyebabkan golongan tentera berpecah dua kepada yang menyokong regim dan menyokong rakyat.

Asakan yang kuat dari rakyat dan perpecahan golongan tenteralah yang menyebabkan berlakunya revolusi rakyat. Sama seperti di Mesir, akan tiba masanya nanti apabila golongan tentera berpecah dan sebahagiannya bersama rakyat untuk melawan regim.

Kebangkitan rakyat di Mesir telah menyaksikan darah bersimbah ke bumi. Setakat ini lebih dari 125 nyawa demonstran telah melayang. Kematian para demonstran tidak melemahkan semangat demonstran untuk terus berjuang.

Malahan kematian para perajurit revolusi telah menaikkan semangat rakyat Mesir untuk berjuang bagi memastikan "firaun” zaman moden, Hosni Mubarak dapat ditumbangkan.

Berapa lama lagikah Hosni Mubarak mampu bertahan? Apakah yang dibisikkan oleh penasihat-penasihat yang paling beliau percayai? Tidak adakah penasihat yang berani mengatakan “sekarang telah tiba masanya bagi anda berundur”?

Domino di Timur Tengah?

Pada ketika rakyat Mesir terus menerus berjuang melawan pemerintah Hosni Mubarak, pemerintah dan Raja di negara-negara Timur Tengah yang lain berada di dalam kebimbangan.

Mungkin ada yang mula menghantar harta dan wang simpanan mereka ke luar negara. Mereka pasti sedar bahawa tiada kerajaan atau pemerintahan yang mampu kekal selamanya.

Apakah “Teori Domino” bakal berlaku di Timur Tengah? Yang palingmenarik adalah sikap Amerika Syarikat yang berubah seperti lalang ditiup angin. Seluruh dunia mengetahui bahawa Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah merupakan sekutu rapat Hosni Mubarak.

barack obama visits egyptHari ini apabila kebangkitan rakyat Mesir tidak dapat dihentikan, kenyataan daripada Amerika Syarikat berhubung dengan Mesir berubah. Sekarang Amerika Syarikat telah mula bercakap soal pemerintahan transisi di Mesir yang lebih demokratik.

Jika Amerika Syarikat benar-benar mahukan demokrasi di Timur Tengah, mengapa selama ini mereka hanya membisu? Mengapa pula mereka tidak pernah berkata apa-apa mengenai kerajaan Saud di Arab Saudi? Apakah ada demokrasi dan hak asasi manusia di Arab Saudi?

Jika benar-benar teori domino bakal berlaku di Timur Tengah selepas regim Hosni Mubarak jatuh, sinar dan harapan baru akan muncul di Timur Tengah. Pada ketika itu, dunia bakal menyaksikan Timur Tengah yang baru bakal muncul.

Masih belum kedengaran dari kerajaan Malaysia berkenaan dengan kebangkitan rakyat di Mesir selain dari usaha untuk menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di sana.

Kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir, sebelum anda dihantar pulang, saksikanlah sejarah besar yang berlaku di negara tersebut. 

Sebagai mahasiswa menjadi tanggungjawab anda untuk peka kepada keadaan sekeliling. Pelajarilah bagaimana dan mengapa rakyat Mesir sanggup mengorbankan nyawa untuk revolusi!





Sumber : Amin Iskandar dalam Malaysiakini 6 Feb 2011





Friday, January 14, 2011

Persiapan fizikal, mental dan rohani

Bismillahirrahmanirrahim...




      
   Sejak akhir-akhir ini, banyak cerita yang berunsur tahyul dan mistik atau dengan bahasa mudah cerita hantu ditayangkan di kaca televisyen. Bagaikan musim sehingga para pengarah filem berlumba-lumba menghasilkan filem hantu yang mampu mencatat 'rating' tertinggi dalam carta filem.  Yang sayangnya adalah kebanyakkan peminat cerita sebegini adalah di kalangan orang Melayu Islam sendiri dan yang paling pelik, ramai juga di kalangan masyarakat islam yang diserang makhluk-makhluk ini juga. Sedangkan kita sendiri yang menggalakkan malah lebih mengalu-alukan kehadiran mereka ke dunia kita. Fenomena cerita berunsurkan kepercayaan syirik yang melibatkan makhluk-makhluk halus ini sebenarnya sedikit sebanyak boleh menganggu gugat aqidah kita selaku ummat islam. Tambahan sekarang, umat islam sudah semakin jauh dari Islam dan Allah SWT malah kita lebih bergantung kepada bantuan tok bomoh dan sebagainya. Sedangkan Allah SWT telah memberi penjelasan bahawa setiap dari kita ada benteng-bentengnya.
Penulis pernah mendengar dalam satu slot di radio, seorang pakar agama ada mengatakan bahawa, seorang manusia, akan didampingi oleh 9 ekor syaitan dan 99 malaikat. Cuba bayangkan dan fikirkan?

Permudahkanlah urusanku di Darussyifa'



   Alhamdulillah dengan izinNYA, penulis diberi kesempatan untuk mempelajari dan mencedok seberapa banyak ilmu perubatan islam secara ruqyah (menggunakan kalimah Allah SWT) di Darussyifa'. Walaupun kelas akan bermula pada Isnin yang akan datang ini, penulis begitu tidak sabar untuk memulakan kelas kerana sudah lama penulis bercita-cita untuk berguru dengan Dato' Dr. Harun Din yang merupakan pengamal perubatan Islam yang terkenal di tanah air. Penulis tidak mengenali beliau secara dekat tetapi InshaAllah setelah menghadiri kelas beliau pasti penulis akan lebih mengenalinya. Tidak dapat tidak, penulis  akan berusaha mempersiapkan diri dari sudut fizikal, mental dan rohani kerana kelas ini akan dijalankan setiap hari Isnin sepanjang tahun kecuali bulan Ramadhan. Ini penting sebagai pelajar supaya ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan dalam kehidupan.
Seperti kata Imam Al-Ghazali : " Tiada guna menuntut ilmu jika tidak diamalkan, dan tiada guna juga amal, jika kita tidak ikhlas."

