Lintasan buruk? Apakah yang anda faham dengan maksud perkataan ini?
Sedikit perkongsian yang pasti menjadi muhasabah buat diri ini dan anda semua.
Semoga kita semua berada dalam pemeliharaan ALLAH SWT hendaknya.
Pengarang kitab 'Al-Fawaid ' iaitu Ibnu Qayyim telah menerangkan simpang siur kehidupan di dunia ini. Beliau telah menjelaskan bahawa setiap perbuatan manusia , biasanya didahului oleh lintasan-lintasan (khuatir) atau gagasan. Atas faktor inilah yang kemudiannya mengundang munculnya tasawwur (gambaran). Selepas itu, muncul pula iradah (kemahuan) yang selanjutnya mendorong kehadiran perbuatan (amal). Apabila perbuatan itu berulang kali, maka akhirnya ia akan menjadi kebiasaan.
Oleh kerana itu, Ibnu Qayyim menegaskan , " Lawanlah setiap lintasan buruk. Ini adalah kerana jika ia dibiarkan, ia akan berubah menjadi fikrah (gagasan) yang buruk. Singkirkanlah fikiran buruk itu, kerana jika ia dibiarkan, ia akan berubah menjadi iradah atau 'azimah (tekad) yang buruk. Dan jika perbuatan buruk itu tidak dilawan, bahkan ia dilakukan secara berulang-ulang , maka ia akan berubah menjadi kebiasaan buruk. Apabila perbuatan buruk itu sudah menjadi kebiasaan, maka kita akan merasa sukar untuk meninggalkannya."
Justeru, ucapkanlah istighfar dan ingatlah balasan di akhirat kelak supaya kita terhindar dari memikirkan lintasan-lintasan buruk. Nau'zubillahi min zalik.
Kesimpulannya, setiap dari kita tidak lari untuk memikirkan lintasan-lintasan yang tidak baik dalam hati kita. Kita mungkin tidak pernah memikirkan apatah lagi terdetik untuk memikirkannya, tetapi ingatlah syaitan tidak pernah berhenti memesongkan anak-anak Adam akhir zaman. Dan yang penting, berusahalah untuk menghindari lintasan-lintasan buruk ini agar kita sentiasa berada di sisi juga rahmat ALLAH SWT..
Wallahu'alam....
YDP IKRAM Hulu Selangor.
No comments:
Post a Comment