Tuesday, October 27, 2009

Iklan : Yassin Ajaib

Bismillahirrahmanirrahim...

Surah Yassin mempunyai banyak fadhilat seperti mana yang telah disebut oleh baginda Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam. 
" Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati Al-Quran ialah Yassin. Sesiapa yang membaca Surah Yassin, nescaya Allah swt menuliskan pahalanya seperti pahala membaca Al-Quran sebanyak 10 kali."

Hari ini, penulis ingin memperkenalkan sebuah Yassin ajaib...Mesti ramai di antara pembaca yang tertanya-tanya apa ajaibnya Yassin yang penulis ingin sampaikan.
Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam sendiri telah bersabda : " Bacalah surah Yassin, kerana ia mengandungi keberkatan..." iaitu:
  1. Apabila orang yang lapar membaca Yassin, boleh kenyang.
  2. Jika orang tiada pakaian, boleh pakaian.
  3. Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
  4. Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
  5. Jika terpenjara akan dibebaskan.
  6. Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
  7. Jika tersesat akan menjumpai jalan pulang semula.
  8. Jika dibaca pada orang yang telah meninggal dunia, Allah SubhanaAllah akan meringankan seksaNya.
  9. Jika dibaca pada orang yang sakit akan terhindar penyakitnya.
  10. Jika orang yang dahaga yang membacanya, akan hilang hausnya.
Sebenarnya, penulis sedang rangka mempromosi surah Yassin yang sangat 'special'. Penulis yakin dan  pasti bagi sesiapa yang membelinya tidak akan rugi apatah lagi menyesal. Ini kerana di dalamnya terdapat huruf-huruf yang telah diwarnakan mengikut tajwid dan cara pembacaannya. Jadi, ini akan memudahkan dan melancarkan pembacaan bagi sesiapa yang mempunyai masalah tajwid. Secara tidak langsung, kita dapat mempelajari dan memperbaiki bacaan kita. InshaAllah. 
Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam bersabda: " Dan orang yang membaca  Al-Quran tetapi sulit/payah hingga merangkak-rangkak, dia dapat dua pahala. Yang pertama, dia dapat pahala sebab hendak baca Al-Quran. Dan yang keduanya ialah kerana walaupun susah, dia tetap ingin membacanya."



                          contoh design kulit surah Yassin....( anda pun boleh design sendiri )



Ini design yang dijual...hanya RM12 sahaja.

contoh bahagian dalam surah Yassin...sangat menarik dan mudah dibaca.
( maaf gambar kurang jelas dan tak stabil )


Sekali lagi, mari ramai-ramai dapatkan edisi khas Yassin Ajaib ini dengan hanya harga RM12 seunit. Yang istimewanya, anda juga boleh mencipta 'design' kulit surah Yassin sendiri. Bagi yang ingin menempah dengan jumlah yang banyak, harga boleh dirunding.
Antara isi kandungan dalam surah Yassin ini:
  • Tahlil dan doa
  • selawat dan salam
  • doa-doa pilihan seperti doa Nabi Adam a.s,
  • doa mohon keampunan
  • doa tawakkal & mohon taufiq
  • Yassin malam nisfu Sya'aban
  • Doa akhir dan awal tahun hijrah
  • doa memohon kebaikan
  • selawat Tafrijiyyah
  • doa Nabi Yunus 'a.s
  • Saiyyidul Istighfar.
Sebenarnya, banyak sekali firman Allah SubhanaAllah ta'ala dan hadith-hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam tentang kelebihan membaca Al-Quran, dan juga surah Yassin.

Penulis menyeru diri penulis dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama pertingkatkan amalan tadabbur, tilawah, tasmi' dan menghafal ayat-ayat suci ini agar menjadi penerang di dalam kubur kelak. Ameen.
 

 Untuk maklumat lanjut, sahabat-sahabat boleh menghubungi saudari Nor Kamariyah Hamzah: 0127840181 atau menghubungi penulis sendiri di alamat emel nzinnirah@alwahy.com.
Boleh juga layari laman web www.abadsinergi.com.

Buku Yassin ini juga boleh dijadikan buah tangan dan hadiah. Harap maklum. 


 

Monday, October 26, 2009

Rumah sewa baru



Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini, penulis agak keletihan sampai tertidur sekejap seusai solat maghrib tadi. Ini kerana hampir separuh hari penulis bersama 3 orang sahabat lagi berhempas pulas membersihkan rumah sewa baru yang bakal kami duduki awal November nanti. InshaAllah. Alhamdulillah, kerja pembersihan, mengecat dan membasuh rumah turut dibantu oleh 3 orang lagi sahabat yang lain. Jadi, kerja kami menjadi lebih mudah dan dapat diselesaikan dengan lebih cepat. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Hidup dalam bermasyarakat kenalah saling bantu membantu agar kehidupan lebih harmoni dan sejahtera.


Allah swt juga amat suka pada manusia yang saling tolong menolong seperti mana firmanNya dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: "...Dan tolong menolonglah kamu dalam  (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah sangat berat seksa-Nya..."