Justeru, untuk menuntut ilmu tidak kira ilmu Allah , ilmu agama, ilmu sains , ilmu dunia dan sebagainya, kita harus sedar bahawa setiap ilmu yang kita pelajari sebenarnya adalah atas niat kita sendiri. Untuk apa?dan atas tujuan apa? semuanya bergantung pada diri kita sebagai khalifahNYA. InshaAllah, jika ilmu kita diarahkan ke arah kebaikan, dihiasi pula dengan syariat islam, pasti akan mendapat keberkatan dari Ilahi dan kejayaan abadi. Dan begitu juga sebaliknya. Tetapi awas, kerana dengan ilmu juga kita akan diuji oleh Allah SWT. Sama-sama berdoa agar setiap ilmu yang kita hendak dan akan pelajari adalah kerana DIA. InshaAllah..

peringatan buat diri...

esok (15Jan ) : Taklimat dan pendaftaran sebagai pelajar Darussyifa'. Nantikan ketibaanku..moga Allah permudahkan urusan kami...



Thursday, January 13, 2011

Kebolehan Memukul Sebagai Ta’dib

Bismillahirrahmanirrahim...

Pencerahan yang sangat berguna buat para suami dan isteri. Moga kita sama-sama ambil manfaat agar mahligai rumah tangga yang terbina mendapat keberkatan juga sakinah hingga ke syurga. InshaAllah. Terima kasih juga kepada sahabat dari Alumni FCR yang telah membuat perkongsian ini. Jazakallah...




 Syariah Islam telah menetapkan kewajiban bagi suami untuk mendidik (ta’dib) isteri dan anak-anaknya agar taat kepada Allah SWT. Hal ini sesuai firman Allah SWT: 

 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka." [TMQ At-Tahrim (66): 6].

Suami harus bersungguh-sungguh dalam melakukan ta’dib terhadap isteri dan anak-anak kerana suamilah yang bertanggung jawab dalam membentuk rumah tangga. Jika suami berjaya membentuk isteri dan anak-anaknya sehingga mereka menjadi individu-individu yang berkeperibadian Islam dan  bersedia mengharungi kehidupan ini sebagai hamba Allah, maka suami dianggap telah berjaya memikul amanahnya sebagai qawwam (pemimpin) dalam rumah tangga.

Dalam melakukan ta’dib, syariah Islam telah memberikan pengaturan yang sangat jelas. Secara umumnya, banyak nas yang memerintahkan supaya para suami dan orang tua berlaku lemah lembut dalam melakukan ta’dib. Namun, pada masa yang sama, Islam juga memberikan pengaturan dalam bentuk kebolehan untuk memukul “jika memang diperlukan”.

Salah satu dalil tentang kebolehan bagi para suami untuk memukul ketika menta’dib isterinya adalah sepertimana ayat berikut:
 

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ…

“Laki-laki adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Maka wanita solehah adalah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka. Isteri-isteri yang kalian khuatiri melakukan nusyuz  maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka”[TMQ An-Nisa’ (4): 34].

Ayat di atas ini menggambarkan tentang konsep kepemimpinan seorang suami dalam rumah tangga serta ketaatan isteri kepada suami. Ayat tersebut mengatakan bahawa laki-laki adalah pemimpin rumah tangga kerana keutamaannya (sebagai lelaki) dan laki-laki bertanggung jawab dalam memenuhi nafkah isteri  serta ahli keluarganya. Isteri yang baik (solehah) adalah isteri yang taat kepada Allah dan memelihara diri (tidak curang, memelihara rahsia dan harta suaminya ketika suaminya tidak ada di rumah). Apabila isteri membangkang (nusyûz) dengan tidak menjaga dirinya daripada melakukan curang, menolak ajakan  untuk berjimak (bersetubuh) atau keluar daripada rumah tanpa izin daripada suaminya, maka suami boleh melaksanakan langkah-langkah yang disebutkan iaitu menasihatinya, berpisah daripada tempat tidur, dan jika perlu, memukul untuk menta’dib isterinya.

Islam juga membolehkan melakukan pukulan sebagai ta’dîb terhadap anak. Ibnu Amr bin al-’Ash meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda:
 

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ

“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika tetap enggan mengerjakan solat)”.
 [HR Abu Dawud dan al-Hakim].

Dalam hadis ini, Rasulullah menggunakan ungkapan muruu (perintahkanlah) untuk anak yang berumur di bawah 10 tahun dan idhribuu (pukullah) untuk yang berumur 10 tahun dan ke atas. Dengan demikian, Rasul membolehkan untuk memukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu solat. Namun, bagi anak yang berusia di bawah 10 tahun, tidak diperkenankan untuk memukulnya. Ini untuk soal solat, apatah lagi dalam masalah-masalah lain selain daripada solat. Kebolehan untuk memukul di sini  bukan bererti wajib.
Pukulan Ta’dib: Bukan Keganasan

Memukul isteri atau anak dalam rangka untuk menta’dib tidak boleh diterjemahkan sebagai 'keganasan dalam rumah tangga'.  Ini adalah kerana, kekerasan/keganasan adalah suatu bentuk jenayah (jarimah). Pengertian jarimah dalam Islam adalah tindakan melanggar hukum syariah Islam dan ia termasuk dalam kategori kejahatan/maksiat. Kejahatan dalam Islam adalah perbuatan-perbuatan yang tercela (al-qabih), yang juga ditetapkan oleh hukum syariah (dalil syarak), bukan daripada sumber yang lain. Apa-apa yang dianggap sebagai tindakan kejahatan harus disandarkan pada hukum syariah. Kebolehan untuk memukul dalam rangka untuk menta’dib telah dijelaskan dengan dalil yang wadhih (jelas) dan ia tidak termasuk dalam kategori kekerasan/keganasan atau kejahatan.

