Thursday, February 25, 2010

Ku ingin bertemu denganmu...

Bismillahirrahmanirrahim...


         Alhamdulillah, esok akan tiba hari kelahiran Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w iaitu  pada 12 Rabi'ul Awal 570 Masehi ( Tahun Gajah ) bersamaan 26 Februari 2010. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah s.a.w, keluarga baginda dan para sahabat. Penulis terpanggil untuk mencoretkan sesuatu walaupun sepatutnya kita perlu memperingati baginda s.a.w setiap waktu bukan hanya pada hari kelahiran baginda s.a.w sahaja. Penulis sendiri sedar, bukan mudah untuk mencapai syafaat Nabi Muhammad s.a.w kerana di saat ini kita masih lagi jauh dari sunnah-sunnahnya apatah lagi untuk mengamalkan. Kita juga seringkali mengatakan yang kita mencintai baginda s.a.w, tetapi adakah benar-benar ia datang dari hati atau hanya lafaz semata-mata. Ya, kita juga tidak pernah lupa mengucapkan selawat ke atas baginda s.a.w , tetapi sejauh mana kita mendalami dan menghayati kisah-kisah perjuangan serta kehidupan baginda s.a.w? Tepuklah dada, tanyalah iman masing-masing.

Sedikit perkongsian yang patut diambil berat, Rasulullah s.a.w juga telah meninggalkan wasiat kepada umat akhir zaman ketika mana baginda s.a.w mengerjakan ibadah haji yang terakhir pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranan, Bukit Arafah. Baginda menyampaikan  khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah s.a.w itu ialah :

" Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

" Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan DIA pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah s.w.t telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

" Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. 

" Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalaah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina.

" Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah s.w.t, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh. 

" Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah s.w.t pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

" Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betu; dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

" Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."



    Pernah suatu ketika, sedang Rasulullah s.a.w berkumpul di dalam suatu majlis bersama paar sahabat, tiba-tiba bergenang air mata baginda s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah s.a.w, bila ditanyakan oleh Saidina Abu Bakar, Baginda s.a.w mengatakan bahawa terlalu merindui umatnya yang disebut sebagai ikhwannya.
  Para sahabat merasa iri hati sehinggakan Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah s.a.w , " Bukankah kami ini ikhwanmu?". Rasulullah s.a.w menjawab, " Tidak, kamu semua adalah sahabatku..ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku...aku sangat rindu untuk bertemu mereka.." KITAKAH IKHWAN ITU???

 Muhasabahlah andai kalian tidak pernah menitis walau setitik air mata kerinduan dan kecintaan pada baginda s.a.w.
      
Ya Rasulullah,
kau insan mulia,
namamu sering menjadi sebutan,
kisahmu tidak pernah habis,
ibarat air tidak putus,
dirimu turut menjadi pujaan,
oleh setiap yang beriman,
sunnahmu panduan kami,
kasihmu tiada terperi,
namun dirimu juga disakiti,
oleh manusia yang jauh dariNYA,
namun kau cukup kental,
hadapi ujian Ilahi,
kerna dirimu penuh ketabahan,
dalam melaksanakan perintah Ilahi,
ku ingin bertemu denganmu,
namun adakah aku layak,
akan ku terus berdoa,
agar dapat menemuimu
di syurga sana...
Ameen...

Wednesday, February 24, 2010

Moga Islam terus menyinar di Kotai, Bersah dan Kuala Mu . Ameen.

Bismilahirrahmanirrahim...


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : Katakanlah (Wahai Muhammad) “Ini dia jalan aku. Aku menyeru kepada Allah berdasarkan bukti-bukti yang nyata. Aku dan mereka-mereka yang mengikut aku…..”. ( Surah Yusuf : 108 )

"Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik.Sesungguhnya tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahu akan orang yang sesat daripada jalannya dan dialah jua yang lebih mengetahi akan orang yang mendapat hidayat". ( Surah An-Nahl : 125 )

       Alhamdulillah wa syukur lillah ke hadrat Ilahi di atas kurnia nikmat IMAN dan ISLAM. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., keluarga baginda dan para sahabat seterusnya para salafussoleh serta seluruh umat islam. Betapa berharganya kedua-dua nikmat ini kerana di situlah terletaknya hakikat seorang muslim dan istimewanya ISLAM yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada utusannya Rasulullah s.a.w yang akhirnya sampainya ISLAM di Bumi Malaysia. Penulis yakin, anda dan juga penulis pasti tersentuh apabila setiap kali lembaran sirah dan siri perjuangan Rasulullah s.a.w  ditatap, didengar atau dibaca dengan penuh penghayatan. Kecekalan dan kesabaran baginda s.a.w dalam menyampaikan dan menyebarkan ajaran suci islam ke seluruh pelusuk dunia sangat dikagumi dan wajar dijadikan pemangkin bagi kita sebagai generasi yang akan meneruskan perjuangan baginda s.a.w. 

    Kita masih mempunyai kewajipan yang lebih banyak daripada masa yang  sedia ada kerana dibahu kita lah tergalas tugas sebagai seorang dai'e yang mesti dilaksanakan. Tanpa mengira siapa, pangkat, warna kulit, agama, budaya, negara dan sebagainya , tidak dapat tidak ISLAM mesti disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di muka Bumi ini. 

   Setelah sekian lama kalinya penulis ingin menyertai program bersama orang asli, tetapi setiap kali itu juga, ada program bertindih dan yang mana perlu di'awla'kan menyebabkan perancangan penulis untuk menyertai misi dakwah orang asli tidak terlaksana. Alhamdulillah dengan izinNYA, hajat penulis kesampaian dan menjadi kenyataan kerana dapat bersama-sama sahabat yang kental jiwanya dalam menjayakan misi dakwah kali ini. Dan penulis sudah awal-awal mengosongkan cuti Tahun Baru Cina yang lalu semata-mata untuk turun menziarahi saudara-saudara baru yang masih jauh dan dilupai oleh kita. Bermacam-macam yang bermain di fikiran penulis apakah yang bakal dihadapi kelak setelah sampai ke sana. Sebelum sampai ke perkampungan orang asli, penulis juga menghadapi sedikit konflik walaupun pada awalnya perancangan telah dibuat. Moga pilihan yang dibuat kali ini adalah kerana dengan izinNYA. InshaAllah. 


