Bismillahirrahmanirrahim...
Pencerahan yang sangat berguna buat para suami dan isteri. Moga kita sama-sama ambil manfaat agar mahligai rumah tangga yang terbina mendapat keberkatan juga sakinah hingga ke syurga. InshaAllah. Terima kasih juga kepada sahabat dari Alumni FCR yang telah membuat perkongsian ini. Jazakallah...
Syariah Islam telah menetapkan kewajiban bagi suami untuk mendidik (ta’dib) isteri dan anak-anaknya agar taat kepada Allah SWT. Hal ini sesuai firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka." [TMQ At-Tahrim (66): 6].
Suami harus bersungguh-sungguh dalam melakukan ta’dib terhadap isteri dan anak-anak kerana suamilah yang bertanggung jawab dalam membentuk rumah tangga. Jika suami berjaya membentuk isteri dan anak-anaknya sehingga mereka menjadi individu-individu yang berkeperibadian Islam dan bersedia mengharungi kehidupan ini sebagai hamba Allah, maka suami dianggap telah berjaya memikul amanahnya sebagai qawwam (pemimpin) dalam rumah tangga.
Dalam melakukan ta’dib, syariah Islam telah memberikan pengaturan yang sangat jelas. Secara umumnya, banyak nas yang memerintahkan supaya para suami dan orang tua berlaku lemah lembut dalam melakukan ta’dib. Namun, pada masa yang sama, Islam juga memberikan pengaturan dalam bentuk kebolehan untuk memukul “jika memang diperlukan”.
Salah satu dalil tentang kebolehan bagi para suami untuk memukul ketika menta’dib isterinya adalah sepertimana ayat berikut:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ…
“Laki-laki adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Maka wanita solehah adalah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka. Isteri-isteri yang kalian khuatiri melakukan nusyuz maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka”. [TMQ An-Nisa’ (4): 34].
Ayat di atas ini menggambarkan tentang konsep kepemimpinan seorang suami dalam rumah tangga serta ketaatan isteri kepada suami. Ayat tersebut mengatakan bahawa laki-laki adalah pemimpin rumah tangga kerana keutamaannya (sebagai lelaki) dan laki-laki bertanggung jawab dalam memenuhi nafkah isteri serta ahli keluarganya. Isteri yang baik (solehah) adalah isteri yang taat kepada Allah dan memelihara diri (tidak curang, memelihara rahsia dan harta suaminya ketika suaminya tidak ada di rumah). Apabila isteri membangkang (nusyûz) dengan tidak menjaga dirinya daripada melakukan curang, menolak ajakan untuk berjimak (bersetubuh) atau keluar daripada rumah tanpa izin daripada suaminya, maka suami boleh melaksanakan langkah-langkah yang disebutkan iaitu menasihatinya, berpisah daripada tempat tidur, dan jika perlu, memukul untuk menta’dib isterinya.
Islam juga membolehkan melakukan pukulan sebagai ta’dîb terhadap anak. Ibnu Amr bin al-’Ash meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. pernah bersabda:
مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ
“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika tetap enggan mengerjakan solat)”. [HR Abu Dawud dan al-Hakim].
Dalam hadis ini, Rasulullah menggunakan ungkapan muruu (perintahkanlah) untuk anak yang berumur di bawah 10 tahun dan idhribuu (pukullah) untuk yang berumur 10 tahun dan ke atas. Dengan demikian, Rasul membolehkan untuk memukul anak berumur 10 tahun yang tidak mahu solat. Namun, bagi anak yang berusia di bawah 10 tahun, tidak diperkenankan untuk memukulnya. Ini untuk soal solat, apatah lagi dalam masalah-masalah lain selain daripada solat. Kebolehan untuk memukul di sini bukan bererti wajib.
Pukulan Ta’dib: Bukan Keganasan
Memukul isteri atau anak dalam rangka untuk menta’dib tidak boleh diterjemahkan sebagai 'keganasan dalam rumah tangga'. Ini adalah kerana, kekerasan/keganasan adalah suatu bentuk jenayah (jarimah). Pengertian jarimah dalam Islam adalah tindakan melanggar hukum syariah Islam dan ia termasuk dalam kategori kejahatan/maksiat. Kejahatan dalam Islam adalah perbuatan-perbuatan yang tercela (al-qabih), yang juga ditetapkan oleh hukum syariah (dalil syarak), bukan daripada sumber yang lain. Apa-apa yang dianggap sebagai tindakan kejahatan harus disandarkan pada hukum syariah. Kebolehan untuk memukul dalam rangka untuk menta’dib telah dijelaskan dengan dalil yang wadhih (jelas) dan ia tidak termasuk dalam kategori kekerasan/keganasan atau kejahatan.