Secara realitinya, memukul itu kadang-kadang diperlukan dalam rangka menta’dib. Kadangkala dalam membaiki sesuatu kesalahan memerlukan sikap yang tegas. Memang terdapat jenis-jenis manusia yang tidak mahu berubah daripada kesalahannya kecuali apabila dilayan dengan keras. Ada isteri yang tidak mahu mendengar nasihat dan dia tidak mahu kembali (berubah) daripada kesalahannya serta tetap berada dalam keadaan nusyuz. Padahal dengan nasihat suami, seharusnya sudah cukup untuk isteri merasa takut terhadap ancaman Allah atau terhadap kemudaratan akibat ancaman terputusnya nafkah. Sekiranya hajr (pemisahan daripada tempat tidur) dengan maksud suami 'tidak menyentuhnya' supaya isterinya insaf juga tidak membawa apa-apa perubahan pada dirinya, maka pada saat seperti itulah diperlukan cara yang lain untuk memperbetulkannya, iaitu melalui pukulan. Demikian juga terhadap anak, apabila pendidikan tidak mampu lagi diberikan dengan cara memberikan nasihat, arahan, petunjuk, kelembutan ataupun suri teladan, maka dalam keadaan seperti ini kadangkala memerlukan pukulan.

Namun begitu, perlu diberi perhatian bahawa menta’dib isteri dan anak melalui pukulan ini bukanlah sebagai penghinaan ke atas mereka, dan bukan pula sebagai untuk membalas dendam atau untuk menyeksa. Tetapi ia adalah dalam rangka untuk mendidik, memperbaiki dan meluruskan. Pukulan ini disertai dengan rasa kasih sayang sebagai seorang suami kepada isterinya, atau sebagai orang tua kepada anaknya. Dan pukulan ini bukanlah pukulan yang kuat sehingga membuatkan isteri lari daripada suaminya atau sehingga anak menjauhkan diri daripada orang tuanya, kerana ini akan menumbuhkan pula kebencian dan menghapuskan rasa cinta.

Di dalam hukum fikih, ada pukulan yang diistilahkan sebagai dharb mubarrih dan dharb ghairu mubarrih:

1. Dharb mubarrih ialah pukulan yang kuat/keras sehingga dikhuatiri boleh mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mencacatkan anggota tubuh badan. Pukulan seperti ini adalah dilarang  dalam syariah dan termasuk sebagai perkara yang diharamkan.

2. Dharb ghairu mubarrih ialah pukulan ringan yang tidak mengalirkan darah serta tidak dikhuatiri akan menimbulkan kebinasaan jiwa atau kecacatan pada tubuh badan, patah tulang dan sebagainya.

Pukulan jenis kedua ini menurut syariah boleh dilakukan kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran syariah, iaitu setelah dilakukan maw’izhah dan hajr (nasihat dan pemisahan tempat tidur). (An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan).

Para fuqaha mengatakan bahawa dharb ghairu mubarrih adalah pukulan yang tidak melukakan isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak meninggalkan parut pada tubuh badannya dan tidak boleh dilakukan pada wajah. Pukulan tersebut juga tidak harus berpusat pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul secara terus-menerus agar tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara fuqaha, ada yang menyatakan bahawa, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh dengan cemeti (cambuk/rotan) dan tongkat.”

Atha’ rahimahullahu berkata: Aku pernah bertanya kepada Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, “Apakah yang dimaksudkan dengan pukulan ghairu al-mubarrih?” Ibnu Abbas ra menjawab, “Memukul dengan siwak/kayu sugi dan yang seumpama dengannya.”
Menolak Tuduhan

Undang-undang Islam terbukti mampu memberikan solusi terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh suami mahupun orang tua dalam rangka melakukan ta’dib. Demikianlah keunggulan syariah yang lahir daripada akidah Islam. Jika syariah Islam ini difahami dan diamalkan dengan bersungguh-sungguh sebagai tanda ketaatan kepada Sang Khaliq, maka akan terurailah semua masalah yang dihadapi oleh manusia.


Adapun tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh  golongan liberal bahawa kononnya Islam menggalakkan kekerasan/keganasan dalam rumah tangga adalah jelas tertolak melalui penjelasan dalil dan fakta di atas. Tuduhan-tuduhan tersebut lahir semata-mata disebabkan kebencian mereka terhadap hukum-hakam Islam. Mereka sentiasa berusaha untuk menanamkan prinsip liberal atas nama hak asasi manusia (HAM). Dalam pandangan liberal, jika seseorang isteri menolak untuk melayani suaminya dengan alasan bahawa setiap isteri mempunyai hak atas tubuhnya secara peribadi, maka itu adalah hak isteri yang harus diakui. Suami tidak berhak untuk memaksa apatah lagi menta’dib dengan pukulan. Begitu juga apabila seseorang anak yang sudah baligh tidak mahu melaksanakan perintah agama, maka ia dianggap sebagai 'hak kebebasan' bagi anak dalam membuat pilihan yang sedang mencari jatidirinya sendiri. Orang tua tidak berhak untuk memaksa apatah lagi untuk menta’dibnya dengan pukulan. Pandangan liberal seperti ini sudah semestinya tidak layak untuk diambil dan dijadikan dasar bagi seseorang Muslim. Pada hakikatnya, pandangan golongan liberal ini tidak memiliki landasan berfikir kecuali akal semata-mata. Wallahu a’lam.