   Penulis juga telah dimaklumkan oleh seorang sahabat yang merupakan ahli jawatankuasa tertinggi NGO Ummah Aid dan PRIHATIN Selangor yang misi dakwah kali ini adalah di perkampungan orang asli Gua Musang, Kelantan. Walaubagaimanapun, perancangan telah ditukar pada saat-saat akhir kerana ramai sukarelawan yang telah menuju ke sana dan kebetulan pada masa yang sama penghulu Kampung Kuala Mu, Sungai Siput , Perak telah meminta para sukarelawan yang ada untuk datang menziarahi mereka. Pada malam 12 hb, kami telah berkumpul dan tidur di Rumah Anak Yatim Dengkil sebelum memulakan perjalanan pada jam 3.00 paginya. Oleh kerana masing - masing kepenatan, kami bertolak satu jam lewat dari masa sebenar yang dirancang. Pagi yang hening dan amat menyejukkan, perjalanan kami seramai 4 orang dalam sebuah kereta menuju ke Sungai Siput, Perak memakan masa hampir 5 jam kerana kami juga tidak terkecuali menghadapi kesesakan kereta yang banyak. Tambahan pula, waktu cuti itu diambil oleh penghuni-penghuni kota untuk pulang menziarahi keluarga di kampung. Sehinggakan kami terpaksa solat subuh 'gajah' di R & R yang turut sesak dengan manusia pada saat itu. Penulis berasa agak kecewa kerana ada sesetengah kawasan rehat tidak menyediakan kemudahan surau dan menyebabkan ramai yang terpaksa solat di atas pondok, di tepi jalan, atas rumput dan sebagainya. Bagi penulis ia tidak menjadi masalah kepada sesiapa yang faham dan sedar kewajipan bersolat dan sebagai muslim untuk solat di mana-mana permukaan Bumi adalah tidak menjadi perkara yang pelik. Cuma mungkin ia akan menjadi masalah kepada yang sesiapa tidak memahami dan mungkin seseorang yang hanya akan menunaikan solat apabila disuruh sahaja dan tambahan apabila melihat keadaan yang sedemikian lagi membuatkan kewajipan dibelakangkan. Ia sebenarnya sedikit sebanyak akan mempengaruhi pandangan dan persepsi orang untuk menunaikan rukun islam yang kedua itu. Pada pemerhatian penulis, masih ramai lagi yang menyedari kewajipan untuk solat walaupun pada masa itu sudah terang, hampir jam 8 pagi. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : "Solat merupakan tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama". (maksud Hadith).

  Sepanjang perjalanan, penulis hanya tidur dan sepatutnya penulis mengambil peluang tersebut untuk memuji dan mensyukuri penciptaanNYA yang terbentang luas. Tetapi itu tidak bermakna penulis terus tidur tanpa bangun dan sempatlah juga melihat keindahan gunung, pokok-pokok dan batu-batu besar di sisi jalan. SubhanaAllah. Tanpa semua ini, sudah pasti Bumi tidak akan stabil dan tidak dapat berdiri pada paksinya. Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Al-Hijr ayat 21 yang bermaksud : " Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya dan kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu”.

13Februari 2010


  
    Akhirnya kami sampai di Masjid India Muslim, Sungai Siput lebih kurang jam 9.15 pagi dan sahabat yang lain telahpun sedia menanti ketibaan kami. Sebelum meneruskan misi membelah dan mengharung perjalanan yang sukar ke perkampungan tersebut, sedikit taklimat dan sesi ta'aruf dijalankan. Pada kali ini, ekspedisi telah disertai oleh 5 orang muslimat dan 5 orang muslimin yang masing-masing dari latar belakang yang berbeza tetapi atas niat dan matlamat yang sama. InshaAllah. Di samping itu, Abang Azmarul selaku Amir telah membuat persiapan yang rapi seperti bekalan makanan, minyak kenderaan, generator dan segala kelengkapan berkaitan  selama 3 hari 2 malam di tiga buah kampung yang akan kami jejaki. Pengalaman yang paling berharga apabila dapat menaiki 'land rover' yang sangat tahan lasak dan perjalanan yang berjam-jam ke setiap kampung melalui jalan-jalan hutan yang  berbatu-batu dan bermacam-macam bentuk menyebabkan kepala penulis sering terhantuk pada cermin tingkap. Sudah tentu pemandu yang sangat mahir diperlukan untuk memandu 'land rover' yang tidak semua orang mampu mengendalikan di atas jalan yang bukan jalan raya. Ustaz Fuad yang merupakan imam kami memang 'expert' memandu kenderaan pacuan empat roda tersebut, walaupun agak mencabar tetapi menurutnya itulah pemanduan yang paling cermat dan selamat yang dibawa olehnya memandangkan  penumpangnya semua muslimat . Memang sangat mencabar walaupun hanya duduk di belakang tanpa perlu memandu. 
     Lebih kurang jam 530 petang baru kami tiba di Kotai, tempat pertama persinggahan kami. Setibanya, kelihatan beberapa anak orang asli sedang bermain di celah-celah semak dan pokok kerana itulah aktiviti rutin mereka setiap hari. Apabila penulis dan sahabat-sahabat cuba mendekati anak-anak kecil itu, mereka melarikan diri mungkin kerana mereka masih ganjil dengan orang luar walaupun sebelum ini beberapa sukarelawan ataupun dai'e telah turun di kampung tersebut pada setiap sebulan. Ekspedisi ini merupakan satu usaha  berterusan dan aktiviti bulanan Ummah Aid untuk memastikan kalimah Allah s.w.t sampai ke segenap pelusuk hati dan jiwa mereka. InshaAllah, moga usaha mulia ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan islam kepada yang berhak seterusnya membawa mereka keluar dari kepompong kehidupan yang penuh daif kepada yang lebih baik.
Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu."