Merujuk kepada tafsir Ibnu Katsir, makna umum ayat ini ialah Allah swt memerintahkan semua hamba-Nya agar sentiasa tolong menolong dalam melakukan kebaikan-kebaikan yang termasuk kategori Al-Birr dan mencegah dari terjadinya kemungkaran sebagai realisasi dari taqwa. Sebaliknya Allah swt melarang segala jenis perbuatan batil yang melahirkan dosa dan permusuhan.
Sikap tolong menolong ini juga sama dengan konsep 'ta'awun' yang mana telah digariskan oleh Imam Syahid Al-Banna. Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya juga ada menyebut bahawa bentuk ta'awun secara aplikasi biasanya terdapat beberapa bentuk. Di antaranya ialah seorang alim boleh membantu manusia dengan ilmunya, seorang yang kaya boleh membantu orang lain dengan hartanya, seorang yang berani membantu dengan keberaniannya berjuang di jalan Allah swt dan sebagainya. Oleh itu, setiap manusia boleh membantu orang lain mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Justeru, marilah kita merebut peluang untuk membantu orang lain.

InshaAllah, apabila kita mempermudahkan urusan orang lain ia sebenarnya juga adalah bentuk sedekah. Bukan hanya menderma dikira sedekah, tetapi menjaga kesihatan diri sendiri juga dianggap sedekah pada diri sendiri. Apatah lagi apabila kita membantu menyelesaikan masalah orang lain. Yang pasti, biarlah kita menolong ikhlas kerana Allah swt bukan kerana mengharapkan balasan ataupun riak. Nauzubillahi min zalik. 

Dalam hal ini juga, kita tidak boleh memilih pangkat, darjat dan agama seseorang apabila ingin menghulurkan bantuan. Bantulah sesiapa yang memerlukan kerana itu akhlak yang diajar oleh baginda Rasulullah sallallahu alayhi wa salam.


Penulis amat gembira sekiranya kita sebagai umat islam saling tolong menolong dalam melaksanakan amal ma'aruf nahi mungkar bukan hanya meletakkan tugas itu di bahu para pendakwah sahaja tetapi tugas di bahu masing-masing.
Moga-moga sikap tolong menolong yang disemai dalam diri setiap muslim akan mewujudkan sebuah ikatan ukhuwwah islamiyyah yang utuh. Ameen.

" ...Sesungguhnya mukmin itu bersaudara..." ( Al-Hujurat : 10 )





Saturday, October 24, 2009

Kecewa....Tahun ni banyak gagal...

Bismillahirrahmanirrahim...


" Orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa muhasabah diri dan beramal untuk kehidupan selepas mati, sedangkan orang yang lemah adalah orang yang mengikut hawa nafsu, berangan-angan terhadap Allah swt." ( Riwayat al-Tirmizi no. 2459 )

Kebetulan petang tadi, penulis berkesempatan ber'ym' dengan salah seorang peserta program Kem Remaja Soleh (KReS) yang dijalankan pada bulan Jun yang lalu. Alhamdulillah, kami masih berhubungan  kerana peserta merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik beradik yang sentiasa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari kakak  dan abang yang lebih berusia darinya.Tambahan pula, peserta masih muda dan masih bersekolah di Tingkatan dua. Perkenalan sebagai fasilitator semasa program sebenarnya telah mengikat silaturrahim antara penulis dengan peserta dan adik keduanya.

InshaAllah, penulis akan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk membimbing adik-adik ini selagi termampu. Moga Allah swt membantu dan mempermudahkan urusan penulis. Sebagai seorang kakak, sudah pasti penulis inginkan yang terbaik untuk adik-adik kerana mereka masih mentah dalam kehidupan yang penuh tipu daya.  " Tidaklah kehidupan  dunia ini melainkan kemewahan yang memperdayakan..." ( Al-Imran: 185 ). Justeru, benteng akidah dan iman yang mantap perlu dipasak di dalam diri mereka supaya dapat menepis segala bentuk ancaman dan cabaran yang mendatang.

Tiba-tiba peserta bertanya pada penulis : "Kak, suka Matematik tak?". Matematik adalah subjek kegemaran penulis. Lalu penulis pun menawab :" Akak suka sangat Matematik. Kenapa dik?"  Kata peserta :" Saya gagal Matematik untuk peperiksaan akhir tahun ni."  Penulis pun berkata : " Gagal sekali tak bermakna gagal selama-lamanya. Failure is the road to success. Jadikan kegagalan sebagai cabaran untuk mencapai kejayaan." Tapi peserta masih memberi jawapan yang negatif, " Tapi tahun ni saya dah banyak kali gagal dalam Matematik." Penulis dapat menangkap kekecewaan yang dirasai oleh peserta apabila dia mengeluh banyak kali gagal untuk subjek Matematik tahun ini. Penulis terus bertanya kenapa dia boleh gagal dan apakah masalah yang dihadapi olehnya.  Hasil perkongsian dan luahan bersama peserta ini, penulis boleh membuat kesimpulan yang  sebenarnya peserta tidak minat mata pelajaran Matematik kerana menyebabkan kepalanya pening apabila mula mengira. Tambahan pula, dia tidak suka cara cikgu Matematik yang mengajar. Sebab itu banyak kali dia gagal dalam peperiksaan. Menurut peserta, dia lebih suka mata pelajaran yang memerlukan dia menghafal dan mengingat. 


Allah swt telah berfirman: "...dan boleh jadi kamu benci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu; Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." ( Surah Al-Baqarah:216 )

Manusia rambut sama hitam, tapi hati berbeza. Begitu juga dengan minat, bakat dan kemahiran yang dimiliki. Ada pelajar yang minat mengira, tetapi tak minat menghafal dan sebaliknya. Minat atau tidak, suka atau tidak, nak atau tidak, apabila bergelar pelajar sudah tentu mereka tidak boleh lari daripada sistem pendidikan di Malaysia yang memerlukan mereka mempelajari subjek dan silibus yang telah ditetapkan. Tetapi ketahuilah, setiap di antara kita pasti ada kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Justeru, manfaatkan ia ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah.


