Tuesday, June 22, 2010

Peristiwa di Jalan Gombak

Bismillahirrahmanirrahim...




   Sekian lama blog ini tidak diperbaharui dan diisi dengan tulisan-tulisan pembakar diri . Rasa rindu untuk menulis sentiasa menebal dalam diri, tetapi penulis sendiri dibatasi kekangan masa, kekeringan idea dan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Tetapi itu sebenarnya adalah alasan dan ini tidak bermakna penulis akan berhenti dari terus menulis. Walaupun ia tidak penting bagi sesiapa yang membaca, penulis merasakan keperluan untuk menulis bagi berkongsi serba serbi apa yang ada pada diri di samping memenuhi kelapangan ruang yang diberi. 

Jalan Gombak

Alhamdulillah, baru-baru ini penulis telah menemani sahabat penulis menziarahi datuknya yang sedang dirawat di Rumah Penginapan Anjung Rahmat yang terletak di Batu 6 1/2, Jalan Gombak, Gombak. Perjalanan ke sana memakan masa yang agak lama kerana kami asyik terlepas jalan kerana tidak mahir jalan ke sana. Walaubagaimanapun, berkat kesabaran dan usaha sahabat penulis dan adiknya menghubungi bapa saudara mereka, kami akhirnya sampai ke penginapan tersebut setelah hampir 2 jam di atas kenderaan. 

Pertama kali menjejakkan kaki di Pekan Gombak yang tampak sibuk dengan kenderaan yang berulang alik kerana pada hemat penulis, di pekan itulah masyarakat setempat mencari segala barang keperluan untuk menampung kehidupan di samping beberapa kelibat mahasiswa atau pelajar luar negara dari Universiti Islam Malaysia yang turut sama di pekan tersebut. Penulis juga dapat merasakan kebanyakkan penduduk di situ berlatar belakangkan kehidupan yang sangat 'islamik' atau mempunyai pengaruh 'bi'ah solehah' yang sangat menyenangkan hati. Rata-rata pakcik-pakcik dan makcik-makcik di situ mengenakan pakaian yang sopan berkopiah dan bertudung labuh. Perkara ini amat menyejukkan mata penulis dan sahabat. Moga syariat islam dan amal islami yang ditegakkan dapat membentuk masyarakat yang soleh wa musleh dalam melaksanakan amanah di muka Bumi. Alangkah indahnya jika Malaysia menjadi dikurniakan rakyat yang sebegini. Masyarakat muslim yang bukan sahaja berdiri atas namanya 'Islam' tetapi seiring sahsiah dan amalannya seperti mana yang telah disyariatkan mengikut Kalam Allah swt dan Sunnah RasulNya. 


Setelah mencari barang-barang yang diperlukan oleh datuk sahabat penulis, kami sempat singgah di masjid yang berwarna kuning hijau untuk mendirikan solat asar. Perjalanan ke Anjung Rahmat hampir tiba, dan kami akhirnya sampai dan terus berjumpa datuk sahabat penulis di bilik 114. Kelihatan beliau baru sahaja menjalani pencucian darah kerana tampak di wajahnya kesan air mata menahan kesakitan. Sejurus masuk, terdapat di sudut bilik tersebut nama-nama Allah swt telah digunakan. Mungkin kerana keberkesanan dan 'roh' Husna Allah s.w.t itu sendiri, beberapa nama NYA telah digunakan untuk upacara rawatan. Menurut sahabatku, bilik-bilik di Anjung Rahmat tersebut sudah penuh dihuni oleh pesakit-pesakit yang mengidap penyakit kencing manis. Sememangnya, penginapan tersebut merupakan antara salah satu pusat rawatan penyakit kencing manis yang terbaik di Malaysia. Cuma mungkin bayaran yang dikenakan agak tinggi sedikit menyebabkan tidak ramai yang mampu mengambil rawatan di situ. 


Jadi tidak hairanlah harga yang dikenakan sebenarnya sangat bebaloi dengan perkhidmatan rawatan yang ditawarkan. Penjagaan pemakanan pesakit amat teliti ,dan pesakit hanya dibenarkan memakan makanan yang disediakan oleh pihak pusat penginapan tersebut. Penulis yang pertama kali mengenali pusat rawatan ini amat bertuah kerana merasakan ia satu nikmat untuk menjadi pengajaran pada diri yang masih sihat. Seharusnya pemakanan seharian perlu dijaga agar tidak menempah sakit di hari tua atau muda lagi. 