Sumber: Al-Wa'ie.

Saturday, January 8, 2011

Inikah tandanya?

Bismillahirrahmanirrahim...


        Sudah lama penulis tidak jejakkan kaki ke masjid UPM yang beberapa kilometer sahaja dari rumah penulis. Alhamdulillah, kesempatan waktu yang ada pada petang Sabtu membuatkan penulis harus ke masjid untuk menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan.Tampak banyak perubahan pada bangunan di sekitar masjid yang sedang dalam proses penambahbaikkan, termasuklah tandas yang menjadi keperluan seperti penulis.
Syukur kepada Allah SWT kerana penulis ditemukan dengan seorang insan seusai solat Asar. Sedang penulis menyemak bacaan surah Yusuf ayat 5-19 oleh Imam, penulis telah didatangi oleh seorang makcik yang dalam linkungan umur 50-an. Penulis kira-kira dia ingin bersama penulis menyemak bacaan ayat Al-Quran tadi tetapi nyata dia  ada tujuan lain atas usahanya untuk mendalami kalimah Allah S.W.T. 

Rupa-rupanya makcik itu ingin belajar mengaji Muqaddam. 

Kalam Allah SWT tidak akan padam bagi bibir yang sentiasa membacanya.

Betapa peri pentingnya asas didikan agama bermula dari kecil termasuklah membaca, mengaji dan mentelaah ayat-ayat Allah SWT. Amalan menguasai Al-Quran seharusnya menjadi budaya dan amalan hidup kita sebagai muslim kerana tanpaNYA kita akan buta. Bayangkan ada juga manusia yang dari kecil tidal pernah tinggal untuk didedahkan dan dikenalkan dengan kalimah Allah SWT, tetapi apabila meningkat dewasa, sudah bekerja dan berumah tangga, Kitab suci itu sedikit demi sedikit disisihkan. Seolah-olah tidak ada nilainya. 

Kesannya sangat buruk bila mana kita tidak jadikan amalan sehari-hari untuk membaca dan menyemak ayat-ayat Allah ini. Allah SWT juga berhak untuk menarik nikmat kebolehan dan kemampuan kita yang boleh membaca Al-Quran kepada 'zero' atau tidak kenal huruf-huruf Al-Quran.
Justeru, biarkan diri, wajibkan diri kita membaca ayat-ayat cinta dari Allah SWT ini sekurang-kurangnya satu helai muka surat. Kerana pasti ia akan memberi jaminan yang tiada tandingan bukan sahaja penerang kegelapan di dalam kubur malah menjadi penyelamat kita dari segala penyakit dan mala petaka.

Kepada makcik yangs sedang berusaha mempelajari, jangan pernah putus asa kerana usahamu itu akan dinilai olehNYA. Penulis akan membantumu setakat yang mana mampu..InshaAllah...

 Cinta Al-Quran....Cinta ALLAH SWT...


Saturday, January 1, 2011

Saat terindah

Bismillahirrahmanirrahim...


        Akhir-akhir ini, penulis tidak berputus-putus menerima jemputan menghadiri walimah daripada sahabat-sahabat sekeliling sama ada kawan sepermainan sejak sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke universiti. Maklumlah, memandangkan musim cuti persekolahan setiap hujung tahun, sudah tentu peluang ini digunakan oleh bakal penganti  untuk mengadakan majlis perkahwinan kerana ramai yang akan bercuti. 
Kali ini seorang lagi sahabat penulis telah menamatkan zaman bujangnya. Seorang demi seorang sahabat rapat penulis sudah dimiliki orang lain. Sudah sampai masanya agaknya. Jodoh tidak kira bila dan dengan siapa termasuklah diri penulis. Alhamdulillah, cuti baru-baru ini penulis berkesempatan ke walimah sahabat yang sentiasa dijodohkan bersama tidak kira di mana kami dicampakkan. Masakan tidak, kami bersekolah di sekolah menengah yang sama, matrikulasi yang sama sehinggalah ke alam universiti. SubhanaAllah! cantiknya aturan Allah SWT. Sehingga kami digelarkan kembar kerana ke mana-mana kami sentiasa bersama, jalan bersama dan makan bersama. Itulah, sahabat penulis yang paling lama bersama penulis sepanjang proses pembelajaran. Cuma kini, kami jarang berjumpa kerana komitmen kerjaya masing-masing tambahan pula dia telah menjadi amanah kepada suaminya. 
Berbekalkan sebuah persahabatan yang tercipta ini, penulis amat bertuah kerana dipertemukan dengan sahabat ini. Begitu banyak pahit manis yang kami tempuh sepanjang persahabatan ini berlangsung, tidak kurang hebat diuji dengan pelbagai bentuk dugaan. Sesungguhnya persahabatan kami ini mempunyai hikmah yang tersembunyi kerana akhirnya kami masih bersahabat walaupun sebelum ini kami mempunyai beberapa masalah yang sangat besar. 
Ya, DIA Maha Kaya, DIA juga yang mengkehendaki semua ini yang berlaku. Saat diuji itu sebenarnya lebih mematangkan penulis untuk sentiasa positif kerana penulis amat menyayanginya kerana dialah satu-satunya sahabat penulis yang sentiasa mengambil berat tentang diri ini. Terlampau banyak pengorbanan beliau sehingga penulis sendiri menghormati prinsip yang dipegang olehnya. Memang tidak dinafikan, tiada erti persahabatan jika ia tidak diuji kerana di situlah terpancar sebuah keikhlasan dalam bersahabat. Ada sahabat yang hanya mengharapkan sesuatu di samping sahabatnya sama ada berbentuk kebendaan atau pengaruh. Ada juga sahabat yang ingin menumpang populariti sekiranya sahabatnya tadi seorang yang sangat berjaya dan sebagaiya. Realitinya sukar untuk mendapatkan sebenar-benarnya sahabat seperti mana watak sahabat-sahabat di sisi Nabi Muhammad S.A.W. Hidup di dunia ini memerlukan kita kepada sebuah hubungan termasuklah dalam persahabatan bukan sahaja sebuah pernikahan. 
Penulis hanya mengharapkan agar persahabatan kami ini akan berkekalan hingga ke syurga dan mendapat keredhaan Ilahi. Bersahabat kerana Allah S.W.T...InshaAllah.