" Dipersilakan dengan ceria kepada penuntut ilmu, sesungguhnya penuntut ilmu itu diselubungi oleh para malaikat sehingga bersusun sebahagian ke atas sebahagian yang lain, sehingga sampai ke langit dunia lantaran cinta mereka dengan apa yang dituntut..." ( Hadith Riwayat Imam Ahmad, Al-Tabrani & Al-Hakim ).

Menurut pensyarah penulis, pada zaman dahulu ilmu adalah hak setiap manusia. Tetapi kini, ilmu perlu dibayar di mana setiap kelas atau kuliah yang dihadiri dikenakan yuran.  Betapa tingginya nilai ilmu sehingga perlu dibayar. Sistem pendidikan negara kita adalah cermin kepada sistem pendidikan British yang mana ilmu diperdagangkan, manakala agama dan sains dipisahkan. Padahal kedua-duanya saling melengkapi, dengan adanya agama, wujudnya sains dan teknologi. Ilmu yang sebenar adalah yang akan membawa manusia menuju kepada Yang Esa. Bukan hanya ilmu yang digunakan sebagai alat untuk menggapai kejayaan semata-mata tanpa dimanfaatkan di dalam kehidupan kelak. Berapa ramai manusia yang 'genius' di luar sana yang kesudahan hidupnya amat menyedihkan. Realiti sekarang ramai para pelajar yang belajar semata-mata untuk lulus dalam peperiksaan. Belajar supaya dapat jawab kertas soalan, bukan untuk mendapatkan 'value' ilmu itu sendiri. Penulis juga melaluinya bila mana tidak dapat mengaplikasikan teori ilmu yang dipelajari dalam kehidupan. Memang sangat merugikan. Sesungguhnya amal yang baik adalah ilmu yang dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat. 
Wahai adik-adikku, ilmu adalah anugerah dan harta yang tidak ternilai. Tanpa ilmu, manusia itu buta, tidak mampu mengenal dunia mahupun akhirat. Sematlah dalam dirimu bahawa ilmu yang dipelajari kerana Allah swt ( Lillahi ta'ala ). InshaAllah, kelak ia merupakan ibadah yang akan membawamu menuju ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Ameen.












Wednesday, October 21, 2009

Kenapa sebenarnya aku belajar agama?

  Bismillahirrahmanirrahim...





“Maulana” adalah satu panggilan di Pakistan . Dalam bahasa kita “ustaz”. Maulana Ilyas semasa hidupnya begitu rungsing terhadap apa yang telah melanda umat Islam kini terutama di negaranya( India ). ' Islam hanya tinggal nama'… seperti dalam hadis Nabi Muhammad sollaAllhu alaihi wasalam. Beliau telah buka satu madrasah agama.. Tapi ilmu hanya tinggal teori dalam kitab.. tidak diamalkan,,pendek cerita ,, dialah yang telah menghidupkan kembali usaha dakwah yang telah lama ditinggalkan ini.


Kalau ada baju raya,, selepas itu simpan dalam almari setahun,,, tak pakai. Tahun depan, kalau kita pakai balik baju tu mesti orang kata kita pakai baju baru. Begitu juga dengan dakwah ni. Bila dihidupkan semula, ramai orang kata kita buat yang sesuatu baru… tapi yang pentingnya dakwah ni kerja semua orang Islam.
 
Kita belajar ni bukan kerana nakkan dunia, nakkan nama, glamour, jawatan dan lain-lain. Sudah banyak orang belajar agama, ilmu telah berkembang, tapi masyarakat masih tak berubah. Kita ada misi tersendiri. Kita nak jadi orang-orang yang betul- betul ikhlas pertahankan agama. Hari ni ada banyak program-program dilakukan untuk islahkan umat ini.Bermacam-macam cara tapi hasilnya menghampakan,, ada orang kata umat ni boleh diislahkan dengan berzikir, asingkan diri, pisahkan dari masyarakat. Tapi semua ni ditolak oleh Imam Ghazali. Kata Imam Malik: "Bahagian akhir umat ini hanya boleh diislahkan dengan cara  yang mana umat terdahulu diislahkan yakni dakwah."


Ada orang kata kita dah tak boleh ikut agama zaman Nabi,, sebab  sekarang zaman moden,, dah tak sesuai lagi,, ASTAGHIRULLAH,,


    Mereka macam tak pernah baca hadis ; “ sebaik-baik kurun adalah zamanku”.


Allah dah kata, "Islam ni dah lengkap.Tak perlu tambah-tambah." Mereka nak agama ikut rentak zaman. Salah tu. Sepatutnya zaman kena ikut agama. Memang kalau nak maju dalam agama, kita kena ikut cara orang-orang dulu,, zaman-zaman nabi dan para sahabat. Mereka lah orang yang paling maju dalam agama. Hari ni kita nak lawan orang kafir dari segi kemajuan,, sampai kiamat tak boleh! Kan Allah dah kata, dunia ni penjara bagi orang mukmin syurga bagi orang kafir,, orang yahudi sekarang tengah gelak tengok kebodohan orang Islam. Sistem pembelajaran hari ni semua diatur orang yahudi,,bersijil dan dihadkan.
 