     Sementara muslimin mengangkat segala kelengkapan ke atas pondok yang telah dibina sebelum ini khas untuk penginapan dan tempat memasak , penulis dan sahabat cuba beramah mesra dengan anak-anak orang asli setelah berjaya memujuk mereka mendekati kami. Perbezaan penggunaan bahasa menyebabkan keterbatasan kami untuk berbicara panjang dengan adik-adik tersebut. Kebetulan, kami juga perlu segera menyediakan makanan untuk menjamu semua penduduk kampung tersebut makan bersama-sama kami. Kebiasaannya, majlis makan besar yang juga dikenali sebagai 'Cak Raya' itu merupakan aktiviti wajib setiap kali kunjungan ke perkampungan orang asli. Menu malam itu adalah nasi putih berlaukkan sup ayam, beserta timun dan air teh. Penulis juga baru dapat tahu pada kebiasaannya mereka hanya memakan ubi kayu dan nasi dapat dimakan apabila kami berkunjung ke Kotai. Setelah semua sibuk berhempas pulas menyusun peralatan, memasang lampu, membaiki pondok, membina tandas dan menyiapkan makanan yang selesai hampir waktu maghrib, bilal yang bertugas iaitu saudara Amin siap sedia melaungkan azan sebagai satu seruan pemberitahuan telah masuknya waktu solat fardhu Maghrib. Jadi, imam telah memanggil penduduk kampung untuk solat berjemaah bersama-sama kami. Dan selepas itu baru upacara 'Cak Raya' dijalankan. Sejurus solat, penghulu telah membuat pengumuman bahawa pada malam itu akan diadakan makan besar dan dibawa untuk membawa pinggan atau 'anyan' sendiri. Kami sudah bersedia di posisi masing-masing di mana penulis sendiri akan mencedokkan lauk ayam untuk diberikan kepada mereka. Tampak di riak wajah mereka yang begitu lapar dan tidak sabar untuk menikmati juadah pada malam itu sehingga berebut-rebut tetapi alhamdulillah dapat dikawal dengan baik. Bayangkan kita setiap hari membazir membuang makanan yang tidak habis dan satu hari wajib dua kali makan nasi tetapi mereka...Tidak bersyukurkah kalian?  Sedar atau tidak, masih ramai lagi rakyat Malaysia yang sangat daif dan hanya memakan hasil-hasil hutan, hidup di tengah-tengah hutan dengan ketiadaan bekalan elektrik. SangatJauh berbeza daripada kebanyakkan kita yang hidup serba kemewahan dan kesenangan di hiruk piruk kota yang memeningkan kepala. Di manakah fungsinya dan keberkesanan hak asasi manusia yang sering dilaung-laungkan dan termaktub dalam perlembagaan tetapi masih ada lagi manusia yang tidak dibela malah dipinggirkan. Sedangkan mereka adalah manusia seperti kita dan menjalankan kehidupan seperti kita. Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran penulis, di manakah pihak-pihak berkuasa dan yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan orang asli? Bukan bertujuan untuk menuding jari tetapi satu persoalan dan penyelesaian yang memerlukan perlaksanaan dan tindakan. 
      Berbalik pada malam itu, bagi mengisi masa masyarakat asli yang sering terbuang dan pergi begitu sahaja, kami turut membuat tayangan filem 'Pendekar Bujang Lapok' secara terbuka. Sekurang-kurangnya aktiviti ini dapat memberi keceriaan dan mengikat ukhwah antara kami dan sesama mereka apabila menonton bersama. Tambahan pula cerita arahan P.Ramlee itu sering membuatkan kami tidak jemu untuk ketawa dan sudah pasti sangat menghiburkan walaupun rata-rata daripada penduduk di situ kurang faham dialek Melayu. Setelah tayangan berakhir, kesemua orang balik untuk melelapkan mata. Hari esok perlu diteruskan jika diberi keizinan olehNYA. Langkah pertama yang akan menentukan kesinambungan jalan-jalan yang seterusnya. 


khusyuk menonton telatah pendekar Bujang Lapok


14 Februari 2010


     Permulaan pagi yang sungguh sejuk dan menyegarkan setelah pada waktu malamnya bertemankan kerlipan berjuta-juta bintang di langit. SubhanaAllah !!! Sungguh cantik!!! Seusai laungan azan seterusnya solat subuh berjemaah, Ustaz Fuad membuka halaqah untuk   menyampaikan sedikit tazkirah ringkas disusuli respon daripada para sahabat yang turut serta. Penulis juga mengambil peluang untuk merespon kerana berasa sangat bertuah kerana berpeluang menyertai ekspedisi yang sangat berharga ini. Dan juga berharap agar kami terus istiqamah menjalankan misi dakwah kepada orang asli. Walaupun hanya mengajar mereka mengucap kalimah syahadah, itu sebenarnya sangat berbekas di dalam hati. Terasa begitu sayu tatkala mereka sama-sama belajar dan melafazkan syahadah. Maka lahirlah muslim, saudara seislam yang menerima hidayah dariNYA. Perjalanan dan langkah hari ini perlu diteruskan, lebih ramai lagi masyarakat orang asli memerlukan bantuan dari kalian. Di atas kecemburuan waktu, kami mula mengemas dan menyiapkan sarapan sebelum memulakan perjalanan ke Kuala Mu yang sentiasa menanti. Perasaan sayu dan hiba untuk meninggalkan mereka di Kotai juga menyelubungi kami. Sebelum itu, penulis sempat mengenali adik-adik kecil yang masih memerlukan pendidikan yang secukupnya supaya seterusnya dapat membawa sinar dalam kehidupan keluarga masing-masing. Shawati, Zaiton, Maya, Shila, Hamdan, Aswan, Risal,Alop...Mereka adalah anak-anak kecil yang masih muda malah bakal memimpin keluarga tetapi tidak pernah mengenal erti kesenangan hidup apatah lagi erti kehidupan. Depan, belakang, kiri atau kanan, sekeliling mereka adalah belukar, semak, pokok-pokok dan hutan yang tebal. Bagaimanakah jika kita berada di tempat mereka? Moga kalian dipelihara Allah s.w.t dan akan menjadi pembela dan penyelamat kepada masyarakat orang asli kelak. Ameen.  Moga lambaian ini bukan lambaian terakhir dariku.