Nurul Hafisha Mohd Radzi ~ dikau bergelar zaujah 


  Sedikit renungan untuk kalian yang bergelar isteri juga pada semua para muslimah. Moga kita sama-sama kutip ilmu ini supaya dapat dipraktikkan dalam melayari bahtera rumah tangga. InshaAllah.


Mutiara pertama :
~ Daripada Abdurrahman bin Auf, berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seorang wanita solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menjaga farjinya, mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya: 'Masuklah ke dalan syurga dari pintu mana saja yang engkau kehendaki." (HR Ahmad 1664 dengan sanad Hasan. Lihat Adab az-Zafaf oleh Syaikh Al-Albani ha. 286). SubhanaAllah! cabaran buat kita sebagai muslimah. Ayuh, laksanakan...


Mutiara kedua :
~ Rasulullah s.a.w. bersabda, " Sebaik-baik wanita adalah yang boleh membuatmu senang ketika engkau memandangnya, mentaatimu ketika engkau perintahkan, dan menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tinggal." (HR Tabrani dengan sanad shahih, lihat Shahid al-Jami' 3299).


Mutiara ketiga :
~ Daripada Aisyah bahawasanya Hindun binti Utbah berkata : " Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang yang sangat kikir, dia tidak memberikan kepadaku nafkah yang cukup bagiku dan bagi anakku kecuali jika saya mengambilnya tanpa pengetahuan dirinya." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : " Ambillah yang cukup untukmu dan anakmu dengan cara yang baik." (HR. Bukhari 5346, Muslim 1714)


Mutiara keempat :
~ Allah S.W.T. menggambarkan bahawa orang yang mengghibah orang lain adalah seperti memakan mayatnya. Perhatikanlah firman Allah," Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian antara kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian antara kamu menggunjing sebahagian yang lain, sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentunya kamu merasa jijik dengannya. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. (Al-Hujurat(49):12).


Mutiara kelima :
~ Rasulullah s.a.w. bersabda : " Hak (para suami) atas para isteri adalah tidak mengizinkan masuk rumah kalian orang-orang yang kalian benci." (potongan khutbah haji wada' Rasulullah s.a.w. yang panjang, HR.Muslim 1218.)


Mutiara keenam :
~ Daripada Asma binti Yazid berkata: Banyak lelaki dan wanita yang duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangkali ada seorang laki-laki yang menceritakan sesuatu yang dia lakukan dengan isterinya, begitu juga isteri barangkali ada yang menceritakan apa yang dia lakukan dengan suaminya." Saya berkata : "Wahai Rasulullah, demi Allah, baik suami atau isteri banyak yang melakukannya." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : " Janganlah kalian lakukan. Permisalan orang semacam itu adalah seperti syaitan lelaki yang bertemu dengan syaitan wanita di jalan lalu berhubungan badan padahal orang-orang melihatnya." (HR. Ahmad 16/223 dengan sanad shahih , lihat  Adab az-Zafaf hal.27)


Mutiara ketujuh :
~ Daripada Tsauban berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wanita manapun yang minta cerai kepada suaminya tanpa sebab, maka haram baginya mencium bau syurga.: (HR. Tirmidzi 1199, Abu Daud 2209 dengan sanad shahih, lihat al-Irwa; 2035).


Mutiara kelapan :
~ Rasulullah s.a.w. juga bersabda : " Wanita yang mengajukan khulu' (meminta cerai adalah para wanita munafik." (HR. Tirmidzi 1198, lihat ash-Shahihah 632).