     Ramai orang belajar agama bukan sebab nak pertahankan agama, tapi untuk “benda lain”. Setiap benda yang kita buat ada tujuannya,,matlamatnya. Dulu, matlamat orang belajar agama untuk pertahankan agama. Orang yahudi risau. Jadi mereka “cipta” matlamat baru untuk umat Islam,,sijil,,pangkat dan sebagainya. Jadi, orang pun belajar untuk dapatkan benda-benda ni. Bila dah dapat, mereka puas hati. Dah tak nak belajar lagi. Sedangkan kita kena belajar sampai liang lahad. Maksudnya kita tak boleh kata kita dah pandai sekalipun kita dah habis belajar,,dan tak kisah apa yang terjadi pada masyarakat,,janji  perut kenyang,,tidur lena,,, apa nak jadi pada orang lain dibiarkan. Sedangkan tanggungjawab “ulamak” adalah berat,,akan disoal diakhirat kelak.
 
     Kesimpulannya, kita kena betulkan niat kita dari sekarang,,tepuk dada Tanya iman.,, Kenapa sebenarnya aku belajar agama? Jawapannya ada pada diri sendiri,, macam mana? Cuba bagi pendapat.


 Dari ; Mohd Ashraf Osman ( bakal suami kakak penulis ) InshaAllah...


Monday, October 19, 2009

Khas buat serikandisyurga.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim...




Di dalam syurga nanti , para bidadari akan akan saling berpegangan tangan sambil menyanyi dengan suara yang merdu sekali. Mereka akan berkata: kami adalah gadis-gadis yang sentiasa redha, kami tak akan marah untuk selama-lamanya, kami adalah gadis-gadis yang kekal, tak akan mati untuk selama-lamanya, kami adalah gadis-gadis yang tak akan habis nikmatnya, kami adalah gadis-gadis yang cantik, kami akan menyayangi suami-suami kami...
Kemudian, ucapan ini akan digari oleh wanita-wanita syurga yang berasal dari dunia...Lantas mereka menjawab : 
" Kami pernah bersolat, tetapi kamu tidak pernah!,kami pernah berpuasa, tetapi kamu tidak pernah!, kami pernah berwudhuk, tetapi kamu tidak pernah!, kami pernah bersedekah, tetapi kamu tidak pernah!. Maka bidadari syurga akan kalah.

...BETAPA HEBATNYA KEDUDUKAN WANITA SOLEHAH...

   Diriwayatkan bahawa, sekiranya  bidadari syurga menghulurkan jari kelingkingnya ke dunia, semua lelaki akan mati gila bayang...sekiranya mereka  meludah ke lautan, seluruh laut akan menjadi manis, mereka akan memakai pakaian yang cantik, 70 lapis! Namun masih boleh dilihat hati mereka ditulis nama kekasih (suami) mereka. Tapi menurut ulama', wanita solehah adalah 70 kali ganda cantiknya di dalam syurga nanti.
Wallahu'alam...


ainul_qolbicairo86@yahoo.com.my


Selamat Pengantin Baru Kak Faridah...

Bismillahirrahmanirrahim...


Mabruk ! Tahniah ! Congratulation ! buat Kak Faridah dan suami kerana telah selamat mendirikan masjid. Moga-moga mahligai yang dibina terus berkekalan hingga ke akhir hayat, menjadi isteri yang solehah seterusnya dapat membina keluarga sakinah.Ameen.

Penulis tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis walimah Kak Faridah sekeluarga kerana mempunyai taklifan yang perlu diutamakan dahulu. Walaubagaimanapun penulis mendoakan semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan urusan. Rabbuna Sahl.


Alhamdulillah sepanjang perkenalan yang singkat dengan Kak Faridah, kemesraan dan keramahan beliau telah membuatkan ikatan ukhuwah antara kami sangat akrab. Kak Faridah memang tidak lokek dengan senyuman malah sentiasa memjadi tempat rujukan adik-adik untuk mendapatkan ilmu. Sesungguhnya ikatan yang terbina akan diredhai oleh Allah swt bilamana kita menyayangi sahabat kita melebihi dari diri sendiri. InshaAllah.


Penulis rasa bertuah dan bersyukur kerana ditakdirkan Allah swt untuk mengenali Kak Faridah kerana banyak perkara yang penulis belajar daripadanya. Perwatakan yang 'simple' dan bijak mengeluarkan pendapat sangat menarik hati penulis untuk mengenali beliau dengan lebih dekat. Moga tautan hati antara kita berpanjangan dan mendapat redhaNya. Ameen.


' Seorang sahabat yang baik mampu mencerahkan siang yang mendung dan mampu menyinari malam yang kelam kerana sahabat itu bagaikan permata yang wujud di dalam tanah yang gelap tetapi tinggi nila sebenarnya di muka bumi. Moga hati kita terikat dengan ukhuwah islamiyyah.'


