Muhasabah Ramadhan
Begitu pantas masa berlalu dan kini kita sudah melangkah masuk ke hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Hanya tinggal beberapa jam sahaja kita akan menyambut kehadiran bulan Syawal. Sedih rasanya kerana adakah kita akan bertemu Ramadhan yang akan datang? Bulan penuh baraqah dan terdapat banyak ganjaran serta keistimewaan di dalamnya. Jika dimuhasabah kembali, adakah 29 hari Ramadhan yang telah berlalu kita manfaatkan sebaiknya untuk mendapatkan redha Allah S.W.T? Adakah kita bersungguh-sungguh mencari rahmatNYA? Memohon maghfirahNYA? Menunaikan solat terawih sekadar mengikut adat atau sebaliknya? Adakah kita benar-benar berpuasa hanya semata menahan lapar, hawa nafsu sahaja? Cuba renung kembali, kita sering kali berusaha bangun awal pagi pada sepertiga malam hanya kerana ingin mengambil keberkatan Ramadhan untuk melakukan qiamulail dan seterusnya bersahur. Tetapi berapa ramaikah yang rugi kerana mengantuk ketika solat? Saban kali hendak menyediakan juadah berbuka, berapa ramai yang lebih memilih untuk mendapatkannya di Bazar Ramadhan. Lalu, berlakulah pembaziran dek teruja aneka warna dan bau juadah yang dijual. Sayang sekali apabila kita tidak berusaha untuk mendidik nafsu di bulan ini supaya kita dapat mengawal nafsu apabila berada di luar bulan Ramadhan. Alangkah ruginya bagi kita yang tidak menjadikan bulan Ramadhan sebagai pesta ibadah kerana keberkatan di dalamnya. Dan yang paling sedih, adakah di antara kita berusaha mengejar, mencari lailatul Qadar seperti mana yang Nabi S.A.W telah sabdakan? Begitu banyak persoalan yang timbul dalam fikiran penulis memandangkan berakhirnya Ramadhan kali ini...
Moga, kita sama-sama muhasabah sama ada adakah Ramadhan kita kali ini lebih bermakna dan sempurna dari Ramadhan sebelum ini.
Dalam kesibukan membuat persiapan hari raya, sebenarnya banyak perkara yang kita sering terlepas pandang. Masakan tidak, apabila ramai di antara kita sama ada dalam keadaan sedar dan tidak sedar telah mengabaikan bulan ibadah dengan lebih memilih untuk bersibuk-sibuk membeli belah pakaian raya dan sebagainya. Perkara ini tidak salah tetapi biarlah tidak melampau batas sehingga masa yang perlu diperuntukkan untuk beribadah tidak digunakan sebaiknya. Jika kita bijak menggunakan masa yang sedia ada, sudah pasti masa untuk beribadah tidak akan terganggu. Akhir-akhir menjelang malam raya ini juga, ramai di antara kita yang sudah berada di kampung untuk bersama keluarga dan sanak saudara. Yang lebih meriah apabila semuanya berkumpul setelah sekian lama tidak bersua kerana masing-masing jauh dan sibuk dengan komitmen kerja. Jadi, pertemuan di Aidilfitri sahaja yang dapat memberi kesempatan untuk saling bermaafan dan mengeratkan silaturrahim. Bermulalah episod pada malam raya apabila semuanya mula sibuk menyiapkan hidangan raya keesokkan harinya. Ada yang membakar lemang, merebus ketupat, memasak lemang, dan sebagainya sehingga berjaga sampai pagi. Tidak salah untuk menyediakan juadah raya, tetapi tidak sewajarnya malam raya dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa dihidupkan dengan amalan dan ibadah kepada Pencipta. Bukan bermakna berakhirnya Ramadhan, menandakan berakhirnya ibadah. Tetapi sebagai tanda bermulanya sebuah kemenangan supaya kita lebih bersedia untuk menempuh pelbagai cabaran dan ujian setelah bulan Ramadhan.
Di kesempatan yang ada ini, ayuh sama-sama muhasabah diri agar setiap amalan dan ibadah yang kita lakukan bukan sahaja di bulan Ramadhan tetapi bulan-bulan seterusnya dberkati Allah S.W.T. Lakukanlah ikhlas kerana Allah kerana DIA Maha Mengetahui setiap apa yang kita kerjakan.
InshaAllah...
Sekadar peringatan buat diri dan tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati..
Akhir kata sebelum malam raya ini, hidupkan ia dengan laungan takbir kepadaNYA dan amalkan solat sunat tasbih pada malamnya.(kawan yang anjurkan sebab dekat Negeri Kelantan ada buat).
Sebelum mengakhiri kalam, penulis ingin mengucapkan salam 'Eidulfitri Minal Wa Faizin kepada semua sahabat yang mengenali diri ini. Mohon maaf atas segala salah silap, terlanjur kata dan segala kata yang mengguris perasaan. Moga kita menjadi di antara golongan yang bersama mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W dalam amalan-amalan kita...Ameen...
No comments:
Post a Comment