Mutiara kesembilan :
~ Daripada Anas bin Malik berkata : Para keluarga daripada kalangan sahabat Ansar mempunyai unta untuk mengairi sawah mereka, namun ada seekor unta yang tidak mahu ditunggangi. Lalu mereka datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata : " Kami mempunyai unta untuk mengairi sawah namun sekarang tidak mahu ditunggangi sedangkan tanaman sudah waktunya diairi." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya: " Bangunlah." Akhirnya merekapun bangun lalu baginda masuk ke dalam kebun dan saat itu unta tersebut sedang berada dalam kandang. Nabi s.a.w. pun berjalan mendekatinya.
Para sahabat Ansar berkata : " Wahai Rasulullah, unta itu sekarang sudah mirip anjing gila. Kami takut dirimu diserang olehnya." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : "Dia tidak akan membahayakanku." Dan tatkala unta tersebut melihat kedatangan Rasulullah s.a.w., maka dia pun segera berjalan menuju ke arah Rasulullah s.a.w. dan bersujud di hadapan baginda. Maka Rasulullah s.a.w memegang ubun-ubunnya dan unta itupun menjadi sangat jinak dan boleh digunakan untuk bekerja. Melihat kejadian itu, para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, kalau binatang yang tidak berakal ini lebih panta bersujud kepadamu, maka kami yang berakal ini lebih pantas untuk bersujud kepadamu?" Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: " Tidak layak bagi seseorang bersujud kepada manusia lainnya."
Seandainya ada manusia yang layak untuk bersujud kepada lainnya, nescaya saya akan memerintahkan wanita bersujud kepada suaminya kerana hak suaminya sangat besar. Demi dzat yang jiwaku kerana ditanganNYA, seandainya seluruh badan si suami itu dari hujung rambut sampai hujung kaki terdapat luka bernanah,lalu isteri itu mendatanginya dan menjilatnya maka ini belum boleh menunaikan hak suaminya." (HR. Ahmad 12203 dengan sanad shahih , lihat Shahih al-Jami' 3148).


Mutiara kesepuluh :
~ SubhanaAllah, makin bertambah amanah apabila bergelar si isteri,kepada sahabatku, moga diri mu menjadi antara isteri solehah yang bukan sahaja sentiasa mentaati Sang Pencipta tetapi kepada si suami. Moga ikatan halal yang terbina ini menjadikan diri kalian bertambah ketaqwaan kepadaNYA seterusnya menghayati sunnah Rasulullah s.a.w. untuk amalam bersama..Barakallahulakuma , barakallahu bainakuma bilkhair...




Usiaku makin pendek




   Tahun baru Masihi menandakan usia penulis semakin pendek...Terasa masih banyak perkara yang belum dilaksanakan. Setiap perancangan dan azam tahun baru sentiasa diperbaharui dan diperbaiki namun masih ada yang belum terlaksana. Orang kata, tutup buku  lama dan kita buka buku baru. Ya, namun buku lama jangan terus ditutup sebaliknya sama-sama dijadikan muhasabah agar segala kesilapan dalam buku lama tidak berulang lagi.
Usia pendek menandakan kematian semakin hampir. SubhanaAllah! cukupkah amalan penulis untuk bertemu dengan NYA? Apakah yang telah penulis lakukan sepanjang usia ini untuk kesejahteraan ummah? Jika dimuhasabah, ternyata begitu kerdil diri ini untuk layak berada di sisiNYA apatah di hatiNYA...YA ALLAH! adakah layak diri ini berada dalam genggaman cintaMU...Ku mengharapkannya...


~ Aku sebutir pasir....tapi aku ingin menjadi serikandi syurga~















Friday, December 17, 2010

Diari Muslimah

Bismillahirrahmanirrahim...


    Alhamdulillah, tidak tahu bagaimana penulis ingin memulakan penulisan kali ini. Bila melihat tajuk 'posting' diteruskan juga supaya mesej yang hendak penulis sampaikan tercapai. Dua hari yang berlalu pada 9 dan 10 Muharram 1432H yang lalu betul-betul teruji. Biarlah penulis sahaja yang menyimpannya kerana bila direnung kembali memang ada hikmahnya. SubhanaAllah! Memang cantik agenda Ya Bariq!.

Kebetulan malam semalam penulis  mengemas buku-buku dalam rak kecil yang terletak di bilik penulis dan sahabat. Semasa mengemas dan membelek-belek, penulis terjumpa 2 diari lama tahun 2009 yang mana salah satunya adalah pemberiaan dari seorang sahabat. Penulis terus mengambil peluang untuk membaca catatan-catatan yang pernah penulis tinggalkan. Sebenarnya banyak kenangan dan memori silam boleh diimbas kembali apabila kita mencatatnya di dalam buku khas. Kadang-kadang ia boleh memberi inspirasi kepada kita untuk berhadapan dengan kehidupan yang penuh cabaran. Di dalam diari itu juga, tersemat cantik peristiwa-peristiwa yang berlaku dan yang telah penulis jalani membuatkan penulis berasa ingin kembali ke zaman tersebut. Tetapi apakan daya, tiada yang daya melainkan DIA. Kepada yang mempunyai diari dan masih simpan diari yang lama, cubalah tatap dan baca. Anda pasti menemukan sesuatu yang sangat indah.

(Muffakiratul Mukminah 2009 bersamaan 1430-1431H)

 Berbalik kepada diari muslimah  pemberian seorang sahabat ini, penulis baru perasan akan kandungannya yang sangat berguna kepada sesiapa sahaja yang bergelar muslimah. Memang sebelum ini, penulis tidak sempat untuk meneliti setiap kandungan diari ini memandangkan penulis telah terlebih dahulu mempunyai diari pembelian sendiri. Jadi, inilah masa dan ruang yang ada untuk penulis kongsikan untuk semua supaya kita sama-sama dapat ambil pelajaran dan akhirnya dibentuk dalam kehidupan amal islami. InshaAllah.

