Saturday, October 30, 2010

Selamatkan Diri Anda!!!

Bismillahirrahmanirrahim...






            Selamatkan Diri Anda!!!. Tahukan anda bagaimana cara untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah yang bebas di luar sana. Setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita dan cakap-cakap mengenai masalah jenayah yang sentiasa mencatatkan statistik yang tertinggi di negara Malaysia. Rata-rata golongan wanita yang tidak mengira usia sering menjadi mangsa kepada pelbagai jenayah dan keganasan. Kenapa perkara sebegini boleh terjadi? Siapakah perlu dipersalahkan? Apakah cara penyelesaiannya? program yang julung-julung diadakan ini akan disampaikan oleh penganalisis jenayah yang tidak asing lagi di negara kita iaitu saudara Kamal Affandi Hashim.

Atas dasar kasih sayang dan kepentingan aspek nyawa, maruah dan harga seorang wanita, Nisa Puchong dengan kerjasama Biro Keselamatan JKP Zon 13, Puchong telah menganjurkan satu program berbentuk bengkel khas untuk anda yang inginkan keamanan.
InshaAllah, jemput datang beramai-ramai kerana tindakan anda yang akan menentukan sejauh mana anda mampu melangkah untuk meneruskan kehidupan. Sayangilah diri anda sebelum anda menyayangi orang lain. 

Moga bengkel ini mampu memberi manfaat yang bukan sahaja kepada golongan wanita tetapi kepada kaum Adam juga sebagai pelindung dan pembantu kaum Hawa..
BENGKEL KESELAMATAN WANITA 2010
TARIKH : 31 OKTOBER 2010
TEMPAT : BALAI MASYARAKAT JKP ZON 13, PUCHONG PERDANA, 47100 PUCHONG, SELANGOR.
MASA : 2.00 PETANG -  5.30 PETANG.

Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi no di atas.

Saturday, October 23, 2010

Di sebalik sebuah kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim...

    Setiap manusia di muka Bumi inginkan kehidupan yang indah, bahagia dan serba mewah. Cuma yang bezanya ada di antara kita yang diberi kesenangan hidup dan juga kesempitan hidup oleh Allah SWT. Atas sifat Ar-RahmanNYA, orang kafir turut merasai kesenangan yang berupa nikmat Ilahi yang mereka tidak sedari. Sebagai umat Islam, kita seharusnya bersyukur atas nikmat pemberianNYA kerana sifat RahimNYA kepada hamba-hamba yang beriman. Meskipun begitu, dunia hari ini telah menyaksikan manusia semakin tandus dengan sifat iman, malah makin rakus mengejar keduniaan yang berupa material semata-mata.

Seawal subuh setiap hari, berduyun-duyun manusia sudah keluar dari rumah untuk mencari rezeki, sesuap nasi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah, suami, anak malah si isteri juga si ibu. Tidak kira sama ada yang bekerja di pejabat, sekolah, hospital, kilang, ladang dan sebagainya semuanya memerlukan pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara keluarga dan  meneruskan kehidupan. Ini kerana segala-galanya memerlukan duit, bukan duit adalah segala-galanya.

Dalam dunia yang penuh pancaroba ini, setiap manusia harus sedar bahawa kehidupan merupakan ujian buat hamba-hambaNYA. Allah s.w.t merupakan pengarah kepada kita selaku pelakon-pelakon di atas pentas dunia. Pelakon yang berjaya memainkan watak seperti mana yang dikehendaki olehNYA, pasti akan memberi kesan yang positif kepada penonton yang akhirnya akan membawa penonton turut merasai erti keindahan islam dalam menjalani kehidupan. Bukan mudah untuk menjiwai watak sebagai orang beriman jika kita tidak mula untuk mendekatkan diri denganNYA, dengan kalamNYA, menggali khazanah ilmu yang luas terbentang. Tetapi mudah juga untuk kita menjadi pelakon jahat yang hanya cuma perlu meninggalkan suruhanNYA bahkan melakukan perkara yang dilarangNYA. Semuanya bergantung kepada kita untuk memilih jalan atau lorong yang pasti membawa kita menuju kesempurnaan iman.

Walau tinggi mana darjat kita sekalipun, kita hanyalah insan kerdil di sisi Allah s.w.t. Janganlah terlalu bangga, angkuh dengan kemewahan, keselesaan dan harta yang dimiliki jika tiada rahmat dan kasih sayang dari Allah s.w.t. Pasti kita tidak akan berasa cukup atau puas selagi mana kita asyik mencari material tanpa menitik beratkan soal agama. Tiada gunanya harta menimbun jika akhirnya kita tersungkur jauh dari sinarnya islam..

Wallahu'alam..