Secara realitinya, memukul itu kadang-kadang diperlukan dalam rangka menta’dib. Kadangkala dalam membaiki sesuatu kesalahan memerlukan sikap yang tegas. Memang terdapat jenis-jenis manusia yang tidak mahu berubah daripada kesalahannya kecuali apabila dilayan dengan keras. Ada isteri yang tidak mahu mendengar nasihat dan dia tidak mahu kembali (berubah) daripada kesalahannya serta tetap berada dalam keadaan nusyuz. Padahal dengan nasihat suami, seharusnya sudah cukup untuk isteri merasa takut terhadap ancaman Allah atau terhadap kemudaratan akibat ancaman terputusnya nafkah. Sekiranya hajr (pemisahan daripada tempat tidur) dengan maksud suami 'tidak menyentuhnya' supaya isterinya insaf juga tidak membawa apa-apa perubahan pada dirinya, maka pada saat seperti itulah diperlukan cara yang lain untuk memperbetulkannya, iaitu melalui pukulan. Demikian juga terhadap anak, apabila pendidikan tidak mampu lagi diberikan dengan cara memberikan nasihat, arahan, petunjuk, kelembutan ataupun suri teladan, maka dalam keadaan seperti ini kadangkala memerlukan pukulan.
Namun begitu, perlu diberi perhatian bahawa menta’dib isteri dan anak melalui pukulan ini bukanlah sebagai penghinaan ke atas mereka, dan bukan pula sebagai untuk membalas dendam atau untuk menyeksa. Tetapi ia adalah dalam rangka untuk mendidik, memperbaiki dan meluruskan. Pukulan ini disertai dengan rasa kasih sayang sebagai seorang suami kepada isterinya, atau sebagai orang tua kepada anaknya. Dan pukulan ini bukanlah pukulan yang kuat sehingga membuatkan isteri lari daripada suaminya atau sehingga anak menjauhkan diri daripada orang tuanya, kerana ini akan menumbuhkan pula kebencian dan menghapuskan rasa cinta.
Di dalam hukum fikih, ada pukulan yang diistilahkan sebagai dharb mubarrih dan dharb ghairu mubarrih:
1. Dharb mubarrih ialah pukulan yang kuat/keras sehingga dikhuatiri boleh mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mencacatkan anggota tubuh badan. Pukulan seperti ini adalah dilarang dalam syariah dan termasuk sebagai perkara yang diharamkan.
2. Dharb ghairu mubarrih ialah pukulan ringan yang tidak mengalirkan darah serta tidak dikhuatiri akan menimbulkan kebinasaan jiwa atau kecacatan pada tubuh badan, patah tulang dan sebagainya.
Pukulan jenis kedua ini menurut syariah boleh dilakukan kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran syariah, iaitu setelah dilakukan maw’izhah dan hajr (nasihat dan pemisahan tempat tidur). (An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan).
Para fuqaha mengatakan bahawa dharb ghairu mubarrih adalah pukulan yang tidak melukakan isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak meninggalkan parut pada tubuh badannya dan tidak boleh dilakukan pada wajah. Pukulan tersebut juga tidak harus berpusat pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul secara terus-menerus agar tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara fuqaha, ada yang menyatakan bahawa, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh dengan cemeti (cambuk/rotan) dan tongkat.”
Atha’ rahimahullahu berkata: Aku pernah bertanya kepada Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, “Apakah yang dimaksudkan dengan pukulan ghairu al-mubarrih?” Ibnu Abbas ra menjawab, “Memukul dengan siwak/kayu sugi dan yang seumpama dengannya.”
Menolak Tuduhan
Undang-undang Islam terbukti mampu memberikan solusi terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh suami mahupun orang tua dalam rangka melakukan ta’dib. Demikianlah keunggulan syariah yang lahir daripada akidah Islam. Jika syariah Islam ini difahami dan diamalkan dengan bersungguh-sungguh sebagai tanda ketaatan kepada Sang Khaliq, maka akan terurailah semua masalah yang dihadapi oleh manusia.
Adapun tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh golongan liberal bahawa kononnya Islam menggalakkan kekerasan/keganasan dalam rumah tangga adalah jelas tertolak melalui penjelasan dalil dan fakta di atas. Tuduhan-tuduhan tersebut lahir semata-mata disebabkan kebencian mereka terhadap hukum-hakam Islam. Mereka sentiasa berusaha untuk menanamkan prinsip liberal atas nama hak asasi manusia (HAM). Dalam pandangan liberal, jika seseorang isteri menolak untuk melayani suaminya dengan alasan bahawa setiap isteri mempunyai hak atas tubuhnya secara peribadi, maka itu adalah hak isteri yang harus diakui. Suami tidak berhak untuk memaksa apatah lagi menta’dib dengan pukulan. Begitu juga apabila seseorang anak yang sudah baligh tidak mahu melaksanakan perintah agama, maka ia dianggap sebagai 'hak kebebasan' bagi anak dalam membuat pilihan yang sedang mencari jatidirinya sendiri. Orang tua tidak berhak untuk memaksa apatah lagi untuk menta’dibnya dengan pukulan. Pandangan liberal seperti ini sudah semestinya tidak layak untuk diambil dan dijadikan dasar bagi seseorang Muslim. Pada hakikatnya, pandangan golongan liberal ini tidak memiliki landasan berfikir kecuali akal semata-mata. Wallahu a’lam.
Sumber: Al-Wa'ie.
No comments:
Post a Comment