Fasa 1 : PERIBADI MUSLIMAH

Wanita islam dengan tuhannya
Wanita islam dengan dirinya
Wanita islam dengan ibu bapanya
Wanita islam dengan suaminya
Wanita islam dengan anak-anak dan menantunya
Wanita islam dengan jirannya
Wanita islam dengan saudara dan sahabatnya
Wanita islam sebagai pekerja profesional

" Harga yang paling berharga di dunia adalah wanita yang solehah." (Hadith Riwayat Muslim)

Wanita ibarat bunga
Wanita ibarat bunga...canik indahnya pada pandangan mata hanya sementara...Yang kekal menjadi pujaan manusia, hanyalah wanita yang mulia akhlaknya..kerana akhlak itu umpama bunga diri...Tiada guna berwajah cantik tetapi akhlak buruk...tiada guna juga berwajah cantik tetapi hati kosong dari ilmu..Ibarat bunga..ada yang cantik apabila dipandang tetapi busuk baunya...Ada pula yang kurang menarik dan baunya juga kurang menyenangkan..Ada juga bunga yang tidak menarik pada pandangan mata kasar...tetapi apabila dihalusi dengan mata hati, ternyata amat tinggi nilainya...

Mulianya Wanita

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita. Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dicicip oleh wanita solehah.

Kerana itulah...Sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah...Sebagai remaja dia akan menjadi remaja yang berhemah...sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya...sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang...dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya...

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 24 yang bermaksud: " Barangsiapa yang mengerjakan amalan soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikitpun."

Wednesday, December 15, 2010

Berhijrahlah dan Berjuanglah !!!

Bismillahirrahmanirrahim...


   SubhanaAllah! Begitu lama penulis tidak coretkan kalam di blog ini. Ia semakin sepi  dan kehausan ilmu kerana di ruang inilah penulis berusaha untuk berkongsi pengalaman dan bermuhasabah diri sepanjang bergelar hamba kepada Pencipta. Dek kerana tuntutan masa dan tenaga lebih diperlukan di tempat lain. Tetapi itu bukan alasan kerana selagi masih diberi pinjaman nyawa ini, penulis akan cuba memanfaatkan segala ilmu yang telah dipelajari untuk peringatan diri penulis terutamanya dan sesiapa sahaja yang mengunjungi blog ini. Alhamdulillah, kita baru sahaja melepasi beberapa hari awal Muharam pada 7 Disember yang lalu. Masa dan waktu terus berjalan meninggalkan masa-masa lalu, bahkan usia manusia juga semakin hari semakin pendek.  Pejam celik, pejam celik tahun 2010 pun bakal meninggalkan kita supaya 2011 dapat menemui kita.
   InshaAllah, kedatangan awal tahun Islam ini seharusnya kita sangat syukuri kerana masih berpeluang menghirup udara yang percuma dan masih lagi boleh menjalani kehidupan seperti kebiasaan. Namun begitu, apakah beza kita dengan manusia lain? tepuklah dada, tanyalah iman masing-masing. Setiap kali kedatangan tahun baru Masihi, pasti ada azam dan matlamat yang kita sudah 'target' untuk capai, bagaimana pula dengan kemuliaan awal Muharram itu sendiri. Mungkin kadang-kadang masyarakat sekarang lebih 'prefer' atau sudah biasa merayakan tahun Baru Masihi berbanding tahun baru Islam sendiri. Selaku umat islam, sewajarnya kita mengikut sunnah Nabi SAW supaya keberkatan dalam hidup lebih terarah. Begitu indahnya islam, kerana di situ adanya panduan walaupun sekecil perkara dan nampak remeh. Termasuklah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Sepatutnya kita amalkan kerana itu adalah sunnah.
   Bercakap mengenai bulan Muharram ini, penulis baru sahaja di'sedarkan' dari terus diulit mimpi yang hanya sia-sia. Tatkala, bersama para sahabat seperjuangan dalam satu syura', hati begitu tersentuh dengan lagu yang dimainkan. Ya Allah, jika direnung kembali dan dihayati bait-bait lirik dan alunan lagu itu terbayang perit jerih para sahabat bersama Junjungan Besar Muhammad SAW dalam usaha menyebarkan agama islam. Tetapi hakikat dan realiti hari ini, walaupun kita sudah islam, dan tinggal di negara islam, kita masih lagi leka dan berseronok dengan habuan dunia sedangkan ramai lagi di luar sana yang perlukan pengisian dek kerana kontangnya iman. Sedih bila memikirkan apakah sumbangan kita selama ini pada ummah?
  Yang penting adalah usaha kita, selebihnya serahkan pada Pengatur, penulis mohon agar sentiasa diberi kekuatan dan istiqamah bersama sahabat-sahabat yang menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW tidak kira di mana penulis berada. InshaAllah, hijrah dan berjuang itu perlu ada dalam setiap diri kita. Yang pasti, bantulah agama Allah SWT selagi bernyawa kerana setiap sendi kita ini telah diamanahkan di tempat masing-masing. Carilah ia dan manfaatkan ke jalan yang layak mendapatnya.
  Kesempatan berada di bulan Muharram ini, penulis menyeru diri dan semua sahabat mengambil peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan berpuasa pada 9 Muharram dan 10 Muharram. InshaAllah, ada ganjaran di sebaliknya.
Sama-sama hayati lagu ini untuk semua.

Dunia Baru Islam

Album : Antara 2 Cinta
Munsyid : The Zikr

Masih basah kenangan indah
Zaman cemerlang era gemilang
Ketika Rasul ada di sisi
Para sahabat mentadbir bumi

Zaman nubuwwah era khulafa'
Islam laksana api yang menyala
Menerangi teman dan juga sahabat
Bahang panasnya membakar lawan

Di celah itulah
Kami mengatur langkah
Membina sebuah thoifah

Di sini bara
Tak pernah padam
Digenggam kukuh
Sebuah azam

Ayuhlah para mujahid
Ayuhlah para mujahidah
Kita tinggalkan zaman fitnah
Agar tertegak kalimatullah
Agar terbangun.....
Dunia Baru Islam

Lagu : The Zikr
Lirik : Pahrol Mohd Juoi
( teringat waktu kecil lagu ini sering menjadi inspirasi masa masuk pertandingan nasyid)
- lagu ini pula ubat para mujahid juga mujahidah....