 
Anak-anak kecil yang melambai pemergian kami 

       Ekspedisi diteruskan kerana hari semakin bergerak meninggalkan hari sebelumnya. Seperti biasa, perjalanan melalui jalan dalam hutan yang mencabar menjadi peneman kami. Tiada pilihan, itulah jalan penghubung yang sering digunakan oleh penduduk orang asli di situ.



    Perjalanan hampir lima jam ke Kuala Mu mengizinkan kami untuk singgah menziarahi Pak Adu sekeluarga di Bersah. Alhamdulillah, kali ini kehidupan penduduk kampung Bersah nampak lebih teratur berbanding Kampung Kota. Ini kerana Pak Abdu selaku penghulu di situ sering keluar dan bertemu dengan pemimpin Melayu untuk mendapatkan bantuan demi kepentingan penduduk-penduduknya. Dua orang daripada anak juga telah berjaya dihantar ke sekolah di bandar Kuala Kangsar. Pak Adu sangat peramah orangnya dan melayan kami dengan begitu mesra memandangkan dia sendiri boleh bercakap dan faham bahasa Melayu. Isteri Pak Adu iaitu Umi pula sibuk memasak lauk tengah hari untuk di makan bersama walaupun jam ketika itu lebih kurang 2.30 petang.  Penulis juga tidak ketinggalan membantu Umi memasak menggunakan kayu api dan berasap-asap satu rumah. Hidangan ubi kayu goreng memang merupakan hidangan tetap bagi tetamu yang datang. Ubi kayu di situ sangat berbeza, lebih besar dan isi serta rasanya lebih manis. 

 
Umi sedang memasak ulam hutan 
 
      Kali ini kami dijamu dengan nasi berlaukkan sardin. Malah menu yang paling istimewa adalah petai masak sardin. Walaupun simple masakan Umi tetapi sungguh berselera kami menikmatinya. Penulis gembira dapat mengenali keluarga Pak Adu kerana mereka melayan kami seperti keluarga sendiri dan penulis sendiri begitu cepat mesra dengan Umi walaupun baru pertama kali bertemu dengannya. Setelah makan dan menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim, sekali lagi kami akan tinggalkan Besrah buat sementara untuk menuju ke destinasi seterusnya. Umi juga sempat menyediakan bekalan ubi kayu untuk kami, sungguh mulia hati insan yang bergelar ibu. 

    Sekali lagi , kami meneruskan perjalanan yang tidak akan berhenti ke destinasi terakhir iaitu Kuala Mu. Sesampai di sana, anak-anak kecil berlari-lari menyambut kehadiran kami. Mereka lebih berani dan ramah mendekati kami berbanding dengan anak-anak kecil di Kotai. Tampak mereka sudah biasa menerima kehadiran orang luar walaupun tidak pernah mengenali sebelum ini. Sehingga ada yang menarik penulis untuk memegang tangan mereka dan memimpin untuk jalan bersama. So interesting! Tetapi dekat sana, memang banyak anjing-anjing yang berkeliaran. Kadang-kadang takut dan risau juga sebab penulis memang kurang berani dengan anjing. Walaubagaimanapun, anjing-anjing tersebut lebih takut dengan orang-orang yang tidak dikenali. Dan yang paling istimewanya di Kuala Mu adalah kedudukannya di tepi sungai. Jadi, penulis dan 4 orang sahabat lagi mengambil kesempatan untuk mandi sungai kerana sudah seharian tidak membersihkan diri. SubhanaAllah, inilah kali pertama penulis mandi sungai setelah sekian lama hanya melihat orang lain mandi sungai. Hampir 2 jam juga kami berendam apabila anak-anak orang asli membawa kami ke tempat yang paling jauh dari pandangan manusia terutamanya muslimin. InshaAllah. 

    Sebelum Matahari meninggalkan siang, kami pulang untuk membuat persiapan memasak untuk 'Cak Raya' di sebelah malam. Aktiviti yang sama dilakukan seperti di Kotai, cuma yang bezanya menu pada malam itu adalah ayam masak kari. 


Anak-anak orang asli beratur untuk mengambil makanan


 
wajah anak-anak orang asli 

        Sebenarnya banyak yang penulis ingin coret dan kongsikan,  tetapi rasanya ini pun sudah terlalu panjang dan meleret. Yang paling penulis tidak dapat lupakan ialah suasana sejuk yang betul-betul menggigit tulang sepanjang tidur di pondok Kuala Mu. Hanya Allah s.w.t yang tahu. Sungguh sejuk!!! Menggigil-gigil rasanya.

Apa yang penting sekarang ini adalah tanggungjawab kita untuk menyampaikan kalimah Allah s.w.t kepada yang berhak. Tidak kira siapa mereka dan siapa kita , selagi kita berpegang kepada kalimah tayyibah, kita wajib sampaikan islam kerana semua daripada kita adalah dai'e. Moga setiap usaha dakwah yang dijalankan ikhlas lillahi ta'ala dan berjihadlah di jalan Allah s.w.t. Sesungguhnya jalan dakwah sangat luas, dan kalianlah yang akan membuat pilihan untuk memilih jalan dakwah yang sesuai dengan anda tanpa sebarang paksaan. Carilah ia dan doa agar istiqamah kerana Allah swt sentiasa bersama kalian. InshaAllah...

Moga bertemu lagi di sana...
Ameen.
  
   
  

Friday, February 19, 2010

Terkini : 2 in 1 = Muhasabah Cinta + Bicara Tentang Cinta

Bismillahirrahmanirrahim...
 

