Saturday, October 23, 2010

Di sebalik sebuah kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim...

    Setiap manusia di muka Bumi inginkan kehidupan yang indah, bahagia dan serba mewah. Cuma yang bezanya ada di antara kita yang diberi kesenangan hidup dan juga kesempitan hidup oleh Allah SWT. Atas sifat Ar-RahmanNYA, orang kafir turut merasai kesenangan yang berupa nikmat Ilahi yang mereka tidak sedari. Sebagai umat Islam, kita seharusnya bersyukur atas nikmat pemberianNYA kerana sifat RahimNYA kepada hamba-hamba yang beriman. Meskipun begitu, dunia hari ini telah menyaksikan manusia semakin tandus dengan sifat iman, malah makin rakus mengejar keduniaan yang berupa material semata-mata.

Seawal subuh setiap hari, berduyun-duyun manusia sudah keluar dari rumah untuk mencari rezeki, sesuap nasi bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah, suami, anak malah si isteri juga si ibu. Tidak kira sama ada yang bekerja di pejabat, sekolah, hospital, kilang, ladang dan sebagainya semuanya memerlukan pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara keluarga dan  meneruskan kehidupan. Ini kerana segala-galanya memerlukan duit, bukan duit adalah segala-galanya.

Dalam dunia yang penuh pancaroba ini, setiap manusia harus sedar bahawa kehidupan merupakan ujian buat hamba-hambaNYA. Allah s.w.t merupakan pengarah kepada kita selaku pelakon-pelakon di atas pentas dunia. Pelakon yang berjaya memainkan watak seperti mana yang dikehendaki olehNYA, pasti akan memberi kesan yang positif kepada penonton yang akhirnya akan membawa penonton turut merasai erti keindahan islam dalam menjalani kehidupan. Bukan mudah untuk menjiwai watak sebagai orang beriman jika kita tidak mula untuk mendekatkan diri denganNYA, dengan kalamNYA, menggali khazanah ilmu yang luas terbentang. Tetapi mudah juga untuk kita menjadi pelakon jahat yang hanya cuma perlu meninggalkan suruhanNYA bahkan melakukan perkara yang dilarangNYA. Semuanya bergantung kepada kita untuk memilih jalan atau lorong yang pasti membawa kita menuju kesempurnaan iman.

Walau tinggi mana darjat kita sekalipun, kita hanyalah insan kerdil di sisi Allah s.w.t. Janganlah terlalu bangga, angkuh dengan kemewahan, keselesaan dan harta yang dimiliki jika tiada rahmat dan kasih sayang dari Allah s.w.t. Pasti kita tidak akan berasa cukup atau puas selagi mana kita asyik mencari material tanpa menitik beratkan soal agama. Tiada gunanya harta menimbun jika akhirnya kita tersungkur jauh dari sinarnya islam..

Wallahu'alam..

2 comments:

  1. hasbunallahu wa ni'mal wakil..
    (^-^)

    ReplyDelete
  2. InshaAllah...Shukran jazilan.
    DaripadaNYA kita datang, dan kepadaNYA juga kita akan dikembalikan.

    ReplyDelete