SUNNAH ORANG BERJUANG
Lirik Nasyid :Hijjaz
Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela taufiq..

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah mula dibina
Namun jiwa tetap marak memburu cinta
Membara demi Allah dan Rasulnya

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, resah silih berganti
Inilah sunnah..orang berjuang..

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat mencurah tenaga
Itulah sunnah..berjuang..ke jalan Allah..

Berjuang memang pahit..
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan.
Dunia yang fana atau syurga..

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat mencurah tenaga

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua jadi pilihan.
Dunia yang fana atau syurga..

Wallahu'alam...Dari Allah SWT kita datang, dan dariNYA juga kita akan dikembalikan...

Sunday, November 7, 2010

Indahnya sebuah pertemuan aturan Pencipta

Bismillahirahmanirrahim...




    Alhamdulillah. Sukar untuk ditafsir keindahan sebuah pertemuan ini. Setelah sekian lama kami terpisah kerana itu aturan dan ketentuanNYA. Ya Bariq! Yang Maha Mengatur Agenda, begitu cantik aturanMU saat MU hadiahkanku seorang ukhti tersayang dan juga seorang sahabat baik ketika di zaman persekolahan menengahku. Dua buah pertemuan yang indah dalam masa yang singkat ini amat begitu bermakna buat diriku setelah sekian lama diri ini tidak bertemu, bertentang mata bersama mereka yang amat ku sayangi.

Barakallahulakuma Ya Sadiqati! (Nurul Akma Abdul Wahid dan suami).


  Saat menerima kad jemputan walimah dari seorang sahabat lama, hati penulis terus memasang niat untuk menghadirinya setelah sekian lama tidak bertemu dengannya. Walaubagaimanapun, tarikh walimah sahabat penulis jatuh pada tarikh yang sama dengan tarikh kepulangan kakak penulis  dari Mesir iaitu 6 hb November 2010. Jadi, penulis merancang untuk menemuinya pada malam 5hb memandangkan penulis sendiri terlepas untuk menghadiri majlis akad nikah beliau pada petang 5hb kerana penulis baru sampai ke kampung jam 6.30 petang di kampung di Perak. 

Alhamdulillah, dengan ditemani oleh emak penulis yang sangat memahami diri ini dan adik bongsu , kami terus ke rumah sahabat penulis selepas menunaikan solat Isya'. Oleh kerana sahabat penulis sering berpindah, kami hampir sesat mencari rumahnya. Sehingga penulis sendiri berasa kecewa dan berputus asa untuk terus mencari rumahnya. Malam tu juga, telefon bimbit penulis kehabisan kredit. Dengan sisa kredit yang masih berbaki, dengan harapan, sahabat penulis akan menghubungi penulis semula kerana penulis telah memaklumkan lebih awal kepadanya untuk datang menziarahi beliau dan keluarga. Dengan izinNYA, kami sampai juga akhirnya ke rumahnya.

Hampir 5 tahun kami tidak berjumpa selepas masing-masing tamat peperiksaan SPM tahun 2004 yang lalu. Selepas itu, kami hanya berhubung melalui telefon dan sms tetapi belum berkesempatan berjumpa. Sehinggalah, pertemuan ini tercipta ketika sahabat penulis ingin melangsungkan pernikahannya. Alhamdulillah, peluang dan masa sesingkat malam itu kami manfaatkan sebaiknya. Penulis berharap pertemuan ini bukan sekali tetapi akan berulang kali dan moga ikatan ukhwah kita akan kekal selama-lamanya.

Sahabatku Nurul Akma Abdul Wahid,
Tiada apa yang lebih bererti untuk diberikan kepadamu, 
Hanya doa tulus ikhlas dariku agar dirimu sentiasa berada dalam keberkatan Ilahi,
biarkan hidupmu bertunjangkan Al-Quran dan Al-Hadith,
jadilah seorang isteri solehah seperti isteri-isteri Rasulullah s.a.w,
moga mahligai yang terbina ini mendapat redha Ilahi,
berbahagialah kalian hingga ke syurga,
harapanku, 
agar ukhwah kita akan berpanjangan,
maafkan atas segala kesilapanku sepanjang perkenalan kita,
bacalah dan hayatilah 'sebuah hadiah perkahwinanku buatmu' itu,
Moga ada manfaatnya.
Salam Barakallahulakuma..

Ahlan Wasahlan Marhaban Bikum Ya Habibi! Ya Jamilah! Ukhti tersayang


   Berkat doa dan izinNYA, kerinduan kami sekeluarga terubat setelah 4 tahun kakak penulis meninggalkan Malaysia demi menuntut ilmu di Bumi Anbia'. Sepanjang beliau berada di sana, memang kakak penulis tidak pernah pulang ke Malaysia. Alhamdulillah, setelah tamat menghabiskan pelajarannya dalam bidang syariah, kami dipertemukan. Penulis memang rapat dengan beliau dan segala masalah sering dikongsi bersama. Sekembalinya beliau disambut dengan keluarga dan sanak-saudara dari Muar dan juga bakal besan dengan harapan untuk mengungkapkan rasa syukur dan gembira yang amat sangat. 

Penulis amat berharap, kepulangan kakak kesayangan penulis ini akan memberi sinar baru kepada kami sekeluarga agar manusia sekeliling turut mendapat manfaatnya.


Wallahu'alam..

Akan bersambung,