      Sebenarnya agak berat untuk penulis menulis topik kali ini kerana penulis bukanlah orang yang layak atau 'faqih' untuk membicarakan isu cinta yang sentiasa hangat diperkatakan. Ini kerana manusia memerlukan cinta dalam kehidupan tetapi cinta bukanlah segala-galanya.  Makanan adalah keperluan fizikal, dan cinta juga merupakan  keperluan rohani dan emosi. Penulis akan lebih berhati-hati dalam penulisan kali ini setelah posting tajuk yang sama sebelum ini telah ter'delete' tanpa disengajakan. Moga ia sedikit sebanyak dapat menguraikan masalah cinta yang dihadapi oleh setiap insan yang bernama manusia. Tentu ramai yang tertanya-tanya, mengapa penulis memilih topik CINTA pada kali ini sehingga sanggup menulis semula? Jawapannya ada pada diri anda masing-masing termasuklah penulis.
Adakah anda benar-benar faham dan hadam apakah CINTA sebenarnya? Benarkah anda mencintai Allah s.w.t? Apakah bukti cinta anda padaNYA? Bagaimanakah rasa CINTA pada ILAHI? Begitulah di antara persoalan-persoalan yang timbul di fikiran dan di sekeliling penulis. Memandangkan penulis telah mengikuti wacana seperti mana tajuk di atas dua kali berturut-turut pada awal Februari yang lalu, jadi tidak adil sekiranya penulis tidak kongsikan bersama sahabat-sahabat sekalian. InsyaAllah, moga-moga Allah s.w.t mencampakkan cintaNYA dalam hati-hati setiap hamba yang sentiasa mengasihiNYA. 

Ya Allah! ku dambakan cintaMU yang kekal abadi ke dalam diriku, Ya Allah! Kau kurniakan cahaya kasihMU pada jiwa dan hatiku! Ya Allah! ku mohon agar cintaku padaMU terus dipelihara..susahnya untuk mendapatkan cintaMU...Ya Allah! Permudahkanlah segalanya...Ameen Ya Rabbal 'Alamin.


Muhasabah Cinta

       Alhamdulillah, dengan izinNYA penulis berpeluang menghadirkan diri ke wacana Muhasabah Cinta yang dikendalikan sepenuhnya oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Namanya memang tidak asing dan cukup sinonim dengan buku tulisan beliau yang bertajuk 'Tentang Cinta' kerana mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di kalangan para pembaca. Menurut ustaz, CINTA adalah 'kuasa luar biasa'. Hebatkan? Sebenarnya sifat rendah diri atau 'humble' ketika menuntut ilmu sangat dituntut dalam islam kerana dengan cara itu lebih banyak ilmu yang kita akan dapati. Begitulah juga dengan cinta, bagaimana untuk mendapatkan cinta ? Iaitu dengan merasa rendah diri di hadapanNYA. Diceritakan dalam suatu kisah, ada seorang Arab Badwi datang bertemu Rasulullah s.a.w tanpa segan silu dan bertanya : "Bila berlaku kiamat?" Lalu Rasulullah s.a.w menjawab : " Apa yang kamu sediakan untuk hari Kiamat?" dan orang Badwi itu menjawab, " Aku tidak banyak solat, puasa tetapi aku cinta pada Alllah dan Rasul." Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : " Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai." SubhanaAllah !!! Indahnya cinta lillahi ta'ala...

     Berbalik kepada cerita tentang CINTA, ustaz telah menggariskan CINTA HAKIKI kepada 4 pemilik yang selayaknya seperti mana yang telah dipandu oleh syariat islam. Cinta yang Utama ialah cinta pada 1) Pencipta kita ( ALLAH S.W.T ), seterusnya cinta kepada 2) Rasulullah s.a.w, 3) ibu bapa dan yang terakhir 4) cinta antara suami dan isteri. Kesemua cinta ini kelak akan membawa kebaikan sekiranya digunakan pada jalan yang benar. Penulis juga terkesima dengan kebanjiran mahasiswi yang hadir pada malam wacana tersebut berbanding mahasiswa. Di manakah mereka? Ini menguatkan lagi naluri penulis bahawa golongan hawa lebih mudah terjebak dengan cinta palsu sekiranya dicucuk oleh jarum golongan Adam yang sentiasa berusaha memuaskan hawa nafsu mereka. Nauz'ubillahi min zalik...Walaubagaimanapun, mengikut kajian psikologi lelaki yang putus cinta sebenarnya lebih teruk daripada wanita dan dunia juga tidak akan terkejut sekiranya seorang lelaki membunuh diri kerana seorang perempuan. Sungguh ironi, tetapi itulah yang berlaku dalam dunia realiti sekarang. Cuba imbas kembali bagaimana ketabahan dan keteguhan cinta Bilal bin Rabah kepada ALLAH s.w.t yang sanggup diseksa oleh Firaun yang kejam semata-mata kerana kasih dan cintanya pada YANG ESA. Terlalu banyak kisah-kisah para sahabat yang membuktikan cinta mereka kepada ALLAH s.wt termasuklah kisah popular Rabiatul Adawiyah.

     Cinta itu bukan tertarik, suka atau suatu tarikan fizikal tetapi cinta adalah suatu tanggungjawab.Perkahwinan dimulakan dengan percintaan tetapi disempurnakan oleh tanggungjawab. 'Love is work not is word' . Dengan erti kata lain, CINTA adalah :
  1. Tanggungjawab  -    bukan suka-suka
  2. Perbuatan         -    bukan kata-kata
  3. Memberi           -    bukan mendapat    
Hidup untuk memberi. Cuba hayati dan selami maksudnya. Hatta Allah s.w.t kaya dengan Asmaul Husna, Al-Wahhab. Yang Maha Memberi. DIA sentiasa memberi kepada makhluk-makhlukNYA walaupun kita tidak pernah atau cuba untuk meminta daripadaNYA. Malulah pada diri sekiranya tidak mencintaiNYA yang tidak pernah lokek atau kedekut untuk memberi kepada kita. Teringat satu analogi yang diceritakan oleh ustaz. Kisahnya begini, Si A telah memberi sebuah hadiah kepada Si B ni. Jadi pada pendapat sahabat-sahabat, siapakah yang patut diingati? Si A atau Si hadiah? Bagaimana pula jika penulis katakan yang Si A itu ialah Pencipta cinta ( Allah s.w.t ) dan Si hadiah pula adalah cinta manakala Si B pula ialah manusia ( makhluk Allah s.w.t ). Justeru, siapakah yang layak diingati? Tetapi dunia sekarang sudah terbalik, huru hara dan sangat membimbangkan apabila manusia kini lebih mengagungkan CINTA berbanding PENCIPTA CINTA itu sendiri. Kenapa semua ini berlaku? Bagaimana anda menilai cinta? ' What you see is what you get' and 'Who you are determine how you see'. Orang melihat cinta dengan empat pandangan berbeza iaitu :
1) Pandangan Biasa ( remaja )
2) Pandangan Akal ( psikologi )
3) Pandangan Nafsu ( seks )
4) Pandangan Hati ( hadiah/anugerah/ 'basirah' )

