Friday, February 11, 2011

Revolusi Timur Tengah



Bismillahirrahmanirrahim...




Selepas kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia menghalau presiden Zine El Abidine Ben Ali yang telah berkuasa selama 23 tahun, mata dunia kini bertumpu ke Mesir.

Ini berikutan dengan gelombang kebangkitan rakyat di Mesir mendesak Hosni Mubarak yang memerintah negara “firaun” itu semenjak tahun 1981 berundur daripada tampuk kekuasaan. Hosni Mubarak menaiki takhta sebagai presiden Mesir selepas pendahulunya Anwar El Sadat dibunuh. 

protest against hosni mubarak us embassy kuala lumpur protesters fist 1Kemenangan rakyat Tunisia memberikan semangat kepada rakyat Mesir untuk melakukan perkara yang sama. Terdapat analisa yang mengatakan bahawa jika tumbangnya regim Hosni Mubarak, negara-negara Timur Tengah yang lain akan berhadapan dengan perkara yang sama.

Umum mengetahui bahawa di Timur Tengah, kebanyakkan negara-negara Arab di perintah oleh diktator dan raja yang telah lama berkuasa. 

Sudah pasti Israel adalah antara negara yang paling bimbang dengan perkembangan yang berlaku di Mesir kerana regim Hosni Mubarak merupakan sekutu terkuat Israel di Timur Tengah.

Regim Mubarak telah menutup internet daripada digunakan di negara tersebut. Akan tetapi maklumat tentang perkembangan terkini di Mesir tetap dapat di kongsi di seluruh dunia. Solidariti masyarakat antarabangsa merealisasikan perkara ini.

NONELaman-laman sosial seperti Youtube, Facebook dan Twitter dibanjiri dengan perkembangan terkini yang berlaku di Kaherah. Tidak kurang juga dengan mesej-mesej solidariti dari rakyat seluruh dunia yang menyokong perjuangan rakyat Mesir untuk menumbangkan diktator Hosni Mubarak.

Selain daripada menutup penggunaan internet di Mesir, regim Mubarak turut menahan wartawan antarabangsa. Berberapa orang wartawan Al-Jazeera antara yang ditahan. Kamera video mereka turut di rampas.

Rakyat Malaysia tidak ketinggalan untuk bersama gelombang dunia di laman Facebook dan Twitter untuk menyokong gelombang kebangkitan di Mesir. Tidak kurang juga ahli keluarga di Malaysia yang bimbang dengan keselamatan pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.

Diberitakan terdapat lebih kurang 11, 300 orang pelajar serta rakyat Malaysia yang berada di Mesir. Timbalan Menteri Luar A Kohilan Pillay akan berlepas ke Mesir bersama dengan sepasukan lima orang yang akan menilai situasi dan keperluan untuk memindahkan rakyat Malaysia dari negara tersebut.

Dari penilaian tersebut, mereka akan memutuskan sama ada rakyat Malaysia akan dipindahkan ke negara yang berdekatan seperti Arab Saudi dan Libya ataupun dibawa pulang terus ke Malaysia.

Mampukah revolusi tumbangkan Mubarak?

Mesir mempunyai sejarah pernah berlakunya revolusi. Pada tahun 1952, revolusi yang dipimpin oleh tentera telah berjaya menamatkan riwayat sistem monarki di negara tersebut.

Jadi tidak mustahil revolusi kali ini akan berjaya menamatkan riwayat pemerintahan Hosni Mubarak. Sehingga saat artikel ini di tulis, Hosni Mubarak masih lagi berdegil tidak mahu turun dari takhta.

Perangai Hosni Mubarak pada ketika ini tidak ubah seperti perangai Shah Reza Pahlavi, Ferdinand Marcos dan Soeharto di saat-saat akhir kekuasaan. Degil dan tidak mahu melayan tuntutan rakyat jelata.

NONEShah Reza Pahlavi, Ferdinand Marcos dan Soeharto kesemuanya menggunakan tentera untuk mempertahankan regim. Akan tetapi gelombang kebangkitan rakyat akhirnya menyebabkan golongan tentera berpecah dua kepada yang menyokong regim dan menyokong rakyat.

Asakan yang kuat dari rakyat dan perpecahan golongan tenteralah yang menyebabkan berlakunya revolusi rakyat. Sama seperti di Mesir, akan tiba masanya nanti apabila golongan tentera berpecah dan sebahagiannya bersama rakyat untuk melawan regim.

Kebangkitan rakyat di Mesir telah menyaksikan darah bersimbah ke bumi. Setakat ini lebih dari 125 nyawa demonstran telah melayang. Kematian para demonstran tidak melemahkan semangat demonstran untuk terus berjuang.

Malahan kematian para perajurit revolusi telah menaikkan semangat rakyat Mesir untuk berjuang bagi memastikan "firaun” zaman moden, Hosni Mubarak dapat ditumbangkan.

Berapa lama lagikah Hosni Mubarak mampu bertahan? Apakah yang dibisikkan oleh penasihat-penasihat yang paling beliau percayai? Tidak adakah penasihat yang berani mengatakan “sekarang telah tiba masanya bagi anda berundur”?

Domino di Timur Tengah?

Pada ketika rakyat Mesir terus menerus berjuang melawan pemerintah Hosni Mubarak, pemerintah dan Raja di negara-negara Timur Tengah yang lain berada di dalam kebimbangan.

Mungkin ada yang mula menghantar harta dan wang simpanan mereka ke luar negara. Mereka pasti sedar bahawa tiada kerajaan atau pemerintahan yang mampu kekal selamanya.

Apakah “Teori Domino” bakal berlaku di Timur Tengah? Yang palingmenarik adalah sikap Amerika Syarikat yang berubah seperti lalang ditiup angin. Seluruh dunia mengetahui bahawa Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah merupakan sekutu rapat Hosni Mubarak.

barack obama visits egyptHari ini apabila kebangkitan rakyat Mesir tidak dapat dihentikan, kenyataan daripada Amerika Syarikat berhubung dengan Mesir berubah. Sekarang Amerika Syarikat telah mula bercakap soal pemerintahan transisi di Mesir yang lebih demokratik.

Jika Amerika Syarikat benar-benar mahukan demokrasi di Timur Tengah, mengapa selama ini mereka hanya membisu? Mengapa pula mereka tidak pernah berkata apa-apa mengenai kerajaan Saud di Arab Saudi? Apakah ada demokrasi dan hak asasi manusia di Arab Saudi?

Jika benar-benar teori domino bakal berlaku di Timur Tengah selepas regim Hosni Mubarak jatuh, sinar dan harapan baru akan muncul di Timur Tengah. Pada ketika itu, dunia bakal menyaksikan Timur Tengah yang baru bakal muncul.

Masih belum kedengaran dari kerajaan Malaysia berkenaan dengan kebangkitan rakyat di Mesir selain dari usaha untuk menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di sana.

Kepada pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Mesir, sebelum anda dihantar pulang, saksikanlah sejarah besar yang berlaku di negara tersebut. 

Sebagai mahasiswa menjadi tanggungjawab anda untuk peka kepada keadaan sekeliling. Pelajarilah bagaimana dan mengapa rakyat Mesir sanggup mengorbankan nyawa untuk revolusi!





Sumber : Amin Iskandar dalam Malaysiakini 6 Feb 2011





No comments:

Post a Comment