Khas buat dirimu yang bergelar isteri:


Satu kisah diceritakan, seorang lelaki hendak keluar dari rumah lalu berjanji kepada isterinya supaya tidak turun dari rumahnya di bahagian atas ke bawah. Padahal ayah si isteri sedang sakit di bawah. Si isteri menyampaikan utusan kepada Rasulullah saw memohon izin untuk turun menziarahi ayahnya. Rasulullah saw berkata: " Taatilah suamimu!". Sehingga ayahnya meninggal. Maka, dia menyampaikan lagi utusannya kepada Rasulullah saw untuk menziarahi ayahnya. Rasulullah saw mengatakan: "Taatilah suamimu." Akhirnya, ayah si isteri telah meninggal dunia dan Rasulullah saw menyampaikan utusannya kepada perempuan itu dan mengkhabarkan kepadanya bahawa ayahnya telah mendapat keampunan dari Allah swt kerana ketaatannya kepada suaminya. Subhanallah !!!


Rasulullah saw bersabda : " Manakala seorang perempuan telah solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga farajnya dan mentaati suaminya. Masuklah dia ke syurga TuhanNya..."
Rasulullah saw juga bersabda : 
" Aku melihat isi neraka ternyata kebanyakkan penghuninya adalah perempuan." Kami bertanya: " Mengapa wahai Rasulullah?". Baginda berkata : " Mereka banyak bersumpah dan meremehkan suami yang miskin."

Dari riwayat lain: " Aku melihat syurga, ternyata sedikit sekali perempuan." Aku bertanya: " Di manakah perempuan?" Baginda menjawab : " Mereka sibuk dengan arak, emas dan za'farah (perfume).

Aishah ra berkata : "Seorang gadis datang kepada Rasulullah saw, dia berkata : " Ya Rasulullah, aku seorang gadis yang telah dilamar. Namun aku tidak suka berkahwin. Maka apakah kewajipan isteri terhadap suami?" Rasulullah saw bersabda : "Kalau dari hujung rambutnya sampai hujung kakinya penuh nanah, lalu kamu menyikatnya, itupun belum cukup kesyukuranmu kepadanya." Gadis itu berkata: " Aku tidak akan berkahwin!" Rasulullah saw berkata : " Kahwinlah, itu lebih baik."


Sedikit bingkisan buat dirimu sang suami:

Kewajipan seorang suami kepada isteri antara lainnya ialah menggaulinya dengan baik dan menahan diri atas tingkah laku suami yang kadang-kadang menyakitkan kerana kependekkan akal si isteri. 

Allah swt berfirman : " Dan pergaulilah mereka dengan makruf..." ( An-Nisa' : 19 )

Rasulullah saw bersabda : " Siapa yang sabar atas keburukan akhlak isterinya, Allah swt memberinya pahala seperti bala yang telah diberikan Nabi Ayub as. Dan siapa yang sabar atas keburukan akhlak suaminya, Allah swt memberinya seperti pahala Asiah, isteri Firaun."

Wasiat baginda Rasulullah saw yang terakhir sekali ada 3 perkara. Baginda bersabda :
" Solat, solat. Dan janganlah kamu bebani hambamu dengan sesuatu di luar kemampuan mereka, dan takutlah kepada Allah swt dalam hal wanita. Mereka adalah para tawanan ditanganmu.  Kau ambillah mereka dengan amanat Allah swt dan aku minta halal farajnya dengan kalimat Allah swt pula."

Harapan penulis  kepada sahabat-sahabat yang akhir mengakhiri zaman bujang dan dara, persiapkanlah diri kalian dengan bekalan ilmu rumahtangga kerana perkahwinan yang sebenar adalah ibadah kepada Allah swt tanpa berkurang sedikitpun.
' Berkahwin itu ibadah, berusaha untuk berkahwin juga ibadah, yang muktamad di akhir kesimpulan hidup bukanlah hidup untuk membujang , tetapi hidup dalam ibadah. Kerna itu tujuan Dia mencipta kita. Berkahwin adalah satu peringkat hidup untuk menambah fungsi dalam kehidupan. Tanpa berkahwin, kehidupan masih sebuah kehidupan dan tanggungjawab kita adalah untuk berterusan mentaatiNya sama ada dalam perkahwinan atau luar perkahwinan.'


( Kata-kata seorang syeikh Mesir )


Rujukan : Mukashafah Al-Qulub( Imam Al-Ghazali )

 










Friday, October 16, 2009

Malam Simfoni Kesyukuran 2 ...Tribute to Ustaz Asri Hj. Ibrahim...



Bismillahirrahmanirrahim...
  
       " Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka ia sungguh telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang yang memperdayakan." ( Ali-Imran : 185 )


"Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" (An-Nisa': 78)

      Hampir sebulan lebih  Allahyarham Ustaz Asri Hj. Ibrahim telah meninggalkan kita, meninggalkan dunia yang hanya sementara dan yang pasti Allah SWT lebih menyayanginya. Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan pimpinan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) dan Rabbani Productions (M) Sdn Bhd kerana menganjurkan konsert sempena memperingati Allahyarham Ustaz Asri Hj. Ibrahim.

Kebetulan penulis mendengar tentang program tersebut di radio kegemaran penulis iaitu IKIM.fm 'Pilihan Utama.' Dan pada waktu itu adalah Segmen ' Carta Nasyid' yang diterbitkan oleh Deejay Erwan Johari yang sentiasa mendapat tempat di hati pendengar apabila lagu-lagu yang diputarkan sangat 'best'. Manakala artis jemputan pada hari Jumaat itu ialah saudara Suffian (Saujana) dan Amran (Raihan) bersama pengarah program dari UIAM iaitu saudara Nazli. Jadi, penulis terus mengambil keputusan untuk menghadirkan diri ke konsert tersebut pada 13 Oktober yang lalu kerana pada waktu yang sama, penulis juga ingin bertemu dengan sahabat lama yang masih belajar di sana setelah 4 tahun tidak bertemu.