Apakah yang membezakan setiap pandangan-pandangan manusia ini? Cuba bayangkan, di hadapan anda ada sebiji kuih donat. Bagi seseorang yang berpandangan biasa, dia akan menganggap kuih donat tersebut hanya biasa, tidak ada yang istimewa dan tidak menarik. Sedangkan bagi seseorang yang menggunakan akal, dia akan berpandangan bahawa kuih donat tersebut mengandungi adunan tepung dan yis. Tambahan pula kaya dengan karbohidrat dan sangat mengenyangkan apabila hanya 2 biji sahaja yang dijamah. Dan sudah tentu pandangan nafsu akan menyebabkan seseorang itu akan terus memakan kuih tersebut tidak kira la bentuknya cantik atau tidak, sedap atau tidak, lalu memasukkannya ke dalam mulut tanpa segan silu. Dan akhirnya pandangan hati pula, adalah pandangan dari dalam mata hati bagi seseorang yang dapat merasai dan mengenang zaman dahulu ketika mana ibunya bersusah payah bangun awal setiap pagi untuk menyediakan kuih donat tersebut supaya dapat dijual bagi menyara anak-anaknya. Sudah tentu donut tersebut sangat berharga bagi dirinya walaupun hanya kesan dari zaman silamnya. Begitu juga lah dengan cinta, anda yang menilainya mengikut kefahaman dan perasaan anda. Tetapi yang pasti, nilailah dengan pandangan hati kerana anda akan menemui cinta hakiki kerana ia tersirat dan hakikat. Percayalah!!! Ya, penulis selalu dengar cinta itu fitrah setiap insani, suatu perkara yang tidak perlu dipelajari kerana ia datang dan muncul dengan sendiri. Jadi, berhati-hatilah kerana cinta juga mendatangkan keburukan dan ancaman kepada manusia yang lemah imannya. Al-Farabi ada berpesan, 'sekiranya cinta hanya didorong oleh nafsu, itu adalah cinta yang diilhamkan oleh Allah s.w.t kepada haiwan.' Moga-moga dijauhkan.
  Ustaz telah membawa dan mengajak kami untuk kembali bermuhasabah diri apakah sebenarnya tujuan manusia hidup di muka bumi.Dari situ baru jelas apakah sebenarntya tujuan cinta. Hendak atau tidak, sedar atau tidak,  Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Az-Dzariyat : 56 yang bermaskud " Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu". Itulah tujuan penciptaan manusia iaitu yang  pertama sebagai hamba Allah s.w.t, kedua sebagai khalifah di Bumi dan yang ketiga sebagai pemakmur dunia. Tahukan anda apakah yang dimaksudkan dengan ibadah? Di sini, ustaz telah membahagikan ibadah kepada tiga yang utama iaitu 1) Ta'abudi ( asas , ibadah fardhu ), 2) Taqaruddi ( ibadah-ibadah sunat ) dan ke 3) Amal soleh ( yang bersifat umum ). 
 Menurut ustaz, Allah s.w.t juga telah menetapkan PERATURAN CINTA. Kenapa mesti ada peraturan? Konsepnya sama seperi lampu isyarat. Sekiranya lampu merah, pemandu kereta akan automatik berhenti begitulah seterusnya jika lampu kuning atau pun hijau. Cuba bayangkan apabila pemandu tidak mengikut peraturan, sudah pasti kemalangan atau perlanggaran akan berlaku. Itulah juga implikasi yang akan berlaku bagi mereka yang melanggar PERATURAN CINTA. Apa yang ada dalam PERATURAN CINTA???  Bagi yang ingin bercinta, dan bagi yang sedang bercinta, marilah semak semula, adakah ia mengikut PERATURAN CINTA ini? Pertamanya pastikan cinta anda atau sesiapa sahaja dasarnya adalah cinta Allah s.w.t. Sesiapa yang paling tinggi imannya, adalah paling tinggi cintanya pada Allah s.w.t. Yang kedua, pastikan cinta anda tidak mengatasi cinta Allah s.w.t dan yang ketiga pastikan cinta anda mengikut syariat dan lunas-lunas islam. InsyaAllah, penulis yakin seratus peratus cinta anda cinta yang paling dinantikan olehNYA. Percayalah!!!

   Penulis juga turut terkesan dengan kata-kata ustaz berulang kali bahawa ' semakin banyak kemanisan yang anda ambil, yang anda teguk sebelum perkahwinan, maka selepas perkahwinan akan hambar perkahwinan itu.'  Penulis sangat bersetuju kerana permulaan atau muqaddimah yang tidak cantik, akan memberi natijah yang tidak cantik atau buruk juga. Sebab itu perlu dan pentingnya supaya cinta itu dikawal agar tidak merebak dan menjadi barah yang akan memakan hati dan jiwa yang lemah dan goyah imannya apabila dicucuk oleh syaitan hatta nafsu. Tidak dinafikan yang golongan remaja sering menjadi sasaran cinta buta, cinta monyet, pelbagai jenis cinta. Mengapakah mereka menjadi sasaran? Dan siapakah REMAJA sebenarnya? REMAJA adalah transisi atau perubahan  dari alam kanak-kanak ke alam dewasa yang sentiasa tercari-cari. Yang tidak stabil emosi, jiwa dan fikiran, dinamik , bertenaga dan suka mencuba sesuatu yang baru. Mereka sangat mentah dan belum matang dalam membuat keputusan, justeru mudah diganggu gugat dan melatah apabila disua sesuatu yang menyeronokkan. Termasuklah hembusan cinta yang tidak pernah berhenti berusaha untuk mencari mangsa-mangsa yang dalam keresahan dan kesunyian jiwanya dari cinta Ilahi. Kepada golongan REMAJA, cintailah cita-cita terlebih dahulu sebelum mengejar cinta yang tidak pasti dan merintihlah dengan Asma'NYA kerana Allah s.w.t sentiasa mencintai manusia. Belajarlah menggauli orang yang lebih tua kerana remaja yang berfikiran seperti orang tua adalah REMAJA YANG TERBAIK.