Baitul Ibadah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak


  Kebetulan pada hari tersebut, penulis dan sahabat berpuasa. Jadi semasa di pekan, kami telah siap sedia membeli juadah untuk 'iftar' (berbuka) bagi memudahkan pergerakan kerana hari semakin gelap dan yang pastinya perjalannan kami pulang ke Serdang sampai tengah malam. Semasa berjalan di tepi-tepi deretan kedai, penulis ternampak satu gerai burger yang menjual 'Burger Ikan Keli'. Ia sangat menarik perhatian penulis, walaubagaimanapun, penulis tidak berani untuk membelinya, lalu kami membuat keputusan untuk memesan empat burger kambing. Itu yang lebih afdalnya. Penulis dan sahabat mengambil peluang untuk berbuka dan solat berjemaah di masjid berdekatan Anjung Rahmat. Dari jauh kelihatan susuk tubuh surau yang diperbuat daripada kayu yang berwarna biru, di mana atapnya berbentuk ala-ala minangkabau. Kami terus melangkah kaki ke sana tanpa membuang masa kerana mengejar masa. 


Penulis agak pelik dan terkejut kerana mendapati terdapat dua bingkai gambar seorang lelaki yang agak berusia pada dinding atas menghadao kiblat di tempat solat wanita. Setahu penulis, rumah Allah swt tidak boleh dihiasi dengan gambar-gambar manusia apatah lagi patung dan seangkatan dengannya melainkan kalimah Allah dan nama-nama Allah swt. Setelah berbuka dan mengisi perut sedikit, kami terus solat berjemaah bersama empat orang makmum muslimah di situ. 
Seusai solat maghrib, imam dan makmum terus beristihgfar dengan nada yang amat sayu. Pada mulanya, penulis merasakan mungkin mereka sedang melakukan amalan sunat bulan Rejab yang mana dianjurkan kita sentiasa beristighfar. Tapi lama-kelamaan, penulis merasa syak dengan amalan yang dilakukan oleh jemaah di surau tersebut. Setelah beristighfar sebanyak 100 kali, mereka membaca Al-Fatihah mungkin 100 kali seterusnya zikir 'Lailahaillallah' semakin lama semakin laju. Kami hanya tersenyum dan menurut sahabatku ini mereka mungkin merupakan pengikut tariqat.


Kami terus keluar kerana ingin membaca surah Yassin di bilik datuk sahabat penulis. Sebenarnya apakah tariqat? Penulis sendiri belum jelas tentang amalan ini dan belum berkesempatan mencari maksud dan sejarahnya. Walaubagaimanapun, bagi penulis amalan ini tidak salah selagi ia tidak melanggar maksud dan syariat islam. Cuma bagi yang baru mengenali dan mengalaminya seperti penulis dan sahabat sebenarnya amat mempengaruhi keutuhan iman masing-masing sendiri. 


Terdapat banyak lagi amalan yang mereka lakukan seusai solat Isya', cuma mungkin setakat ini dahulu yang dapat penulis kongsikan. InshaAllah, mari sama-sama mencari dan mempelajari apakah tariqat sebenarnya. Moga umat islam sentiasa berada di jalanNYA. Ameen ya Rabbal 'Alamin.


Tuesday, June 1, 2010

Lanun Zionis Menyerang Kapal LL4G Ke Ghazzah!

Bismillahirrahmanirrahim...




“Assalamualaikum, tolong sembahyang hajat buat Puan Khadijah dan rombongannya yang berada di perairan Gaza kerana hendak diserang oleh Komando Israel.”
Saya menerima pesanan ringkas (SMS) dari ayah di Malaysia. Pesanan ringkas itu tidak dapat saya balas segera memandangkan masih mengalami masalah talian internet. Lantas saya segera menghubungi Ustaz Muin selaku Pengarah MiniPavillion PMRAM untuk mengetahui maklumat lanjut perkembangan yang berlaku terhadap armada kemanusiaan Gaza Freedom Flotilla.

Berikut perbualan saya dengan beliau.

Macammana keadaan konvoi ke Gaza? Saya menyoal membuka bicara.

Setakat ini konvoi akan bertolak ke Gaza hari ini. (Bertarikh 30 Mei 2010)
Samaada pagi ini atau tengahari, yang tu saja ana berani cakap.

Sebab keputusan dari Pertubuhan Turki kadang-kadang boleh berubah sebab tengok keadaan.