Alhamdulillah, beberapa orang sahabat penulis ingin turut serta ke konsert tersebut dan kami bercadang untuk membuka 'booth' di sana. Memandangkan salah seorang sahabat penulis ditugaskan menjual buku surah Yassin, penulis mula menghubungi urusetia konsert untuk menyewa tapak pada malam tersebut. Seperti yang dirancang, penulis bersama tiga orang lagi sahabat telah bertolak menaiki kereta dari UPM lebih kurang pukul 6.30 petang setelah mengambil barang-barang untuk dijual di kedai PMIUPM. Hampir 1 jam perjalanan, kami tiba agak lewat kerana pusing-pusing mencari dewan utama UIA di mana tempat konsert tersebut berlangsung.

Memang tidak dinafikan, nasyid masih ada tempat di hati pencinta nasyid. InshaAllah. Bagi penulis, tanpa hiburan islam sudah pasti umat islam masa kini lebih terdedah dengan hiburan yang menyeksa telinga, apatah lagi jiwa dan hati manusia. Walaupun nasyid hanya diminati oleh golongan tertentu, penulis yakin dengan lagu dan lirik nasyid yang memuji kebesaran Ilahi boleh melembutkan hati-hati yang keras. Perjuangan pejuang-pejuang nasyid juga tidak boleh dipandang enteng, kerana mereka merupakan duta kepada imej Islam itu sendiri. Sudah tentu setiap gerak geri mereka diperhatikan oleh masyarakat dan juga pihak media.

Justeru, penulis juga bersetuju dengan kata-kata sahabat-sahabat Allahyarham adalah seorang ' pahlawan' dan 'pejuang' nasyid. Suara beliau sangat menikam kalbu sehingga mesej lagu yang disampaikan sentiasa membekas dalam jiwa. Tiba-tiba penulis teringat lagu ' Mana milik kita ' yang sangat bermakna maksudnya.

Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 19 yang bermaksud: "...dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai."

Sebelum ini, penulis pernah bekerjasama dengan Rabbani Productions bersama sahabat-sahabat GAMIS semasa menganjurkan 'Konsert Antara Dunia' ( KAD 09 ) pada awal Ogos yang lalu. Pengalaman yang sekejap bersama arwah memang penulis tidak dapat lupakan. Pertama kali bertemu beliau, penulis dapat menggambarkan bahawa arwah merupakan seorang yang sangat dihormati kerana kepimpinannya dalam bekerja dan bersahabat. Arwah juga sentiasa menjadi tempat rujukan bagi penasyid-penasyid yang lain berdasarkan pengalaman yang dimiliki oleh beliau semenjak zaman Nada Murni lagi.

 

Berbalik pada Malam Simfoni Kesyukuran 2 yang lepas, terdapat juga persembahan dari kumpulan nasyid lain yang turut diundang bagi memeriahkan malam tersebut. Antaranya ialah Raihan, Hijjaz, In-team, Saujana, Far-East, Syifa' dan Rabbani sendiri. Alhamdulillah, dengan tajaan Telekom Malaysia (TM) dan beberapa penaja lain memerlukan penulis dan penonton lain hanya perlu membayar harga tiket sebanyak RM6.00 sahaja. Memang berbaloi.
Sepanjang malam itu, tujuh kumpulan nasyid telah membuat persembahan bagi mengembalikan nostalgia bersama arwah, ia turut diselang selikan dengan tayangan slide mengenai perjalanan arwah dalam industri nasyid itu sendiri.

Selain itu, isteri dan anak-anak arwah juga diraikan dan penyampaian sumbangan kepada ahli keluarga arwah turut dijalankan sebagai tanda penghargaan di atas segala usaha arwah dalam memartabatkan industri nasyid agar dapat diteruskan oleh rakan-rakan seperjuangan yang lain. Sememangnya arwah menjadi 'idola' dan pembakar semangat bagi anak-anak muda yang baru berjinak dalam industri ini.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Moga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Ameen... Yang pergi pasti tak akan kembali. Dan kepada keluarga arwah, redhalah dengan pemergian arwah kerana Allah SWT lebih menyayanginya. Moga terus tabah dan diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. InshaAllah, Allah SWT sentiasa bersama kalian...
" La Tahzan, innallaha ma'ana..."









Tuesday, October 13, 2009

400 Kata-kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H

 Bismillahirrahmanirrahim..



       Kebetulan baru-baru ini penulis berada di kampung, penulis sempat menyelongkar kotak-kotak yang dikargo oleh kakak penulis. Jadi banyaklah kitab-kitab yang penulis dapati beserta buku-buku dan majalah-majalah yang amat berilmiah. Itupun setelah ibu penulis menyusun beberapa buah buku yang ada di dalam rak buku. Jika nak diikutkan, nampak gayanya bertahun la kitab-kitab dan buku-buku tersebut berada dalam kotak tu. Sebabnya adik beradik penulis  tak sanggup nak tengok buku yang begitu banyak. Tak terbaca. InshaAllah, penulis akan pastikan penulis sekeluarga  membacanya seperti mana yang kakak penulis pesan.

Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah Al-'Alaq : 1- 5 yang bermaksud " Bacalah dengan  (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah dan Dia Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajar kepada  manusia apa yang tidak diketahuinya..."