  Apakah pula tanda-tanda cinta pada ALLAH S.W.T?
1) Gembira untuk bertemu ( solat , mati )
2) Gembira apabila disuruh ( menutup aurat )
3) Dukacita apabila berdosa ( terlanggar perintah )

CARILAH DAN CINTAILAH PENCIPTA CINTA TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENCINTAI PENCIPTAAN PENCIPTA.


Bicara Tentang Cinta

    Cinta lagi...Tapi kali ini , penulis telah menghadiri wacana oleh seorang tokoh atau pemilik saifulislam.com yang sangat disegani di kalangan mahasiswa dan mahasiswi masa kini apabila memperkatakan tentang cinta. Sentuhan dan tulisan beliau dalam buku 'the best seller' iaitu ' Aku terima nikahnya' dan ' Bercinta sampai ke syurga' sentiasa menjadi perhatian oleh penggemar dan pengikut setia beliau termasuklah penulis. Yang pasti, setiap tulisan beliau sebenarnya merupakan sebahagian daripada pengalaman yang telah dialaminya kerana bagi beliau hidup ini lebih bererti dengan MEMBERI. Pengisian dan input mengenai cinta oleh Ustaz Hasrizal dan Ustaz Pahrol Mohd Juoi tidak jauh bezanya, cuma yang beza adalah dari segi penyampaian dan pendekatan yang digunakan dalam memastikan setiap jiwa yang mendengar mendapat apa yang ingin disampaikan. Ustaz lebih banyak menceritakan pengalaman beliau dan membuatkan kami berulang kali ketawa dengan telatah beliau yang cukup selamba, mencuit hati dan 'versatile'.  
     Kebanjiran mahasiswi kali ini sangat mengejutkan penulis. Memang ramai rupanya sangat teruja apabila isu cinta diperkatakan. Muqaddimah yang cukup mudah dan senang difahami apabila ustaz menggunakan konsep memberi dalam erti cinta kali ini. Mengajar kami bahawa MEMBERI itu lebih seronok atau lebih mulia daripada MENERIMA. Macam mana? Mudah sahaja, hanya dengan memberi dengan rasa kasih sayang. Secara tidak langsung dapat mewujudkan cinta luar biasa iaitu cinta yang melahirkan ketaatan. Ketaatan kepada Allah s.w.t, kepada RasulNya, kepada ibu bapa seterusnya sesama mukmin. Di dalam satu hadith Riwayat Al-Bukhari ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda : " Tidak sempurna iman sehingga di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian  manusia." Apakah bukti cinta dan kasih kita kepada Nabi kita Muhammad s.a.w? Tepuklah dada, tanya iman masing-masing. Penulis yakin setiap baris kata dan cerita mengenai baginda s.a.w pasti membuatkan kita berada di sampingnya. Ayuh, sama-sama berusaha mengenali dan mendalami peribadi beliau seperti yang terkandung dalam Al-Quran. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat baginda s.a.w. Sungguh panjang lebar jika membincangka isu cinta ini. Cinta hadir tanpa diminta, tanpa diduga, sungguh sukar menilai dan mentafsir cinta, apatah lagi cinta SANG PENCIPTA. Berebutlah dalam mendapatkan CINTA ILAHI kerna di situlah bermulanya cinta yang sejati lagi hakiki. 

Mari sama-sama hayati lagu KERANA CINTA oleh Inteam dan Mestica

Cinta itu cahaya sanubari, 
kurniaan Tuhan fitrah insani
Dan di mana terciptanya cinta, 
di situ rindu bermula
Cinta itu tidak pernah meminta, 
tetapi memberi sepenuh rela
Rasa bahagia biarpun sengsara,
berkorban segala-gala
Semua kerana cinta, 
yang pahit manis dirasa
Menghibur nestapa, merawat duka, damai di jiwa
Terpadam api benci permusuhan, 
terjalinlah kasih sayang
Begitulah cinta yang diidamkan
tanpa nafsu yang mencemarkan
Dan jangan pula kerana bercinta, 
kita pun leka entah ke mana Dan jangan pula kerana bercinta,
tergadai semua maruah agama
 Cinta yang sejati, 
hanya cintakan Illahi  
Cinta ayah bonda, 
tulus suci selamanya  
Cintakan saudara,  
masa berada hanya sementara  
Cinta sesama insan, 
 suburkan dengan ketakwaan


Wallahu'alam...



Wednesday, February 17, 2010

2 in 1: Muhasabah Cinta + Bicara Tentang Cinta

Bismillahirrahmanirrahim...

           Di atas kesilapan teknikal dan atas kecuaian penulis sendiri, posting terbaru yang bertajuk ' 2 in 1 + Muhasabah Cinta + Bicara Tentang Cinta' yang telah di'publish'kan semalam telah ter'delete'. Sekarang penulis dalam usaha untuk menulis semula topik ini sekiranya masih diberi kekuatan oleh NYA. Ameen.

Thursday, February 4, 2010

Team Building Nisa'

Bismillahirrahmanirrahim...



" Sahabat yang disayangi..
Ikhlas dari naluriku...
Aku rindu jiwa-jiwa yang sering mendidikku, 
berkongsi masalah denganku, berselisih pendapat denganku, 
memujukku, bergurau denganku dan meniup semangat  kepadaku...
Ku mohon padaMU YA ALLAH, 
KAU kuatkanlah ikatan ukhuwah antara jiwa-jiwa kami..
kerana jiwa ini sentiasa menjadikan rindu padaMU tumbuh dalam perjuangan islam...
Ameen Ya Rabb..."