Depa nak kena serang dengan Komando Israelka? Wakil Malaysia tu siapa?

Wakil yang setakat ana tau dari NGO Haluan, Yayasan Amal, Muslim Care dan beberapa lagi. Wartawan Astro Awani juga ada sekali.

Mak Cik yang ana kenal pun ada sekali, dia korporat.

Tu kaa?

Ya, ayah ana suruh solat hajat, jangan bagi Israel serang.

Insha’Allah, Israel takkan berani serang tapi mungkin akan bertindak merosakkan enjin atau rampas kapal. Ini pada pandangan ana secara kasar, tapi.. mungkin Israel akan berundur dari tindakan macam itu bila ditekan dari sudut politik.

Apa alasannya? Soal saya kembali.

Alasan Israel, perairan Gaza adalah zon tentera. Dan Israel boleh beri kapal-kapal itu berlabuh di pelabuhan Israel untuk punggah yang akan dihantar ke Gaza melalui PBB dengan pengawasan Israel.

Jadi (mereka) boleh ambil tindakan membabi buta?

Kalau tak ada mana-mana pihak berkeras. Dia (mereka) akan mengambil tindakan membabi buta. Israel dah dihina semalam akibat enggan menandatangani perjanjian bagi menghalang penyebaran nuklear.

Turki dan beri amaran pada Israel jangan ganggu armada pembebasan ke Gaza. Sekarang ini kalau tekanan kuat dari sudut politik ke atas Israel, memang Israel tak akan serang armada tapi sekadar provokasi.

Kelmarin, Cyprus tak bagi kapal nama 8000 berlabuh di pelabuhan Cyprus untuk ambil ahli-ahli parlimen Eropah ke kapal-kapal armada. Setakat yang ana tau macam itu.

Jadi sebab apa Cyprus halang kapal 8000 berlabuh untuk ambil ahli parlimen eropah?

Sebabnya kalau ahli parlimen eropah ada bersama armada, armada akan dilindungi kuasa politik. Jadi sekarang ini kuasa politik mesti member tekana kepada Israel. Israel berlagak jahat sebab tak ada siapa berani tengking Israel.

Kirim salam pada Mak Cik tu. Enta call la dia Tanya apa-apa. Mana tau ada maklumat.

Baiklah, terima kasih bagi maklumat. Nanti ana cuba contact. Buat masa sekarang sedang alami masalah internet. Syukran jazilan. (Saya sudah call untuk mendapatkan maklumat terkini, tetapi mengalami masalah gangguan teknikal – tidak jelas)

(Itu berita semalam, terkini armada tersebut telah diserang oleh Komando Israel melalui laut dan udara)

SI KAYA YANG PEMURAH

Mengapa saya mengenali Puan Khadijah?

Kerana beliau adalah seorang penyumbang kewangan terbesar pengajian saya selama menuntut di Universiti al-Azhar. Terlalu pemurah hatta sesiapa yang mengalami masalah kewangan tanpa berlengah beliau lekas menghulurkan bantuan.

Pernah dikhabarkan bahawa suatu ketika beliau telah menyumbangkan RM10,000 kepada Sekolah Pondok Parit Panjang, Baling bagi tujuan baik pulih dan kegunaan pihak sekolah.

Hari ini, beliau menjadi sebahagian rombongan armada Gaza Freedom Flotilla bersama bantuan kemanusiaan berupa makanan, perubatan dan pendidikan sanggup membelah samudera serta menghadapi risiko diserang Israel laknatullah hanya semata-mata membantu saudara seakidah di Gaza.

Allahu Akbar! Saya begitu kagum dengan pengorbanan Si Kaya yang pemurah seperti ini. Tidak bacul, tidak pengecut dan menikus. Bahkan tidak bakhil dengan harta demi berkorban fi sabilillah!

Sabda Rasulullah SAW:
Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah ( riwayat Muslim)
Firman Allah SWT pula di dalam Surah al-Baqarah:
“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati ” (Al-Baqarah : 262)
Andaikan kita tidak mampu menjadi sebahagian dari kalangan mereka – para aktivis dan pejuang Palestin, sekurang-kurangnya kita peka dengan perkembangan yang berlaku terhadap dunia Islam kini. Lalu perbanyakkan doa serta bermunajat agar bantuan Allah SWT tiba menaungi umat Islam seluruhnya.

Ayuh, bantulah mereka!

8:24AM, 31 Mei 2010,
Siberbay, Tanta.