Antara banyak-banyak buku yang penulis jumpa, ada sebuah buku yang amat menarik perhatian penulis. Mungkin kerana kulit buku tersebut berwarna ' pink ' ataupun kerana pengisiannya. InshaAllah, penulis nak kongsikan beberapa kata-kata hikmah yang boleh dijadikan pegangan diri ataupun motivasi. Buku yang bertajuk 400 Kata - Kata Hikmah Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H ditulis oleh Haji Nik Azran Bin Muhamed ; B.A ( Hons ) Universiti Al-Azhar, Mesir. 

Siapa Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H ?
 
      Beliau ialah Ali bin Abi Talib ( nama sebenarnya ialah Abd Manaf ) bin Abdul Muttalib ( nama sebenarnya ialah Syaibah Al Hamd) bin Hasyim ( nama sebenarnya ialah Amru ) bin Abd Manaf ( nama sebenarnya ialah Al-Mughirah ) bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin An-Nadhir bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Madhar bin Nazar bin Ma'ad bin Adnan.

      Beliau merupakan sepupu Rasulullah SAW dan juga menantu Rasulullah SAW kerana telah mengahwini puteri kesayangan baginda SAW iaitu Saidina Fatimah Az Zahra' RA.  Hasil perkongsian hidup mereka berdua, lahir dua orang cucu Rasulullah SAW iaitu Muhammad Al-Hasan RA dan Abdullah Al Hussain RA.
Mengikut pendapat kebanyakan ulama', Saidina Ali Karramallahuwajhah adalah kanak-kanak yang pertama menganut agama Islam iaitu pada hari kedua kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ketika itu, beliau masih berusia 10 tahun.

      Saidina Ali Karramallahuwajhah juga adalah Khalifah Ar-Rasyidin yang keempat dan khalifah pertama daripada keturunan Bani Hasyim. Beliau dilantik sebagai khalifah di Masjid Nabi SAW yang terletak di Madinah sebaik sahaja peristiwa pembunuhan Saidina Uthman RA pada bulan Zulhijjah, tahun 35 hijrah.


.....Beberapa Keistimewaan Saidina Ali Karamallahuwajhah.....

1. Kanak-kanak yang mula-mula sekali memeluk agama Islam. Sebelum itu, belia tidak pernah menyembah berhala walaupun lahir dalam masyarakat Quraisy yang bertuhankan patung berhala. Oleh itu, beliau digelar oleh Allah SWT dengan gelaran ' Karamallahuwajhah' yang bererti ' Allah SWT telah memuliakan wajahnya'.

2. Orang yang pertama memasuki syurga selepas Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud :" Wahai Ali, sesungguhnya engkau adalah orang yang pertama mengetuk pintu syurga, kemudian engkau masuk ke dalamnya tanpa sebarang perhitungan."

3. Mendapat jolokan 'ketua' oleh Rasulullah SAW. Baginda bersabda kepada puterinya Fatimah Az-Zahra'  yang bermaksud : " Suamimu ( Saidina Ali Karamallahuwajhah ) adalah ketua di dunia dan di akhirat."

4. Merupakan sahabat Rasulullah SAW yang paling tinggi tahap keilmuannya sehingga digelar oleh baginda SAW sebagai ' Pintu Ilmu '. Sabda baginda SAW yang bermaksud : " Aku ( Rasulullah SAW ) adalah kota ilmu, manakala Ali adalah pintunya, maka barangsiapa yang mahukan ilmu hendaklah datang melalui pintunya."

5. Saidina Ali Karramallahuwajhah ialah manusia yang paling dikasihi oleh Allah SWT selepas Rasulullah SAW. Diriwayatkan dari Anas bin Malik RA bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW dihadiahkan dua ekor ayam panggang. Lalu Rasulullah SAW meminta supaya orang yang paling dikasihi oleh Allah SWT datang untuk makan bersamanya. Apabila mendengar permintaan baginda SAW, maka datanglah seorang sahabat. Pun begitu, Rasulullah SAW tidak mengizinkannya masuk untuk duduk di samping baginda SAW. Kemudian datang pula Saidina Ali Karramallahuwajhah, lantas baginda SAW mempersilakannya masuk sambil bersabda : Maksudnya: " Makanlah wahai Ali, sesungguhnya engkau adalah makhluk yang paling dikasihi oleh Allah SWT."