            Kesempatan bersama sahabiah-sahabiah dalam team building sangat bermakna walaupun hanya seketika. Sepatutnya Team Building Nisa' buat kali pertama penulis hadiri ini dijalankan selama 2 hari 1 malam. Tetapi penulis tidak dapat hadir sepenuhnya, hanya separuh hari. Ya, penulis percaya dan berpegang pada dalilNYA..bahawa manusia merancang, Allah swt juga merancang, dan DIA adalah sebaik-baik perancang. Walaupun penulis agak sedikit terkilan, tetapi ia tidak akan mematahkan semangat penulis untuk terus bersama dalam Nisa'. InsyaAllah. Ya Allah! Ya Bariq! Kau aturlah agenda hidupku sesuai dengan agendaMU. Permudahkan lah urusanku..Ya Allah!! Ameen Ya Rabb..
Mungkin pada waktu itu, penulis lebih diperlukan untuk bersama saudara-mara yang sudah lama tidak bertanya khabar. Dan tanggungjawab sebagai seorang anak dan saudara tidak boleh dipandang remeh kerana mereka adalah mad'u-mad'u utama kita. Tambahan pula, makcik penulis sakit pada masa itu. Nak atau taknak, penulis bukan terpaksa menziarahi beliau tetapi atas rasa tanggungjawab dan amanah ibu penulis sendiri sebagai wakil kerana beliau tidak dapat menziarahi adiknya yang sakit. Sudah tentu, penulis merasakan pasti ada sesuatu yang tersirat disebaliknya. Dan DIA MAHA MENGETAHUI.Moga beliau sentiasa di bawah perlindungan Ilahi. Wahai sahabat-sahabatku, penulis mohon sama-sama doakan  kesihatan makcik penulis yang akan menjalani pembedahan pada 22 hb Februari ini. InsyaAllah.

> Ukhuwah yang terbina <
Penulis dapat merasakan ikatan yang dibina berlandaskan satu fikrah dan satu matlamat amat penting bagi memastikan kelangsungan gerak kerja yang akan dilaksanakan. Masing-masing datang dengan satu hajat yang sama walaupun mempunyai komitmen lain tidak kira pada keluarga dan sebagainya. Atas dasar amanah dan tautan hati yang ditanam dalam diri  para sahabiah telah menjadikan 'team-building' kali ini dapat dijayakan dengan izinNYA. 
 Memandangkan masih ada di kalangan sahabat  Nisa' yang belum kenal sepenuhnya sahabat-sahabat Nisa' yang lain termasuklah penulis, sesi 'ice breaking' yang sangat mudah dan berkesan telah dijalankan sesama kami. Bermulalah episod perjalanan para Nisa' yang sentiasa bertungkus lumus untuk memastikan kawasan masing-masing tidak kering dengan ilmu atau aktiviti. Dengan tiupan semangat para syahidah di Palestin membuatkan diri kami terus berfikir dan tertanya-tanya. Di manakah letaknya tanggungjawab para Nisa' selaku generasi muda yang bakal memimpin masyarakat terutamanya bagi jiwa-jiwa anak muda yang sentiasa dahagakan perhatian kalian. Slogan ' connecting youth' sangat sinonim bagi penulis dan bagi sesiapa sahaja yang menjadi sahabat Nisa' kerana di sinilah bermulanya langkah kami untuk masuk ke lapangan masyarakat yang sentiasa keliru dengan pelbagai kerosakan di muka Bumi. 
Walaupun usaha yang dijalankan sedikit, tetapi semangat untuk terus bersama membantu dan memimpin masyarakat kembali kepadaNYA sebenarnya memerlukan jiwa dan hati yang benar-benar patuh serta tunduk pada Ilahi.  Ini kerana, sudah pasti pelbagai masalah dan cabaran akan ditempuhi walau secantik mana perancangan yang telah dibuat.
Penulis teringat kata-kata seorang sahabat, " belajarlah untuk berlapang dada"..InsyaAllah, masalah dapat diatasi dan tidak akan timbul perkara-perkara seperti 'putus asa', 'tension', 'down' dan segala sifat-sifat negatif..Murabbi penulis juga pernah berpesan bahawa dengan kata-kata para ulama' yang berbunyi  'satu huruf yang melekat dalam hati lebih baik daripada 1000 huruf dalam kitab.' Renung-renungkan. Moga lebih ramai lagi para sahabiah yang akan turut serta mengembeling tenaga, idea, masa dan sebagainya demi kemanfaatan sesama muslim . Ameen. Tidak kiralah di mana anda berada atau di dalam apa anda bergerak. Yang penting, pastikan ia selari dengan tuntutan dan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Indahnya ukhuwah, andai tautan hati dibina atas lillahi ta'ala. Allahu Akbar!!! Mana nak cari??



RENUNGAN BERSAMA!!!

Wahai abnaul haraki penegak islam!!!
Rasul bermadah lagi, 1 janji 1 aspirasi..
" Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya." 
Cuma yang belum pasti, adakah kita tinggi peribadi???
Untuk memikul amanah suci!!!
Kita asyik berjaga malam untuk liqa', kerja-kerja jemaahtapi tidak bertahajud..
Kita kuat berjuang, tetapi kurang kita kurang mentadabbur Al-Quran..
Kita banyak berceramah, bercakap tetapi kita kurang berzikir..
Kita kuat berjihad menegakkan islam tetapi kita sendiri kering kontang dengan ilmu..
Kita hanya pandai bercakap tetapi tidak buat..
Kita banyak melakukan maksiat, tetapi kita tidak bertaubat..
Kita hanya pandai amar ma'aruf  tetapi Subuh pun banyak kita lewat..
Kita bercakap soal ikhlas, tetapi riak menguasai diri."
Aduh!!!
Hinanya diri ini..
Adakah aku akan digelar jundi Allah di hadapanNYA, di akhirat kelak..
Takutnya diri ini jika segala pengorbanan yang kulakukan hari ini
akan menjadi debu berterbangan..
Muhasabahlah diri kita..
Sama-sama kita menegur salah silap yang dilakukan..
Jadilah seorang pemimpin yang sufi lagi haraki!!!
Takbir!!!