Sebenarnya banyak lagi keistimewaan Saidina Ali Karamallahuwajhah yang disebut dalam buku ini, tapi penulis ambil yang terpilih sahaja.
Memandangkan terdapat lebih kurang 400 kata-kata hikmah, penulis hanya kongsikan sebahagian sahaja. Yang selebihnya, sahabat-sahabat boleh dapatkan buku ini di pasaran. Selamat membaca.
  • Perkara yang perlu ada bagi kepimpinan ialah sikap berlapang dada.
  • Orang yang paling bakhil dalam urusan hartanya ialah mereka yang terlalu pemurah dalam menggadaikan maruah dirinya.
  • Orang yang paling jauh bermusafir ialah mereka yang sedang mencari sahabat yang disukainya.
  • Seseoramg hamba itu begitu jauh dari Allah SWT apabila ia mementingkan perut dan tuntutan nafsunya.
  • Jadikanlah umurmu ibarat wang yang diberikan kepadamu. Sekiranya engkau tidak suka apa yang engkau belanjakan hilang begitu sahaja, maka hendaklah engkau tidak menghabiskan umur engkau dengan sia-sia.
  • Orang yang paling bodoh ialah apabila diceritakan sesuatu kepadnya maka dia lupa dan apabila dia bercakap dia gopoh dalam percakapannya dan apabila dia didorong melakukan keburukan maka dia terus melakukan keburukan tersebut.
  • Cabutlah kejahatan daripada dada ( hati ) orang lain dengan cara menanggalkan kejahatan daripada dadamu terlebih dahulu.
  • Menunaikan amanah adalah kunci rezeki.
  • Apabila Allah SWT ingin menimpakan ujian ke atas seseorang hamba berbentuk musuh yang tiada sifat belas kasihan, maka Allah SWT akan mengujinya dengan orang yang hasad dengki.
  • Apabila terlalu banyak jawapan, maka akan hilanglah kebenaran.
  • Apabila Allah SWT ingin menghina seseorang hamba, maka Allah SWT akan mengharamkan ilmu ke atas dirinya.
  • Apabila Allah SWT inginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah SWT akan menyekat dirinya daripada hawa nafsunya dan memisahkan dirinya daripada hatinya. Apabila Allah SWT mahukan kejahatan baginya, maka Allah SWT akan menyerahkan kejahatan tersebut kepada dirinya.
  • Apabila engkau tidak mampu memberi balasan yang setimpal, maka hendaklah engkau memanjangkan lidah engkau dengan mengucapkan terima kasih.
  • Serendah-rendah ilmu ialah apa yang terbit dari lidah, manakala setinggi-tinggi ilmu ialah apa yang zahir dari anggota badan dan tindakan.
  • Janganlah engkau menyebut kata-kata yang boleh mentertawakan orang lain ( melucukan ) walaupun kata-kata tersebut diceritakan daripada orang lain.
  • Awaslah kamu dengan sifat malas kerana barangsiapa yang malas tidak akan dapat melaksanakan hak Allah SWT.
  • Empat perkara yang sedikit, kekadangnya boleh menjadi banyak iaitu ; api, permusuhan, sakit dan kemiskinan.
  • Empat perkara yang boleh mengundang syurga iaitu ; merahsiakan musibah, merahsiakan sedekah, berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan memperbanyakkan menyebut kalimah Lailahaillallah.
  •  Empat perkara yang boleh mengundang kesengsaraan hidup iaitu ; jiran tetangga yang jahat, anak yang jahat, perempuan yang jahat dan rumah yang sempit.
 InshaAllah, sama-sama amal dan  ambil pengajaran  atas kata-kata hikmah Saidina Ali bin Abi Talib.Ameen.

Thursday, October 8, 2009

Keluarga Penulis vs Bagan Pinang

Bismillahirrahmanirrahim...




" Katakanlah, ' Sekiranya bapa-bapa, anak-anak saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kam cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad pada jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya; Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. "                   ( At-taubah : 24 )

   Sepatutnya bermula hari Isnin yang lalu sehingga hari Ahad ini, penulis sudah berada di Bagan Pinang untuk membantu kerja-kerja di sana bersama dua lagi sahabat penulis. Walaubagaimanapun, komitmen pada keluarga menyebabkan penulis diperlukan di kampung hampir 5 hari untuk membantu keluarga penulis menguruskan majlis adik penulis. Memang sebelum ini, penulis begitu bersemangat untuk ke sana memandangkan pada ketika itu penulis berkelapangan dan ingin mengetahui serta merasai pengalaman lebih dekat apabila berada di sana. Itulah yang penulis idam-idamkan kerana melalui pilihan raya, penulis dapat rasakan bagaimana sahabat-sahabat yang lain bertungkus-lumus berjuang menegakkan yang 'haq'.

Selama ini penulis hanya melihat dan membaca maklumat mengenai pilihan raya hanya di dada akhbar dan dalam laman sesawang. Itu pun tidak pasti kesahihannya kerana media sekarang tidak memaparkan isu yang sebenar seperti yang telah dilaporkan di tempat kejadian. Masyarakat kini telah dipermainkan oleh pihak media yang kebanyakkannya ditunjangi oleh pihak kerajaan. Penulis berasa sangat sedih dan kecewa dengan isu-isu yang berlaku sepanjang proses penamaan calon dan undian yang berlaku di Bagan Pinang.

Moga-moga ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua yang terjadi. Penulis dapat rasakan yang DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Mungkin penulis belum cukup bersedia atau mungkin itu bukan jalan penulis. Wallahu'alam..

Cuma penulis amat berharap seluruh umat islam di Malaysia khususnya dapat membentuk satu ikatan aqidah yang mantap dalam 'mengepalai' tampuk pemerintahan negara berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah seterusnya menjalani kehidupan yang seimbang dari duniawi atau ukhrawi. Ameen.
..." Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadam kemenangan yang nyata..." ( Al-Fath : 11 )

Ingatlah !!! usaha yang selari dengan ajaranNya dan RasulNya pasti membawa kejayaan di dunia apatah lagi di akhirat kelak. Apa yang penting? sama-sama menjadi agen penggerak untuk membawa ummah ke arah jalan 'Mustaqim'.

Kalah kali ini tidak bermakna kita tewas selama-lamanya, yang pasti ada 'ibrah' yang perlu dipelajari. Sama-sama muhasabah diri. Betulkan niat. Moga Allah s.w.t merahmati.  Dan jangan sesekali biarkan Islam tergadai...